• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,713 orang
  • Kandungan Blog

Apabila harta menjadi Tuhan

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Harta adalah ujian yang besar kepada manusia sama ada menjurus kepada ganjaran pahala atau membawa kepada fitnah berterusan kepada manusia. Keperluan kepada kehidupan yang sejahtera mendorong seseorang berusaha dengan lebih gigih iaitu mengumpul harta. Namun, di sebalik kegigihan tersebut, harta akan membawa kesan yang besar kepada ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya:  “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Persoalan yang timbul, mengapakah dikatakan harta dan anak sebagai fitnah dalam ayat di atas? Apabila dilihat secara terperinci, kedua-duanya adalah  penyebab kepada kelalaian manusia daripada menunaikan kewajipan agama dan juga penyebab kepada hilangnya usaha untuk meningkatkan ibadah kepada Allah SWT.

Analoginya apabila harta yang ingin diperoleh belum tercapai, maka usaha berterusan dilakukan sehingga masa untuk beribadah semakin singkat dan akhirnya meninggalkan yang sepatutnya dilaksanakan.

Kedudukan harta pada zahirnya adalah suatu kebaikan dan bukanlah semata-mata keburukan. Namun, disebabkan keterlaluan dan melampaui batas, akhirnya harta menjadi penyebab kepada kelalaian tumpuan utama kehidupan manusia di dunia.

Allah SWT berfirman  maksudnya: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah ayat 180)

Allah juga menyebutkan bahawa harta jadikan sebagai ‘qiyam’ atau sesuatu yang menumpang kehidupan manusia.

Allah berfirman maksudnya:  “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya (anak yatim yang belum baligh), harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan (qiyaman).” (Surah An-Nisa, ayat 5)

Harta adalah tunjang kehidupan manusia yang dijadikan Allah SWT untuk keperluan agama dan dunia yang akan membawa kepada situasi akhirat yang baik. Oleh itu, wali atau pemegang harta tidak boleh menyerahkan harta yang diamanahkan sebelum sempurna akal mereka. Ini merujuk kepada kewarasan dalam berfikir seseorang manusia sehingga mampu membezakan apa yang halal dan haram dalam kehidupan. Jika tidak harta tersebut akan merosak dan menghancurkan mereka.

Ibadah manusia akan terjejas disebabkan harta. Kesempurnaan ibadah juga berkait rapat dengan harta. Orang soleh menguruskan harta yang baik akan dipermudahkan banyak urusan daripadanya. Kehormatan mereka yang diangkat sama ada dari padangan Allah SWT atau manusia. Hubungan dengan Allah akan bertambah baik, rezeki akan sentiasa bertambah tanpa disedari seterusnya memberi ketenangan dalam beribadah. Hubungan dengan manusia pula, ramai kenalan dan mudah disegani oleh masyarakat. Sikap pemurah dengan memberi hadiah, makanan dan lain-lain akan menghasilkan kekuatan dalam beribadah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang soleh.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah memberi peringatan kepada hamba-Nya bahawa harta adalah fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-Nya. Disebabkan harta juga, manusia mudah melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT membataskan rezeki-Nya yang luas kepada sebahagian manusia.

Nabi SAW bersabda, daripada Ka’ab bin Iyadh maksudnya:  “Sesungguhnya tiap-tiap umat itu mempunyai fitnah dan fitnah umatku adalah harta.”  (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Allah berfirman maksudnya:  “Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.” (Surah Asy-Syura ayat 27)

Manusia yang diuji dengan harta yang berlimpah ruah akan suka bermewah-mewahan. Allah menjelaskan kepada hamba-Nya tentang situasi orang yang suka hidup bermewah akan menjadi penentang kepada utusan Allah SWT sebagaimana kisah Qarun.

Allah SWT berfirman:  “Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatanpun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya.” (Surah Saba’, ayat 34)

Rasulullah SAW bersabda:  “Tidaklah dua serigala lapar yang menghampiri seekor kambing lebih berbahaya baginya daripada keghairahan seseorang kepada harta dan kedudukan bagi agamanya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Nabi SAW menggambarkan situasi kerosakan kepada agama disebabkan oleh manusia yang terlalu ghairah kepada harta dan kedudukan dunia. Kerosakan agama yang ditimbulkannya tidak lebih besar daripada bahaya yang mengancam seekor kambing yang didatangi dua serigala lapar dan siap menerkamnya.

Ibnu Rajab menjelaskan, orang yang ghairah dan berkeinginan terhadap harta terbahagi kepada dua:

Pertama, orang yang sangat mencintai harta, semangat dalam mencarinya dengan cara yang dibenarkan, namun ia berlebihan dalam mendapatkan dan mengusahakannya. Namun disebakan keghairahan mendapatkan harta, usahanya akan menyebabkan kehidupanya menjadi sia-sia padahal ia seharusnya bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kenikmatan akhirat yang abadi.

Rasulullah SAW bersabda kepada sahabatnya Hakim bin Hizam maksudnya:  “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini indah dan manis. Barangsiapa mengambilnya dengan keluasan jiwanya, ia akan mendapat barakah pada hartanya. Dan barangsiapa yang mengambilnya dengan tanpa berlebihan, maka perumpamaannya adalah seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua, Orang yang berkeinginan terhadap harta, hingga mengusahakannya dengan cara yang diharamkan Allah dan menghalanginya untuk menunaikan kewajiban hartanya. Perutnya penuh dengan harta haram. Harta yang dimilikinya adalah hasil daripada seluruh usahanya, ia menjadi manusia yang sangat takut kehilangan hartanya. Ia menjadi sangat kikir, malas bersedekah dan individualis. Ia terjerumus pada sikap kikir yang tercela.

Padahal Allah SWT berfirman maksudnya:  “Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.” (Surah Al-Hasyr ayat 9)

Daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Peliharalah dirimu daripada sifat kikir kerana sifat kikir membinasakan orang-orang sebelum kamu. Sifat itu telah menyuruh mereka memutuskan persaudaraan, maka mereka pun memutuskan persaudaraan. Sifat itu telah menyebabkan mereka saling membunuh dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jangan bertuhankan harta, kelak tiada masa dengan Yang Esa.  Berpada dengan apa yang ada, kelak hilang tiada dukacita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: