• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Arak dan judi hak bukan-Islam, benarkah?

SEPERTI yang dijangka, apabila Menteri Besar (MB) Kedah membuat kenyataan mengenai melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dan membataskan penjualan arak, pemimpin ultra kiasu bagaikan cacing kepanasan.

Tahniah MB Kedah, atas keberanian anda. Rakyat Kedah berbangga dan bertuah mendapat negarawan seperti anda. Jangan layan sangat ultra kiasu, sepantas kilat ultra kiasu berhujah, itu hak orang bukan-Islam.

Bila bercakap soal hak agama bukan-Islam, kamulah jaguh mempertahankan hak-hak agamanya. Hairannya, bila tiba kepada amalan, agama mana yang membenarkan judi dan arak ini? Hina sungguh, manusia seperti ini, mempermainkan agama sendiri.

Semua orang tahu, tidak satu agama atau kepercayaan yang menggalakkan judi dan arak. Kenapa tiba-tiba ultra kiasu katakan ia hak.

Mana perginya persatuan agama-agama bukan-Islam begitu lantang bercakap soal hak, kenapa tidak pertahankan larangan agama kamu? Kenapa kamu tidak sokong kenyataan MB Kedah.

Sepatutnya kamu memuji tindakan MB Kedah kerana mahu menyelamatkan bangsa dan agama kamu. Berapa ramai yang telah menjadi korban judi dan arak. Buktinya kamu lihat dengan mata kepala kamu sendiri. Berapa banyak kerosakan yang berlaku akibat arak judi ini.

Bagaimana kamu boleh memperkatakan ia hak bukan-Islam. Sedangkan agama bukan turut melarang keras judi dan arak. Lagi pun MB hanya tidak benarkan dalam konteks Negeri Kedah. Kamu boleh pergi ke Pulau Pinang untuk judi dan mandi arak.

Sepatutnya ultra kiasu Pulau Pinang gembira kerana sudah tentu ia menguntungkan peniaga-peniaga judi dan arak negeri mereka apabila bukan-Islam Kedah berpusu-pusu ke sana. Bagaimana kamu boleh kata menghalang hak bukan-Islam. Tak halang apapun.

Justeru, daripada mana datangnya tuduhan bahawa MB Kedah mahukan publisiti murahan. Yang murahan itu kamu, ultra kiasu, bukan MB Kedah.

MB Kedah mahu bertindak sebagai negarawan. Paling sedih, apabila tengok pemimpin parti politik Melayu dan NGO Islam senyap seribu bahasa.

Dalam agama Hindu, judi ternyata dilarang sama sekali. Kitab suci Manawa Dharmasastra buku IX (Atha Nawano dhyayah) skola 221, 222, 223,224, 225, 226, 227 dan 228 jelas menyebut larangan tersebut.

Kaki judi dan kaki minum arak digolongkan sebagai orang ‘sramana kota’ (sloka 225). Disebut sebagai pencuri-pencuri (226) yang mengganggu ketenteraman hidup orang baik-baik. Judi menimbulkan pencurian (sloka 222) dan permusuhan (sloka 227) dan kejahatan (sloka 228).

Walaupun ada sesetengah mazhab seperti Shaktas tidak melarang penggunaan arak adalah sebahagian daripada ritual mereka. Ada pandangan menyatakan itu hanya untuk penyembahan bukan untuk diminum. (Wendy Doniger: The Hindus)

Dalam agama Buddha pun sama. Digha Nikaya (kumpulan Digha) di kitab Sutta Pitaka dengan jelas melarang judi dan arak.

Judi disebut antaranya, pemenang memperoleh kebencian dari yang kalah, yang kalah bersedih kerana kekalahannya, kehilangan kekayaan.

Kata-kata pelaku judi tidak boleh dipercayai oleh mahkamah, dipandang rendah oleh saudara dan masyarakat, tidak dipercayai untuk terikat dalam perkahwinan.

