• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,237,734 orang
  • Kandungan Blog

Teladani 4 sifat Rasulullah pupuk prihatin sesama umat

Dr Siti Rokiah Siwok

Dalam mana-mana kelompok manusia sama ada kecil atau besar, setiap orang menginginkan kehadiran ahli kelompok yang prihatin.

Ini kerana, daripada sifat prihatin itulah akan lahirnya tindakan saling membantu, apatah lagi dalam keadaan bencana seperti dihadapi sekarang.

Pengkaji sepakat bahawa ahli sesuatu kelompok itu boleh menjadi sama ada penyumbang kepada tekanan atau menjadi faktor penyokong untuk menghadapi situasi tertekan dalam hidup.

Jika setiap ahli dalam sesuatu kelompok merasa bertanggungjawab untuk memupuk sifat prihatin ini dalam diri masing-masing, maka akan muncullah satu kelompok manusia yang mempunyai sifat prihatin, saling mengambil berat satu sama lain .

Contoh unggul wajar dicontohi dalam segala perkara tidak lain adalah pada Nabi Muhammad SAW.

Prof Madya Dr Arieff Salleh Rosman melalui ceramahnya dalam satu program kerohanian dianjurkan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan, terdapat empat sifat Rasulullah SAW wajar diteladani masyarakat yang ingin memupuk sifat prihatin.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kaum kalian sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kalian, sangat menginginkan (keamanan dan keselamatan) bagi kalian, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin” (Surah At-Taubah, ayat 128).

Daripada ayat di atas, dapat dipetik empat sifat dinyatakan iaitu merasa sangat berat penderitaan yang kamu alami; sangat ingin kebaikan kepada umat; belas kasihan dan penyayang.

Sifat empati

Merujuk sifat pertama, konteks ayat di atas membawa maksud sifat yang amat mengambil berat sehingga merasai kesusahan yang menimpa umat.

Kalimah ‘azizun’ yang bermakna ‘syadidun’ atau ‘syaqqun’ membawa maksud berat sangat, boleh dikatakan bersifat empati. Namun, sifat empati Rasulullah jauh lebih daripada manusia biasa, kerana empati Baginda jauh lebih dalam dan lebih luas.

Dalamnya empati Rasulullah SAW hingga ke akhirat dan luasnya meliputi semua makhluk tidak mengira kelompok, bangsa atau warna kulit. Ia juga merangkumi Muslim, bukan Muslim dan seluruh alam ini.

Di samping itu, empati Rasulullah SAW tidak terhenti dengan kewafatan Baginda, malah meliputi umat yang datang selepas kewafatan Baginda. Sungguh hebat kasih sayang Rasulullah SAW kepada kita.

Tentunya empati seorang manusia biasa seperti kita tidak setanding dengan empati Rasulullah SAW, namun paling tidak kita berempati dengan orang yang hidup sewaktu dan sezaman dengan kita. Paling minimum, kita berempati dengan rakan sekerja atau rakan sesuatu organisasi atau kawasan atau komuniti.

Malah, dengan media yang luas sebarannya, kita mampu berempati dengan semua orang di dunia. Daripada sifat empati itu, maka akan timbul banyak sifat lain yang mulia seperti suka membantu dan kuat semangat untuk membela orang lain.

Daripada pendekatan humanistik, empati akan mudah dipupuk jika seseorang itu boleh membuang prejudis, suka melabel atau menghukum orang lain, terutama orang lain yang mempunyai tabiat, cara berfikir dan bertingkah laku selain daripadanya.

Dengan erti kata lain, sifat empati mudah wujud jika kita menerima orang lain seadanya. Namun, sifat empati tidak memadai apabila keadaan memerlukan tindakan praktikal seperti memberi sumbangan dan pertolongan secara fizikal. Paling tidak memberi maklumat berkaitan tempat untuk mendapatkan pertolongan.

Tentunya, memberi pertolongan ini berbeza mengikut kemampuan dan bidang kuasa masing-masing.

Mendahulukan orang lain

Sifat kedua disebut Allah SWT adalah ‘harisun’ iaitu sangat ingin kebaikan kepada orang lain. Seperti sampaikan Dr Arieff, sifat sangat inginkan kebaikan ini ditafsirkan sebagai tamakkan kebaikan. Bayangkan betapa indahnya jika setiap ahli dalam sesebuah kelompok atau organisasi bersifat tamakkan kebaikan untuk orang lain, bukan untuk diri sendiri, ahli keluarga atau saudara mara sendiri.

Maka akan berkembanglah sifat ithar (mendahulukan orang lain), sifat tertinggi dalam persaudaraan sesama manusia.

Sifat ‘rauf’ (belas kasihan) dan ‘rahim’ (penyayang) pula amat berkaitan antara satu sama lain. Rauf ialah sifat kasih sayang amat mendalam hingga mendatangkan perasaan belas kasihan.

Hakikatnya, banyak kisah boleh dibaca dalam sirah yang membuktikan betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada umat Baginda. Satu daripada kisah yang tidak asing lagi ialah semasa Rasulullah SAW dibaling batu sewaktu berdakwah di Taif sehingga kaki berdarah, namun Baginda masih mendoakan kebaikan kepada penduduk Taif, bukan melaknati mereka.

Rasulullah SAW menolak pelawaan malaikat Jibril untuk membaling Gunung Akhsyabin ke atas penduduk Taif yang menolak dakwah dan menyakiti Baginda. Malah, kerana sifat belas kasihan dan penyayang inilah, Rasulullah SAW berdoa dengan penuh kasih sayang, “Ya Allah berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Kasih sayang mendalam

Begitu mendalamnya kasih sayang Rasulullah SAW kepada umatnya. Walaupun tidak bertemu, baginda Rasulullah SAW menyayangi umatnya di dunia hingga ke akhirat.

Kita boleh mencontohi Rasulullah SAW dengan menyayangi semua manusia termasuk yang tidak bersua muka.

Sebagai kesimpulan, kita patut bersyukur kerana mempunyai Nabi yang amat menyayangi umat Baginda. Sama-sama kita mencontohi peribadi Nabi Muhammad SAW dengan menyebarkan kasih sayang kepada semua manusia dan berusaha menyelamatkan mereka bukan sahaja daripada kesusahan di dunia, tetapi juga kesusahan di akhirat.

Sebagai pewaris risalah Nabi SAW, kita wajib menjaga kebajikan umat ini dan jangan menyusahkan mereka dalam apa bentuk sekali pun.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: