Zikrullah mendidik diri rasa cukup

Mohd Gunawan Che Ab Aziz

ZIKRULLAH adalah  salah satu amalan paling teras yang dianjurkan oleh al-Quran. Amalan ini bukan sahaja sekadar berkaitan dengan pahala dan kelebihan amalan ini di akhirat nanti, malah sangat berhubung dengan kecemerlangan peribadi seorang insan dan juga hubungannya dengan prestasi urusan harian seseorang Mukmin. Sama ada urusan itu berkaitan dengan urusan di rumah, pejabat, jalanan, masjid, kebun malah di mana sahaja.

Imam Muslim merekodkan satu hadis kudsi yang bersumber daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam mana meriwayatkan daripada Allah Taala: “Anak Adam! Berzikirlah kepada Ku setelah (solat) Fajar (yakni Subuh) dan setelah (solat) Asar seketika, Aku akan mencukupimu antara keduanya.”

Manakala Imam Ahmad pula merekodkan hadis ini dengan lafaznya: “Berzikirlah engkau kepada Ku selepas (solat) Asar dan juga selepas (solat) Fajar seketika, Aku akan mencukupimu untuk apa yang antara keduanya.”

Kehidupan kita sebagai manusia biasa sentiasa dipenuhi dengan urusan dan kesibukan. Buka sahaja mata kita tatkala terjaga daripada tidur sehinggalah kita kembali melelapkan mata kita, antara ‘terbuka’ mata dan ‘tertutup’nya mata ini, otak kita akan diserabutkan dengan macam-macam hal. Bermula hal peribadi, keluarga membawa kepada urusan kerja. Hal rumah tangga hinggalah isu negara malah dunia, urusan kita sentiasa berselirat memenuhi setiap pemikiran, tutur kata dan gerak laku kita. Kesibukan ini pula biasanya sentiasa diiringi dengan pelbagai hajat, keperluan dan harapan.https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.482.0_en.html#goog_1606825324https://imasdk.googleapis.com/js/core/bridge3.482.0_en.html#goog_992348219

Melalui hadis ini, Rasulullah SAW  mengkhabarkan satu jaminan yang amat besar ertinya kepada mereka yang benar-benar beriman. Dalam menghadapi ‘huru-hara’ kehidupan harian ini, tiba-tiba kita ditawarkan dengan satu jaminan yang begitu hebat iaitu apabila Allah SWT sendiri mengambil tanggungjawab untuk mencukupi apa sahaja urusan kita. Adakah lagi satu jaminan yang lebih menenangkan hati dan jiwa seorang Mukmin daripada jaminan ini?

Seorang yang beriman benar-benar menyedari bahawa segala sesuatu yang wujud di dunia ini tidak ada satu pun yang terjadi melainkan hanya dengan izin Allah. Satu helai daun pun tidak akan gugur melainkan dalam pemerhatian dan dengan keizinan-Nya jua. Keimanan mereka benar-benar menyaksikan segala sesuatu hanya bergantung kepada Allah SWT. Segalanya bergantung kepada ‘somadiah’ Allah SWT. Allah menegaskan di dalam al-Quran: Katakanlah: “Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.” (Surah al-Ikhlas: 1-2)

Allah itu Esa. Esa itu bermaksud, satu-satunya. Maka tempat bergantung segala makhluk juga hanya satu iaitu Allah SWT. Daripada sebesar-besar makhluk seperti ‘Arasy hinggalah yang paling kecil seperti molekul, zarah dan atom sekalipun, semuanya memerlukan Allah. Semuanya bergantung dan berhajat hanya kepada Allah.

Di dalam Tafsir Mafatihul-Ghaib oleh Imam Ar-Razi menyatakan, Ibnu Abbas RA berkata bahawa ketika mana turunnya ayat ini, lalu sahabat bertanya: “Apakah makna as somad” Jawab Rasulullah SAW: ‘Dia ialah Tuan yang bertumpu (dan bergantung harap) kepadanya segala hajat.'”

Imam At-Tobari pula menukilkan: “Ali telah meriwayatkan kepada kami, katanya telah meriwayatkan Abu Salah kepada kami, katanya: Telah menceritakan Mu’awiyah kepadaku, daripada Ali, daripada Ibnu Abbas, berkenaan maksud firman-Nya as somad, katanya: “(Zat) Yang Mulia yang mana paling sempurna ketinggian martabat-Nya, Yang Maha Mulia yang paling sempurna kemuliaan-Nya, Yang Maha Agung yang paling agung keagungan-Nya, Yang Maha Lemah lembut yang paling sempurna kelemahlembutan-Nya, Yang Maha Kaya yang paling sempurna kekayaan-Nya, Yang Maha Perkasa yang paling sempurna Jabarut-Nya, Yang Maha Bijaksana yang paling sempurna kebijaksanaan-Nya; Dialah yang telah paling sempurna segala bentuk Kemuliaan dan Ketinggian, Dialah Allah Maha Suci Dia, ini semua adalah sifat-Nya, yang tidak layak sifat-sifat ini melainkan untuk-Nya.”

Manakala Imam Al-Alusi menukilkan, “Adapun daripada Abu Hurairah RA maknanya Dia yang mana tidak memerlukan kepada sesiapa dan apapun, (sebaliknya) Dialah tempat berhajat kepada-Nya segala sesuatu dan daripada Ibnu Jubair, maknanya ialah Dia yang Maha Sempurna dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.”

Jika demikian, apa lagi yang mampu menyebabkan keresahan dan kegusaran hati seorang yang beriman apabila Allah sendiri dengan segala sifat Somadiah-Nya, memberikan jaminan ini?

Sedangkan untuk meraih janji yang mulia ini, hanya memerlukan satu usaha yang amat kecil. Tidak bersediakah kita untuk melapangkan sedikit masa kita untuk berzikir kepada Allah setiap selepas solat Subuh dan Asar?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: