• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Kecintaan hakiki terhadap Nabi kebahagiaan abadi

Oleh¬†Mohammad Zaki Yahpar¬†–

Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT untuk segenap manusia dan jin dengan membawa kebenaran, petunjuk serta cahaya terang.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi beriman kepada Allah dan kalimah-Nya (Kitab-Nya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.” (Al-A’raf: 158)

Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) meyakini Rasulullah SAW ialah hamba Allah SWT serta utusan-Nya, sekali gus Rasul memiliki kemuliaan tersendiri.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku dianugerahi lima perkara tidak pernah diberikan seorang pun daripada Rasul sebelumku, iaitu (1) aku diberikan pertolongan dengan takutnya musuh mendekatiku dari jarak sebulan perjalanan; (2) dijadikan bumi bagiku sebagai tempat solat dan bersuci, maka sesiapa sahaja daripada umatku mendapati waktu solat, maka hendaklah dia solat; (3) dihalalkan rampasan perang bagiku dan tidak dihalalkan kepada seorang Nabi pun sebelumku; (4) dan aku diberikan kekuasaan memberikan syafaat serta (5) Nabi diutus hanya untuk kaumnya sahaja sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW bagi menyampaikan peringatan kepada seluruh umat manusia untuk menjauhi syirik dan mengajak kepada tauhid benar seperti firman-Nya dalam surah al-Muddathir ayat 1 hingga 7.

Allah SWT juga mengutus Rasulullah SAW bagi menjelaskan kandungan makna kalimah penyaksian dan memerintahkan Baginda menyeru umat manusia untuk bersaksi dengannya.

Kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah kecintaan kepada Allah SWT. Cinta kepada Allah juga menuntut kepada kesinambungan kecintaan terhadap perkara dicintai Allah SWT. Dengan demikian, cinta kepada Rasulullah SAW mengharuskan kita mencontohi dan meneladani sikap Rasulullah SAW dalam segala hal dicintai dan dibencinya.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imran: 31)

Ketaatan kepada Nabi Muhammad SAW menjadi kesinambungan kesaksian terkandung dalam lafaz syahadah dan jalan menuju kebahagiaan serta keselamatan dunia dan akhirat. Allah SWT menjanjikan syurga kepada sesiapa taat kepada-Nya dan Rasul-Nya.

Mencintai Rasulullah SAW hukumnya wajib dan antara kewajipan terbesar dalam kehidupan umat Islam. Oleh itu, Allah SWT mewajibkan kita mencintai Rasulullah SAW melebihi ahli keluarga dan harta benda seperti firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 24.

Begitulah ketinggian dan kemuliaan Baginda di sisi Allah SWT hingga Dia mewajibkan beberapa hak dan kewajipan terhadap Baginda. Antaranya, mencintai dan mengagungkannya melebihi orang lain dan diri hamba itu sendiri.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu hingga menjadikan aku lebih dia cintai daripada ibu bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” (HR Bukhari)

Selain itu, Allah SWT juga memerintahkan orang beriman untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti firman-Nya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab: 56)

Ketahuilah pada hari akhirat kelak, kita semua akan dikumpulkan bersama-sama dengan orang kita cintai. Maka, muhasabahlah di mana letaknya kecintaan hakiki kita. Orang beriman pastinya hati mereka ingin benar bersama-sama dengan Rasulullah SAW.

Begitu perkhabaran dan jaminan bahawa manusia itu nanti pada hari akhirat akan bersama dengan orang dicintai akan mendatangkan rasa kebahagiaan, apatah lagi jika pada hari akhirat nanti kita benar-benar dapat bersama dengan Rasulullah SAW dicintai.

Ada hadis diriwayatkan daripada Anas Ibnu Malik RA: Seorang penduduk Badwi menjumpai Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Bilakah berlakunya hari kiamat?” Baginda SAW menjawab “Apa engkau sediakan untuk menghadapinya?” Dia menjawab: “Aku tidak memiliki persediaan, kecuali aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Maka Rasulullah bersabda: “Sungguh, engkau bersama orang yang engkau cintai.” Lalu kami berkata: “Kami juga begitu?” Baginda menjawab, “Ya.” Maka kami pun pada hari itu sangat berbahagia. (Muttafaq ‘alaih)