• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Bina famili berlandas syariat

Datuk Mohd Ajib Ismail

Manusia secara fitrahnya tidak diciptakan bersendirian dalam kehidupan. Allah SWT menjadikan Nabi Adam AS sebagai manusia pertama dengan pasangannya Hawa kemudian melahirkan zuriat keturunan yang membentuk sebuah keluarga besar umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 35 yang bermaksud: “Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.”

Keluarga menjadi asas penting bagi membina perasaan kasih dan sayang sesama manusia. Keluarga juga adalah tempat untuk menyemai dan menyuburkan nilai-nilai budaya, agama dan jati diri insan. Sebuah keluarga lazimnya terdiri dari suami, isteri, anak dan ahli keluarga lain yang mempunyai pertalian darah, nasab serta hubungan pernikahan. Islam menetapkan kriteria dan panduan tertentu agar sesebuah keluarga dapat dibangunkan serta menjalankan fungsi dan peranan selaras dengan tuntutan syariat yang menjadi sendi kehidupan. Pembentukan sebuah masyarakat dan negara hakikatnya bermula dari keluarga yang sejahtera.

Justeru bagaimanakah sesebuah keluarga harus dibangunkan menurut panduan Islam? Asas paling utama dalam membina sebuah keluarga adalah memperkukuhkan pegangan iman dan tauhid sebagaimana nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya dalam al-Quran surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”
Keluarga adalah tempat pertama anak-anak mempelajari syariat Islam dengan melihat bagaimana ibu bapanya melaksanakan tuntutan agama seperti solat, berpuasa, membaca al-Quran dan sebagainya. Dorongan untuk melaksanakan tuntutan agama adalah penting bagi membina moral dan mental ke arah kehidupan yang sejahtera. Melalui dorongan tersebut, seseorang akan sentiasa menjadikan agama sebagai pedoman dan panduan dalam kehidupan.

Setiap ahli keluarga harus menjaga dan memelihara antara satu sama lain dari melakukan perbuatan maksiat seperti firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Selain memperkukuhkan pegangan iman dan tauhid serta memelihara diri dari perbuatan maksiat, sebuah keluarga yang sejahtera harus dibangunkan dengan nilai-nilai ketaatan kepada kedua ibu bapa. Keredaan ibu bapa menjamin keberkatan dalam keluarga yang dibina sebagaimana perintah Allah dalam al-Quran surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Keluarga yang sejahtera sentiasa mengutamakan pembentukan peribadi dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji terutama ketika bergaul dan berinteraksi dalam masyarakat sebagaimana peringatan Allah dalam surah Luqman ayat 18-19 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

Sebuah keluarga yang sejahtera juga dibangunkan dengan nilai-nilai integriti yang tinggi bahawa Allah SWT akan membalas setiap perbuatan yang dilakukan walau sekecil zarah sebagaimana firman Allah dalam surah Luqman ayat 16 bermaksud: (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.”

Melalui penghayatan terhadap sifat integriti, maruah dan nama baik keluarga akan sentiasa terpelihara. Memiliki sebuah keluarga menjadikan seseorang bertanggungjawab tidak hanya pada diri tetapi juga kepada keluarganya.

Keluarga adalah tempat seseorang meluahkan segala isi hati dan mengadu tentang kesulitan yang dialami dalam kehidupan. Oleh itu, keluarga yang terbaik adalah yang dapat menjadi tempat yang mententeramkan dan menenangkan jiwa sebagaimana firman Allah dalam surah Rum ayat 3 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Kesemua nilai dan kriteria keluarga sejahtera yang dibina inilah kemudian diterjemahkan dalam pembentukan sebuah masyarakat dan keluarga besar Malaysia. Warga negara yang terdiri dari pemimpin dan rakyat mesti melaksanakan fungsi dan peranan dengan berkesan berasaskan sendi utama negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Semua pihak harus berganding bahu dan menyemai sifat prihatin sesama masyarakat seperti kata pepatah ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.’ Segala konflik yang berlaku mesti ditangani dengan sifat toleransi dan kebijaksanaan seperti kata peribahasa ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.’ Kekuatan jatidiri dan kecintaan kepada keluarga besar Malaysia menyebabkan seindah mana pun kehidupan di luar, keluarga sendiri adalah tempat yang terbaik ibarat kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Semangat tersebut sekali gus mendorong kita berusaha memelihara kedaulatan dan mempertahankan maruah negara.

Rasulullah SAW sendiri menzahirkan kecintaan baginda kepada tanah airnya melalui sebuah hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW berkata pada Makkah yang maksudnya: “Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” (Riwayat al-Tirmizi)