• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,251,262 orang
  • Kandungan Blog

Contohi kepemimpinan Dzulqarnain

Mohd Shahrizal Nasir

Kita dianjurkan untuk membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat. Anjuran ini membuktikan bahawa Surah al-Kahfi adalah antara surah yang perlu dijadikan bacaan rutin paling kurang seminggu sekali.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi di hari Jumaat, dia akan diterangi dengan cahaya di antara dua Jumaat.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Selain membaca Surah al-Kahfi bagi menyahut saranan Rasulullah SAW, perlu dihayati juga mengenai kandungan surah terbabit. Surah al-Kahfi mengandungi banyak pengajaran khususnya membabitkan panduan mengurus kehidupan.

Tidak ada seorang pun yang boleh mengatakan dirinya terselamat daripada ujian kehidupan. Setiap orang akan berdepan pelbagai jenis ujian hidup.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Kahfi yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 7)

Kehidupan dunia sememangnya dipenuhi dengan perhiasan yang boleh melalaikan. Dengan perhiasan itu, manusia akan diuji kerana Allah SWT ingin mengetahui siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang lebih baik amalannya.

Perhiasan dunia meliputi harta, anak, wanita, kedudukan dan sebagainya. Jawatan yang dipegang sebagai pemimpin juga adalah salah satu bentuk perhiasan dunia yang menguji tahap keimanan seseorang insan. Ada orang boleh meraih banyak pahala daripada kedudukannya sebagai pemimpin, begitu juga sebaliknya. Orang yang gagal mengurus jawatan yang disandangnya bakal menerima azab seksaan atas perbuatan buruk yang dilakukannya.

Surah al-Kahfi mengandungi sebuah kisah benar yang membabitkan hal berkaitan pemimpin dan kepemimpinan. Kisah yang termaktub pada ayat akhir daripada Surah al-Kahfi perlu dijadikan renungan supaya manusia khususnya yang memiliki tanggungjawab kepemimpinan dapat mengambil iktibar daripadanya.

Kisah ini membabitkan seorang pemimpin yang dikenali sebagai Dzulqarnain. Namanya disebut secara jelas dalam Surah al-Kahfi.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Dzulqarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu daripada Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 83)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa Dzulqarnain adalah pemimpin yang hidup sekitar zaman Nabi Ibrahim AS. Pandangan ini juga dinyatakan oleh Ibn Kathir yang menyebut bahawa Dzulqarnain beriman dengan Allah SWT atas dakwah Nabi Ibrahim AS dan dia melakukan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah bersama Nabi Ibrahim serta anaknya, Nabi Ismail AS.

Fakta yang jelas ialah Dzulqarnain memang benar-benar seorang insan yang pernah wujud di atas dunia dan memerintah dari Timur dan Barat. Dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, dinukilkan daripada Abu al-Tufail bahawa Saidina ‘Ali pernah menyebut: “Dia (Dzulqarnain) bukanlah seorang nabi dan bukan juga seorang rasul, bukan juga malaikat, sebaliknya dia merupakan seorang hamba Allah yang soleh.” Dalam kitab yang sama juga dinukilkan ungkapan Ibn ‘Abbas yang menyatakan: “Dzulqarnain merupakan seorang pemerintah yang soleh.”

Dzulqarnain menyeru rakyat di bawah pemerintahannya supaya mentauhidkan Allah SWT. Pemerintahannya tunduk kepada ketetapan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang selayaknya disembah dan ditaati. Dzulqarnain memberi peringatan kepada rakyatnya bahawa perbuatan kufur terhadap Allah SWT akan menyebabkan diri mendapat seksaan di hari akhirat kelak.

Hal ini dinyatakan dalam al-Quran yang maksudnya: “Dia (Dzulqarnain) berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.” (Surah al-Kahfi, ayat 87)

Pemimpin daripada kalangan umat Islam perlu mencontohi tindakan Dzulqarnain yang menyeru rakyatnya mentauhidkan Allah SWT. Dzulqarnain bukan sahaja menyatakan kesan buruk daripada tindakan kufur terhadap Allah, malah dia turut menjelaskan nikmat dan kebahagiaan yang akan dikecapi disebabkan keimanan kepada Allah.

Allah SWT merakamkan ucapan Dzulqarnain yang berdakwah kepada rakyatnya: “Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.” (Surah al-Kahfi, ayat 88)

Dzulqarnain menunjukkan kegigihannya berusaha menyelamatkan pegangan rakyatnya dengan pergi menemui mereka. Seorang pemimpin tidak hanya menikmati kedudukannya dan membiarkan orang di bawah pemerintahannya hidup tanpa pedoman. Tindakan Dzulqarnain ini wajar diteladani setiap pemimpin Muslim. Pergi temui orang yang berada di bawah kepemimpinan kerana tanggungjawab pemimpin ialah mendekati orang ramai dan menghulurkan panduan serta bantuan.

Perbuatan Dzulqarnain yang menemui rakyatnya dinyatakan oleh Allah beberapa kali menerusi firman-Nya: “Lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).” (Surah al-Kahfi, ayat 85)

Begitu juga firman-Nya yang bermaksud: “Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.” (Surah al-Kahfi, ayat 89)

Perjalanan Dzulqarnain ke Barat dan ke Timur bertujuan untuk bertemu rakyatnya dan berusaha memberi peringatan kepada mereka mengenai keperluan mentaati Allah SWT. Selain itu, Dzulqarnain juga diperlihatkan sebagai pemimpin yang mendengar rintihan kesusahan yang dihadapi rakyatnya.

Perkara ini diserlahkan tatkala Dzulqarnain mendengar permasalahan yang dihadapi satu kaum mengenai kerosakan yang dilakukan Yakjuj dan Makjuj. Allah SWT merakamkan hal ini dalam al-Quran: “Mereka berkata: Wahai Dzulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (daripada hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” (Surah al-Kahfi, ayat 94)

Seorang pemimpin yang adil dan bertanggungjawab tidak akan sama sekali mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Tatkala orang bawahan meminta pertolongan dengan menawarkan bayaran, pemimpin yang berhati mulia menolak habuan berkenaan dengan cara yang baik tanpa menyekat usahanya untuk menghulurkan bantuan.

“Dia (Dzulqarnain) menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (daripada bayaran kamu)…” (Surah al-Kahfi, ayat 95)

Begitulah akhlak seorang pemimpin yang dimuliakan Allah SWT. Dzulqarnain tidak melihat kedudukannya sebagai punca untuk dirinya mengaut habuan dunia, sedangkan orang lain berada dalam kesusahan.

Dzulqarnain juga menunjukkan contoh yang baik apabila menggembleng usaha secara bersama antara pemerintah dan rakyat biasa ketika membina tembok bagi menyekat kerosakan yang dilakukan Yakjuj dan Makjuj. Dzulqarnain menunjukkan kebijaksanaannya dengan mencari idea penyelesaian terbaik dan pelaksanaannya dilakukan secara kolektif. “…Oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan membina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.” (Surah al-Kahfi, ayat 95)

Teladani kepemimpinan Dzulqarnain yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Kahfi. Sesungguhnya kisah benar mengenai Dzulqarnain adalah panduan Ilahi bagi manusia bergelar pemimpin melaksanakan tanggungjawab kepemimpinannya selari dengan ketetapan Allah SWT.