• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,251,252 orang
  • Kandungan Blog

Bumi kita semakin tua

Mohd Rizal Azman Rifin

SEJAK akhir-akhir ini, kejadian gempa bumi semakin kerap berlaku. Jika dilihat dari sudut sains, dikatakan dunia ini terdapat kawasan Lingkungan Api Pasifik.

Rasulullah SAW pernah menyebut perkara itu, namun Baginda mengaitkannya dengan peristiwa kiamat.

Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan datang kiamat sehingga banyak terjadi gempa bumi.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kejadian gempa bumi yang berlaku ini bukan hanya perlu dilihat daripada ilmu geografi dan geologi semata-mata, tetapi perlu juga ditinjau dari sudut agama.

Seorang lagi sahabat Baginda SAW, Salamah bin Nuafil As-Sukumi menceritakan: “Ketika kami duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, lalu Baginda memberitahu kepada kami dengan bersabda, ‘Sebelum terjadinya kiamat akan terdapat kematian-kematian yang mengerikan dan sesudahnya akan terjadi tahun-tahun gempa bumi.’” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jelas kepada kita, gempa bumi yang berlaku itu sebenarnya isyarat nyata alam semesta ini sudah tua. Seharusnya, peristiwa itu ‘mencelikkan’ kita dengan ketibaan kiamat yang semakin hampir.

Peringatan Allah SWT itu sepatutnya membuatkan manusia kembali mengukuhkan diri dengan pengisian iman dan takwa.

Fenomena alam itu seharusnya mendidik kita memahami dunia ini tidak selamanya kekal. Sikap ‘mendewakan’ dunia dan melupakan kehidupan akhirat semakin menonjol dalam diri kebanyakan manusia moden hari ini.

Seolah-olah kehadiran manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mengaut serta menikmati apa saja tanpa memikirkan satu masa nanti manusia akan beralih ke alam lain.

Apatah lagi untuk mengajak diri memikirkan betapa dahsyatnya hari kiamat dan untung nasib kita pada hari akhirat.

Kejadian itu juga patut dijadikan iktibar sebagaimana ia ditimpa kepada umat terdahulu lantaran sikap derhaka mereka terhadap apa yang dibawa utusan Allah.

Misalnya, kaum Madyan, ‘Aad dan Thamud pernah hidup dengan penuh gemilang hasil kebijaksanaan mereka menguasai ilmu pengetahuan, tetapi penderhakaan terhadap Allah menyebabkan mereka tidak selamat.

Ketiga-tiga kaum itu bukan calang-calang kerana mereka dikurniakan ilmu pengetahuan dan bakat sehingga mampu mengangkat martabat mereka dalam pelbagai bidang.

Dalam Surah al-Ankabut, ayat 36 dan 37, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan, saudara mereka Syu’aib, maka ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah olehmu Allah, harapkanlah (pahala) hari akhir dan jangan kamu berkeliaran di muka bumi berbuat kerosakan. Maka mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa gempa yang dahsyat dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat-tempat tinggal mereka.”

Itulah akibat buruk apabila manusia menentang Allah dengan melakukan penderhakaan. Namun, setakat mana kita insaf dengan paparan sejarah yang diceritakan sendiri Allah dalam Kitab SuciNya itu?

Selain itu, Allah turut menceritakan pengakhiran hidup golongan manusia yang menentang nabi seperti yang berlaku ke atas Qarun, Firaun dan Hamman.

Ini dikisahkan menerusi ayat 39, Surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan (juga) Karun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (daripada kehancuran itu).”

Dalam ayat ke-49, Surah al-Ankabut juga, Allah menyatakan, “Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menggetar, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”

Peringatan dari kehancuran umat yang kufur

Fadly Samsudin

ALLAH SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya dengan menimpakan banyak kejadian yang menakutkan. Kita semua maklum, bagaimana kaum Nabi Luth menerima azab dahsyat apabila kota yang mereka diami diterbalikkan.

Selain itu, mereka turut mengalami peristiwa cukup dahsyat apabila Allah SWT menurunkan hujan batu daripada tanah liat yang panas serta gegaran yang sangat kuat.

Azab bencana dan penghinaan daripada Allah itu akibat keingkaran serta sifat melampau mereka mengamalkan hubungan homoseksual.

Kisah kaum Nabi Luth itu adalah ‘pelopor’ buat kaum yang melakukan maksiat lalu Allah menghantar azab sehingga melenyapkan mereka dari muka bumi ini.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, ayat 65 bermaksud: Katakanlah: “Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana) dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah, berpuak-puak, dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain.”

“Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan pelbagai cara supaya mereka memahaminya. Katakanlah Allah SWT itu Maha Berkuasa bahawa Allah hantar azab dari sebelah atas.”

Sebab itu, Nabi SAW ketika membaca ayat itu, Baginda berdoa: “Aku mohon perlindungan daripada-Mu ya Allah dengan wajah-Mu yang mulia daripada ditimpa bala dari atas.”

Dalam ayat 65, Surah al-An’am itu juga dinyatakan, bala datang dari bawah kaki kamu. Menurut ulama tafsir, berlaku ‘ditelan’ iaitu dalam keadaan bumi terbelah lalu semuanya akan tertanam di dalamnya, berlaku gempa bumi dan seumpamanya sehingga satu kawasan itu berubah sama sekali.

Bala bencana itu sudah- pun berlaku kepada umat terdahulu. Antara tempat sejarah yang ditelan bumi adalah Fayyum di Mesir iaitu tempat Qarun ditelan bumi.

Selain itu, satu lagi kaum yang dilaknat dan dihancurkan Allah SWT adalah kaum Thamud kerana sifat bongkak, angkuh serta tidak beriman kepada Nabi Saleh AS sebagai nabi utusan Allah.

Kesan sejarah kota yang pernah dihuni kaum Thamud itu digelar Madain Saleh, terletak 400 kilometer dari Madinah.

Sisa kehancuran kota itu boleh dilihat sehingga kini untuk dijadikan iktibar buat manusia.

Keingkaran kaum Thamud menyebabkan Allah SWT menimpakan penduduknya dengan azab angin dan suara yang sangat kuat sehingga memusnahkan peradaban kaum itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing. (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud.” (Surah Hud, ayat 67-68) Kaum Thamud dahulunya tinggal di gunung besar yang mereka pahat menyerupai bangunan besar. Cuma tempat seumpama itu tidak digalakkan pergi.

Bagaimanapun Nabi SAW menyatakan, jika sampai ke tempat yang dilaknat Allah itu, kita perlu menangis. Jika tidak menangis sekalipun, perlu buat-buat menangis.

Baru-baru ini, apabila berlakunya gempa bumi di Indonesia, kita menerima banyak rakaman video yang menunjukkan detik tsunami melanda terutamanya di kawasan Palu, Sulawesi sehingga keadaan ketika itu menjadi huru-hara.

Betapa kuatnya kesan tsunami itu menyebabkan kemusnahan kediaman dan bangunan. Mangsa korban juga ramai walaupun tsunami itu melanda cuma seketika saja.

Adakah kita yang masih selamat ini masih tidak mengambil iktibar apa yang berlaku? Jika bencana itu masih belum memberi rasa keinsafan, ia satu kerugian besar buat diri kita.

Sejak dari dulu hingga sekarang, sudah banyak kejadian gempa bumi berlaku. Peristiwa awal yang pernah berlaku di Madinah pada tahun 654 Hijrah apabila sebuah bukit di al-Harrah al-Syarqiyyah meletup dan mengeluarkan api.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga keluar api dari bumi Hijaz yang akan menerangi tengkuk unta di Busra (Syria).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ahli sejarah menyatakan, peristiwa itu turut diikuti gempa bumi dan gegaran yang menggoncang bangunan sehingga atap Masjid Nabi juga retak dan mengeluarkan bunyi rekahan.

Selain itu, lahar yang keluar turut disusuli asap tebal. Pada malam hari, berlaku letupan dan muncul api yang sangat besar sehingga menerangi seluruh bandar berkenaan.

Peristiwa itu berlanjutan selama tiga bulan sebelum ia berhenti.

Ia adalah salah satu tanda kiamat kecil yang menunjukkan mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Mohd Shahrizal Nasir

Musim tengkujuh kini mula melanda kawasan khususnya di Terengganu dan Kelantan. Fenomena itu sering melanda kawasan khususnya di pantai timur tatkala hujung tahun sekitar November dan Disember.

Hakikatnya, hujan adalah kurniaan Allah SWT yang membuktikan kekuasaan-Nya yang tiada tolok bandingan. Allah SWT Maha Berkuasa menurunkan hujan di atas muka bumi dan memberhentikannya tanpa sebarang paksaan mahupun pertolongan daripada pihak lain.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhlukmakhluk yang telah mati, sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Fussilat, ayat 39)

Allah SWT berkuasa menjadikan tanah yang kering, kemudian subur setelah diturunkan hujan ke atasnya. Malah, tumbuh pula selepas itu tumbuhan di atas tanah kering berkenaan.

Begitulah Allah SWT menzahirkan kekuasaan-Nya. Dengan sebab turunnya hujan, bukan saja tumbuhan mendapat manfaat, tetapi manusia turut merasai nikmat kurniaan Allah SWT itu.

Air dari langit itulah yang menjadi minuman manusia untuk meneruskan kehidupan. Firman Allah SWT bermaksud: “Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur.” (Surah al-Waqi’ah, ayat 68-70)

Sebab itulah nikmat hujan perlu disyukuri. Rasulullah SAW menunjukkan contoh melalui saranan Baginda supaya memperbanyakkan doa ketika hujan. Diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aishah, bahawa Rasulullah SAW apabila melihat awan (yang belum berkumpul sempurna) di salah satu ufuk langit, Baginda meninggalkan apa yang sedang dilakukan, meskipun dalam solat, kemudian Baginda kembali melakukannya lagi (jika hujan sudah selesai).

Ketika awan tadi hilang, Baginda memuji Allah. Namun, jika hujan, Baginda mengucapkan, “Allahumma soyyiban nafi’an” (Ya Allah, jadikankanlah hujan ini sebagai hujan yang bermanfaat).” (Hadis riwayat Ahmad)

Kita dianjurkan berdoa tatkala hujan kerana ketika itu Allah SWT sedang menurunkan rahmat-Nya. Hal itu dinyatakan Al-Imam al-Shafi’i dalam kitabnya Al-Umm dan juga dinukilkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya Al-Mughni mengenai hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah doa yang mustajab pada tiga keadaan, bertemunya dua pasukan (peperangan), tatkala solat dilaksanakan ketika hujan.

“Selain itu, hujan juga pernah dijadikan sebab musnahnya kaum yang dimurkai Allah SWT. Kaum Nabi Hud antara golongan yang dimusnahkan Allah SWT dengan hujan.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: “Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!” (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): “Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur-leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya.” (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah), tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.” (Surah al-Ahqaf, ayat 24-25)

Rasulullah SAW apabila melihat mendung di langit, Baginda berganjak ke depan, ke belakang atau beralih masuk atau keluar dan berubahlah raut wajah Baginda.

Apabila hujan, Baginda mula menenangkan hatinya. Saidatina ‘Aishah sudah memahami jika Baginda melakukan perbuatan seperti itu.

Lalu Nabi SAW bersabda, “Aku tidak mengetahui apa ini, seakan-akan inilah yang terjadi (pada Kaum ‘Aad, kaum Nabi Hud).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW supaya hujan itu tidak membawa mudarat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosak kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-gunung, bukit-bukit, kawasan lembah dan tempat tumbuhnya pokok.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Begitulah perkara yang perlu diambil perhatian mengenai hujan. Hujan adalah rahmat kurniaan Allah SWT namun boleh juga menjadi kemurkaan Allah SWT kepada manusia yang ingkar terhadap-Nya.

Walau bagaimanapun, jangan ada yang merungut kerana hujan. Sentiasa bersangka baik mudah-mudahan hujan itu membawa seribu rahmat dan akan turun bertakung pada bahagian bumi atau tanah yang rendah.

Hujan mencurah tanpa manfaat

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Fenomena perubahan monsun akan memperlihatkan hujan yang lebih lebat berbanding biasa. Hujan yang mencurah ini boleh mengakibatkan banjir kilat dibeberapa tempat yang rendah sama ada di kawasan bandar atau perkampungan. Jabatan Meterologi Malaysia menjelaskan perubahan angin monsun timur laut yang mula bertiup dalam lingkungan bulan November hingga Mac akan menyebabkan penurunan hujan yang lebih banyak di sekitar kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan di kawasan barat Sarawak.

Walaubagaimanapun, ramalan hanyalah sekadar ramalan. Ketentuan Allah SWT melebihi segalanya. Hujan salah satu rahmat Allah SWT yang diturunkan dari langit kepada semua makhluk-Nya di bumi. Penurunan hujan ini datang bersama keberkatan yang akan memberi manfaat yang besar kepada hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Dan Kami telah menurunkan daripada langit air yang berkat.”

Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa air yang berkat itu merujuk kepada air hujan yang terdapat padanya kebaikan yang banyak ke bumi. Dengan air tersebut kehidupan di bumi akan dapat hidup dan membiak dengan sempurna.

Penurunan hujan juga merupakan antara tanda-tanda kiamat yang  dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW. Gambaran ini merujuk kepada curahan hujan yang lebat dengan sedikit tumbuh-tumbuhan yang hidup.

Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga langit menurunkan hujan yang tidak terlindung daripadanya rumah-rumah yang diperbuat daripada tanah dan tidak ada yang terlindung daripadanya melainkan rumah-rumah yang diperbuat daripada  bulu atau kulit haiwan (khemah).”

Hadis ini memberi gambaran kepada manusia bahawa hujan yang lebat mencurah kebumi tidak memberi manfaat kepada manusia sehingga tidak menumbuhkan tanaman dan pepohon kayu. Dalam masa sama, curahan air dari langit ini membawa kerosakan kepada rumah yang kukuh dibina pada hari ini.

Hal ini dapat dilihat di kawasan berdekatan apabila hujan turun dengan lebat yang menatijahkan kesan buruk seperti banjir kilat, limpahan air di kawasan peparitan, air lumpur dari kesan pembangunan dan juga kepala air yang memusnahkan.

Dalam hadis lain, daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu masa kepada manusia, di mana langit menurunkan hujan, akan tetapi bumi tidak menumbuhkan atau mengeluarkan hasil.”

Hujan apabila turun ke bumi akan memberi asbab kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan membiak dengan subur. Walau bagaimanapun, kekuasaan Allah SWT mampu untuk menyekat peranan hujan dan bumi daripada menumbuhkan sebarang tumbuh-tumbuhan.

Perkara ini juga peringatan kepada manusia apabila tidak menjaga bumi daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri apabila sewenang-wenangnya menjadikan hamparan bumi tertutup daripada ditembusi oleh air disebabkan pembangunan yang tidak terancang.

Akibatknya, hujan yang turun tidak sampai ke dalam tanah dan tidak pula dapat mengalir ke sungai-sungai disebabkan pembangunan yang tidak terancang menutup aliran air dari mengalir dengan sempurna. Dalam masa sama, hutan belantara yang digondolkan secara berleluasa menyebabkan pusat tadahan hujan semula jadi tidak dapat berfungsi dengan sempurna menyebabkan banjir berlaku.

Allah SWT berfirman maksudnya:  “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Peringatan Allah SWT turut meliputi kehidupan yang terjejas disebabkan hilangnya keberkatan dengan hujan yang turun. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan hilang tempat tinggal sehingga haiwan-haiwan liar mula berhijrah ke kawasan-kawasan penempatan manusia. Mereka mula terkesan dengan situasi kehidupan yang mengancam kehidupan dan habitat mereka.

Pada ketika ini, bukan air yang menjadi penghalang bagi mereka namun ketiadaan tumbuh-tumbuhan yang hidup kesan daripada bumi yang tidak menumbuhkan apa-apa menjadikan mereka mencari sumber yang berhampiran manusia.

Baginda Nabi SAW bersabda menjelaskan bahawa hakikat kemarau turut melibatkan hujan yang mencurah, tetapi bumi tidak mengeluarkan hasil.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Kemarau itu (pada hakikatnya) bukanlah bermakna kamu tidak menerima hujan, akan tetapi kemarau itu adalah kamu menerima hujan dan terus menerima hujan, akan tetapi bumi tidak mengeluarkan atau menumbuhkan sebarang hasil.”

Justeru itu, hujan yang terus mencurah dengan lebat tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlakunya banjir yang besar. Kesannya banyak kediaman yang rosak, haiwan mati, tumbuh-tumbuhan rosak sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.

Baginda Nabi SAW menyarankan kepada manusia, apabila hujan turun mencurah, maka berdoalah kepada Allah SWT agar dijadikan hujan tersebut sebagai hujan yang bermanfaat kepada kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah RA beliau berkata maksudnya:  “Adalah Rasulullah SAW apabila hujan baginda akan membaca: Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.”

Manakala apabila hujan berhenti, disunatkan pula untuk berdoa sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud:  “Kami dilimpahkan hujan dengan fadilat dan rahmat daripada Allah.”

Oleh yang demikian, hujan adalah rahmat Allah SWT kepada manusia dan Allah berkuasa untuk menarik balik rahmat tersebut dan menjadikannya musibah kepada manusia disebabkan kerakusan manusia melakukan kerosakan di atas muka bumi.

Tarikh buka Pondok Pasir Tumboh belum diketahui

Rahmat boleh bertukar jadi musibah

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Hujan adalah satu daripada rahmat Allah SWT yang diturunkan dari langit kepada semua makhluk-Nya di bumi. Penurunan hujan ini datang bersama keberkatan yang akan memberi manfaat yang besar kepada hamba-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami menurunkan daripada langit air yang berkat.” Surah Qaf ayat 9

Ulama antaranya Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan air yang berkat itu merujuk kepada air hujan yang ada padanya kebaikan yang banyak kepada bumi. Dengan air itu kehidupan di bumi akan dapat hidup dan membiak dengan sempurna.

Umum mengetahui, hujan mempunyai musim yang tertentu berdasarkan perubahan angin di sesuatu kawasan dan tempat. Di Malaysia, Monsun Timur laut bertiup dari November hingga Mac yang membawa hujan lebat di kawasan pantai timur Semenanjung dan di kawasan barat Sarawak seperti dikhabarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. Disebabkan situasi itu, curahan hujan di kawasan berkenaan mengalami peningkatan yang ketara sehingga menyebabkan berlaku banjir di kawasan yang rendah.

Penurunan hujan juga antara tanda kiamat yang dinyatakan Nabi SAW. Gambaran ini merujuk kepada curahan hujan yang lebat dengan sedikit tumbuh-tumbuhan yang hidup. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan datang hari kiamat sehingga langit menurunkan hujan yang tidak terlindung daripadanya rumah yang diperbuat daripada tanah dan tidak ada yang terlindung daripadanya melainkan rumah yang diperbuat daripada bulu/kulit haiwan (khemah).” Hadis Riwayat Ahmad, hadis no 7510

Hadis ini memberi gambaran kepada manusia bahawa hujan yang lebat mencurah kebumi tak memberi manfaat kepada mereka sehingga tidak menumbuhkan tanaman dan pepohon kayu. Pada masa sama, curahan air dari langit membawa kerosakan kepada rumah yang kukuh dibina pada hari ini.

Dalam hadis lain, daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu masa kepada manusia apabila langit menurunkan hujan, tetapi bumi tidak menumbuhkan atau mengeluarkan hasil.” Hadis Riwayat al-Hakim, hadis no 8668

Hujan apabila turun ke bumi memberi asbab kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan membiak dengan subur. Bagaimanapun, kekuasaan Allah SWT mampu menyekat peranan hujan dan bumi daripada menumbuhkan sebarang tumbuh-tumbuhan.

Perkara ini juga adalah peringatan kepada manusia apabila tidak menjaga bumi daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia itu sendiri apabila sewenang-wenangnya menjadikan hamparan bumi tertutup daripada ditembusi air disebabkan pembangunan tidak terancang.

Akibatnya, hujan yang turun tak sampai ke dalam tanah dan tidak pula dapat mengalir ke sungai disebabkan pembangunan tidak terancang menutup aliran air daripada mengalir dengan sempurna. Pada masa sama, hutan belantara yang digondolkan secara berleluasa menyebabkan pusat tadahan hujan semula jadi tidak dapat berfungsi dengan sempurna mengakibatkan banjir.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak rasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah ar-Rum ayat 41

Peringatan Allah SWT turut meliputi kehidupan yang terjejas disebabkan hilangnya keberkatan dengan hujan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan hilang tempat tinggal sehingga haiwan liar mula berhijrah ke kawasan penempatan manusia. Mereka mula terkesan dengan situasi kehidupan yang mengancam kehidupan dan habitat mereka.

Pada ketika ini, bukan air menjadi penghalang mereka, namun ketiadaan tumbuh-tumbuhan yang hidup kesan daripada bumi tidak menumbuhkan apa-apa menjadikan mereka mencari sumber berhampiran manusia.

Baginda Nabi SAW bersabda menjelaskan bahawa hakikat kemarau turut membabitkan hujan yang mencurah, tetapi bumi tidak mengeluarkan hasil. Daripada Abu Hurairah RA, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kemarau itu (pada hakikatnya) bukanlah bermakna kamu tidak menerima hujan, tetapi kemarau itu adalah kamu menerima hujan dan terus menerima hujan, namun bumi tidak mengeluarkan atau menumbuhkan sebarang hasil.” Hadis Riwayat Muslim, hadis no 2905

Oleh itu, hujan lebat yang terus mencurah tidak memberi manfaat kepada kehidupan, bahkan memberi ujian kepada manusia dan kehidupan lain apabila berlaku banjir yang besar. Kesannya banyak kediaman rosak, haiwan mati dan tumbuh-tumbuhan musnah sehingga menyebabkan kemalangan jiwa.

Baginda Nabi SAW menyarankan kepada manusia, apabila hujan mencurah, berdoalah kepada Allah SWT agar dijadikannya sebagai hujan yang bermanfaat kepada kehidupan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mukminin Aisyah RA beliau berkata maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila hujan baginda akan membaca: Ya Allah jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat. Hadis Riwayat al-Nasa’ie, hadis no 1523

Apabila hujan berhenti, disunatkan pula untuk berdoa seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Kami dilimpahkan hujan dengan fadilat dan rahmat daripada Allah.” Hadis Riwayat Muslim, hadis no 71

Oleh yang demikian, hujan adalah rahmat Allah SWT kepada manusia. Allah berkuasa untuk menarik balik rahmat itu dan menjadikannya musibah kepada manusia disebabkan kerakusannya melakukan kerosakan di atas muka bumi.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada semua mangsa banjir di pantai timur agar tabah menghadapi ujian yang berat ini. Setiap ujian yang diturunkan itu bertujuan melihat tahap ketakwaan dan keimanan hamba- Nya. Allah SWT berfirman: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat).” Surah al-Mulk ayat 2

Mengharap husnul khatimah

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Musibah banjir yang melanda negara minggu ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada seluruh anggota masyarakat. Banjir yang datang secara mengejut selepas hujan lebat dalam tempoh yang lama menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke tempat rendah.

Dalam keadaan yang tidak dijangka ini, ramai yang terkandas di kediaman dan ada turut berada dalam kenderaan di jalan raya.

Akhirnya selepas beberapa hari, air mulai surut dan menampakkan kesan yang sangat menyedihkan. Namun, di sebalik kesan banjir itu, lebih menyedihkan adalah angka korban banjir semakin meningkat.

Kematian di sebabkan lemas ini satu kematian yang baik. Ini berdasarkan hadis daripada baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh dari bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Selain kematian tenggelam atau lemas ini, ada beberapa kematian lain digambarkan sebagai kematian yang baik. Kematian yang baik ini impian bagi semua manusia khususnya Muslim. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji serta menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” Surah al-Mulk ayat 2

Maka apabila dilihat kepada tujuan hidup manusia, pasti kita sedar kehidupan manusia hanyalah persinggahan sementara bagi menanam benih untuk dituai di akhirat kelak.

Di antara kematian baik sebagaimana sabda Nabi SAW adalah melafazkan syahadat sebelum meninggal dunia. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: “Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.”

Kita sering mendengar, jika seseorang itu meninggal pada Khamis atau Jumaat, kematian mereka itu adalah baik. Adalah benar? Terdapat hadis daripada Baginda Nabi SAW bermaksud: “Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur.” Hadis Riwayat at-Tirmizi

Selain itu, digambarkan juga keadaan seseorang apabila berada dalam saat kematian dengan peluh jernih mulai keluar pada dahi. Gambaran ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tanda kematian bagi seorang Mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.” Hadis Riwayat at-Tirmizi

Situasi ini berlaku kepada mereka yang sebenar-benar mentaati perintah Allah SWT sama ada dalam keadaan terang atau tersembunyi. Mereka beramal soleh dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala bentuk larangan-Nya. Manusia khususnya berada pada akhir zaman ini akan banyak ‘dihidangkan’ dengan cabaran kehidupan yang turut melibatkan perkembangan teknologi. Hasilnya, ia akan menjadi sebahagian daripada ujian besar bagi mempersiapkan manusia untuk bertemu Allah SWT kelak.

Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Jika Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hamba-Nya maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Sahabat RAnhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufik kepadanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.” Hadis Riwayat at-Tirmizi

Pada ketika ini, apabila Allah menggerakkan hati untuk kita membantu mangsa banjir, hulurkanlah bantuan sama ada melalui tenaga, kewangan, makanan, pakaian dan lainnya. Selain itu, bantuan yang paling besar adalah sentiasa mendoakan kesejahteraan buat mereka.

Sekiranya seseorang itu meninggal dalam keadaan membantu orang lain, mempermudahkan urusan orang lain, bersedekah bagi memberi kesejahteraan orang lain, ia termasuk di dalam kematian yang baik. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan Allah SWT dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan Allah SWT dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia maka dia akan masuk syurga.” Hadis Riwayat Ahmad

Kematian akan datang pada saat dan ketika yang dijanjikan oleh Allah SWT. Tidak akan cepat dan lambat walaupun sesaat.

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terperdaya.” Surah Ali Imran ayat 185

Nabi SAW menganjurkan kepada kita untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar dimatikan dalam keadaan yang baik. Baginda bersabda maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan ‘husnul khatimah’ dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan ‘su’ul khatimah’.”

Oleh itu, sebagai manusia yang pasti akan mati, bersedialah untuk menghadapi saat berkenaan. Mereka yang muda jangan yakin mampu sampai ke usia tua dan yang tua jangan yakin esok masih ada kerana itulah hakikat kiamat kecil manusia

Usah bertangguh taubat

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Matahari terbit dari timur dan terbenam di barat adalah kebiasaan fenomena yang dilihat oleh semua manusia pada setiap hari. Terbitnya matahari dari timur menandakan bermulanya ibadah solat iaitu Subuh diikuti solat Zuhur apabila gelincir matahari ke arah barat. Kemudian Asar dan solat Maghrib apabila terbenamnya matahari di barat. Solat Isyak pula apabila hilangnya cahaya matahari dari langit bumi.

Namun di sebalik fenomena alam ciptaan Allah SWT dengan bumi mengelilingi matahari mengikut peredaran tertentu, Nabi SAW telah memberi peringatan yang besar buat umat Baginda mengenai pertukaran arah terbitnya matahari apabila menjelang kiamat kelak. Tanda ini merujuk kepada tanda besar kiamat apabila matahari akan terbit dari arah barat iaitu tempat terbenamnya ketika ini. 

Persoalannya, kenapa perlu untuk mengetahui mengenai situasi matahari terbit dari barat sedangkan kiamatnya tidak diketahui bila akan berlaku? Dalam hal ini, ada perkara besar yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Pada hari datangnya sebahagian tanda-tanda Tuhanmu tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya sendiri yang belum beriman itu atau ia belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” (Surah al-An’am ayat 158)

Ath-Thabari dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan bahawa tanda-tanda dalam ayat merujuk kepada terbitnya matahari dari arah barat. 

Pada saat itu, tidak berguna lagi iman seseorang itu setelah matahari terbit dari barat. Tiada berguna lagi taubat yang dipanjatkan kepada Allah SWT. Maka, peringatan besar ini bertujuan supaya umat akhir zaman tidak leka dengan dunia dengan bertangguh untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Jika disoroti, banyak hadis yang menjelaskan perihal matahari terbit dari barat. Ini mengambarkan mengenai pentingnya peringatan Baginda kepada umatnya. Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya: “Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat, maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.”  (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW berpesan supaya bersegera melakukan amal soleh sebelum tibanya enam tanda kiamat dan salah satunya adalah terbit matahari dari barat. Dari Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Bersegeralah melakukan amal soleh sebelum datangnya enam perkara iaitu sebelum terbitnya matahari dari barat…” (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila sudah terbit dari barat, maka tertutup pintu-pintu untuk beriman kepada Allah SWT. Bagi mereka yang belum bertaubat sebelum matahari keluar dari barat, perkara yang sama berlaku kepada mereka. Taubat mereka pada ketika itu sudah tidak diterima lagi oleh Allah SWT. Situasi ini akan dilihat oleh manusia yang hidup pada zaman terbabit sehingga mereka mula untuk mengakui dan membenarkan Allah SWT yang tiada manfaat bagi mereka pada ketika itu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tatkala mereka melihat azab Kami, mereka berkata, ‘Kami hanya beriman kepada Allah saja dan kami kafir kepada sembahan-sembahan yang telah kami persekutukan dengan Allah. Maka iman mereka tiada berguna bagi mereka tatkala mereka telah melihat seksa Kami. Itulah sunnah Allah yang telah berlaku terhadap hamba-hamba-Nya. Dan pada waktu itu binasalah orang-orang kafir.”

Al-Qurtubi menjelaskan bahawa ulama berkata: “Sesungguhnya iman seseorang itu tidak berguna bagi dirinya (yang belum beriman sebelum itu) ketika matahari terbit dari barat. Ini disebabkan perasaan terlalu takut menusuk hati mereka sehingga mematikan segala nafsu syahwat yang bermaharaja dalam diri. Pada ketika ini tubuh menjadi longlai dan keyakinan kiamat telah dekat bagaikan orang yang sedang menghadapi sakaratul maut, tiada lagi keinginan untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Maka taubat mereka pada saat ini sudah tidak diterima lagi oleh Allah seperti taubat orang yang sedang menghadapi sakaratul maut.”

Ibnu Katsir berkata: “Apabila orang kafir mula beriman pada waktu itu, maka tidak diterima imannya. Adapun orang yang telah beriman sebelum itu dan beramal soleh, makai a memperoleh kebaikan yang besar sekali. Tetapi, jika ia suka berbuat dosa dan baru bertaubat pada waktu itu, maka taubatnya tidak diterima.”

Sabda Nabi SAW maksudnya: “Tugas hijrah itu tidak terputus selama taubat masih diterima. Dan taubat itu masih diterima sehingga matahari mula terbit dari barat. Apabila matahari terbit dari barat, maka dikuncilah setiap hati dengan apa yang ada di dalamnya. Dan cukuplah bagi manusia apa yang telah diamalkannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari, hingga matahari terbit dari barat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis terbabit, Rasulullah SAW menetapkan batas terakhir diterimanya taubat seseorang itu adalah sebelum matahari terbit dari barat. Ibnu Hajar dalam Fathul bari menjelaskan banyak hadis yang menunjukkan pintu taubat tertutup saat matahari terbit dari barat sehingga datangnya hari kiamat.

Pintu taubat kepada Allah terbuka luas buat umat manusia sehingga pada saat nyawa berada pada halqum atau pada saat matahari terbit dari barat. Saat untuk bertaubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana kematian semakin mendekati manusia setiap detik. Mungkin kita tidak akan sempat untuk diperlihatkan dengan matahari terbit dari barat, namun saat kematian itu adalah kiamat kecil manusia. Justeru, sentiasalah mempersiapkan diri dengan bertaubat kepada Allah SWT supaya kematian yang didambakan nanti adalah baik.

Kematian kiamat kecil manusia

Dr  Khairul Asyraf Mohd Nathir

Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Matinya manusia maka terputuslah hubungan antara jasad dan roh dan merupakan detik permulaan manusia menuju ke negeri akhirat yang merupakan garis permulaan bagi satu perjalanan yang sangat panjang.

Alam barzakh merupakan alam yang berbeza dengan kehidupan di alam dunia yang serba indah. Kematian dan masuknya manusia ke alam barzakh adalah ketentuan Allah SWT yang pasti akan terjadi.

Manusia tidak boleh lari dari kematian. Masa, tempat, keadaan kematian telah ditentukan dan hanya menunggu sahaja tanpa diketahui.

Allah SWT berfirman, maksudnya:  “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran ayat 185)

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW memegang bahuku lalu berkata: ‘Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau perantau.

‘Kemudian Ibnu Umar berkata: Sekiranya kamu berada pada waktu petang, kamu jangan mengharap hidup sampai pagi hari. Sekiranya kamu berada pada waktu pagi, kamu jangan menantikan waktu petang. Gunakan waktu sihatmu sebagai bekalan pada masa sakitmu dan masa hidupmu untuk kematianmu.'” (Hadis riwayat Bukhari)

Ulama seperti Dr  Sulaiman al-Ashqar dan Ibnu Kathir menjelaskan bahawa kematian itu adalah kiamat kecil bagi manusia. Apabila meninggalnya seseoang manusia itu, maka kiamat telah tiba buat dirinya yang sepi dari kekalutan dunia di alam barzakh.

Aisyah meriwayatkan: Beberapa individu Arab Badwi datang kepada Nabi Muhammad bagi bertanya perihal Hari Kiamat. Kemudian Baginda melihat individu terkecil di antara mereka dan berkata: “Sekiranya dia ini panjang umur, dia tidak sampai hari tuanya sehingga kiamat terjadi kepada kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Ibnu Kathir menjelaskan bahawa apabila berakhirnya umur seseorang itu, tiba saatnya mereka masuk ke alam akhirat yang nyata berbeza dengan kehidupan dunia.

Kiamat kecil juga disebut sebagai kebangkitan pertama iaitu tempat kembali yang pertama (alam barzakh). Kebangkitan pertama itu adalah perpisahan roh dengan jasad serta kembali ke tempat pembalasan pertama. Kiamat besar pula adalah binasanya seluruh alam ini serta makhluk di dalamnya.

Apabila Sayyidina Uthman berdiri di perkuburan, beliau menangis sehingga basah janggutnya. Lalu ada yang bertanya kepadanya: “Kenapa ketika disebut syurga kamu tidak menangis kerinduan, ketika disebut neraka kamu tidak menangis ketakutan, tetapi kamu menangis pula kerana takutkan kubur”. Beliau menjawab:  “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya kubur itu ialah fasa pertama dari fasa-fasa akhirat. Sekiranya seseorang selamat dari (keburukan) di kubur, maka keadaan selepasnya akan lebih mudah. Sekiranya dia tidak selamat, maka keadaan selepasnya lebih dahsyat.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Allah sudah menentukan ajal sejak azali lagi. Apabila sampai ajalnya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Malaikat Izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa akan menjalankan tugasnya tanpa mengira masa, tempat dan keadaan seseorang tersebut.

Apabila nyawa berada di kerongkong, maka segala pintu taubat telah tertutup dan segala penyesalan tidak lagi berguna. Imam al-Ghazali berkata:  “Kematian itu datang tanpa meminta izin, tanpa mengetuk pintu sebelum memasukinya. Ia datang secara tiba-tiba dan amat mengejutkan.”

Allah SWT berfirman, maksudnya:  “Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah ‘sakaratulmaut’ membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” (Surah Qaff ayat 19)

Maka bagi mengahadapi kiamat kecil ini manusia perlu untuk sentiasa perbanyakkan mengingati mati. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Perbanyakkanlah mengingati kematian. Seseorang hamba yang banyak mengingatinya, maka Allah akan menghidupkan hatinya dan akan menghilangkan baginya rasa sakit kematian itu.” (Hadis Riwayat ad-Dailami)

Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Orang yang paling beruntung adalah yang dapat mengawal hawa nafsunya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian. Sedangkan orang yang rugi adalah yang sentiasa mengikut hawa nafsunya dan banyak berangan-angan terhadap Allah SWT.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Abu Ubaid berkata: “Maksudnya adalah mengawal diri sehingga mahu beribadah kepada Allah SWT serta melakukan amal soleh sebagai bekalan setelah mati dan ketika mengadap Allah SWT, tidak mensia-siakan usia yang diberi Allah serta mengingati dan sentiasa patuh kepada Allah dalam pelbagai situasi dan keadaan. Semua perkara itu merupakan bekalan di akhirat.

Orang yang rugi adalah yang sedikit melakukan amal perbuatan, amat kurang ketaatannya kepada Allah, sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-agan agar Allah mengampuni dosanya. Orang seperti ini termasuk golongan yang lalai, padahal Allah SWT telah memperingatkan mereka agar melakukan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Al-Hasan al-Basri berkata: “Orang yang menjadikan angan-angan sebagai Tuhannya tidak akan membawa kebaikan ketika meninggal dunia. Jika salah seorang daripada mereka berkata: “Aku sudah berbaik sangka terhadap Allah SWT,” maka itu adalah dusta. Jika memang dia sudah berbaik sangka terhadap Allah SWT tentu dia sentiasa melakukan amal soleh.”

Allah SWT berfirman:  “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk ayat 2)

Justeru itu, kiamat kecil bagi manusia akan sentiasa mengejar kita. Tidak kira sebesar mana pangkat di dunia, sebanyak mana harta yang ada, mati itu pasti. Yang nyata dibawa hanyalah lapisan demi lapisan kain kapan dan kapas yang menutupi rongga. Namun, jangan dilupa amal soleh, bekalan tidak ternilai dari dunia ke akhirat kekal abadi.

Antara bodek dan ikhlas

Mohd Shahrizal Nasir

Sesungguhnya setiap puja dan puji itu selayaknya hanya untuk Allah SWT Yang Maha Esa serta tiada bagi-Nya sebarang kekurangan dan kelemahan. Firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah ayat kedua yang bermaksud: “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Sebagai seorang Muslim, kita dianjurkan sentiasa mengingati Allah SWT melalui zikir. Antara yang kerap kita amalkan ialah bacaan zikir selepas solat fardu sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim, iaitu bacaan al-hamdulillah yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah” dibaca sebanyak 33 kali. Inilah antara bukti jelas betapa kita digalakkan untuk sentiasa mengingati Allah SWT serta mengakui bahawa pujian yang hakiki selayaknya hanya ditujukan kepada-Nya.

Menjadi tabiat manusia biasa sukakan pujian kerana ia merupakan ungkapan yang sedap untuk didengar oleh telinga dan dirasai dalam jiwa. Malah, ada dalam kalangan manusia yang mencari-cari sumber untuk mendapatkan pujian daripada manusia lain. Dalam menangani hal ini, setiap daripada kita perlu berwaspada atas setiap perbuatan yang dilakukan sama ada dalam memberi pujian mahupun menerima pujian.

Bagi orang yang memberi pujian, perlu difahami bahawa setiap pujian yang diberikan itu mestilah mengikut kadarnya. Jangan kita memuji seseorang secara berlebihan, tambahan pula jika ada yang memberi pujian disebabkan tujuan tertentu seperti kerana ingin mengambil hati orang yang dipuji. Lantas pujian pun dicipta dan diungkapkan secara melampau dan keterlaluan. Sesungguhnya perbuatan ini dilarang oleh Islam.

“Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk menabur tanah ke wajah-wajah orang yang berlebihan dalam memuji.” (Hadis riwayat Muslim)

Namun, sekiranya pujian yang ingin diberikan itu pada kadar yang sepatutnya dan dengan tujuan kebaikan seperti pujian ketua kepada anak buahnya dengan tujuan meningkatkan motivasi dan mutu kerja orang lain, maka ia dibenarkan dan tidak termasuk dalam kategori pujian yang dilarang.

Al-Khattabi dalam Ma’alim as-Sunan menjelaskan hal ini dengan berkata: “Sesiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, maka dia tidak termasuk dalam kategori ‘maddah’ iaitu (gelaran) pemuji terkeji.”

Rasulullah SAW pernah menyatakan bahaya menjadi orang yang suka memberi pujian secara berlebihan. Ada seseorang berada dekat dengan Rasulullah SAW. Lalu ada orang lain yang memuji-muji orang tersebut, maka baginda SAW bersabda: “Celakalah engkau! Engkau telah menebas leher kawanmu.” (Nabi mengulang kata-kata tersebut berulang kali). Jika kamu mahu memuji dan hal itu harus untuk dipuji, maka katakanlah: “Aku sangka (aku kira) dia demikian dan demikian,” jika dia menyangka kawannya memang seperti itu, “Dan yang mengetahui pasti adalah Allah dan aku tidak mahu memastikan (keadaan) seseorang di sisi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Untuk orang yang menerima pujian pula, adalah amat baik sekiranya setiap pujian yang diterima itu dikembalikan kepada Allah SWT iaitu yang selayaknya menerima puja dan puji. Ucapkanlah al-hamdulillah atas setiap pujian yang diterima. Malah kita dianjurkan untuk memohon kepada Allah SWT agar pujian yang diterima itu tidak menjadikan kita insan yang jauh daripada-Nya.

Rasulullah SAW mengajar satu doa kepada sahabat bagi memelihara diri daripada kesan buruk pujian: “Ya Allah, janganlah engkau menghukum aku kerana apa yang disebut (dipuji) oleh mereka dan ampuni aku  berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam amat mementingkan hubungan baik sesama manusia. Justeru, dalam hal memberi dan menerima pujian, setiap orang Islam perlu berhati-hati dan bijak menanganinya. Jika ia tidak dapat ditangani mengikut cara-cara yang ditetapkan, maka ia akan menyemarakkan perkara buruk (mazmumah) dalam diri individu dan masyarakat.

Pujian berlebihan akan menyebabkan diri yang menerima pujian menjadi bangga diri dan merasakan dirinya sahaja yang terbaik. Allah SWT berfirman dalam al-Quran Yang maksudnya: “Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Selain itu, pujian boleh mencetuskan fenomena menunjuk-nunjuk dalam melakukan kebaikan dengan harapan ingin mendapat pujian daripada manusia. Sufyan bin ‘Uyainah pernah berkata: “Para ulama menyatakan bahawa pujian orang tidak akan menipu orang yang tahu diri (tahu bahawa dirinya tidak sebaik itu dan banyak aib serta dosa).”

Pujian juga boleh mencacatkan nilai ikhlas kepada Allah SWT dalam setiap amal perbuatan baik yang dilaksanakan. Orang yang ikhlas dalam melakukan amal ibadah termasuk dalam kalangan orang yang bertakwa. Golongan muttaqin (bertakwa) melakukan amal ibadah hanya untuk Allah SWT, bukannya untuk mendapat pujian daripada manusia. Amalan golongan ini akan diterima oleh Allah SWT sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran: “…Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang bertakwa.” (Surah al-Ma’idah, ayat  27)

Pujian melampau juga boleh mencipta budaya ‘bodek’ dalam sesebuah organisasi serta menyemarakkan sifat iri hati dalam kalangan mereka yang tidak mendapat pujian. Perbuatan ‘bodek’ mencerminkan sifat golongan munafik yang berpura-pura memperlihatkan kebaikan sebaliknya mereka merupakan golongan pendusta.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah.” Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” (Surah al-Munafiqun, ayat 1)

Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadi insan yang memberi dan menerima pujian pada kadarnya serta dijauhkan daripada menjadi seorang yang dahagakan pujian daripada sesama manusia. Lebih penting lagi, marilah kita berusaha agar tidak termasuk dalam kalangan orang yang suka memuji diri sendiri.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (wahai Muhammad) kepada golongan yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikit pun.” (Surah an-Nisa’, ayat 49)