• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,295,342 orang
  • Kandungan Blog

Berusaha didik diri reda ketika diuji musibah, bencana

Oleh Dr Abdul Rashid Abdul Aziz 

Belum pun reda serangan virus pembunuh COVID-19 yang melanda, negara dikejutkan pula dengan bencana banjir yang disifatkan antara terburuk abad ini.

Bencana kali ini meragut banyak nyawa dan turut memusnahkan rumah, kenderaan, perkakasan, haiwan ternakan dan banyak lagi. Ia turut mengundang pelbagai penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan, taun, demam kepialu, disenteri (penyakit usus disebabkan bakteria seperti salmonella dan shigella) dan Hepatitis A.

Tanpa kita sedar juga, banjir memberikan kesan buruk terhadap kesihatan emosi dan psikologi mangsa tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak.

Kadangkala, kita gembira dan ada kalanya kita diuji. Kadangkala kita menyangka kehidupan akan tenang dan bahagia hingga ke akhirnya, namun di pertengahannya diuji pelbagai ujian seperti pandemik serta bencana melanda.

Kehilangan orang tersayang, harta benda atau pekerjaan antara detik getir dan pahit yang harus ditelan kebanyakan kita.

Sebagai Muslim, kita harus sentiasa mengingati bahawa ujian ini tidak semestinya pahit, malah kesenangan dan kegembiraan juga ujian buat diri kita yang bergelar hamba Allah.

Kehidupan ini pasti ada pasang surutnya – ada kala di atas dan ada ketika pula di bawah. Perlu diingat setiap daripada kita diuji dengan ujian berbeza sebagai tanda kasih dan sayang daripada yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Realitinya, ujian yang Allah SWT datangkan boleh muncul dalam beberapa keadaan dan bentuk untuk mengangkat darjat bagi mereka yang beramal soleh dan beriman. Malah, ia juga boleh hadir dalam bentuk musibah sebagai salah satu cara pengampunan dosa dan penyucian jiwa.

Selain itu, ujian boleh datang dalam bentuk bala sebagai balasan kemungkaran dan kejahatan dilakukan tangan manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”. (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Merenung ayat ini, maka jelas dunia ini adalah gelanggang ujian buat kita semua. Sebagai hamba kita mesti diuji dengan pelbagai dugaan dan masalah. Justeru, untuk menjadi umat cemerlang, kita harus mendidik diri dengan sifat reda ketika berhadapan ujian.

Reda bagi sesetengah individu mungkin senang dituturkan di bibir, tetapi belum tentu mudah dilaksanakan dan benar-benar melekat di jiwa. Justeru, berusahalah untuk mewujudkan sifat reda dalam diri.

Reda bermaksud sedia menerima sesuatu dengan ikhlas atau rela hati, manakala takdir pula apa jua yang sudah terlebih dahulu ditentukan oleh Allah SWT buat hamba-Nya.

Reda lambang ketaatan dan kecintaan hamba kepada Penciptanya, malah ia juga darjat tertinggi dalam kalangan orang muqarrabin (golongan yang mendekatkan diri dengan Allah).

Manusia yang mempunyai sifat reda sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat serta pemberian dikurniakan Allah SWT. Di samping itu, individu ini mendapat ketenangan serta kemudahan dalam menyelesaikan setiap urusan dalam hidupnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat daripada kebenaran mereka; mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalam selamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah al-Ma’idah, ayat 119).

Dalam berhadapan musibah, tidak dinafikan mustahil bagi jiwa seorang hamba tidak berasa sedih dengan ujian menimpa, apatah lagi ujian dilalui amat memeritkan seperti kehilangan orang tersayang, harta dan pekerjaan serta kesakitan dek wabak penyakit.

Namun, ia bukan alasan dan penghalang untuk kita terus bangkit. Yakinlah dengan kekuasaan Allah yang pasti sedang menyiapkan sesuatu buat hamba-Nya di sebalik kesusahan yang berlaku. Teruskan melangkah dan jangan berhenti mengambil hikmah serta mendidik jiwa dengan sifat reda.

Hakikatnya, kita perlu sentiasa bersyukur atas segala nikmat diperoleh hari ini seperti nikmat kesihatan, makan, hidup berkeluarga, bekerja dan apa jua nikmat yang Allah SWT kurniakan.

Bersama-samalah kita mencari keredaan Allah dengan menambah amal ibadah kepada-Nya serta menjauhi perkara mungkar yang boleh mengundang kemurkaan Allah dan melakukan segala suruhan-Nya.

Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri, melihat kekurangan dan kelompongan yang wujud serta memperbaikinya. Selain itu, sentiasa berfikiran positif dengan mengungkapkan kata positif yang dapat memberikan motivasi pada diri untuk berubah ke arah lebih baik.

Semoga ujian yang datang ini, dapat kita menerimanya dengan hati terbuka dan bersabar serta tabah sehingga kita mendapat sinar di penghujungnya.