Sediakah kita hayatinya?

Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

DALAM tulisan-tulisan sebelum ini dibicarakan mengenai keperluan umat Islam menstrukturkan semula keseluruhan gaya hidup mereka dengan menghayati model hidup zuhud supaya dengan itu gaya hidup Muslim boleh menjadi selaras dengan tuntutan ajaran Islam. Namun, proses penstrukturan berkenaan bukannya satu perkara yang mudah untuk ia benar-benar terhayat di tengah masyarakat.

Ia sesungguhnya memerlukan iltizam dalam kalangan Muslim untuk berusaha sehabis kudrat bagi mempastikan pegangan akidah dan keimanan dalam diri menjadi benar-benar teguh. Betapa tidaknya, model hidup zuhud tersebut adalah satu gesaan untuk hidup bersederhana di dunia demi kepentingan hidup akhirat yang lebih baik dan lebih kekal sedangkan kehidupan semasa amat cenderung kepada kehidupan mewah, sampai ke tahap melampau sebagai mana dipromosi oleh tamadun kebendaan sehingga segala kegiatan kehidupan dimotivasi oleh unsur kebendaan tersebut.

Justeru, dalam konteks ini, perlulah dikenal pasti dan dianalisis bentuk iman atau pegangan akidah yang bagai mana yang perlu dimiliki oleh kalangan Muslim untuk boleh menjadi pencetus dan pendorong kuat kepada penghayatan tuntutan ajaran Islam.  Adalah perlu ditegaskan bahawa peranan utama di sini tertumpu kepada keyakinan dan keimanan teguh tanpa berbelah bahagi terhadap enam rukun iman yang merangkumi: Mengenal dan beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul, beriman kepada Malaikat, termasuk makhluk ghaib lain seperti jin dan iblis, beriman kepada kitab yang diturunkan oleh Allah, beriman kepada Hari Akhirat dan beriman kepada qada dan qadar.  Berdasarkan keyakinan dan keimanan teguh terhadap rukun iman dalam diri kalangan Muslim, maka mereka secara pastinya akan berupaya membentuk sikap hidup Muslim yang selaras dengan tuntutan ajaran Islam.

Ini kerana unsur kawalan metafizik yang ditawarkan oleh kandungan rukun iman tersebut akan mencirikan perlakuan Muslim mengikut apa yang dikehendaki oleh ajaran islam secara keseluruhan.  Bagaimanapun, kepastian dan keupayaan ini berkait langsung pula dengan tahap serta ciri-ciri yang mesti dipenuhi dan terhayat dalam diri kalangan Muslim apabila mereka meyakini serta mengimani seteguhnya isi kandungan rukun iman tersebut.

Maka itu, dalam konteks ini perlu diberikan fokus khusus kepada iman  itu sendiri sebagai satu istilah teknikal dalam bidang akidah Islam.  Secara umumnya istilah ini merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan yang cukup pasti lagi putus terhadap sesuatu, tanpa sebarang rasa syak dan keraguan. Oleh itu, istilah iman tidak cukup sekadar hanya terungkap dalam perisytiharan verval semata-mata; tidak juga hanya merujuk kepada penunaian serta pelaksanaan tugas atau syiar tertentu seperti yang selayaknya dilaksanakan oleh kalangan orang yang memiliki akidah kerana terdapat ramai kalangan dajal yang hanya menunjuk-nunjuk melakukan perkara kebaikan sedang hati tidak ada sedikitpun nilai ikhlas kepada Allah. 

Justeru, iman tulen yang diperlukan itu bukan hanya sesuatu yang tertumpu semata-mata kepada kerja yang berlangsung pada peringkat lidah, anggota badan dan mental seseorang.  Malahan, ia merujuk kepada suatu kerja atau pelaksanaan yang berlangsung pada peringkat spiritual atau dalaman diri seseorang manusia yang amat mendalam sehingga ia dapat menguasai sepenuhnya seluruh kesedaran, kemahuan dan perasaan orang berkenaan.  Dalam kata lain, essence akidah atau iman itu mestilah mengandungi ciri-ciri berikut:Keimanan itu mestilah berasaskan kefahaman minda dan ilmu yang mantap, diperoleh daripada wahyu Illahi;Keimanan itu mestilah cukup teguh tanpa sebarang syak dan tidak mungkin digugat oleh sebarang argumen lain; Keimanan itu mesti pula diikuti bersama oleh ketaatan dan   penyerahan iradah untuk mempraktiskan segala suruhan dengan penuh rasa rela; Keimanan itu mestilah berupaya menjadi pencetus segala aktiviti dan perlakuan pemiliknya.

Hanya setelah semua ciri di atas terpenuh secara sempurna dalam keyakinan seseorang, barulah iman atau akidah itu terangkat menjadi akidah dalam pengertiannya yang sejati.   Tanpa sampai ke tahap dan tidak terbentuk dalam acuan serta ciri-ciri seperti yang dicatatkan di atas maka ia hanya mungkin dianggap sebagai suatu idea atau teori atau juga pandangan bukannya iman atau akidah dalam sifatnya sebagai satu istilah yang teknikal. 

Terlihat jelas bahawa keyakinan terhadap kemestian menghayati model hidup zuhud berkait langsung dengan keteguhan keimanan kalangan Muslim.  Kalau tidak demikian, manusia Muslim akan terperangkap dalam gaya hidup kebendaan yang cukup merata kelangsungannya masa kini, yang diberi contoh dan pengukuhan oleh nilai hidup tamadun kebendaan Barat.  Justeru, usaha penstrukturan semula gaya hidup Muslim yang kini rata-rata tidak selaras dengan ajaran Islam, mestilah diberi fokus serius untuk memperbetul serta meluruskan pegangan dan penghayatan akidah mereka menerusi penghayatan setepatnya kandungan rukun iman.  Bersediakah Muslim semasa melakukan perkara utama ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: