Wabak akhir zaman

Dr Saadi bin Awang

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Baginda Rasulullah SAW juga mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah SAW: Daripada ‘Auf bin Malik RA berkata: “Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang dibuat daripada kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain, pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa Bani al-Asfar (Rom), lalu mereka mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada 12,000 tentera.” (Sahih Bukhari hadis 2,940).

Covid-19 jika dirujuk kepada ayat 41 surah Ar-Rum adalah  kerosakan dan bala bencana yang diturunkan Allah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri. Melaluinya jelas menunjukkan perkara ini tidak akan berlaku sekiranya manusia mentadbir bumi ini dengan mengikut sunah Allah yang sebenar. Begitu juga jika merujuk kepada hadis sahih di atas menunjukkan kebenaran pelbagai masalah seperti penyakit yang melanda kita dewasa ini.

Umumnya kita wajib takut hanya kepada Allah, bukan Covid-19. Namun kerana takutkan pada Allah, maka laksanakanlah sunnatullah yang perlu diikhtiarkan, bukan tidak kisah sahaja. Allah telah mengutuskan manusia sebagai khalifah di muka bumi sebagai pengganti-Nya untuk mentadbir, mengurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan menjalankan syariah Allah sama ada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. Sebagai khalifah, Allah telah memberikan beberapa kelebihan kepada manusia antaranya ialah akal.

Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung kebolehjangkitan penyakit ini daripada merebak seperti physical distancing (penjarakan fizikal), menetap di rumah jika tiada keperluan yang mendesak di luar, menghindarkan diri daripada tempat yang ramai dan sentiasa memakai pelitup mulut (mask).

Begitu juga fatwa ulama mengenai  tidak solat di masjid dan surau buat sementara. Keputusan itu semuanya dengan dalil dan perbincangan yang panjang, bukannya berlandaskan ego dan kepentingan peribadi. Ini semua kerana nyawa manusia itu mahal harganya. Seperti mana peristiwa yang pernah berlaku pada era Umar bin Khattab, walaupun imannya tinggi, tetapi ketika diberi pilihan untuk datang ke daerah wabak atau kembali ke Madinah, beliau memilih untuk pulang ke Madinah.

Sebagai manusia yang sihat akal fikiran, kita seharusnya meletakkan perkara ini di
landasan yang betul. Bukan hanya mendengar berita sensasi di luar yang menyatakan Covid-19 ini hanya ciptaan daripada individu, organisasi dan negara tertentu. Pernahkah kita bayangkan pengakhiran hidup ini ke tanah perkuburan tiada iringan keluarga tercinta? Begitulah yang terpaksa dihadapi oleh mereka yang meninggal disebabkan Covid-19 ini. Tentunya itu bukan sesuatu yang dibuat-buat seperti skrip drama atau filem yang boleh ditentukan oleh penulisnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”  Sahih al-Bukhari hadis 5,678

 Oleh yang demikian marilah kita sama-sama mendaftar sebagai penerima vaksin penyakit ini. Walaupun tidak ada jaminan 100 peratus penerima vaksin tidak akan dijangkiti namun ini adalah usaha pihak berkuasa bagi mengurangkan kebolehjangkitan.

i.