• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,195 orang
  • Kandungan Blog

Jaga adab pelajar dengan guru

Dr Abdul Rashid Bin Abdul Aziz

Ungkapan kata ‘adab dalam menuntut ilmu membawa kepada keberkatan’ sering didengari, tetapi apakah itu keberkatan? Keberkatan dalam bahasa yang mudah difahami adalah hidup seseorang yang dilimpahi dengan kebaikan.

Dalam erti kata lain, Allah SWT mencukupkan keperluan dan urusannya walaupun dalam keadaan serba kekurangan, manakala jika Allah limpahkan nikmat rezeki yang banyak pula dapat dimanfaatkan bersama orang lain. Di samping itu, Allah turunkan lebih banyak nikmat dan hadirkan rasa tenang serta bahagia. Persoalannya, bagaimana ingin hidup yang berkat? Salah satu jawapannya adalah dengan mengamalkan adab ketika menuntut ilmu. 

Adab ini asal praktisnya bermula dari rumah dan dalam pendidikan adab dipengaruhi oleh pelbagai aspek seperti elemen agama, adat dan budaya. Hal ini sangat dititikberatkan supaya keberkatan ilmu yang disampaikan seorang guru atau murabbi akan melimpahi kehidupan anak didiknya.

Jika ditelusuri, adab ini terletak dalam komponen akhlak yang merupakan tiang utama dalam Islam. Malah, adab dan akhlak diungkap dalam banyak perkataan yang hampir sama maknanya seperti kesantunan, moral, kesopanan dan kesusilaan.

Dalam cabaran dan realiti yang harus ditempuhi pendidik pada hari ini antaranya adalah isu adab pelajar yang semakin tipis. Golongan pendidik diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri demi menerangi kehidupan orang lain. Peribahasa Melayu ini menggambarkan kesungguhan serta keikhlasan seorang pendidik yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan.

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan seringkali terpapar di dada akhbar mahupun media sosial kisah berkaitan sikap serta layanan buruk pelajar terhadap gurunya. Terdapat pelajar yang berani mengherdik, melawan arahan dan mengkhianati gurunya dek kerana emosi serta dendam yang tersimpan. Bahkan dalam dunia teknologi dan aplikasi pintar pada hari ini, terdapat pelajar yang membuat fitnah, memuat turun status di media sosial dengan memburukkan guru mereka. Di manakah letaknya nilai murni sebagai seorang pelajar yang sedang menimba ilmu bersama guru? 

Hakikatnya, ibu bapa memainkan peranan sebagai pendidik di rumah, manakala rakan dan persekitaran juga ibarat pendidik sosialisasi yang seharusnya membentuk adab seseorang. Namun begitu, kegagalan berbuat demikian akhirnya menyebabkan semua pihak meletakkan tanggungjawab utama mengajar dan membentuk akhlak disandarkan kepada pendidik ilmu di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Ibarat kata pepatah Melayu ‘melentur buluh biar daripada rebungnya’ membawa konotasi ibu bapa perlu menyemai adab sopan menuntut ilmu dan berguru agar ilmu diperoleh mendatangkan keberkatan dan selaras dengan matlamat untuk menuju kejayaan di dunia dan akhirat. 

Dalam menuntut ilmu, adab menghormati guru adalah intipati penting yang perlu ada dalam diri setiap pelajar. Setiap pelajar wajib menghormati gurunya agar ilmu yang dipelajari mendatangkan keberkatan dan keredaan Allah.

Hal ini diungkapkan dalam hadis Riwayat Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah di kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami. “

Baginda menyarankan agar memberikan hak kepada guru dengan menzahirkan rasa hormat dan sopan apabila berguru.

Sahabat baginda juga amat menghormati Rasulullah dengan merendahkan suara dan tidak memberikan pandangan yang tajam kepada baginda. Situasi ini diperlihatkan dalam hadis Riwayat Imam al-Bukhari yang memerihalkan bahawa sahabat bercakap dengan suara yang rendah (bersopan) ketika bertutur dengan Rasulullah SAW serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati baginda. 

Memetik kata-kata ulama tersohor Imam Al-Ghazali dalam karya beliau Ihya Ulum al-Din, beliau juga mengangkat martabat guru dengan menyatakan: “Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.” 

Berdasarkan kata-kata Imam Al-Ghazali ini tidak dinafikan hadirnya guru membawa kejayaan dalam kehidupan setiap individu. Guru menjadi penyuluh dalam kegelapan, memberi sinar harapan kepada anak didik untuk terus bangun dan melakar kejayaan dalam kehidupan. Ilmu yang disampaikan menjadi manfaat dan panduan hidup sepanjang zaman dan merungkai setiap kejahilan yang ada dalam diri. Oleh itu, pentingnya adab berguru dipraktikkan selama menuntut ilmu, hal ini ditekankan kerana tingginya martabat seorang guru dalam perjuangan mereka menyampaikan ilmu kepada anak didik. 

Jika diteladani daripada golongan salaf umpamanya, mereka amat menghormati guru. Hal ini dapat dilihat dalam kisah Imam Syafie RA menuntut ilmu bersama Imam Malik diceritakan beliau tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang amat perlahan kerana bimbang bunyi yang terhasil boleh mengganggu ketenteraman gurunya. Bagaimanapun, ketika ini kita dapat lihat berlakunya kesongsangan dalam aspek menghormati guru.

Majoriti pelajar yang lulus cemerlang dalam akademik tidak melihat kejayaan mereka adalah hasil paduan ilmu dan keberkatan daripada guru yang mendidik mereka. Akhirnya kejayaan yang diperoleh hanya memenuhi tuntutan intelek sistem pendidikan, namun gagal dalam aspek pembinaan jati diri dan akhlak mulia yang menjadi salah satu dokongan utama dalam falsafah pendidikan kebangsaan. 

Seiring peredaran zaman, jiwa manusia juga dilihat turut berubah. Bahkan, dalam kecanggihan teknologi dan kemewahan infrastruktur pembelajaran memberi impak serta cabaran terbesar kepada pelajar.

Justeru, setiap pelajar mesti sedar dan peka dengan permasalahan ini. Meskipun pembelajaran secara dalam talian menjadi medium utama pengajaran dan pembelajaran masa kini telah menyebabkan perhubungan dan perjumpaan fizikal tidak berlaku, itu bukanlah prasyarat untuk tidak menghormati pendidik dan  guru.

Ibu bapa harus memainkan peranan penting mengemudi nilai murni dalam diri anak. Hakikatnya, sebagai seorang pelajar, resipi kejayaan sebenar datang daripada rasa hormat kepada guru yang disemat dengan teguh di dalam hati, fokus  perhatian semasa pembelajaran dan mengelakkan perkara yang boleh mengundang kelalaian seperti melayari media sosial atau permainan aplikasi telefon pintar dalam jangka masa yang lama.

Selain itu, setiap teguran atau nasihat yang baik disampaikan oleh seorang pendidik perlu diambil tanpa membantah. Hal ini kerana setiap teguran tersebut adalah untuk kebaikan diri pelajar. Dengan kecanggihan teknologi komunikasi, pelajar juga tidak seharusnya menjadikan platform media sosial untuk memuatnaik status atau video yang bertujuan menghina dan mengecam guru. Ini hanya menyebabkan hilangnya keberkatan dalam proses menuntut ilmu.

Pelajar juga digalakkan untuk mendoakan kesejahteraan guru-guru yang mendidik mereka sebagai satu tanda penghargaan atas pengorbanan yang telah dicurahkan. Kesimpulannya, untaian bait warisan nusantara  “Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi” membawa laras makna mendalam bahawa menuntut ilmu itu bukan sekadar main-main dan bukan bermatlamat sekadar tercatat cemerlang di sijil mahupun mencapai purata mata gred yang tinggi sahaja, tetapi ia satu tuntutan utama yang berkait dengan soal keberkatan.

Sehubungan itu, setiap aspek perlu dijaga bagi memelihara keberkatan ilmu dalam kehidupan sekali gus membentuk potensi diri yang optimum dan pembangunan nilai diri yang seimbang.