• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,284 orang
  • Kandungan Blog

Kesesatan al-Masih ad-Dajjal

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Syeikh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil dalam kitabnya Asrat al-Saah menjelaskan terdapat 23 bentuk makna daripada lafaz al-Masih sebagaimana yang diungkap oleh Abu Abdillah al-Qurtubi. Maksud al-Masih bermaksud ash-Siddiq (yang benar dan suka kepada kebenaran) dan Adhalil al-Kadzhab (yang sesat lagi pembohong). Maka al-Masih Isa AS  merujuk kepada kebenaran yang dibawa Baginda manakala al-Masih al-Dajjal merujuk kepada pembohongan dan penuh kesesatan.

Allah SWT mencipta dua al-Masih yang berbeza. Isa AS  adalah al-Masih yang membawa petunjuk, yang dapat menyembuhkan penyakit buta, dan penyakit sopak. Dengan izin Allah SWT Baginda dapat menghidupkan orang yang telah mati.

Dajjal pula adalah al-Masih penuh kesesatan yang menyebarkan fitnah kepada manusia dengan kejadian yang luar biasa seperti menurunkan hujan, menghidupkan bumi dengan tumbuh-tumbuhan. Dajjal disebut al-Masih kerana salah satu matanya buta (terhapus) atau kerana dia menghapuskan bumi selama 40 hari.

Daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW maksudnya:  “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir…” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis berbeza, daripada Abdullah ibn Umar RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Kaabah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada Nawwas ibn Sam’an RA, beliau berkata: Rasulullah SAW menyebut dalam menyifatkan Dajjal dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya dia (Dajjal) itu ialah seorang pemuda, yang rambutnya keriting, matanya menonjol ke depan. Aku perumpamakan dia dengan Abdul ‘Uzza Ibni Qathn.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dajjal tidak disebut secara langsung dalam al-Quran, tetapi digambarkan sebagai tanda-tanda. Firman Allah SWT maksudnya:  “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya.”  (Surah al-An’am: 158)

Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabbah. Perkara ini telah disebut di dalam kitab tafsir.

Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadis yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Quran dengan hadis Nabi SAW. Hadis tersebut adalah daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di manakah Dajjal akan keluar?

Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga dua Tanah Suci itu.

Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan.”  (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan. Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah binti Qais RA  bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Apa itu dari arah timur…Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bilakah muncul atau keluarnya Dajjal?

Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar kiamat.

Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya yang bermaksud:  “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Hari Kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT).”  (Surah al-A’raf: 186)

Tertib kemunculan Dajjal antara alamat kiamat

Syeikh al-Mubarakfuri berkata:  “Ketahuilah bahawa riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar kiamat). Untuk itu, telah berselisih ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar kiamat yang pertama adalah asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu.”

Kemunculan Dajjal adalah perkara ghaib yang seharusnya difahami secara jelas dalam konteks keimanan kepada Hari Kiamat. Maka, pasti rahsia besar yang menunggu semua manusia akhir zaman. Hakikatnya, tujuan utama perkhabaran ini adalah untuk ‘peringatan’ agar tidak lalai daripada mentaati perintah Allah SAW dan mengikut sunah Baginda Nabi SAW.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: