• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,619 orang
  • Kandungan Blog

Ikut guru fahami hadis Nabi s.a.w

Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari

Setiap fakta ilmu yang diungkap dalam Islam tidak hanya bersandar kepada kewujudan hadis semata-mata kerana semua hadis sama ada yang sahih, hasan ataupun daif boleh membawa kepada kefahaman yang sesat jika tidak dibimbing oleh guru sebagai ulama dan ulama adalah pewaris nabi.

Kekeliruan yang terjadi pada saat ini apabila ada pihak yang cuba memahami agama terus lompat kepada hadis tanpa melihat perbahasan ulama mengenainya. Pihak ini menyangka jika boleh ikut nabi terus, kenapa perlu ikut ulama. Kepincangan ini terjadi lantaran kegagalan mereka memahami bahawasanya mengikut ulama muktabar adalah sebenarnya mengikut Nabi Muhammad SAW.

Imam Sufyan bin Uyaynah pernah berkata: “Hadis itu boleh menjadi sebab kesesatan melainkan ahli ilmu dalam bidangnya.” Al-Jami’ fi al-Sunan li Ibni Abi Zayd, ms.118

Untuk mendapat kefahaman yang betul dalam keilmuan Islam, ulama Ahli Sunah Waljamaah mementingkan pengajian ilmu bersanad yang berperanan sebagai security system yang dapat menjadi benteng kemurnian kefahaman dalam agama.

Tindakan mengajak masyarakat awam untuk terus lompat kepada kitab al-Quran dan kitab hadis adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan kaedah sebenar dalam memahami fakta kebenaran dalam agama Islam.

Sekadar memiliki kitab hadis dan menelaah hadis sahih belum melayakkan seseorang untuk mengeluarkan hukum daripadanya. Demikian adalah kerana interaksi terhadap hadis tidak hanya terhenti dengan sahih, hasan dan daif semata-mata dan tidak hanya tertumpu kepada maqbul dan mardud di sisi muhaddisin sahaja.

Sesungguhnya kesahihan hadis tidak menjamin kefahaman seseorang itu tentang makna hadis itu adalah turut sahih atau serta-merta ia menjadi sunah. Ini kerana tidak semua hadis yang sahih sanadnya boleh terus diamalkan begitu sahaja tanpa perlu melihat kepada aspek lain. Hal itu dijelaskan oleh Imam Ibnu Kathir dalam Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith bahawasanya kesahihan sanad tidak menjamin kesahihan matan.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: “Walaupun seseorang memiliki kitab yang mengandungi hadis Nabi SAW serta pendapat sahabat dan tabiin, dia tidak boleh mengamalkan apa yang dia kehendaki atau memilih-milih (salah satu pendapat), lalu memutuskan dan beramal dengannya sebelum dia bertanya kepada ahli ilmu apa yang mesti diambil agar ia beramal dengan perkara yang benar.” Rujuk: I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin li Ibni Qayyim

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu secara langsung daripada hati hamba-Nya. Tetapi, Allah mengangkat ilmu dengan kewafatan ulama.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hadis ini, baginda SAW tidak menyebut ilmu itu diangkat dengan dihilangkan kitab-kitab atau mashaf, akan tetapi dengan hilangnya ulama. Hal tersebut menunjukkan bahawa hakikat ilmu agama dan kefahamannya adalah terletak pada ulama bukan kepada kitab semata-mata, yakni kitab hanyalah sebagai pembantu atau penyokong kepada ilmu yang berada di sisi jumhur ulama Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah yang membentuk al-Sawad al-A’zam.

Imam al-Shatibi dalam al-Muwafaqat (ms 53) ketika menghuraikan hadis di atas, katanya: “Sesunggguhnya ilmu berada di dada-dada guru, kemudian dipindahkan ilmu tersebut ke dalam kitab. Maka, kunci bagi ilmu tersebut tetap berada di tangan guru.”

Guru adalah kunci bagi ilmu kerana padanya terhimpun tiga ciri utama iaitu penggunaan rujukan kitab yang benar, kefahaman ilmu yang benar secara bersanad dan mempunyai keahlian dengan penguasaan ilmu yang mantap. Guru yang mempunyai kriteria berkenaan adalah ulama sebenar.

Dalam Islam, ilmu itu institusinya bukan terletak pada bangunan atau binaan, mashaf atau kitab, akan tetapi ulamalah sebagai institusi ilmu itu sendiri. Hal itu sesuai dengan firman Allah Taala: “Maka tanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.” Surah al-Nahl: 43

Menerusi ayat ini Allah Taala tidak memerintahkan untuk bertanya kepada kitab, akan tetapi kepada ahli ilmu.

Perkara itu juga telah dijelaskan oleh Imam al-Awza’i Rahimahullah, katanya: “Tidaklah hilang ilmu melainkan dengan hilangnya sanad (pemikul ilmu agama tersebut).” Al-Tamhid, Imam Ibnu Abd al-Barr

Hal berkenaan turut diterangkan oleh anak murid beliau, Imam Malik Rahimahullah yang berkata: “Hendaklah seorang penuntut ilmu itu hafazan ilmu agamanya adalah daripada ulama, bukan sekadar daripada lembaran kitab semata-mata.” Al-Kifayah fi Ma’rifah Usul ‘Ilm al-Riwayah, Imam Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi

Anak muridnya, Imam Shafii Rahimahullah pula berkata: “Sesiapa yang cuba memahami ilmu agama melalui isi kandungan kitab semata-mata, maka dia akan mensia-siakan ahkam (kefahaman hukum-hakam yang sebenar).” Tadhkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, Imam Badr al-Din Ibnu Jama’ah

Berikutnya, Imam Ibnu Jama’ah Rahimahullah berkata: “Sebesar-besar musibah adalah bergurukan lembaran kitab. Hendaklah seorang penuntut ilmu tidak berguru dengan orang yang mengambil ilmu hanya daripada dada kertas dan tidak berdamping dengan ulama yang sempurna penguasaan ilmunya. Dalam setiap disiplin ilmu penuntut ilmu hendaklah bergantung kepada seseorang yang mampu mengajar dengan baik, mengkaji dengan mendalam dan terzahir pada dirinya manfaat ilmu tersebut dan yang memiliki kepakaran untuk mengajar buku tersebut.” Tadhkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, Imam Badr al-Din Ibnu Jama’ah al-Kinani

Sesungguhnya ilmu itu diwarisi kefahamannya secara bersanad oleh ulama sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Ulama itu adalah pewaris nabi.” Riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibnu Majah

Berdasarkan hadis di atas, Imam Ibnu al-Salah dalam Adab al-Mufti wa al-Mustafti menyebutkan bahawa ia adalah dalil yang menunjukkan keputusan yang dibuat oleh ulama yang berautoriti adalah mewakili Allah dalam memberikan pengesahan hukum daripada Allah. Lanjutan daripada itu, Imam Ibnu al-Qayyim telah mengarang kitab yang berjudul I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin yang bermaksud ‘Pemberitahuan kepada pengesahan daripada Allah Taala.’

Dalam kitabnya berjudul al-Ruh, Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa roh adalah ciptaan yang berunsur cahaya. Meskipun fakta itu tidak terdapat dalam mana-mana hadis mahupun ayat al-Quran, akan tetapi kesimpulan berkenaan dicapai berdasarkan kefahaman ulama di atas penelitian mereka terhadap seluruh nas agama.

Dalam sebuah ayat al-Quran, apabila Allah Taala berbicara mengenai pewarisan kitab, Allah menyebut bersama dengannya hamba yang dipilih oleh-Nya iaitu ahli ilmu sebagaimana firman Allah: “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang yang Kami pilih di antara hamba Kami.” Surah al-Fatir: 32

Imam Ibnu Kathir menukilkan daripada Imam Muhammad al-Baqir dan Imam Ahmad bin Hanbal bahawa maksud ‘hamba’ dalam ayat di atas ialah golongan ulama daripada kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

Sebagai penutup, saya menyeru diri saya sendiri dan pembaca untuk mengambil ilmu daripada dada ulama yang jelas sanad keilmuannya. Bersimpuhlah di hadapan mereka dengan penuh adab dan hormat. Sesungguhnya perbuatan mengikut ulama adalah perkara yang diperintahkan oleh Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Dengan kata lain, mengikut ulama yang muktabar pada hakikatnya mengikuti Nabi Muhammad SAW dan barangsiapa yang taat kepada Rasulullah SAW bermakna dia taat kepada Allah Taala.