• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,915 orang
  • Kandungan Blog

Perisai daripada maksiat

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ANTARA sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya adalah sifat malu. Malahan, yang lebih menariknya sifat malu ini adalah satu petanda yang membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam sudut jiwa sanubarinya, sebaliknya jika seseorang tidak mempunyai rasa malu bermakna dia kehilangan imannya sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Rasulullah yang bersabda maksudnya: “Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi.” (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, sifat malu ini adalah sifat semula jadi yang diciptakan Allah pada setiap insan. Ini dapat diperhatikan apabila seseorang manusia kemerahan wajahnya atau pipinya akibat malu setelah dimarahi atau melakukan sesuatu yang kurang sopan. Ada juga kalangan manusia yang bermuka tebal sehingga tidak menghiraukan apa yang dilakukannya. Orang tersebut tidak mempunyai perasaan malu dalam sudut hatinya. Tapi apa yang penting di sini ialah sifat malu ini telah diberi kedudukan yang istimewa dalam Islam. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap agama ada tata susilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu.” (Hadis Riwayat Malik)

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Akhlak Muslim menjelaskan bahawa dalam ajaran agama Yahudi pada zaman Nabi Musa terdapat ciri kekerasan dan dalam ajaran Masihi pada zaman Nabi Isa pula terdapat ciri kelembutan dan kelonggaran dalam kira bicaranya serta saling bermaaf-maafan. Islam pula mempunyai sifat malu sebagai ciri keistimewaannya. Ringkasnya, sifat malu mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dalam Islam sehingga dijulang sebagai satu simbol yang melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan seseorang Muslim di dalam kehidupan, sekali gus mengisyaratkan betapa Islam adalah satu al-Din yang menganjurkan umatnya agar berakhlak mulia dan menjauhi sama sekali segala akhlak yang keji.

Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang terbaik dalam penampilan akhlak terpujinya sehingga diperakui bahawa akhlak Rasulullah sebenarnya merupakan terjemahan menyeluruh daripada al-Quran al-Karim. Sebenarnya, Rasulullah SAW adalah seorang amat pemalu dalam tingkah laku sehariannya sebagaimana diriwayatkan oleh seorang sahabatnya, Abu Sa’id al-Khudri dalam satu riwayat yang bermaksud: “Rasulullah adalah seorang yang sangat pemalu dan lebih pemalu daripada seorang anak dara dalam kelubungnya dan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu melalui wajahnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, amat wajarlah setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu adalah lambang kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim daripada terjerumus ke lembah kederhakaan dan kehinaan. Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hatinya berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan juga disenangi oleh semua warga insan. Sebaliknya, seandainya sifat malu terhapus dan tidak bertapak dalam hati seseorang, maka ia adalah bibit-bibit virus atau penyakit yang mampu menggugah keimanan seseorang dan akhirnya dengan mudah dia terjerumus ke lembah kedurjanaan dan kedurjakaan kepada Allah. Mungkin ini bertepatan dengan peringatan keras Rasulullah SAW kepada umatnya dalam satu hadis yang panjang yang bermaksud: “Apabila Allah kehendaki untuk membinasakan seseorang hamba, akan dicabut daripadanya perasaan malu. Maka apabila dicabut daripadanya sifat malu, dia akan dibenci orang dan apabila dia dibenci orang, akan dicabut daripadanya sifat amanah. Apabila dicabut daripadanya sifat amanah maka dia didapati sebagai seorang yang khianat dan dikhianati. Jika dia berada dalam keadaan yang sedemikian akan dicabut pula daripada hatinya perasaan rahmat dan apabila ia terjadi begitu, dia tidak akan berada melainkan dalam keadaan yang dilaknati dan dimurkai. Apabila dia dilaknati dan dimurkai, bermakna terungkailah akhirnya tambatan Islam daripadanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Maksud hadis berkenaan menjelaskan betapa ketiadaan sifat malu dalam hati sanubari seseorang membuka pintu atau ruang baginya melakukan sesuatu yang terlarang. Dia dengan tidak segan silu akan melakukan apa sahaja asalkan terlaksana apa jua yang dihajati hatinya yang rakus dan tamak. Dalam peringkat ini, dia menjadi semakin berani untuk melanggar segala batasan Allah dan juga tata susila masyarakat ramai dan pada satu ketika dia mampu berubah wajah kepada seekor binatang yang tidak lagi menghiraukan pantang larang.

Natijahnya, berleluasalah krisis sosial dan maksiat tanpa batasan dalam kehidupan manusia sebagaimana yang kita perhatikan dalam masyarakat kita mutakhir ini. Kita melihat muda mudi tanpa segan silu bergandingan tangan dan berpelukan di khalayak ramai biar pun mereka tidak mempunyai ikatan yang sah. Malah, ada juga yang sudah terlanjur hingga ke lembah perzinaan yang terlarang apabila akhirnya si gadis yang hamil terpaksa pula melakukan pengguguran terhadap anak dikandunginya secara haram.

Begitu juga, amalan rasuah, kronisme dan sebagainya semakin menjadi-jadi dalam kerjaya korporat. Terkini isu ‘unboxing by husband‘ atau ‘unboxing pengantin’ yang kini tular di media sosial. Kesemuanya ini adalah berpunca tidak lain tidak bukan kerana sifat malu tidak menjadi perhiasan yang wajib dalam diri seseorang Muslim. Pendek kata, sifat malu berupaya menghambat runtunan hawa nafu yang bergelora dan juga mampu menghalang seseorang dari terjebak ke dalam kancah kehinaan.

Perlu ditegaskan di sini, sifat malu sebenarnya mempunyai maknanya yang tersendiri sebagaimana yang didefinisikan sendiri oleh Rasulullah SAW. Bukanlah sifat malu sebenarnya sekiranya kita malu hendak bertanya tentang sesuatu yang kita tidak ketahui ataupun kita malu tak bertempat.

Begitu juga jika kita malu hendak bergaul dengan orang ramai. Kesemua perlakuan tersebut tidak termasuk dalam pengertian sebenar malu dalam Islam.

Sifat malu yang sebenarnya menurut kaca mata Islam ialah malu kepada Allah SWT. Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah menegaskan dalam satu hadis yang bermaksud: “Malulah kamu dengan Allah Taala dengan sebenar-benar malu. Kami (sahabat) menjawab: ‘Sesungguhnya kami sememangnya malu kepada Allah Taala, alhamdulillah. Ujar baginda: Bukan itu. Malu kepada Allah taala dengan sebenar-benar malu itu ialah dengan menyaring sesuatu yang memasuki kepala dan perut kamu, mengingati mati dan kehancuran tubuh badan (jasad) apabila memasuki kubur nanti. Sesiapa yang berkehendakkan akhirat, hendaklah dia tinggalkan perhiasan dunia yang berlebihan dan memilih kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sementara. Maka sesiapa yang benar-benar melakukan yang sedemikian itu, sesungguhnya dia telah malu kepada Allah Taala dengan sebenar-benar malu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Dari sini, jelas betapa sifat malu ini menduduki martabat yang tinggi di sisi Allah Taala sehingga ia merupakan asas bagi segala kebajikan dan juga satu unsur kemuliaan bagi setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang Muslim. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tiada sesuatu yang mengiringi kekotoran lidahnya melainkan ia akan menghodohkannya dan tiada sesuatu yang diiringi dengan sifat malu melainkan ia akan mencantikkannya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Tiada satu-satu amalan kebajikan pun dalam Islam melainkan di sana ada ganjaran pahala yang menantinya.

Begitulah juga dengan sifat malu ini juga tersedia ganjaran dan pahala yang tiada taranya di sisi Allah Taala. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Malu itu sebahagian daripada iman, iman itu tempatnya di dalam syurga nanti. Kelancangan mulut pula terbit dari hati yang keras dan tempatnya sudah pasti dalam neraka.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Justeru, sifat malu sewajibnya dihiaskan pada setiap individu masyarakat bermula dari individu Muslim, ibu bapa, anak, pemimpin dan rakyatnya. Individu Muslim yang bersifat malu merupakan Muslim yang soleh dan bertakwa kepada Allah Taala. Ibu bapa dan anak yang memiliki sifat malu mampu membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Begitu juga pemimpin bersama rakyat jelata sewajarnya bersifat malu bagi membentuk sebuah masyarakat yang bersih, harmoni dan sejahtera serta cemerlang dalam segala lapangan hidup. Kesimpulannya, kita menginsafi betapa besarnya peranan sifat malu dalam kehidupan ummah sejagat sehingga ia dapat membentuk sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera yang berada di bawah keredaan Ilahi dunia dan akhirat.