Perwakilan Buddha Indonesia, Walubi, menukilkan, judi dan arak boleh membawa kepada pembunuhan, kecurian, hubungan kelamin yang salah dan ucapan yang salah. Ia juga boleh mendorong kepada kejahatan, kebencian, ketakutan dan kebodohan.

Buddha turut berpandangan antara perkara yang boleh menghabiskan kekayaan adalah arak dan judi.

Dalam Pancasila (lima sila) ajaran Buddha, sila yang terakhir menjelaskan akan perlunya menghindari bahan yang memabukkan. Sebutan di dalam bahasa Siam (Hinayana/Theravada) Suk-ra Mey-rak-yak mat-cak Pak-ma-that-tha-na Wey-Rak-Ma-Ni ‘menahan diri daripada meminum minuman memabukkan’.

Dalam Kristian pula, baca, Imamat bab 10 : 9, Bilangan bab 6 : 3, Ulangan bab 29 : 6, Hakim-Hakim bab 13 : 4, Efesus bab 5 : 18, Samuel bab 1 : 15, Yesaya bab 5: 11, Mikha bab 2 : 11, dan Lukas bab 1: 15.

Dalam agama Sikh pula, catatan Guru Gobind Singh (guru ke 10), Dasam Granth buku terakhir, dalam kitab Guru Granth Sahib, menyenaraikan lima larangan asas Sikh iaitu tidak boleh potong rambut, tidak boleh berkelakuan buruk, tidak boleh merokok, tidak boleh makan daging yang disembelih dan tidak boleh minum minuman beralkohol.

Sudah terang, lagi bersuluh. Jika dari segi mana sekali pun, moral dan sivik juga arak dan judi tidak ada yang boleh menjustifikasikan ianya dibenarkan. Berapa ramai yang menjadi korban arak judi ini.

Dalam kata lain, kamu ultra kiasu percaya kepada agama atau tidak. Bila sentuh sikit agama kamu, kamu melompat bukan main, tetapi kamu sendiri tidak jaga agama kamu. Justeru, kembalilah kepada agama asal kamu, jika kamu tidak mahu menghina atau memperlekeh agama kamu.

Lagipun judi (nombor ekor) dan arak boleh dibeli secara online. Jadi, apa relevannya lagi membuka kedai nombor ekor di negeri majoriti orang Melayu, jika bukan mahu mencabar.

Saya harap MB Kedah tetap dengan pendirian. Jangan mudah goyang dikecam dan dikritik ultra kiasu kira kanan depan belakang. Itu sudah memang kerja mereka. Mengaku beragama, tetapi menghina agama sendiri.

Sementara ada kuasa ini, buatlah yang terbaik wahai MB Kedah. Tahniah, moga Allah memberkati kehidupanmu dunia akhirat.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Lambang keluasan rahmat syariat Islam

Datuk Mohd Ajib Ismail

Syariat Islam menetapkan peraturan dan hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan begitu juga undang-undang sesebuah negara termasuk dalam kes pembunuhan.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 178-179 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

Kita mendengar pelbagai isu dan peristiwa berkaitan kes pembunuhan yang berlaku melalui pelbagai asbab seperti perbuatan buli, pergaduhan, memandu dalam keadaan merbahaya dan lain-lain. Pembunuhan dianggap suatu perbuatan jenayah dalam Islam mahupun di sisi undang-undang negara kerana ia menyanggahi lima prinsip maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta serta memberikan kesan emosi yang mendalam kepada ahli keluarga dan waris yang ditinggalkan.

Justeru sesuatu hukuman yang ditetapkan ke atas perbuatan jenayah tersebut amatlah wajar bertujuan untuk memberikan pembalasan, pencegahan, pemulihan dan pemeliharaan bagi kemaslahatan kehidupan umat manusia. Namun barang siapa yang bertaubat dan menyesal dengan sebenar-benarnya terhadap kesalahan yang dilakukan serta memperbaiki diri dan amalannya, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 39 bermaksud: “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Di sebalik hukuman dan pembalasan yang ditetapkan terselit juga keindahan dan keluasan rahmat ajaran Islam bagi mereka yang memberikan kemaafan. Walaupun memberikan kemaafan suatu tindakan yang sukar dan berat untuk dilakukan, namun perbuatan tersebut menghapuskan sifat dendam kerana ketika manusia memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain, maka Allah memberikan kepadanya ketenangan dan kekuatan jiwa yang membentuk peribadi
yang lebih baik.

Perbuatan memohon kemaafan dan memaafkan amat penting dilakukan bagi memelihara hubungan sesama manusia agar terhindar daripada sifat dendam yang dibenci Allah SWT. 

Firman Allah dalam surah al-Syura ayat 43 yang bermaksud: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).”

Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang besar dan balasan yang banyak kepada mereka yang sudi memaafkan. Namun kemaafan tersebut adalah wajar bagi mereka yang mahu berusaha melakukan islah atau memperbaiki diri ke arah kebaikan. Ajaran Islam memberikan dorongan agar memaafkan orang lain kerana Allah suka memaafkan dan mengampunkan hamba-Nya. Walaupun menzalimi orang lain adalah perbuatan yang dibenci, namun Allah SWT menegah daripada membalas kezaliman tersebut melebihi daripada perbuatan yang dilakukan.

Sifat memaafkan merupakan ciri seorang Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Memberikan  kemaafan  kepada  orang lain atas  kesalahan  yang dilakukan merupakan akhlak yang baik dan terpuji. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 45 yang bermaksud: “Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Beberapa bulan lalu tular di media sosial kisah seorang ayah yang memaafkan pembunuh anaknya di Arab Saudi sebelum hukuman gantung dijatuhkan. Seorang peguam di Jeddah mengulas peristiwa tersebut dengan menyatakan bahawa walaupun hukuman mati diizinkan berdasarkan ketetapan syariat sebagai pencegahan untuk melindungi nyawa dan memelihara jiwa manusia, Islam juga menggesa penganutnya untuk memaafkan sekiranya boleh dan mengajar penganutnya untuk mengamalkan sifat bertoleransi. Begitu juga kisah Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud yang telah menyentuh perasaan puluhan juta orang apabila video beliau memaafkan lelaki yang dituduh terbabit dalam pembunuhan anaknya di mahkamah Amerika Syarikat, tersebar dan dilaporkan secara meluas di seluruh dunia. Klip video di dalam mahkamah pada 7 November 2017 menunjukkan Dr  Abdul Munim mengejutkan semua yang hadir, malah hakim tidak dapat menahan air mata, apabila dia memaafkan tertuduh, Trey Alexander Relford.

Sifat memaafkan dapat mengangkat darjat manusia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mahukah aku ceritakan kepadamu mengenai sesuatu yang membuat Allah memuliakan kedudukan dan meninggikan darjatmu? Sahabat menjawab; tentu. Rasul pun bersabda: “Kamu harus bersikap sabar kepada orang yang membencimu, kemudian memaafkan orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang memusuhimu dan juga menghubungi orang yang telah memutuskan silaturahim denganmu.” (Riwayat al-Tabrani)

Keluasan rahmat syariat Islam meraikan maslahah golongan yang dizalimi serta peluang kedua bagi yang melakukan kesalahan.

Firman Allah dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”

 Sesungguhnya Allah SWT membenarkan orang yang dizalimi membela diri dan menuntut haknya, bahkan menjatuhkan hukuman kepada orang yang zalim adalah bertujuan menegakkan keadilan, namun tindakan memberikan kemaafan juga dapat menenangkan jiwa dan menghidupkan peluang kedua bagi mereka yang benar-benar insaf dan berusaha memperbaiki dirinya.