• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,713 orang
  • Kandungan Blog

Memperingati Maulidur Rasul

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Bulan Rabiulawal adalah antara bulan yang tercatat detik yang bersejarah bagi umat Islam sejagat. Kedatangan bulan mulia itu amat dinanti-nantikan dan sentiasa diingati oleh masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan umat Islam di seluruh dunia  amnya kerana tanggal 12 haribulan dalam bulan inilah junjungan besar Rasulullah diputerakan. Hari peringatan ini yang akhirnya dikenali Maulidur Rasul disambut sebagai satu bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah yang telah mengutuskan seorang manusia ke alam semesta ini untuk merubah suasana dan keadaan hidup manusia sejagat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah telah berfirman maksudnya: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbia, ayat 107) 

Perutusan Rasulullah ke alam ini sebagai menyambung tradisi perjuangan nabi dan rasul terdahulu dalam menegakkan kalimah Allah dan seterusnya mengakhiri silsilah kerasulan dengan memikul amanah menyampaikan risalah Islam yang lebih lengkap dan menyeluruh kepada sekalian alam.

samping itu, Rasulullah juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia dalam menelusuri titian hidup yang penuh onak dan duri.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang (Arab) yang ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad) daripada bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hakam syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jumuah, ayat 2) 

Serentak dengan itu, sambutan hari Maulidur Rasul amat penting dalam kehidupan umat Islam dengan harapan untuk memantapkan lagi keyakinan mereka terhadap Rasulullah di samping menebalkan lagi kecintaan kepada Baginda.

Sesungguhnya Rasulullah merupakan insan yang paling dicintai memandangkan Baginda adalah insan contoh atau manusia misali dalam serba serbinya, dalam semua aspek kehidupan. Oleh sebab itulah, umat Islam diperintahkan Allah agar meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah dalam segala lapangan hidup selaras dengan firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21) 

Untuk menyatakan kecintaan kepada Rasulullah, ia tidak cukup sekadar dizahirkan dengan kata-kata pujian dan sambutan dengan pelbagai acara, malahan ia akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan kecintaan itu dengan meneladani jejak langkah kehidupan Baginda, sama ada sebagai seorang pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa, bahkan juga sebagai seorang manusia biasa. Pendek kata, Rasulullah memiliki banyak dimensi dan sudut yang patut dicontohi oleh umat Islam. 

Kehidupan Rasulullah yang sarat dengan sifat peribadinya yang mulia dalam kelakuannya, perangainya, tingkah lakunya dan setiap detik perjalanan hidupnya adalah seumpama mukjizat yang berjalan di atas permukaan bumi. Oleh sebab itulah, diri Rasulullah, sirahnya dan sunnahnya tetap relevan kepada umat Islam dari dulu, kini dan selamanya. Justeru, kehidupan Rasulullah menyediakan jawapan ampuh yang berupaya memecahkan segala persoalan dan masalah yang dihadapi oleh manusia moden dewasa ini. 

Kehidupan Rasulullah sendiri sebenarnya satu manifestasi menyeluruh daripada intipati al-Quran sebagaimana yang dijelaskan oleh isteri tercinta Saidatina Aisyah apabila beliau ditanya akhlak Rasulullah. Lantas Saidatina Aisyah menjawab: “Sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah akhlak al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim)

Ringkasnya, sememangnya kehidupan baginda adalah manifestasi keseluruhan al-Quran al-Karim dalam setiap ruang lingkup kehidupan seharian daripada ibadahnya, pergaulannya dengan anggota keluarganya dan masyarakat sekelilingnya, aktiviti sosialnya, politiknya dan sebagainya.

Pun begitu, era globalisasi yang mewarnai pentas dunia kini kelihatan sedang menyaksikan betapa ramainya umat manusia semakin tersasar daripada landasan yang lurus. Natijahnya, ramai manusia yang tertipu dengan godaan dunia yang mempesona, indeks keruntuhan akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup yang diimpikan mulai pupus dek peperangan dan penindasan. Runtuhnya mahligai rumahtangga yang memutuskan jalinan mesra seisi keluarga, tiada harmoni hubungan sesama insan, saling tindas menindas, yang kaya menjadi semakin sombong dan yang miskin pula semakin terhimpit penderitaan demi penderitaan. Dalam erti kata lain, hidup ini seolah-olah ketiadaan bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi penyakit jiwa dan hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan. 

Akhirnya, kedengaran suara-suara dan jeritan dari kejauhan sudut hati manusia yang menyeru apakah di sana masih ada jalan keluar dan penyelesaian daripada kemelut ini? Apakah ada konsep yang sesuai untuk manusia hidup sejahtera dan bahagia di dunia dan akhirat? Apakah kezaliman dan penderitaan yang dialami umat manusia sekian lama ini akan berakhir dan menemui titik noktah penghujungnya? Apakah ada penawar yang ampuh untuk menyelamatkan umat manusia daripada krisis akhlak yang semakin meruncing? Apakah keadilan akan mejelma kembali menaungi alam semesta ini? Dan sekian banyak lagi persoalan demi persoalan yang melingkari kehidupan manusia yang mengharapkan satu jalan penyelesaian terbaik agar manusia dapat keluar daripada kegersangan hidupnya dan seterusnya menikmati kebahagiaan hidup yang abadi. 

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran, namun diingkari. Ini bermakna Islam yang diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah sudah ada menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin hidup manusia dalam menyelesaikan segala masalah dan kemelut yang melanda serta penawar bagi semua penyakit kehidupan.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga yang menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)

Jelas daripada maksud ayat suci bahawa al-Quran yang diturunkan Allah melalui pesuruh-Nya Rasulullah untuk umat manusia seluruhnya sebagai nasihat pengajaran untuk memperbaiki akhlak dan amal perbuatan dan sebagai ubat penawar bagi penyakit batin seperti penyakit kufur dan syirik, hasad dengki dan khianat serta lain-lain penyakit jiwa.

Di samping itu, al-Quran juga adalah hidayah petunjuk ke jalan yang diredai Allah yang memimpin manusia mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat dan al-Quran pula secara khusus menjadi sinaran rahmat yang menyuluhi setiap detik kehidupan orang-orang yang beriman. 

Ini adalah satu seruan suci daripada Allah untuk umat manusia agar mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat dengan syarat mereka berpegang teguh dengan ajaran dan hukum-hakam yang telah ditetapkan-Nya. Ini juga adalah satu janji atau jaminan yang sangat manis yang tidak akan dimungkiri oleh Allah. Oleh sebab itulah Allah menurunkan risalah Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh buat mengatur kehidupan manusia sejagat ke arah kebahagiaan abadi di bawah keredaan Ilahi. Ini bermakna jalan keluar sudah sedia ada, penawar sudah ada di depan mata, maka terserahlah kepada umat manusia memilih sama ada hendak hidup bahagia atau hidup menderita yang tiada titik penghujungnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: