• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Hikmah pengharaman judi

Datuk Mohd Ajib Ismail

Dalam filem dan drama sama ada tempatan mahupun luar negara, babak berkaitan aktiviti perjudian kadangkala digambarkan dalam pelbagai konsep serta bentuk seiring dengan perubahan zaman. Tabiat berjudi sering kali dikaitkan dengan kesudahan yang merugikan dan merosakkan kehidupan individu, keluarga serta masyarakat walaupun dikatakan mendatangkan keuntungan. Dalam sebuah filem di negara kita sekitar 1980-an dipaparkan suatu babak pertaruhan ‘lumba kuda’ di longkang yang menggunakan kaedah lama.

Filem berkenaan memberikan pengajaran tentang perjalanan kehidupan yang tidak berhasil kerana tabiat berbelanja secara tidak berhemah dan  terlibat dalam pertaruhan wang melalui aktiviti ‘kuda longkang’.

Begitulah amalan perjudian yang menjadi kebiasaan sebahagian masyarakat semenjak zaman-berzaman. Aktiviti perjudian juga menjadi sebati dalam kehidupan orang Arab Jahiliyah sehingga ditegaskan pengharamannya melalui firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya serta mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.”

Asbab kepada pengharaman tersebut adalah kerana unsur pertaruhan yang terkandung dalam kegiatan perjudian. Judi dalam apa jua bentuk walaupun berselindung di sebalik nama derma dan kebajikan adalah ditegah oleh ajaran Islam.

Justeru apakah hikmah di sebalik pengharaman judi? Islam adalah agama yang menyarankan agar umat manusia sentiasa berusaha dan bekerja melalui cara yang betul bagi mendapatkan sesuatu hasil. Sebaik-baik pekerjaan yang dilakukan adalah yang halal dan diusahakan sendiri. Perkara itu selaras dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang pada petang harinya berasa letih daripada amal usaha yang dilakukan dengan kedua-dua tangannya sendiri, maka dia pada petang itu telah diampunkan dosanya.” (Riwayat at-Tabrani)

Sebaliknya perjudian hanya menggalakkan manusia untuk bergantung semata-mata kepada nasib, ramalan dan angan-angan bukannya dengan bekerja keras dan bersungguh-sungguh. Matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan amalan perjudian.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada Hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan pada malam purnama.”  (Riwayat al-Baihaqi)

Islam menganjurkan agar manusia menguruskan harta dan kewangan dengan cara yang betul seperti ditegaskan dalam salah satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu memelihara harta. Sesuatu harta tidak seharusnya digunakan dengan cara yang salah, paksaan dan penipuan.

Kegiatan ekonomi dalam sesebuah masyarakat dapat berkembang dengan baik melalui aktiviti jual beli yang berasaskan prinsip keadilan dan mematuhi syariat.

Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 29 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Perjudian akan mencetuskan permusuhan dan perasaan kebencian antara kedua-dua pihak yang menang dan kalah kerana perkiraan untung dan rugi berlaku tanpa rela, penipuan serta segala peraturan lain yang dicipta sendiri. Ia juga boleh mendorong kepada pelbagai perbuatan jenayah, pergaduhan dan pembunuhan.

Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 91 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Perjudian juga bakal mengundang ketagihan yang lambat laun menjadi suatu tabiat yang sukar ditinggalkan. Mereka yang mengalami kekalahan akan mengulangi lagi untuk mendapatkan kemenangan manakala yang menang akan hanyut dalam keseronokan untuk mengulanginya dengan harapan mendapatkan lebih banyak keuntungan yang belum tentu dimiliki. Tabiat buruk yang menjadi suatu ketagihan ini melahirkan sifat malas bekerja dan tidak produktif. Islam menegah sifat malas serta mengecam mereka yang sengaja menganggur dan menjadi beban kepada masyarakat.

Antara kesan lain tabiat berjudi adalah kehidupan dibelenggu dengan hutang sehingga mengalami masalah kewangan yang serius. Sebahagian orang sanggup mendedahkan diri dalam situasi berbahaya dengan membuat pinjaman wang daripada ‘along’ dan mempertaruhkan maruah anak dan isteri sebagai cagaran untuk mendapatkan wang. Tindakan tersebut akhirnya bukan hanya membinasakan diri sendiri, tetapi juga ahli keluarga yang terpaksa menanggung kesan dan akibatnya. 

Perbuatan mempromosikan sebarang bentuk aktiviti perjudian mestilah dihentikan kerana pelbagai kesan buruk yang telah diketahui. Di Wilayah Persekutuan, selain undang-undang berkaitan perjudian yang dikuatkuasakan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), kesalahan khusus melibatkan orang Islam juga boleh diambil tindakan melalui Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559 di bawah seksyen 18 tentang berjudi yang memperuntukkan bahawa (1) Mana-mana orang yang berjudi atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. (2) Dalam seksyen ini, ‘rumah judi’ ertinya mana-mana premis termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran kemahiran dan nasib, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapatkan wang atau nilai wang.

Keuntungan yang diperoleh hasil dari kegiatan perjudian walaupun dianggap lumayan bagi sesetengah pihak, namun tidak membawa keberkatan dan boleh lenyap dalam masa yang singkat akibat kebankrapan. Oleh itu, hikmah yang terkandung di sebalik pengharamannya perlu dihayati demi menjamin kesejahteraan hidup individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: