• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,251,270 orang
  • Kandungan Blog

Tegur biar beradab

Datuk Mohd Ajib Ismail

Ajaran Islam menganjurkan agar umat manusia saling menegur dan menasihati antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya menegur dan menasihati adalah perbuatan yang terpuji dengan tujuan supaya menyedari kelemahan, kealpaan dan kesalahan yang dilakukan. Amalan menegur dan menasihati juga boleh berlaku sama ada daripada orang tua kepada orang muda atau sebaliknya, ibu bapa kepada anak-anak atau sebaliknya, suami kepada isteri atau sebaliknya, pemimpin kepada rakyat atau sebaliknya serta majikan kepada pekerja atau sebaliknya.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu nasihat. Kami bertanya: ‘Kepada siapa?’ Baginda bersabda: “Kepada Allah, kepada kitab-Nya, kepada rasul-Nya, kepada pemimpin kaum Muslimin dan kaum Muslimin secara umum.” (Riwayat Muslim)

Sekiranya amalan saling menegur tidak dibudayakan dalam kehidupan, maka tiada tindakan pembetulan yang dilakukan, tiada usaha penambahbaikan, tiada agenda pembaharuan, bahkan kejahilan, kealpaan, kezaliman dan kesesatan dibiarkan berterusan. Kejatuhan beberapa pemerintahan pada zaman silam juga turut berpunca dari keengganan kelompok tertentu untuk berlapang dada dan berjiwa besar dalam mendengar saranan, nasihat dan teguran yang disampaikan oleh para ilmuan yang ikhlas dan jujur. Justeru nasihat dan teguran mestilah dilaksanakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan pendekatan yang berhemah agar dapat diterima dengan hati yang terbuka.

Sesetengah pihak menamakan teguran sebagai kritikan, aduan, pandangan dan pelbagai istilah yang lain. Walau apa pun istilah yang digunakan, teguran mestilah disampaikan berlandaskan sifat yang rasional, tidak dipengaruhi sentimen dan emosi yang berlebihan, bersifat keterlaluan sehingga mendedahkan keaiban dan mempersendakan orang lain, terjerumus dalam perbuatan memfitnah serta dikuasai nafsu amarah yang membinasakan dan merendahkan martabat insan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW dan Nabi bersabda: “Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.”

Walaupun amalan saling menegur dapat memberikan manfaat ke arah kebaikan, namun adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran mestilah sentiasa dipelihara. Teguran haruslah disampaikan dalam keadaan yang tenang bukan dalam keadaan marah dan dipengaruhi emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang kesat dan makian yang mengeruhkan keadaan sekali gus mengakibatkan sesuatu permasalahan bertambah buruk. Tanpa adab dan kaedah yang betul, teguran bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham bahkan akan mencetuskan kemarahan dan perasaan kurang senang sehingga menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan.

Antara kaedah dan adab yang perlu diberikan perhatian dalam menyampaikan teguran adalah seperti memberikan nasihat dan teguran dengan bahasa dan nada yang sopan, bukan dengan nada yang kasar dan angkuh kerana nasihat dan teguran bukanlah bertujuan untuk mengaibkan seseorang. Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

Elakkanlah dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai jika perkara tersebut tidak didedahkan kepada pengetahuan umum, sebaliknya berikanlah nasihat dan teguran ketika bersendirian atau berada di tempat yang tertutup, dengan adab yang cermat bukan dengan perbuatan yang boleh menimbulkan perasaan malu akibat teguran tersebut. Gunakanlah perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang lain serta berhati-hatilah dalam memilih perkataan yang sesuai agar kita tidak membuatkan orang lain merasa terhina dan rendah diri. Sampaikanlah nasihat dan teguran dengan fikiran yang rasional bukan dengan emosi yang tidak terkawal agar mengelakkan orang lain berkecil hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan.

Sampaikanlah nasihat dan teguran sebagaimana kita inginkan diri sendiri ditegur atau dinasihati. Sentiasalah bersangka baik terhadap orang yang menerima nasihat dan teguran kerana mungkin mereka tidak menyedari kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hurujat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Perubahan gaya hidup masyarakat yang dikuasai oleh penggunaan media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram, TikTok dan lain-lain menyediakan ruang interaksi dan komunikasi tanpa batasan yang kadangkala membuatkan kita terleka tentang adab dan akhlak dalam menyampaikan teguran. Sesetengah orang merasa berhak melakukan teguran kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja tanpa berfikir dengan kewarasan dan kematangan, sebaliknya dikuasai nafsu untuk menyerang sehingga tidak lagi berupaya mempertahankan akhlak sebenar seorang Muslim. Oleh itu, marilah kita bermuhasabah agar mengembalikan semula tujuan sebenar sesuatu teguran dilakukan agar memberikan manfaat kepada orang lain bukan mengundang kemudaratan yang menyemarakkan api perbalahan dan permusuhan. Sedangkan permusuhan adalah perbuatan yang dibenci dan ditegah oleh agama sebagaimana hadis daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang paling kuat bermusuhan.” (Riwayat Muslim)

Terimalah nasihat dan teguran yang disampaikan dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan sampaikanlah nasihat dengan adab terbaik agar hubungan persaudaraan sesama insan terpelihara.