• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Waspada menjadi muflis di akhirat

Dr Mohd Khafidz Soroni

Sering kali kita melihat dalam media sosial orang mencaci, menghina dan memfitnah seolah-olah tiada rasa takut bahawa semua itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT pada Hari Akhirat kelak. Oleh itu, berhati-hatilah agar kita tidak menjadi orang yang muflis di sana nanti.

Di dunia, orang muflis ialah orang yang tidak berupaya membayar hutang, yang disebut juga sebagai bankrap. Orang muflis biasanya tidak memiliki apa-apa harta kerana semuanya diambil sebagai tebusan bagi melunaskan hutangnya. Ini adalah menurut hukum dunia. Bayangkan pula jika harta tadi kita tukarkan dengan pahala. Maka, orang yang tidak memiliki apa-apa pahala lagi kerana semuanya diambil sebagai tebusan bagi dosanya juga dinamakan muflis.

Muflis di akhirat tentunya jauh lebih menyeksakan daripada muflis di dunia. Perbandingan ini disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabatnya: “Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.” Rasulullah SAW membalas: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada Hari Kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dahulu selalu mencaci maki orang ini, menfitnah orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Maka, diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya. Sekiranya pahala kebaikannya sudah habis sebelum selesai ditunaikan semua tuntutan ke atasnya, akan diambil pula daripada dosa mereka, lalu dilemparkan pula ke atasnya. Kemudian akhirnya, dia akan dihumbankan ke neraka.” Riwayat Muslim

Istilah muflis yang sedia difahami oleh sahabat RA digunakan oleh Rasulullah SAW untuk menggambarkan keadaan seseorang pada Hari Akhirat menerima nasib lebih teruk daripada muflis dunia, iaitu apabila pahala kebaikannya diambil orang sehingga habis tiada apa yang tinggal. Malah, itu pun belum dapat menyelesaikan semua tuntutan dan hak orang yang disakiti atau dizaliminya. Semua amal kebaikan yang dilakukannya semasa di dunia dahulu tidak lagi dapat menyelamatkannya daripada azab Allah SWT.

Justeru, agar kita tidak menjadi muflis di akhirat nanti, sewajarnya kita perlu sentiasa bermuhasabah diri daripada menzalimi atau menyakiti orang lain walaupun dalam hal yang kelihatan kecil dan remeh. Mendiamkan diri itu adalah lebih baik daripada menimbulkan apa-apa masalah kepada orang lain. Malah, dengan mendiamkan diri daripada melakukan sebarang keburukan adalah suatu amalan yang akan diganjari pahala. Ia adalah amalan yang paling mudah bagi setiap Muslim. Pernah seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, manakah amal yang paling utama?” Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah.” Dia bertanya lagi: “Bagaimana jika aku tidak mampu?” Baginda bersabda: “Tahanlah dirimu daripada melakukan keburukan, sesungguhnya itu adalah suatu sedekah yang engkau sedekahkan ke atas dirimu sendiri.” Riwayat Ahmad

Maka, hendaklah kita memastikan diri kita tidak tersangkut di akhirat nanti dengan mana-mana hak orang lain. Sekiranya terlanjur melakukan kesalahan terhadap seseorang, segeralah memohon kemaafan daripadanya serta kembali bertaubat kepada Allah SWT. Bersihkanlah hati daripada sifat hasad dengki, cemburu, sombong, keras hati dan benci terhadap orang lain hanya disebabkan hal keduniaan kerana penyakit hati ini mampu mendorong kepada perbuatan ditegah oleh syarak. Ia adalah punca kepada banyak kerosakan yang berlaku dalam masyarakat manusia di dunia hari ini.

Tegasnya, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri sebelum diri kita dihisab di akhirat kelak. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memiliki suatu kezaliman terhadap saudaranya, sama ada pada maruahnya atau pada sesuatu perkara maka hendaklah dia meminta dihalalkan pada hari ini, sebelum tidak bermanfaat lagi wang dinar mahupun dirham (pada Hari Kiamat kelak). Jika dia mempunyai amal soleh, akan diambil daripadanya menurut kadar kezalimannya. Jika dia tidak mempunyai kebaikan lagi, akan diambil pula daripada kejahatan sahabatnya, lalu dipikulkan ke atasnya.” Riwayat al-Bukhari

Di akhirat, harta sudah tidak lagi bermanfaat kerana semua perbicaraan hutang piutang dijalankan menggunakan pertukaran amal, sama ada amal kebaikan atau amal kejahatannya. Maka, berhati-hatilah supaya pahala kita tidak berkurangan diambil orang atau kita nanti terpaksa pula memikul dosanya.

Bahaya bila hilang rasa malu

SAYA seorang penuntut di sebuah kolej. Kawan serumah saya sering ikut kawan lelakinya menaiki motosikal tanpa ada perasaan malu. Kadang-kadang, saya lihat dia yang terlebih berani memegang tangan kawan lelakinya itu. Kawan saya ini juga suka memakai pakaian ketat dan haruman yang boleh menarik perhatian lelaki. Kalau di rumah, dia juga suka berkaraoke sehingga mengganggu jiran yang tinggal berdekatan. Saya rasa malu tinggal serumah dengannya. Malah, segala teguran saya kepadanya juga tidak pernah diendahkan.

Rakan Kecewa, Serdang

MALU adalah sifat yang mempunyai nilai akhlak yang sangat tinggi. Sifat itu hanya khusus kepada manusia dan tidak ada pada haiwan. Sekiranya hilang sifat malu, maka hilanglah nilai kemanusiaan dalam diri seseorang dan yang tinggal hanya darah, daging dan tulang.

Sebenarnya, nabi terdahulu sentiasa mewasiatkan kepada kaum mereka supaya ada sifat malu. Satu hadis daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amir al-Ansari al-Badri, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang diketahui oleh manusia daripada kalam para nabi terdahulu ialah, ‘Jika engkau tidak malu, buatlah sesukamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Sifat malu penting kerana ia mengajak manusia supaya menghiasi diri dengan sifat mulia dan menghindari sifat hina. Menurut Ibn Qayyim, malu berasal daripada kata ‘al-Hayaa’ bermaksud hidup.

Orang yang hidup hatinya sangat bergantung dengan sifat malu. Sekiranya seseorang hilang sifat malu menunjukkan hatinya juga sudah mati. Maknanya, kadar hidup hati seseorang itu bergantung kepada sifat malunya. Malu adalah akhlak nabi. Kerana itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malu itu kebaikan keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

Orang yang mempunyai sifat malu menunjukkan tanda keimanannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman memiliki lebih tujuh puluh atau enam puluh cabang. Dan cabang paling rendah ialah menyingkirkan duri (gangguan) dari jalan. Dan malu adalah salah satu daripada cabang iman.” (Riwayat al-Bukhari)

Sekiranya manusia tidak memiliki sifat malu, tidak ada yang dapat menahannya daripada terjatuh ke lembah dosa dan maksiat.

Seseorang itu tidak akan melakukan zina, merompak, mencuri dan meragut sekiranya ada sifat malu. Selain itu, seseorang yang mempunyai sifat malu juga tidak akan mengambil rasuah, bercakap lucah atau menulis perkara maksiat di laman sosial.

Malu akan menahan seseorang daripada melakukan penderhakaan kepada Allah SWT dan mengundang kehinaan manusia. Seorang wanita Muslimah sepatutnya menghiasi diri dengan sifat malu.

Al-Quran merakamkan keindahan sifat malu kepada wanita ketika Allah SWT menceritakan berkenaan seorang anak gadis daripada suku Madyan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qashas, ayat 25: “Kemudian salah seorang daripada dua beradik itu datang mendapatkannya (Nabi Musa) dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu malu sambal berkata: “Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternakan kami.”

Walaupun gadis itu bekerja mengambil tugas ayahnya, Allah SWT merakamkan cara berjalan wanita itu seperti seorang gadis suci dan terhormat ketika bertemu lelaki.

Walaupun malu tetapi dia masih dapat menjelaskan maksud kedatangannya dengan terang dan tidak menggoda. Dia bercakap sesuai dengan keperluan dan tidak berlebih-lebihan serta tidak merangsang nafsu lelaki.

Apabila wanita tidak menjaga sifat malu, terjadilah masalah yang berlaku dalam masyarakat hari ini seperti tomboi, bersolek berlebih-lebihan (tabarruj), bercakap apa yang disukainya serta pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa keperluan dibenarkan syariat. Percayalah kehidupan akan lebih indah dan berharga sekiranya sifat malu menghiasi diri.