• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Bukti kekuasaan Allah

Mohd Shahrizal Nasir

Saban hari kita menyaksikan perubahan siang dan malam silih berganti. Kita menyaksikan perubahan waktu siang kepada malam dan sebaliknya sehingga mungkin tidak membuatkan diri berfikir tentang kekuasaan Allah SWT. Sepatutnya kita perlu mencari masa untuk berfikir tentang fitrah alam tersebut yang merupakan antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dan keagungan-Nya.

Tidak ada seorang manusia di atas muka bumi ini mampu mencipta siang dan malam. Malah tidak ada seorang pun yang mampu menahan berlakunya perubahan siang dan malam mengikut ketetapannya. Inilah bukti jelas betapa lemahnya manusia dan Maha Hebat Allah SWT dalam mengatur perjalanan alam cakerawala yang sentiasa tunduk mengikut ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT.

Oleh sebab pertukaran siang dan malam berlaku setiap hari, tanpa disedari mungin diri tidak sempat untuk mengaitkannya dengan kekuasaan Allah SWT. Sedangkan semua orang mengakui pertukaran siang dan malam ini hanya mampu diatur oleh kekuasaan yang dimiliki oleh Allah SWT sahaja.

Malah, Allah SWT menyatakan secara jelas dalam al-Quran tentang pertukaran siang dan malam yang merupakan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya. Manusia diperintahkan agar menyaksikan kehebatan Allah SWT menerusi pertukaran makhluk-Nya iaitu siang dan malam. Setiap hari manusia menemui siang dan malam yang sepatutnya mengingatkan diri tentang kewajipan mengakui kebesaran Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.”  (Surah Ali ‘Imran, ayat 190)

Dalam ayat tersebut, Allah SWT menyatakan pertukaran malam dan siang membuktikan tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berakal. Pada ayat lain, Allah SWT menyatakan bahawa orang yang bertakwa akan menyaksikan kehebatan Allah SWT berdasarkan malam dan siang yang silih berganti. Ini sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:  “Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.”  (Surah Yunus, ayat 6)

Pertukaran malam dan siang setiap hari juga menunjukkan keadilan Allah SWT yang membahagikan masa untuk kehidupan manusia. Waktu malam adalah masa untuk manusia berehat manakala waktu siang untuk mereka mencari rezeki. Ketetapan ini sepatutnya membuatkan manusia sentiasa mensyukuri nikmat ketetapan Allah SWT dalam mengatur alam semesta. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui perkara baik dan diperlukan oleh manusia.

“Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki daripada limpah kurniaan-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur.”  (Surah al-Qasas, ayat 73)

Firman Allah SWT pada ayat lain yang turut menyatakan keperluan memikirkan keagungan Allah SWT serta mensyukuri nikmat kurniaan-Nya sepertimana firman-Nya yang bermaksud:  “Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaran-Nya) atau mahu bersyukur (akan semua nikmat-Nya itu).”  (Surah al-Furqan, ayat 62)

Apabila menyebut perihal siang dan malam, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah tentang peringatan Allah SWT tentang masa siang (tengah hari) dan malam yang disebut sebagai masa diturunkan bencana oleh-Nya. Allah SWT telah menurunkan bala bencana kepada hamba yang mengingkari perintah-Nya melibatkan waktu tertentu pada siang dan malam hari.

Selain itu, waktu siang dan malam juga dikaitkan dengan peluang yang dibuka oleh Allah SWT kepada semua hamba-Nya untuk bertaubat. Keluasan rahmat Allah SWT mengatasi kemurkaan-Nya jika manusia mengambil iktibar daripada firman-Nya berkenaan kejadian siang dan malam yang berlaku saban hari.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:  “Sesungguhnya Allah selalu membuka rahmat-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu siang hari, dan Allah membuka rahmat-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada waktu malam hari. Begitulah, hingga matahari terbit dari arah barat.”  (Hadis riwayat Muslim)

Semua ini bukan sahaja membuktikan keadilan Allah SWT, malah lebih jelas lagi ia membuktikan luasnya rahmat Allah kepada sekalian hamba-Nya. Memang benar, perbuatan buruk balasannya adalah dosa dan neraka. Namun rahmat Allah SWT melangkaui keadilan-Nya. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami (Allah) akan mengampunkan kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).”  (Surah an-Nisa’, ayat 31)

Usaha memohon keampunan daripada Allah SWT juga boleh dilakukan dengan melakukan ibadah pada waktu malam. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah (solat tahajud) padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan serta menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

Sebagai hamba Allah SWT, kita sepatutnya berusaha memikirkan tentang kebesaran dan keagungan-Nya. Marilah kita mencelikkan mata hati masing-masing untuk memikirkan kejadian alam iaitu siang dan malam yang saban hari disaksikan dalam kehidupan ini. Jangan jadikan pertukaran siang dan malam hanya sebagai satu fenomena alam yang biasa sahaja tanpa mengingatkan diri tentang kerdilnya menjadi makhluk ciptaan Allah SWT yang Maha Agung.

Peringatan tentang keperluan mencelikkan mata hati untuk berfikir tentang kebesaran Allah SWT dirakamkan dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud:  “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang celik mata hatinya untuk berfikir.”  (Surah an-Nur, ayat 44)