Doktrin materialisme hakis nilai akhlak

Prof Datuk Zakaria Stapa

Di seluruh dunia, manusia dan kemanusiaan secara umumnya sedang terperangkap dalam suasana kehilangan keseimbangan dalam menjalani kehidupan seharian. Ini berkait dengan keadaan manusia yang umumnya sedang melawan tabii diri sendiri dengan memberi tumpuan berlebihan kepada faham dan doktrin materialisme serta mengetepikan keperluan kerohanian.

Tabii diri mereka yang dicipta Tuhan dengan mempunyai dua komponen jasad (benda) dan roh tidak dihormati apabila mereka umumnya jelas terperangkap dalam penghormatan berlebihan terhadap unsur kebendaan berdasarkan faham dan doktrin materialisme yang rata-rata menjadi pedoman, dorongan serta bernilai utama dan tinggi dalam kehidupan.

Hasilnya mereka terperangkap dalam krisis kerohanian dan kejiwaan yang berat sehingga terbabit dalam pelbagai perlakuan negatif seperti bunuh diri dan pembunuhan dalam peperangan bersenjata yang mereka cipta sendiri dan dalam pelbagai perkara negatif lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya mencatatkan kebelakangan ini lebih daripada sejuta manusia seluruh dunia membunuh diri setiap tahun, iaitu pada kadar seorang membunuh diri setiap 40 saat.

Malahan angka itu masih tidak termasuk bunuh diri yang tersilap lapor kerana mati dalam kejadian seumpama kemalangan jalan raya atau lemas. Pada masa ini sebenarnya lebih ramai orang yang mati membunuh diri berbanding dengan kematian dalam pembunuhan dan peperangan.

Sebenarnya, materialisme ialah doktrin berpegang kepada keyakinan kejayaan dan kemajuan material sesuatu yang unggul serta bernilai dan berukuran tertinggi dalam hidup.

Anutan doktrin sebegini sesuatu yang merata di Barat dan seluruh pelosok dunia, termasuk dunia Islam. Ini biasanya mengetepikan nilai akhlak dalam proses interaksi dan muamalah manusia dalam kehidupan seharian.

Dalam kehidupan seharian masyarakat Muslim di negara ini, kewujudan fakta seumpama dapat diperhatikan dengan baik misalnya dalam proses melakukan sesuatu yang baik, seumpama perlakuan berbuat baik kepada seseorang, juga dalam proses belajar mencari ilmu. Pendorong utama kerja kebaikan juga disebabkan untuk memperoleh ganjaran kebendaan.

Dalam proses mendapatkan benda diyakini bernilai tinggi dan mendatangkan kesenangan serta kebahagiaan, manusia kelihatannya akan menggunakan apa jua cara sekalipun bertentangan dengan nilai akhlak mulia.

Pada tahap ini, dalam konteks umat Islam, identiti keislaman seseorang akan terhakis dan luntur. Oleh itu, materialisme pada aras mana pun, ialah faham dan doktrin memuja dan mengagungkan benda hingga ke tahap tidak mempedulikan nilai kerohanian.

Pembangunan insan

Dalam konteks ajaran Islam, kemunculan jenis dan karakter manusia yang terperangkap dalam kongkongan doktrin materialisme ialah jenis manusia yang masih tidak siap atau tidak selesai proses pembangunan diri.

Dalam perspektif ajaran Islam, pembangunan insan diasas dan dimulakan dengan kefahaman terhadap penjelasan al-Quran seperti firman Allah SWT: “Dan Yang memulai penciptaan manusia dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya.” (Al-Sajdah: 7-8)

Allah SWT menjelaskan makhluk manusia dicipta oleh Allah SWT daripada dua unsur berbeza: Pada satu peringkat, dicipta daripada sesuatu bersifat material sama ada secara langsung daripada tanah seperti yang berlaku kepada Adam AS atau dicipta daripada air mani yang hina seperti yang berlaku kepada keturunan Baginda.

Aspek ini kemudian ditafsirkan sebagai tubuh atau jasad yang mewakili aspek benda pada diri manusia. Unsur kedua bersifat non-material yang disebut sebagai roh atau unsur kerohanian yang didatangkan secara langsung daripada Allah SWT.

Seperti dicatatkan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din, aspek roh lebih tinggi nilai dan kedudukannya berbanding jasad kerana datang secara langsung serta dinisbahkan kepada Allah SWT sedangkan jasad hanya dinisbahkan kepada tanah atau air mani hina. Komponen kedua-dua aspek material dan non-material inilah tabii yang mewujudkan makhluk dipanggil insan atau manusia.

Justeru, aspek non-material yang dikenali sebagai roh atau kerohanian ialah inti sari diri manusia dan ciri peribadinya. Ia bukan sesuatu ditampal begitu sahaja pada diri manusia atau sesuatu asing bagi manusia.

Pusat hidup segala kegiatan

Apabila kerohanian itu menjadi inti sari kemanusiaan, bermakna kerohanian ialah pusat hidup dan segala kegiatannya. Dengan itu, perlulah difahami aspek material ataupun jasad manusia dijadikan tidak lebih hanya tunggangan kepada roh, iaitu untuk kepentingan roh dan bukan sebaliknya.

Ditinjau daripada perspektif ajaran Islam seperti digambarkan Imam al-Ghazali, unsur non-material atau kerohanian dalam diri manusia terangkum sekali gus dalam istilah yang bukan hanya tertumpu kepada roh sahaja, sebaliknya kalbu, nafs dan akal.

Al-Ghazali menggunakan keempat-empat istilah itu seolah-olah boleh ditukar ganti yang keempat-empatnya merujuk kepada apa diungkapkan sebagai bersifat latifah rabbaniyyah ruhaniyyah yang bersifat ‘alimah mudrakah terdapat dalam diri manusia dan hakikat sejati dirinya. Kewujudan aspek kerohanian inilah menyebabkan manusia ditaklifkan Allah SWT.

Berdasarkan wujudnya aspek non-material itu, manusia sedia mengakui Allah SWT sebagai Tuhan seperti firman-Nya: “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.” (Al-A’raf: 172)

Berdasarkan aspek non-material itu makhluk manusia disediakan potensi sama ada menjadi baik atau sebaliknya. “Demi diri manusia (nafs) dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan sesuai dengan keadaannya) serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan (fujur) dan yang membawanya kepada taqwa.” (Al-Shams: 7-8)

Potensi kerohanian itu memiliki dwi-dimensi, iaitu boleh membawa ke arah fujur dan takwa. Aspek fujur dan taqwa itu sudah sedia tersemai di dasar diri manusia dalam bentuk potensi, maka terserah kepada masing-masing potensi mana yang mahu dibangunkan dan dikembangkan. Inilah juga disebut fitrah seperti sabda Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, hakikat ajaran Islam ini terabai dan mendap ke bawah disebabkan dominasi aspek doktrin materialisme yang menguasai hampir semua sektor kehidupan manusia masa kini, termasuk umat Islam.

Justeru, umat Islam perlu kembali memberikan komitmen tidak berbelah bagi membangunkan aspek utama dalam diri dan hidup, iaitu kerohanian.

Kita tidak sewajarnya tersasar dan terbabas dalam menentukan aspek keutamaan yang perlu dibangunkan seutuhnya supaya tidak hilang keseimbangan diri sehingga akan menimbulkan kecelaruan dan keluh-kesah berpanjangan; mereka tidak perlu menentang tabii diri mereka yang memiliki jasad dan roh.

Namun keperluan kedua-dua komponen dalam diri mesti diagih secara adil mengikut keutamaan seperti diajar agama. Ini bermakna jasad – sesuatu yang boleh melambangkan aspek kebendaan dalam kehidupan – juga penting diberi perhatian dan hak sewajar bagi membolehkannya berfungsi dengan baik dalam proses pemberian khidmatnya kepada roh.

Secara keseluruhannya perlu difahami dalam kerangka ajaran Islam, aspek kebendaan dalam kehidupan manusia bukan tidak penting, tetapi ia perlu diletakkan pada tempat betul supaya manusia menjadi adil dan tidak menzalimi diri.

Inilah inti sari makna terungkap dalam firman Allah SWT: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.” (Al-Qasas: 77)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: