• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,195 orang
  • Kandungan Blog

Kesungguhan Ulama dalam menimba ilmu

Dr Mohd Hasrul Shuhari

DALAM kitab berjudul Shafahat min Sabr al-‘Ulama’ ‘ala Shadaid al-‘Ilm wa al-Tahsil yang ditulis oleh Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, terdapat perkongsian berharga berkenaan pengorbanan ulama salaf soleh dalam menuntut ilmu.

Ia molek dirujuk bagi pelajar supaya dapat memperoleh kekuatan dan azam baru sempena Tahun Baru Hijrah 1442H.

Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah menukilkan kata-kata hikmah sebahagian ulama salaf soleh: “Cerita-cerita itu merupakan tentera daripada tentera-tentera Allah Taala, Allah menguatkan dengannya (tentera) akan hati-hati para waliNya (kekasihNya).”

Ungkapan ulama terbabit berkaitan firman Allah dalam Surah Hud ayat 120 yang bermaksud: “Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad SAW) untuk menguatkan hatimu dengannya.”

Ungkapan dan ayat al-Quran ini turut dinyatakan Imam al-Junaid al-Baghdadi yang juga ulama besar salaf soleh dalam bidang tasawuf.

Salah seorang pengasas mazhab muktabar dalam Ahli Sunnah wal Jama’ah (mazhab Hanafi) iaitu Imam Abu Hanifah berkata: “Cerita-cerita tentang para ulama dan kebaikan mereka itu lebih aku sukai daripada mempelajari banyak masalah dalam ilmu fekah kerana cerita-cerita itu merupakan adab dan akhlak para ulama.”

Menurut Imam Ibn al-Jauzi, cerita terbabit adalah hadiah yang berharga daripada syurga.

Baginya cerita berkenaan perjalanan hidup dan sejarah mempunyai banyak manfaatnya.

Ia mengandungi perkara hebat yang mana hati manusia yang mendengarnya akan memperoleh kerehatan dan ketenangan.

Perkara ini dinyatakan dalam kitabnya yang berjudul al-Luqat fi Hikayat al-Salihin dan al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam.

Justeru, mengambil pengajaran dari cerita pengalaman dan kebaikan orang lain adalah sangat digalakkan untuk mendorong hati manusia melakukan kebaikan.

Di sini dikongsikan beberapa pengalaman ulama salaf soleh dalam menuntut ilmu.

Menurut riwayat dalam kitab Sahih Muslim, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Saidina Abu Zar al-Ghifari menghadapi cabaran dalam perjalanannya untuk menuntut ilmu dengan Nabi SAW.

Saudaranya yang bernama Unais memberitahu bahawa terdapat seseorang lelaki dituduh sebagai tukang syair dan dukun di Makkah.

Kebetulan Unais juga pensyair, maka Unais mendengar sendiri ungkapan syair dari lelaki terbabit.

Beliau yang berpengalaman dalam syair ini yakin bahawa apa yang didengarinya itu bukan syair seperti yang didakwakan.

Maka beliau yakin lelaki terbabit adalah seseorang yang benar.

Justeru, Abu Zar ingin menemui lelaki yang dimaksudkan terbabit di Makkah.

Namun, ketika bertanya penduduk Makkah mengenai lelaki terbabit maka mereka menyedari bahawa lelaki yang dicari terbabit adalah orang yang meninggalkan agama nenek moyang mereka iaitu Nabi Muhammad SAW.

Lantas mereka memukul Abu Zar sehingga pengsan dan berdarah.

Beliau tidak makan selama sebulan melainkan hanya minum air zam zam sehingga ia berjaya menemui Nabi SAW.

Ini cabaran yang dihadapi Abu Zar dalam mencari ilmu agama yang dibawa Nabi SAW.

Menurut Imam al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad, seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Saidina Jabir mendengar berita terdapat seseorang yang bernama Saidina Abdullah ibn Unais mendengar sesuatu hadis dari Nabi SAW secara langsung yang ketika itu berada di Syam.

Beliau segera membeli unta dan bekalan untuk menuju ke sana yang mengambil masa selama sebulan perjalanan yang mana tujuannya hanya ingin mengetahui satu hadis.

Beliau bimbang jika salah seorang daripada mereka (yakni Jabir atau Abdullah) meninggal dunia yang menyebabkan ia terlepas peluang mengetahui hadis terbabit.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang turut meriwayatkan kisah Jabir ini menyatakan bahawa: “Hadis ini menceritakan kesungguhan para sahabat dalam memperolehi sunnah-sunnah Nabawi (ilmu tentang hadis).”

Beliau juga menukilkan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal berkenaan kelebihan bagi seseorang itu menuntut ilmu meskipun di tempat yang jauh iaitu dapat mengenal ramai ulama, mencontohi akhlak mereka dan memanfaatkan ilmu mereka.

Di samping sahabat, ulama tabiin juga mempunyai sejarah kisah menuntut ilmu yang wajar dicontohi.

Imam Ibn ‘Abd al-Barr menjelaskan bahawa seorang tabiin, ahli fekah dan ahli ibadah yang bernama Imam Masruq ibn al-Ajda’ melakukan perjalanan yang jauh semata-mata ingin mencari satu kalimah.

Ini diakui Imam al-Sya’bi bahawa beliau tidak pernah melihat seseorang yang sangat gigih mencari ilmu seperti Imam Masruq.

Begitu juga dengan sikap Imam Sa’id ibn Musayyab yang sanggup merantau berhari-hari meskipun sekadar mencari satu hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.

Imam al-Sya’bi yang memuji Imam Masruq sebelum ini juga bukan calang-calang orangnya dalam mencari ilmu.

Beliau pernah berkata: “Semoga aku berjumpa dengan semua orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah SAW (yakni sahabat) atau semua orang yang pernah bertemu dengan sahabat baginda SAW (yakni tabiin).”

Menurut al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab Tazkirah al-Huffaz, semua hadis yang ditulis dan yang didengari Imam al-Sya’bi telah pun siap dihafal olehnya.

Disebabkan kehebatannya dalam ilmu, beliau pernah ditanya mengenai bagaimana ia dapat memperoleh kelebihan tersebut. Jawabnya: “Aku memperolehi semua itu dengan cara menghilangkan kebergantungan kepada orang lain, mengembara mencari ilmu ke pelbagai negeri, bersabar bagaikan keldai dan bersegera bagaikan burung gagak.”

Menurut orang Arab, kesabaran seperti keldai merujuk kepada maksud ia dilihat hina dan tidak menjadi tumpuan dan bersegera seperti buruk gagak merujuk sikap burung terbabit yang segera keluar dan pulang mencari makanan.

Ini perumpamaan sikap seseorang yang mencari ilmu meskipun ia dilihat hina atau tidak popular, ia tetap bersabar mencari ilmu.

Ia juga suka mengembara untuk mencari ulama bersegera mencari ilmu, tidak menangguh-nangguhkannya dan bertawakal kepada Allah setelah berusaha.

Semoga cerita pengalaman ulama salaf soleh dalam mencari ilmu ini dapat menguatkan hati-hati pembaca dalam berazam untuk mengembara menemui ulama, bersabar dan bersegera dalam mencari ilmu sebagai azam baru sempena Tahun Baru Hijrah.

Sebagaimana yang dinukilkan oleh Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah bahawa: “Perbanyakkanlah kalian membaca dan mendengar cerita-cerita kerana ia merupakan mutiara-mutiara yang berharga dan barangkali ia adalah mutiara yang tiada tolok bandingnya.”

Semoga bermanfaat bagi penuntut ilmu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: