• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,260,117 orang
  • Kandungan Blog

Mendidik dengan ceria, tenang

Mohd Rizal Azman Rifin

Guru atau pendidik merupakan tulang belakang kepada kemenjadian insan. Siapapun kita, pasti akan terhutang budi atas sumbangan jasa bakti yang dicurahkan oleh seseorang guru. Saya sendiripun sangat-sangat berasa terhutang budi kepada guru yang selama ini begitu gigih mencurahkan ilmu dan kemahiran hingga berjaya ke tahap masakini. Alhamdulillah syukur.

Berbekalkan semangat guru-guru saya dahulu, kini saya cuba mengaplikasikannya pula dalam menggalas amanah sebagai seorang pensyarah di Politeknik Malaysia. Saya menyedari bukan sesuatu tugasan yang mudah buat sekalian guru untuk memberikan khidmat bakti dengan tahap terbaik. Namun, apapun kekangan dan cabaran, saya berkeyakinan bahawa sekiranya kita berniat suci dalam mencurahkan bakti kepada negara dan pertiwi, insya-Allah segala dipermudahkan Illahi. 

Jadi, dalam ruangan ini, ingin saya kongsi sedikit pengalaman saya semasa berada di dalam bilik kuliah dan bengkel semasa mengajar subjek automasi. Meskipun subjek yang diajar adalah satu subjek berteraskan sains dan teknologi, namun amalan pengajaran dan pembelajaran seharusnya tepat dan sentiasa bijak ‘mencium’ gaya mengajar dan memberi kuliah yang terbaik kepada pelajar.

Jadi, saya lebih yakin dengan aplikasi amali pengajaran yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW semasa Baginda membimbing sahabatnya dahulu. Saya lebih suka meneliti perjalanan sirah Nabi SAW dalam mencari apa yang digayakan oleh Rasulullah SAW sehingga terlahir kumpulan sahabatnya yang hebat, kaya iman, mantap takwa dan bijaksana dalam pelbagai aspek kehidupan.

Pertama sekali prinsip yang pegang kukuh hingga kini semasa mengajar ialah berdasarkan kepada apa yang Rasulullah SAW sabdakan: “Sesungguhnya Allah tidak mengutuskanku untuk memberi kesukaran dan mencari kesilapan orang lain. Sebaliknya, Allah mengutuskanku sebagai guru yang memberi kemudahan.” (Hadis sahih diriwayatkan Imam Muslim)

Jadi, langkah saya ke bilik kuliah mahupun bengkel ialah mahu menjadi seorang pensyarah/guru yang sentiasa bersedia meringankan kesukaran pelajar semasa mengikuti sesi pembelajaran/pembengkelan. Sedaya upaya saya akan ingatkan diri sendiri dengan sabda Nabi SAW itu agar saya tidak mudah hanyut dalam mengejar silibus sehingga pelajar dalam situasi terkapai-kapai memahaminya. 

Kedua ialah dengan meneladani sikap Nabi SAW semasa menyampaikan sesuatu ajaran. Dilaporkan Baginda bercakap dengan suara yang jelas. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi yang mengatakan bahawa Aisyah ada memberitahu bahawa: “Tidaklah Baginda bercakap tergopoh-gapah. Tergopoh-gapahnya percakapan kamu (kerana ini akan mewariskan kesamaran kepada pendengar dan sukar untuk memahami dan mengingatinya). Baginda bercakap secara jelas dan orang yang duduk bersama Baginda boleh menghafalnya.”

Kenyataan daripada Aisyah itu memberikan suntikan ilmu pengajaran buat diri saya agar melakukan gaya yang sama sebagaimana dilakukan oleh Nabi SAW dahulu dengan harapan bahawa kesemua pelajar saya mampu mengikuti isi pelajar dengan baik. Alhamdulillah syukur, ternyata benar kerana selama saya berpegang kepada gaya seperti itu, pembelajaran mampu diikuti oleh pelajar dengan sempurna berbanding sewaktu saya ikut ‘mood’ sendiri sahaja. Justeru, melihat kepada keberkesanan yang jitu menerusi pengalaman amali gaya Rasulullah SAW, pelajar nampaknya lebih selesa dan sentiasa bersemangat mengikuti kuliah yang saya sampaikan. 

Ketiga ialah menyampaikan isi pembelajaran dalam suasana ceria, sentiasa berwajah tenang yang kaya dengan senyuman dan lemah lembut. Ini juga saya tiru daripada gaya Rasulullah SAW yang mana dilaporkan oleh Al-Hasan bin Ali. Dalam laporan itu, Hasan ada bertanyakan kepada ayahandanya, Ali bin Abi Talib mengenai kehidupan Nabi SAW (ketika bersama para sahabat yang duduk dalam majlis Baginda) Lalu ayahandanya memberitahu: “Adalah Baginda sentiasa tersenyum, budi pekertinya lemah-lembut, tidak kasar percakapannya dan tidak kasar tindakan dan perbuatannya, tidak berteriak (meninggikan suara), tidak suka mencaci, tidak memalukan orang lain, tidak memuji secara berlebih-lebihan, melupakan (tidak mencelanya) perkara yang tidak disukai, tidak pernah menghampakan permintaan dan harapan orang yang mengharapkan kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda menghindarkan dirinya daripada tiga perkara: iaitu bertelingkah, membanyakkan (kata-kata atau harta) dan perkara yang tidak ada kena mengena dengan Baginda.”

Selain itu, Baginda melayani orang yang mula-mula bertanya. Baginda akan turut ketawa sekiranya sahabatnya ketawa dan mengagumi terhadap perkara yang dikagumi oleh mereka. Kesabaran yang ditunjukkan oleh Baginda terlalu tinggi apabila berhadapan dengan orang asing yang mengajukan persoalan dan meminta sesuatu perkara yang tidak sepatutnya. Manakala sahabat pula mengharapkan kehadirang orang seperti ini kerana mereka juga dapat manfaat daripada soalan yang diajukan kepada Baginda (kerana mereka tidak berani untuk bertanya kerana kehebatan dan wibawanya Baginda). (Diriwayatkan olah Imam At-Tirmizi)

Sebenarnya, pada diri saya sendiri apa yang dilaporkan oleh Hasan bin Ali itu sebenarnya memberikan satu tinggalan teori pembelajaran dan pengajaran yang berkesan untuk diamalkan baik oleh saya mahupun sesiapapun kalangan pendidik/pensyarah. Testimoni oleh ayahanda Hasan, iaitu Ali bin Talib itu menyenarai sikap sikap yang sewajarnya dimiliki oleh setiap insan bergelar guru atau pendidik. Saya sangat bersyukur kerana menerusi penghayatan bersungguh terhadap gaya pengajaran Nabi SAW semasa bersama sahabatnya dahulu telah menyuntik satu fenomena baru yang jauh lebih harmoni dan berimpak tinggi dalam kuliah saya.

Justeru, saya menasihati diri sendiri dan seluruh sahabat yang bergelar pendidik agar ambillah dan teladanilah gaya dan sikap Baginda SAW semasa Baginda membimbing sahabatnya dahulu kerana di dalamnya tersingkap pelbagai teori dan amali pembelajaran dan pengajaran yang sangat ‘mujarab’ untuk memperkasakan kualiti ‘output’ pendidikan. Insya-Allah kita akan berasa terkejut apabila menyaksikan suatu perubahan drastik yang positif dalam jiwa para pelajar dengan sikap dan gaya kita semasa mengajar, membimbing dan memandu pelajar baik di dalam kelas/kuliah, mahupun semasa bersama mereka di luar suasana pembelajaran.

Benar sekali bahawa Baginda Rasulullah SAW adalah ‘The Great Eduacator.’

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: