• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Mencipta kesepaduan berasaskan Islam

Datuk Mohd Ajib Ismail

Budaya dan tradisi murni masyarakat Malaysia menjadi ramuan penting yang menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup semenjak sekian lama. Tradisi seperti bergotong-royong dan bekerjasama menjadi sebahagian daripada cara hidup atau adat resam masyarakat khususnya apabila tiba musim kenduri-kendara, perayaan dan keraian. Budaya bekerjasama dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan adalah seperti kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan bagai aur dengan tebing yang menggambarkan kepentingan nilai kebersamaan dalam sesebuah masyarakat. Amalan tersebut juga selaras dengan tuntutan ajaran Islam sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 2 bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Selain amalan bergotong-royong, tradisi saling menziarahi apabila ditimpa kesakitan dan kematian, mengucapkan takziah, berpesan-pesan dengan kesabaran dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh ahli keluarga juga mengeratkan hubungan kemasyarakatan. Perkara tersebut selari dengan tuntutan ajaran Islam sebagaimana Rasulullah SAW ketika mendengar berita kematian Ja’far ibn Abi Talib, baginda bersabda yang bermaksud: “Buatkan untuk keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kewajipan seorang Mukmin ke atas seorang Mukmin yang lain ada enam; menziarahinya ketika sakit, bersama dengannya ketika dia meninggal dunia, menyahut jemputan jika dijemput (ke majlis anjurannya), memberi salam kepadanya ketika bertemu, mendoakan kebaikan untuknya ketika dia bersin dan tulus kepadanya ketika ketiadaannya ataupun ketika dia ada.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Selain itu, hubungan kejiranan yang baik sama ada dalam kalangan masyarakat Islam mahupun bukan Islam mewujudkan persefahaman dan budaya bertolak ansur, sekali gus melahirkan masyarakat yang menghormati kepercayaan dan budaya masing-masing. Hubungan kejiranan tersebut dijalinkan melalui amalan kunjung mengunjung pada musim perayaan dan bertanya khabar lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Sifat persefahaman dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat walaupun berlainan agama menarik minat golongan bukan Islam kepada ajaran Islam. Melalui hubungan kejiranan yang baik, masyarakat Islam dapat memberikan kefahaman tentang ajaran Islam kepada golongan bukan Islam. Sebarang perasaan kurang selesa terutama berkaitan pantang larang agama dalam pemakanan dan sebagainya dapat dijelaskan dengan baik demi memelihara hubungan kejiranan.

Masyarakat Islam boleh mengambil peluang menjelaskan tentang ajaran Islam kepada golongan bukan Islam melalui persoalan dan kemusykilan yang diajukan. Selain mendekatkan golongan bukan Islam kepada ajaran Islam, tindakan tersebut dapat mengelakkan ketegangan, mengurangkan salah faham serta merapatkan jurang perbezaan. Hubungan baik antara masyarakat Islam dan bukan Islam akhirnya membentuk integrasi nasional yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Perbezaan agama dan budaya bukanlah menjadi alasan permusuhan yang merenggangkan hubungan. Melalui kefahaman yang sebenar, bertolak ansur dalam berkomunikasi serta sifat santun dan lunak dalam pergaulan menjadi jambatan yang mempereratkan hubungan.

Nabi Muhammad SAW menunjukkan teladan yang terbaik bagi mendekatkan manusia kepada ajaran Islam seperti firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam konteks kehidupan bersama dalam sesebuah negara menjadi isu penting pada masa kini. Bagaimanapun ajaran Islam sudah menggariskan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta’ayush) iaitu tiada kompromi dalam soal akidah umat Islam, pergaulan hendaklah dalam suatu yang ma’ruf bukan mungkar, mengelakkan perkara yang memudaratkan orang Islam dan tidak melakukan suatu perbuatan yang haram secara qat’ie.

Kaedah dan prinsip tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 3 Disember 2018 yang memutuskan bahawa konsep Fiqh al-Ta’ayush yang dibahaskan dengan hujahan dan dalil, diterima sebagai salah satu penyelesaian dalam mendepani isu-isu semasa berkaitan hubungan agama dan bangsa bagi masyarakat di Malaysia.

Hubungan sesama masyarakat juga haruslah berpandukan nilai yang dikongsi bersama berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta harapan dan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan memastikan rakyat Malaysia bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa. Kesepaduan tersebut pula dibuktikan melalui sifat mengambil peduli kebajikan masyarakat dan menangani sebarang permasalahan yang dihadapi secara bersama.

Kesepaduan akan mewujudkan semangat kebersamaan yang tinggi dalam masyarakat mengatasi sifat mementingkan diri sendiri. Justeru, setiap warga tidak akan melakukan sebarang tindakan yang mendatangkan kemudaratan tanpa mempedulikan kepentingan dan kesejahteraan bersama. Melalui perpaduan, kita berusaha memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain berasaskan semangat sebuah keluarga besar seperti gagasan Keluarga Malaysia. Perdana Menteri Malaysia ketika menggambarkan tentang Keluarga Malaysia menyebutkan perumpamaan ‘umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya.’ Perkara tersebut selaras dengan maksud surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”