• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Pegang 3 amalan utama

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Bumi yang dihuni sekalian manusia ini adalah salah satu planet yang sentiasa berputar dan bergerak pada paksinya berdasarkan ketentuan yang ditetapkan Allah SWT.  Oleh sebab itu, wujudlah siang dan malamnya, ada pagi dan petang, ada waktu dinihari dan senjakala dan begitulah seterusnya himpunan masa yang menghiasi pentas hidup manusia sejagat. Malah kehidupan manusia juga berlangsung dalam keadaan seperti itu juga.

Ada ketikanya manusia berasa senang dan pada waktu yang lain pula ditimpa susah, kadang-kadang dia berasa gembira dan kadang-kadang pula dia berubah menjadi sedih. Pendek kata, tidak ada sesuatu pun yang abadi dalam kehidupan ini melainkan Allah Yang Maha Esa.

Melihatkan pusingan dan putaran roda hidup manusia yang sentiasa berubah, ada pasang dan surutnya, ada turun dan naiknya, maka dia amat memerlukan satu bekalan atau perisai kukuh untuk menghadapi cabaran hidup tersebut. Sehubungan itu, Islam sebagai pegangan hidup yang serba lengkap dan menyeluruh ada mengajar setiap Muslim supaya berpegang pada tiga amalan utama apabila berdepan dengan persoalan hidup ini iaitu pertama, istiqamah; kedua, istikharah; dan ketiga, istighfar. 

Istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendiriannya yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah juga pun. Biar apa pun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan. Yang penting baginya, pendiriannya untuk menjayakan cita-citanya yang suci akan tercapai dan berjaya juga akhirnya. Ringkasnya, istiqamah itu adalah kukuh mantap dalam akidah yang benar dan konsisten dalam beramal kepada Allah SWT.

Selanjutnya, begitu pentingnya istiqamah ini sehingga pernah diriwayatkan bahawa ada seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang satu pegangan hidup dalam Islam yang tidak perlu lagi aku ajukan soalan yang lain. Lantas baginda menjawab dengan bersabda maksudnya: ‘Katakanlah! Aku beriman kepada Allah, kemudian tetap teguhlah (beristiqamahlah) pada pendirian itu.'” (Hadis Riwayat Muslim) 

Jelas di sini sekiranya iman yang bertapak di sudut jiwanya kukuh dan mantap maka dia adalah seorang yang benar-benar beristiqamah dalam ruang lingkup kehidupannya. Sebaliknya, jika imannya amat tohor dan nipis, maka dia mudah terpedaya dengan godaan dan pesona dunia yang menghimpit hidupnya dan dia juga tidak memiliki pendirian yang tetap apabila akhirnya dia akan jatuh tersungkur dari landasan yang lurus. Justeru, iman sewajibnya diisi dan dijana menghiasi jiwa seseorang Muslim terlebih dahulu hingga ia mantap dan kukuh supaya dia mampu bertahan menepis segala badai cubaan serta dugaan yang menghempas di sanubarinya. 

Istikharah pula adalah salah satu saluran untuk seseorang Muslim memohon petunjuk Ilahi dalam setiap langkah, sekali gus memohon pertimbangan yang jitu dalam setiap keputusan. Sebenarnya setiap insan mempunyai pilihan dan juga kebebasan untuk berbuat apa sahaja termasuk untuk berkata-kata dan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya.

Walaupun begitu, menurut perspektif Islam, tidak ada kebebasan mutlak tanpa batasan bagi seseorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Dengan kata lain, seorang Muslim terikat dengan peraturan yang ditetapkan Allah dalam menjalani kehidupan ini. Oleh itu, seseorang Muslim sewajibnya berfikir banyak kali dan meletakkan neraca Ilahi sebelum berucap mahupun bertindak. Dalam hal ini, Muslim dianjurkan untuk selalu berdoa ke hadrat Allah memohon petunjuk hidayah ke arah jalan yang lurus.

Kata-kata hikmat ‘berfikirlah untuk hari ini dan berbicaralah untuk hari esok’ sepatutnya menjadi cermin diri dan juga sumber inspirasi bagi setiap Muslim. Dalam konteks ini, apabila terfikir akan sesuatu ucapan atau perbuatan yang boleh menyakiti orang lain, hendaklah dia bersabar. Sebaliknya jika ucapan atau tindakannya itu jika difikirkan baik maka hendaklah dia teruskan biar apa pun risikonya.

Maka benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan rugi seorang yang sentiasa beristikharah, tidak akan kecewa seorang yang sentiasa bermusyawarah dan juga tidak akan miskin seorang yang hidupnya sentiasa berjimat cermat.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Akhirnya, istighfar pula merupakan satu amalan muhasabah diri dan seterusnya memohon keampunan kepada Allah SWT  di atas kelemahan, kekurangan dan kedaifan diri. Ini kerana setiap manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Tetapi setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan pada hakikatnya adalah satu penyakit yang akan merosakkan dan menghancurkan hidup manusia. Oleh sebab itu, segala kesalahan dan dosa yang dilakukan sewajibnya dihindari oleh setiap Muslim. Tidak sedikit musibah dan bencana yang menimpa manusia sejak akhir-akhir ini sebenarnya berpunca daripada kesalahan serta dosa manusia sendiri.

Maka inilah masanya dan juga saat yang paling sesuai bagi setiap Muslim untuk bermuhasabah diri dan seterusnya memanjatkan doa keampunan ke hadrat Ilahi supaya diampuni segala kesalahan dan dosanya. 

Adakalanya kehidupan sesebuah masyarakat dilanda musibah demi musibah yang tidak henti-henti disebabkan oleh dosa masa lalu dan tidak pula pernah disucikan melalui amalan istighfar dan taubat. Jika itulah adalah sebab musababnya maka tidak ada penawar yang ampuh dan ubat yang mujarab melainkan dengan hanya beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. 

Tidakkah Allah SWT  merakamkan kisah Nabi Hud AS  di dalam al-Quran yang sepatutnya menjadi kisah teladan dan peringatan kita bersama sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!” (Surah Hud ayat 52)

Begitulah sunah kehidupan ini yang tidak pernah sunyi daripada cabaran dan dugaan yang melanda hidup manusia. Maka untuk selamat dalam perjalanan hidup yang penuh liku dan duri ini serta mengharungi gelombang hidup yang berombak ini, maka setiap Muslim wajib menghiasi dirinya dengan amalan istiqamah, istikharah dan istighfar supaya dia berjaya meraih keredaan Ilahi, sekali gus meraih kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia akhirat.