• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,245,134 orang
  • Kandungan Blog

Usah remehkan hutang

Mohd Shahrizal Nasir

Kehidupan dunia penuh dengan cabaran termasuk melibatkan harta. Manusia diuji dengan harta kerana ia merupakan antara perkara yang menjadi kesukaan dan kebanggaan. Setiap harta perlu diurus dengan baik kerana jika digunakan untuk kebajikan maka ia boleh mendatangkan pahala. Sebaliknya jika ia digunakan untuk kemungkaran, maka ingatlah bahawa ia boleh menyebabkan diri menerima kemurkaan daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 14)

Apabila berbicara tentang harta, jarang ada orang yang tidak berhutang. Banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terpaksa berhutang. Antara yang biasa terjadi tatkala berada dalam keadaan terdesak, hutang adalah jalan yang dapat mengeluarkan diri daripada sesuatu situasi. Bukan sahaja disebabkan kemiskinan atau tidak mempunyai wang, kadang-kadang keluar makan di kedai dalam keadaan terlupa membawa duit, maka tiada jalan lain melainkan terpaksa berhutang.

Islam mengharuskan hutang sebagai satu cara untuk mengeluarkan manusia daripada kesulitan. Namun keharusan ini perlu difahami secara jelas agar masyarakat Islam tidak salah faham. Apatah lagi dikhuatiri apabila perkara ini menjadi budaya tidak sihat dalam kehidupan bermasyarakat. Hukum berhutang boleh jadi haram sekiranya ia dilakukan untuk tujuan maksiat seperti berjudi, membeli dadah, menganiaya orang lain dan juga untuk tujuan bermegah-megah pada perkara yang tidak sepatutnya.

Konsep hutang yang diharuskan Islam ini menunjukkan betapa akrabnya hubungan persaudaraan sesama umat Islam. Budaya bantu-membantu antara satu sama lain subur dalam kehidupan umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak boleh menganiaya atau membiarkan (Muslim itu) dianiaya. Dan sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Dan sesiapa yang membebaskan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari Kiamat.” (Muttafaq ‘alaih)

Bagi orang yang terpaksa berhutang atas sebab yang dibenarkan syarak, mereka perlu sedar bahawa mereka akan menanggung amanah untuk melunaskan hutang tersebut. Mereka perlu segera melunaskan hutang tersebut di samping memanfaatkan wang hutang itu pada perkara yang menjadi keutamaan bukan sebaliknya. Firman Allah SWT bermaksud: “Jika yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang, maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283)

Islam amat prihatin terhadap rezeki dan kemampuan umatnya. Malah Allah SWT akan sentiasa memberi bantuan kepada hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya pada waktu susah dan senang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu. Namun sesiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah juga akan merugikannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Setiap umat Islam yang berhutang perlu meletakkan keazaman untuk melunaskan hutang dengan kadar segera. Elakkan budaya menangguh bayaran hutang kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada pemiutang. Mungkin pemiutang telah mempunyai perancangan sendiri setelah mendapat kembali wangnya sepertimana yang telah dijanjikan. Apabila hal ini tidak berlaku, maka tidak semena-mena diri si pemiutang pula yang berdepan dengan masalah. Niat baiknya ketika memberi hutang mungkin bertukar menjadi tidak ikhlas atau tidak reda dengan pemberiannya disebabkan perangai tidak baik orang yang berhutang.

Inilah antara perkara yang boleh merosakkan keharmonian hidup sesama insan. Sepatutnya kebaikan dibalas dengan kebaikan tetapi sebaliknya mengundang masalah kepada orang yang berbuat baik. Sebab itu isu melibatkan pembayaran hutang ini tidak boleh dipandang remeh. Ia punca berlakunya masalah besar dalam kehidupan bermasyarat. Tidak mustahil boleh berlakunya pertengkaran, permusuhan, malah pembunuhan jika hutang gagal diurus dengan cara yang baik.

Pelbagai masalah yang timbul daripada amalan berhutang sebenarnya berpunca daripada sikap individu sendiri. Justeru, setiap orang perlu melakukan muhasabah diri dan berfikir secara teliti sebelum berhutang. Sekiranya mereka benar-benar perlu berhutang dan yakin bahawa ia dapat diuruskan dengan sebaiknya, maka ia tidak menjadi halangan dalam agama. Sebaliknya bagi mereka yang tidak berdepan dengan keadaan terdesak untuk berhutang, malah khuatir tidak mampu menguruskan hutang tersebut, maka mereka perlu mengelak daripada membuat hutang.

Rasulullah SAW menjelaskan bahaya berhutang sekiranya pihak yang berhutang gagal menguruskan hutangnya dengan baik. Amalan berhutang boleh menjadikan seseorang sebagai orang munafik kerana sifat-sifat seperti dusta dan mungkir janji. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya seseorang yang (biasa) berhutang, jika dia berbicara maka dia berdusta, jika dia berjanji maka dia mengingkarinya.” (Muttafaq ‘alaih)

Jangan letakkan maruah diri pada kedudukan yang rendah disebabkan hutang yang tidak dilunaskan. Ada orang sanggup mencipta seribu satu alasan untuk mengelak diri daripada membayar hutang. Tidak ada rasa bersalah langsung dalam dirinya kerana tidak berusaha membayar hutang. Duit yang diperoleh pula disalurkan untuk memenuhi keperluan diri sendiri sedangkan hak orang lain diabaikan begitu sahaja. Inilah sifat buruk yang perlu dihindari lebih-lebih lagi melibatkan pihak yang telah membantu ketika berada dalam kesuasahan satu ketika dahulu.

Penangguhan bayaran hutang dengan sengaja adalah satu bentuk kezaliman. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Penundaan pelunasan hutang oleh orang yang mampu adalah sebuah kezaliman.” – (Hadis riwayat al-Bukhari). Malah orang yang tidak bersungguh-sungguh berusaha melunaskan hutang kelak akan dibangkitkan di akhirat sebagai seorang pencuri. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa sahaja yang berhutang dan dia tidak bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutangnya, maka dia akan bertemu Allah sebagai seorang pencuri.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Penjelasan tentang balasan buruk bagi orang berhutang yang culas melunaskan tanggungjawabnya perlu dijadikan peringatan penting dalam diri. Dalil al-Quran dan hadis tentang perbuatan berhutang memberi petunjuk bahawa meskipun Islam mengharuskannya, tetapi dalam masa yang sama Islam menggesa agar ia tidak diremehkan sebaliknya diusahakan pembayarannya dengan kadar segera.