Menjadi bidadari syurga

SEGALA puji dan syukur hanya untuk Allah S.W.T. Seandainya bukan kerana kebaikan Allah S.W.T kepada kita, kita mungkin tidak tertarik untuk mempelajari ilmu agama dan berusaha untuk mendalaminya dan kita mungkin tidak dapat merasakan nikmatnya hidayah. Ada di kalangan kita yang sudah mengaku Islam, tetapi merasa berat untuk melaksanakan cara hidup Islam.

Berlebih-lebihan kecintaan kepada dunia, kecintaan mengumpul harta dan mengejar pangkat, keinginan untuk bersuka ria atau bersantai-santai dengan menghabiskan masa, menyebabkan mereka menganggap cara hidup Islam itu berat dan membebankan.Advertisementhttps://cdn.bannersnack.com/banners/bxk8yhzgs/embed/index.html?t=1628036678&userId=43386868&responsive=true

Seandainya kita dengan ikhlasnya duduk menuntut ilmu dan mengkajinya secara mendalaminya, mendengarkan, memahamkan dan kemudiannya mengamalkannya nescaya hidayah Allah S.W.T selama semakin menyerap di dalam dada kita.

Kalau ingin membicarakan mengenai bidadari syurga, apakah sebenarnya yang kita inginkan dan harapkan darinya? Hampir setiap wanita mengharapkan agar sentiasa nampak muda walaupun sudah berusia. Sampai kekadang berlebih-lebihan menghabiskan banyak masanya diluangkan untuk wajahnya, tubuhnya dan pakaiannya.

Hilang rasa malu dan sanggup menghiasi tubuh dan wajah seperti anak-anak muda sedangkan penampilan itu agak keterlaluan dan tidak sesuai dengan usia. Yang penting baginya, asalkan dengan penampilan itu, dia akan tetap muda, cantik, dipuji dan disanjung. Subhanallah.

Jadi siapakah sebenarnya bidadari syurga dan macam manakah rupa wajah bidadari syurga. 

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya ke dunia, nescaya akan menerangi langit dan bumi dan akan dipenuhi dengan aroma yang harum semerbak. Penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan isinya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Istimewanya bidadari syurga ini. Tapi mahukah kamu wahai saudariku Muslimah menjadi bidadari yang lebih utama daripada bidadari syurga ini.

Jadi apakah pra-syarat untuk melayakkan diri untuk menjadi bidadari syurga? Sebelum itu kita perlu melihat bagaimana Allah S.W.T menggambarkan wanita-wanita penghuni syurga, di dalam surah ar-Rahman ayat 70 hingga 78 yang bermaksud:

“Dalam kedua-dua syurga itu juga terdapat (bidadari-bidadari) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

“Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

“(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

“Penduduk syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

“Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.”

(ar-Rahman: 70 – 78)

Allah S.W.T menciptakan bidadari-bidadari ini dengan sempurna. Di mana suami-suami mereka tidak ada keinginan untuk melihat wanita-wanita yang lain selain daripada mereka. Setiap wanita bakal bidadari syurga perlu ingat, bahawa mereka jangan setakat cantik di saat di luar rumah sahaja tetapi apabila suami mereka balik ke rumah, mereka hendaklah memberi perhatian terhadap akhlak mereka, percakapan, kecantikan, kebersihan dan penampilan wajah dan tubuh mereka.

Wanita syurga adalah seorang wanita yang baik hati dan cantik. Setiap wanita impikan untuk menjadi bidadari syurga dan impian ini, insya-Allah akan dapat dicapai. Di antara sifat bidadari syurga adalah berbicara dengan gaya bahasa yang memikat saat mereka mendekati suaminya, mereka seorang penyayang, sebagaimana ibu yang menyayangi anaknya dan menggoda suaminya dengan kecantikannya.

Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya isteri-isteri ahli syurga, menyanyi untuk suami-suami mereka dengan suara yang sangat indah. Di antara lirik yang dinyanyikan oleh ahli syurga ialah ‘kami adalah bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik, kami adalah isteri-isteri untuk lelaki yang mulia, kami memandang dengan segala kegembiraan dan kebahagiaan kepada suami-suami kami, kami adalah wanita-wanita yang kekal abadi tidak akan pernah mati dan sentiasa gadis, kami sentiasa damai dan tidak ada rasa takut, kami sentiasa ada di sini dan tidak pernah pergi.”

(Hadis Riwayat Imam Tabrani)

Dan ramai sekarang wanita-wanita sanggup untuk menjual suaranya, wajahnya dan tubuhnya, semata-mata untuk mendapatkan harta dan kemewahan. Dan mereka juga berhabisan mengeluarkan wang untuk mengekalkan kecantikan, sedangkan mereka tahu bahawa satu hari nanti mereka akan tua, ditimpa banyak penyakit dan akhirnya mati, meninggalkan kemewahan dunia yang sementara ini. Jadi, mulailah sekarang berbuat sesuatu kalau ingin kekal cantik, muda, kekal usia, tenang, damai dan sebagainya seperti dalam Hadis di atas. 

Apa yang harus kaum wanita lakukan untuk dapat menjadi bidadari syurga?

1. Menjaga Rukun Islam.

Yang pertamanya, ikrar yang bermaksud pernyataan seorang Muslim mengenai keyakinannya:

“Saya bersaksi, bahawa tiada Illah yang berhak disembah selain Allah S.W.T. Dan saya bersaksi, bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan Allah S.W.T.”

Setiap para wanita atau umat Islam, wajib berserah diri kepada Allah S.W.T dan berjanji setia untuk mendengar dan taat dalam segala keadaan terhadap semua perintah Allah S.W.T beserta segala pesanan yang disampaikan oleh Allah S.W.T melalui utusan-Nya, Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengucapkan Laa Ilaaha Illallah dengan ikhlas maka akan masuk ke dalam syurga.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Dan yang keduanya, Islam mewajibkan setiap umatnya mendirikan solat setiap waktu dan tidak boleh meninggalkannya. Ramai wanita yang mungkin solat tetapi tidak pernah mendirikannya dengan sempurna dan bersungguh-sungguh dalam solatnya. Melaksanakannya dalam keadaan merasa berat serta malas.

Allah ketika menyebutkan mengenai orang-orang Munafikin, mereka mengikut hukumnya adalah seorang Muslim kerana dia bersyahadah, dia solat tetapi bagaimana solat mereka?

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

(an-Nisa’: 142)

Ayat di atas memperjelaskan mengenai sifat orang munafik yang dilihat dalam solat mereka. Dengan kekejian hati dan niatnya. Mereka ingin menipu Allah S.W.T dengan memperlihatkan keimanan dan menyembunyikan kekafirannya. Mereka ingin menipu Allah S.W.T tetapi sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Mereka hanya ingin dipuji dan disanjung dan mereka ingat Allah S.W.T, amat sedikit.

Maka kita lihatlah solat kita sendiri, adakah solat kita benar-benar telah mengikut solatnya Nabi S.A.W. Oleh kerana itu, hendaklah bakal bidadari syurga mengikuti cara solatnya Rasulullah S.A.W, kerana solat adalah amalan yang pertama yang akan dihisab di hari kiamat kelak.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Dan solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat”.

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim)

Dan yang ketiga adalah puasa terutamanya puasa Ramadan. Hendaklah dilaksanakan mengikut yang telah diajarkan dalam agama. Seandainya, ada hutang puasa, hendaklah dibayar segera. Ada yang menghimpun hutang-hutang puasa tanpa ada alasan yang Syarie. Tetapi setiap wanita mesti ingat bahawa ada pencatat di kiri kanan kita mencatat setiap apa sahaja yang kita lakukan. Dan kita berkewajipan untuk membayarnya sebanyak yang kita tinggal: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(al-Baqarah: 183)

Kemudian membayar zakat. Wanita kekadang mempunyai dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak membayar zakat. Cuba kira berapa harta simpananmu? Seandainya engkau tidak wajib atau layak membayar zakat, itu sesuatu yang terbaik, tetapi sekiranya kamu layak, maka bayarlah dan jangan ditangguh-tangguh. 

Bersegeralah, mungkin engkau rasa berat dan banyak jumlah yang mesti dikeluarkan tapi kamu mesti ingat zakat itu hanya sekadar dua setengah peratus sahaja daripada jumlah harta yang kamu punyai. Jangan dilihat duit yang terpaksa kamu keluarkan tetapi lihatlah betapa banyak duit dan harta yang masih tinggal. 

Dan jangan sampai kamu menyesal yang tiada berkesudahan seperti dalam firman Allah dalam surah Munafikun ayat 10 yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” 

(Munafikun: 10)

Ibnu Abbas mengatakan, maksud bersedekah dalam ayat di atas adalah membayar zakat dan maksud menjadi orang yang soleh adalah dengan menunaikan haji.

Dan yang kelimanya, menunaikan haji. Setiap wanita atau umat Islam wajib menunaikan haji sebagaimana suaminya wajib haji. Bila? Ketika mampu. Jadi setiap kita mesti ada niat untuk melaksanakannya. Ingat!, azab Allah itu amat perit dan sakit tiada terperi:

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Ali-Imran: 97)

Jadi inilah Rukun Islam, amalan zahir yang mesti dilaksanakan untuk menjadi bidadari syurga. Laksanakanlah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T dan mengikut syariat yang telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

2. Menjaga Rukun Iman.

Membicarakan Rukun Iman, adalah keyakinan hati, ucapan dengan lisan perbuatan dengan fizikal kita. Maka hendaklah kita beriman kepada Allah S.W.T, kepada malaikat-malaikat-Nya, Rasul-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada hari kiamat serta hari kebangkitan dan takdir baik serta takdir buruk. Dan selepas itu naik pula ke darjah ihsan, iaitu sentiasa berasa kita di dalam pengawasan Allah S.W.T ketika beribadah, walaupun kita tidak nampak Allah S.W.T, tapi kita sentiasa merasakan Allah S.W.T melihat kita.

Bagaimanakah akhlaknya penghuni syurga, agar kita dapat menjadi penghuni syurga.

Kita ambil contoh empat orang wanita yang memang telah dijamin menjadi penghuni syurga. Lihat firman Allah S.W.T di bawah yang bermaksud:

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”;

“Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran kalimah-kalimah Tuhannya serta kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.”

(at-Tahrim: 11 – 12)

Dari ayat di atas, Allah S.W.T memberi dua orang contoh wanita yang kedua-duanya dijamin masuk syurga iaitu Asiah isteri Firaun dan Mariam ibunya Nabi Isa. Mereka termasuk wanita-wanita syurga yang paling mulia. 

1. Asiah binti Muzahim.

Asiah ialah isteri kepada Firaun dan ibu angkat kepada Nabi Musa. Beliau merupakan antara empat wanita terpuji di dalam Islam. Asiah telah memeluk Islam selepas melihat mukjizat Nabi Musa A.S dengan tongkatnya bertukar menjadi ular dan setelah melihat seorang wanita yang menerima agama Nabi Musa diseksa Firaun. Beliau menyembah Allah S.W.T secara rahsia kerana takutkan suaminya Firaun.

Pada suatu hari, Asiah dan dayang-dayangnya sedang berada di Sungai Nil, tiba-tiba mereka ternampak sebuah peti yang hanyut dan Asiah arahkan bawa peti itu ke tebing sungai. Di dalamnya didapati seorang bayi lelaki. Asiah terus jatuh kasih kepada bayi tersebut dan memberitahu kepada Firaun dan merayu agar bayi itu tidak dibunuh. Betapa kasihnya Firaun kepada isterinya dan betapa indahnya gaya bahasa rayuan yang digunakan Asiah sehingga cair hati Firaun yang zalim dan bengis ini sehingga rela melanggar prinsipnya sendiri yang membunuh setiap bayi-bayi lelaki yang dilahirkan:

“Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).”

(al-Qasas: 9)

Di sini ulamak menyatakan mengenai kedudukan isteri Firaun, bagaimana dia mampu mengambil hati suaminya. Ramai wanita-wanita di dunia mengeluh kerana suaminya. Mungkin suaminya zalim tetapi tidaklah sezalim Firaun. Mungkin suaminya jahat tetapi tidak sejahat Firaun. Setelah beriman dengan Allah S.W.T dan Nabi Musa A.S, Asiah harus merelakan segala kesenangan yang pernah dia rasakan di istana Firaun. Dia dikeluarkan dari istana dan diletakkan di atas tanah, diikat kaki dan tangannya, kemudian dipukul, didera, diseksa bukan kerana dia mencuri, bukan kerana dia mengambil harta Firaun. 

Apa kesalahan beliau? Tidak ada, cuma dia mengatakan Laa Illa Haillallah. Disebabkan hal ini, dia sanggup dipukul, disakiti, didera oleh suaminya demi untuk mengharapkan syurga Allah S.W.T.

Kalau orang biasa susah, kemudian susah hidupnya, hal ini biasa, ujiannya tidak terlalu berat. Kalau orang itu sudah biasa dengan lauk telur goreng, jadi kalau berlaku musibah, baginya biasa sebab dia sudah biasa hidup susah.Tetapi yang biasa hidupnya diselubungi kemewahan, tiba-tiba diletakkan di terik matahari, dipukul yang kulitnya sudah tentu tidak sama dengan kulit orang biasa. Tetapi isteri Firaun tetap sabar. Jadi kalau mahu menjadi penghuni syurga dan bidadari syurga kena sabar. 

Asiah memohon kepada Allah S.W.T dan tidak kepada suaminya Firaun:

“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim””

(At-Tahrim: 11)

Maka dalam menjalani kehidupan ini, modal utama untuk menjadi bidadari adalah sabar.  Kadangkala ada wanita-wanita yang tidak mahu sabar. Tidak sabar menghadapi suami yang mungkin membuatnya marah, terluka hatinya dan tidak sabar menghadapi ujian yang dia terimanya. Kesabaran merupakan anugerah Allah S.W.T yang paling baik bagi seseorang manusia. Hal ini diberitahu oleh Rasulullah S.A.W dalam Hadis Baginda S.A.W. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Dan tidaklah seseorang itu diberi sesuatu yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.”

(Muttafaqun Alaih)

2. Maryam binti Imran.

Allah sebutkan dalam ayat Quran di atas dari surah At-Tahrim mengenai cerita Maryam ini. Beliau juga di antara empat wanita terpuji di dalam Islam. Maryam juga sebagai contoh buat kita. Dan namanya sendiri telah dijadikan salah satu nama surah dalam al-Quran.

Apa ujian yang Allah S.W.T berikan kepada Maryam? Mengenai sabar juga. Bagaimana ketika Allah S.W.T menguji dia, hamil tanpa bapa, tanpa ada suami. Sesudah tahu dia hamil, Maryam mengasingkan diri demi keselamatan bayinya dan ada terdetik sedikit di hati perasaan cemas, takut, khuatir dan bingung. Sebagai manusia biasa, bagaimana harus dia berhadapan dengan kaumnya selepas melahirkan nanti:

“Maka Maryam hamilah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.”

(Maryam: 22)

Di saat keadaannya yang lemah sendirian, lapar, tenaga yang semakin kurang dan kesakitan melahirkan. Dan juga Maryam memikirkan akan pelbagai tuduhan kaumnya kerana melahirkan anak tanpa seorang bapa. Dalam kepiluannya Mariam sempat berkata:

“(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!”

(Maryam: 23)

Dia melahirkan anaknya tanpa ada sesiapa, bersendirian. Bukan seperti wanita-wanita yang boleh kita lihat sekarang penuh dengan kemanjaan, suami di sisi, tidak buat apa-apa kerja selepas bersalin, dihidangkan dengan pelbagai makanan berkhasiat, diurutkan, ditungkukan, dan bermacam-macam layanan lagi.

Jibril datang menyampaikan pesan kepada Maryam agar jangan bersedih hati dan bersusah fikiran kerana Allah S.W.T telah menyediakan air iaitu sebuah anak sungai yang kecil dan airnya jernih. Kemudian dia disuruh menggoyangkan pokok kurma agar dia dan anaknya dapat memakan dan melanjutkan kehidupannya:

“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”

(Maryam: 26)

Kemudian Maryam membawa anaknya Isa A.S kepada kaumnya:

“Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendukung anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!

“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

“Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”

“Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.

“Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

“Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.

“Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

(Maryam: 27 – 34)

Apabila ditanya oleh kaumnya, lalu Maryam menunjuk kepada anaknya dan Nabi Isa A.S dapat berkata-kata dan menjawab pertanyaan kaumnya. Lega Maryam. Tuduhan dia berzina terus disebarkan oleh orang-orang Yahudi. Dan mereka tidak mengakui Nabi Isa sebagai utusan Allah S.W.T sehingga pada akhirnya mereka berusaha untuk membunuh Nabi Isa A.S. 

Bagaimana perasaan seorang ibu melihat anaknya dikejar oleh musuh-musuh dan akhirnya  dibunuh tetapi Allah S.W.T mengangkat jasad Nabi Isa A.S ke langit. Apa yang dilakukan oleh Maryam? Bersabar. Jadi kalau mahu menjadi penghuni syurga, kamu mesti bersabar. 

Kenapa? Kerana hidup ini ujian. Walaupun limpahan keluhan dan curahan hati kita kesalkan dan adukan. Jawapannya yang pasti, cuma kena bersabar. Sampai bila? Sampai mati. Dan sabar itu juga sebagai ibadah kita kepada Allah S.W.T.

3. Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid.

Siti Khadijah R.A adalah satu dari empat wanita yang menjadi teladan dalam kehidupan Muslim. Beliau adalah isteri Rasulullah S.A.W yang pertama sekali gus teman seperjuangan setia dan tulus Rasulullah S.A.W. Pilihan Siti Khadijah atas Rasulullah S.A.W bukan kerana keuntungan perniagaan yang dijalankan oleh Rasulullah S.A.W tetapi pilihan Siti Khadijah atas Nabi S.A.W lebih berdasarkan kepada budi pekerti yang mulia, perilaku yang jujur dan amanah. Sedangkan Siti Khadijah adalah seorang janda kaya raya, cantik, bangsawan dan berpengaruh.

Saranan bagi sesiapa yang ingin bernikah, jangan memandang harta, jangan memandang ketampanan sahaja, jangan memandang keturunannya sahaja kerana Siti Khadijah memilih Rasulullah S.A.W bukan kerana kekayaan, kerana Nabi S.A.W sendiri tidak kaya bahkan Nabi S.A.W bekerja dengan Siti Khadijah. Bukan juga kerana ketampanan sahaja, Nabi S.A.W memang tampan tetapi Siti Khadijah tidak memilih Nabi S.A.W kerana ketampanannya. Jadi kerana apa? Kerana agamanya. Kerana akhlak dan tingkah lakunya.

Bagaimana Siti Khadijah dapat tahu mengenai Nabi S.A.W? Ummul Mukminin Siti Khadijah menyuruh pekerjanya, Maisarah mengiringi Nabi ketika Nabi berniaga barangan Khadijah dan Maisarahlah menceritakan semua mengenai Nabi kepada Khadijah.

Dari situ, Kisah cinta Ummul Mukminin Khadijah bermula. Khadijah mula tertarik kepada Rasulullah S.A.W. Khadijah bernikah ketika berumur 40 tahun sementara Rasulullah S.A.W berumur 25 tahun. Allah mengurniakan mereka enam orang anak bersama Rasulullah S.A.W. Dua anak lelakinya meninggal dunia dan tinggal empat orang anak perempuannya, Zainab, Roghayah, Ummu Khalsum dan Fatimah:

“Dari Ka’ab bin ‘ujroh R.A, ia berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, “….Dan isteri-isteri kalian yang masuk syurga itu ialah wanita-wanita yang subur, banyak anak, sangat penyayang kepada suaminya, serta yang selalu datang kembali iaitu jika suaminya marah maka ia pun datang kembali kepada suaminya dan meletakkan tangannya di tangan suaminya dan berkata, ‘Aku tidak merasakan ketenangan hingga engkau redha.”

(Hadis Riwayat An-Nasai) 

Kebiasaannya, wanita ini kalau ada masalah dengan suaminya sering mahu lari dari rumah dan mahu meninggalkan suaminya. Sedangkan Nabi S.A.W dah pesan dalam Hadis di atas, mereka hendaklah kembali kepada suaminya. Kerana ini adalah sifat wanita penghuni syurga.

Inilah sifat penghuni syurga. Kena sabar. Bagaimana Siti Khadijah berhadapan dengan suaminya ketika suaminya beruzlah di Gua Hira’. Agar tidak kelaparan, Siti Khadijah rutin membawakan makanan dan selimut. Semuanya dilakukan dengan mendaki gunung dengan ketinggian mencapai 281 meter dan jalur sepanjang perjalanan mendaki sejauh 645 meter. Semangat dan kekuatan ini, Siti Khadijah perolehi dari keinginannya untuk menunjukkan kepedulian kepada suaminya, kerana keinginan kuat dalam mendampingi dan membantu perjuangan suami dan kerana Siti Khadijah memang sentiasa memberikan perlindungan untuk suami tercinta dari rasa kasih serta kesetiaan yang mendalam terhadap suaminya.

Pada satu malam, Nabi didatangi oleh Jibril di Gua Hira’. Lalu Nabi S.A.W balik dalam keadaan ketakutan dan menggigil badannya. Siti Khadijah terus menyelimutinya tanpa bertanya itu ini. Setelah Nabi S.A.W tenang, Nabi sendiri yang ceritakan semuanya kepada Siti Khadijah kekasihnya dan bukan Siti Khadijah yang mengorek dan bertanya terlebih dahulu. Jadi kalau mahu menjadi penghuni syurga, buat suami suka balik ke rumah dan berkongsi masalah bersama. Isteri sepatutnya menjadi pendukung kepada pekerjaan suaminya dan menjadi penguat hati suaminya.

Akhirnya Siti Khadijah berkata kepada Rasulullah S.A.W, “Demi Allah!, Allah tidak akan menghinakan kamu. Engkau orang yang baik, engkau orang yang menyambung silaturrahim, engkau jujur dalam berkata-kata, Engkau membantu fakir miskin, Engkau tegakkan kebenaran dan sama sekali tidak mungkin Allah menghinakan kamu.”

JIka dilihat kata-kata Khadijah di atas, semuanya menyatakan mengenai kebaikan Nabi S.A.W dan tidak satu pun dia menyatakan mengenai dirinya. Lalu Siti Khadijah membawa Rasulullah S.A.W menemui sepupunya Waraqah bin Naufal. Di sana, boleh lihat adabnya seorang isteri kepada suaminya sebagai tanda hormat kepada suaminya. Beliau berkata kepada sepupunya, “Dengarkan dari sepupumu.” Dia tidak menyuruh suaminya menceritakan tetapi menyuruh Waraqah mendengarkannya dari Nabi S.A.W sendiri. Sangat cantik gaya bahasa dan akhlak Khadijah terhadap suaminya.

Ketika Nabi S.A.W menceritakan mengenai sifat-sifat penghuni neraka, Nabi menyatakan mengenai kenapa wanita menjadi penghuni neraka yang terbanyak?

“Aku melihat neraka, maka aku tidak pernah melihat pemandangan seperti yang terjadi pada hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita.” Mereka bertanya lagi, “Kenapa wahai Rasulullah.” Beliau menjawab, “Kerana kekufuran mereka.” Para Sahabat bertanya lagi, “Apakah lantaran kekafiran mereka kepada Allah S.W.T?” Beliau menjawab, “Mereka mengkufuri perlakuan dan kebaikan suaminya. Sekiranya kamu berbuat baik kepada salah seorang dari mereka selama setahun penuh, lalu ia melihat sesuatu yang tidak baik darimu, ia pun akan berkata, “Aku tidak melihat kebaikan sedikit pun darimu.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Yang kebiasaannya yang dilihat oleh wanita-wanita yang tidak bersyukur dan kufur adalah keburukan suaminya. Dan Siti Khadijah tidak sebutkan satu pun keburukan suaminya sebab selama ini yang dia pandang cuma kebaikan suaminya. Jadi nak jadi penghuni syurga, lihat kepada kebaikan suamimu dan jangan kufur kepada suamimu. Suami manusia biasa yang sering melakukan kesilapan seperti kita juga. Tetapi dia juga punyai kebaikan. 

Jadi didiklah hatimu, biasakan hanya melihat kebaikan dan jangan menjadi seperti lalat. Lalat itu, hinggapnya hanya di tempat yang kotor. Jadilah seperti lebah, yang meninggalkan tempat yang kotor dan hinggap di tempat yang bersih seperti bunga, dia ambil madunya dan dia tidak merosakkannya. 

Dalam dakwah Rasulullah S.A.W, pelbagai penghinaan dilemparkan kepada Baginda, dituduh penyihir, dukun, penyair, pendusta dan caci maki dilemparkan oleh kafir Quraisy tetapi Khadijah tidak pernah menyalahkan kerja dakwah Nabi S.A.W. Malah Khadijahlah penyokong dakwah Nabi dengan semua yang dia ada sehingga dua puterinya diceraikan, Roghayah dan Ummu Khalsom menjadi janda. Khadijah sama sekali tidak menyalahkan suaminya. Di tahun ketujuh kenabian umat Islam diboikot. Perniagaan Khadijah jatuh tetapi Khadijah tetap utuh di sisi Nabi S.A.W. Malah beliau sentiasa bersabar. 

Dengan akhlak inilah, Nabi S.A.W tidak pernah melupakan pengorbanan dan kebaikan Siti Khadijah walaupun ketika Siti Khadijah sudah wafat. Tiada ganti sebanding Khadijah di hati Rasulullah S.A.W. Ketika orang mendustai Rasulullah, Khadijah mempercayainya dan Khadijah menjadikan Nabi S.A.W merasakan bahawa semua hartanya adalah juga harta Nabi dan Nabi gunakan semua miliknya untuk urusan dakwah.

“Suatu hari Nabi S.A.W sedang berbicara dengan Jibril, Jibril berkata kepadaku, “Ya Muhammad, sekiranya Khadijah datang ke sisimu, katakan kepadanya, “Allah S.W.T berkirim salam kepadanya dan aku juga berkirim salam kepadanya dan sampaikan berita gembira kepadanya bahawa dia akan mendapatkan sebuah rumah di syurga. Sebuah rumah untuknya di syurga yang terbuat dari mutiara, tiada di situ ucapan-ucapan yang kotor dan dia tidak merasa keletihan di dalamnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Masya-Allah, Allah S.W.T berkirim salam kepada Khadijah. Siti Khadijah benar-benar merupakan hamba yang dicintai Allah S.W.T, para malaikat dan suaminya sendiri. Apa yang menyebabkan Allah S.W.T cinta kepada Khadijah? Kerana Khadijah bersabar mendampingi Rasulullah S.A.W di atas pelbagai ujian dan kata-kata kotor yang dilemparkan orang kepada suaminya. Nabi sangat sedih bila Khadijah wafat sehingga dinamakan tahun itu sebagai tahun kesedihan bagi Rasulullah S.A.W.

4. Fatimah  Az Zahra binti Muhammad Rasulullah S.A.W.

Saidatina Fatimah ialah puteri bongsu Nabi Muhammad S.A.W bersama Siti Khadijah R.A. Allah telah menjanjikan syurga untuk Fatimah serta menjadi role model wanita Islam. Beliau seorang yang matang, sabar dan bijak:

Tokoh wanita syurga ada empat, Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulullah S.A.W, Siti Khadijah binti Khuwailid dan Asiah binti Muzahim.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi S.A.W menikahkan puteri kesayangannya sebagai wanita terbaik, Fatimah Az Zahra dengan pemuda terbaik, Ali bin Abu Thalib. Fatimah berkahwin dengan Ali bin Abu Talib, seorang yang miskin. Semasa datang meminang puteri Nabi S.A.W, Ali tidak punya apa-apa. Rasulullah S.A.W pun bertanya yang bermaksud: Bukankah kamu ada baju besi?” Lalu Ali pun bertanya Nabi S.A.W, “Adakah baju besi itu dijadikan mahar untuk puterimu?” lalu dijawab oleh nabi S.A.W yang bermaksud: “Ya.”:

“Dari Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Sesungguhnya pernikahan yang paling besar berkahnya adalah yang paling mudah maharnya.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Maka berkahwinlah Fatimah dengan Ali bin Abu Thalib. Duduk di dalam bilik yang kecil yang bersebelahan dengan rumah Nabi S.A.W. Bagaimana sabarnya Fatimah, hidup bersama suami yang miskin dan hamil rapat antara satu sama lain. Mereka hidup bahagia dan saling bantu membantu dalam menguruskan keperluan rumah tangga.

Kehidupan rumah tangga mereka begitu sederhana. Pernah suatu ketika tangan Fatimah kasar kerana menumbuk gandum sendiri. Saat itu Fatimah memiliki bayi yang bernama Hassan dan Fatimah juga sedang hamil Hussien sehingga dia rasa keletihan. Dia tidak ada pembantu sehingga tangannya kasar. Lihatlah penghuni syurga, tangannya kasar dalam melaksanakan tugas sebagai seorang isteri. Melihat ini, Ali kasihan kepada isterinya dan inginkan seorang pembantu untuk isterinya daripada Rasulullah S.A.W.

Fatimah menjumpai Rasulullah S.A.W di rumah Aisyah tetapi Rasulullah S.A.W tidak ada. Dan bila Rasulullah S.A.W balik rumah dan Baginda diberitahu yang puterinya datang tadi dan dia ingin seorang pembantu. Lalu Rasulullah S.A.W terus ke rumah Fatimah yang Fatimah sudah di perbaringan. Rasulullah S.A.W tidak beri mereka bangun dan Rasulullah S.A.W duduk di antara Ali dan Fatimah. Adakah Nabi S.A.W memberi pembantu kepada Fatimah? Rasulullah tidak memberikan Fatimah pembantu, tetapi Rasulullah memberikan yang lebih baik dari pembantu.

Nabi S.A.W mengajarkan kepada mereka suatu amalan yang membuatnya lebih baik dari seorang pembantu. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bahawa sebelum kamu tidur, kamu bacalah, subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu akbar 34 kali. Ini lebih baik daripada pembantu.”

Keperluan mereka akan terpenuhi atas izin Allah S.W.T. Ali mengatakan, “Kekuatan mereka meningkat hingga tidak perlu kepada pembantu lagi.” Subhanallah, bagaimana sabarnya Fatimah. Ayahnya meninggal dunia, dia tidak mewarisi harta ayahnya. Enam bulan selepas kewafatan Nabi, Fatimah pula wafat. Ketika hidupnya, dia tidak pernah hidup mewah dan tinggal di rumah yang serba mewah dan lengkap. Dan apa sahaja yang dia ingin, dia kena lakukan sendiri dan dia tetap bersabar menghadapinya. 

Kesimpulan

Jadi bagi semua wanita yang ingin menjadi bidadari syurga, ingatlah! Bahawa kenikmatan tidak akan dapat diraih dengan kenikmatan. Kenikmatan diraih dengan perjuangan. Allah S.W.T menciptakan dan menyediakan syurga sebagai hadiah untuk hamba-Nya yang taat dan melaksanakan amal soleh selama hidup di dunia. Hal ini disebutkan Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (dikatakan lagi kepada mereka): “Inilah syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan amal soleh yang kamu telah kerjakan”.”

(Az-Zhukruf: 72)

Binalah harapan untuk mempunyai rumah di syurga Allah S.W.T dengan bersabar. Bersyukur dengan apa sahaja rezeki yang dibawa oleh suami, kalau ada masalah dengan suami, datangi suami untuk mencari penyelesaian bagi masalah bukan denagn melarikan diri dari masalah.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, patuh kepada suaminya, menjaga kehormatan dirinya dan ketika kamu melakukan semuanya itu nescaya akan dikatakan kepadanya, dipersilakan kamu masuk syurga dari pintu mana sahaja kamu inginkan.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Jadi moga semua wanita yang membaca ini akan menjadi bidadari syurga dan yang lelakinya menjadi penghuni syurga.

Wallahu’lam.

FARIDAH KAMARUDDIN