• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,314 orang
  • Tetamu Online

Apabila ibu menjadi amah

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir 

ANTARA salah satu tanda daripada tanda-tanda hampirnya kiamat adalah situasi ibu yang pada suatu ketika mengandung, melahirkan, menyusu dan menjaga anak sejak dari kecil akhirnya bertukar menjadi orang bawahan atau pembantu kepada anaknya sendiri. Hal ini dijelaskan dalam hadith daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Di antara tanda-tanda kiamat adalah apabila kamu melihat pengembala kambing menjadi pemimpin manusia dan kamu melihat orang yang bertelanjang dan berkaki ayam (miskin) akan berlumba-lumba meninggikan bangunan dan apabila ibu melahirkan tuannya.” (HR Shuib al-Arnaout)

Pendapat Al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai ‘ibu melahirkan tuannya’ mengisyaratkan bahawa akan banyaknya penderhakaan manusia kepada ibu mereka sendiri. Gambaran ini sudah jelas kelihatan apabila anak-anak dalam keadaan sedar atau tidak menjadikan mereka seperti pembantu rumah dengan membuat kerja-kerja memasak, membasuh, mengasuh cucu dan lain-lain. Walaupun pada satu ketika ibu melakukan perkara itu secara sukarela, demi membantu anak-anaknya yang bekerja namum perkara tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadikan ibu kandung sendiri sebagai orang gaji mereka.

Dalam al-Quran terdapat dua perkataan yang membawa maksud ibu iaitu umm dan walidah. Perkataan umm menjelaskan peranan ibu yang mengandung dan melahirkan tanpa melihat sifat seseorang ibu itu sama ada baik atau buruk. Hal ini merujuk kepada segelintir wanita yang mengandung dalam keadaan terpaksa dan akhirnya menggugurkan atau membuang bayi tersebut apabila dilahirkan. Kata walidah digunakan hanya karana adanya proses melahirkan, baik bagi manusia maupun makhluk lain.

Ibu yang digelar dengan nama walidah inilah menggambarkan tempat menumpahkan segala pengorbanan tanpa membezakan apakah ia baik atau tidak. Allah berfirman maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al Isra ayat 23)

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam ayat 32)

Imam Asy Syarbini menjelaskan ibu disebutkan secara khusus dalam al-Quran kerana menanggung beban berat dan banyak daripada rasa sakit dan kesulitan ketika melahirkan, menyusui dan mengasuh. Dalam tempoh ini, ibu bersengkang mata, berkorban apa sahaja bagi memastikan anaknya membesar dalam keadaan sihat dan dijaga rapi. https://933baf7843cff2ccd20bce8382c327f3.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Mulianya ibu apabila al-Quran memberitakan kepada kita mengenai dalamnya cinta ibu kepada anak-anaknya dan besarnya kasih sayang dan kelembutannya kepada mereka. Islam adalah agama yang sangat menitik beratkan soal berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibu bapa) adalah antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT. Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa.” (Surah Al-Nisa’ ayat 36)

Justeru, ibu tidak sepatutnya dilayan seperti orang gaji walaupun tiada sedikit rungutan yang keluar daripada mulutnya. Ibu perlu dimuliakan oleh anak walaubagaimana tingginya kedudukan taraf dan pangkat anak dalam pekerjaan. Oleh itu, sisa umur ibu tidak perlu dihabiskan dengan menjaga cucu dan menjadi petugas utama dalam rumah anak mereka. Semoga anak-anak dapat menjaga dan berbakti kepada ibu bapa ketika hayatnya masih ada.

Penghina agama cetus pergolakan dalam negara

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kehidupan harmoni antara rakyat berbilang agama dan kaum akan terus terpelihara jika setiap lapisan rakyat di negara ini mendisiplinkan diri menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, insiden pergaduhan antara lima penghantar makanan Food Panda dan seorang pelanggan yang membabitkan sensitiviti agama di Sungai Way, Petaling Jaya yang kecoh baru-baru ini sudah tentu tidak akan berlaku.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebagai sebuah negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana Perkara 3 (1), ia antara perkara istimewa yang tidak boleh digugat.

Ulasnya, sebagaimana Perkara 11 (4) maka penghinaan ke atas Islam adalah satu perkara yang melampaui batas dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini selain dari tidak menghormati sensitiviti penganut Islam sebagai majoriti penduduk di Malaysia.

Pihaknya juga mengecam tindakan pelanggan berkenaan yang merupakan penganut Kristian dalam insiden pergaduhan dengan penghantar makanan Food Panda yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Melalui video yang tular itu, jelas menunjukkan lelaki Kristian tersebut dengan bongkak telah menghina agama Islam.

“Malah, di hadapan penghantar Food Panda yang merakam ucapan lelaki terbabit dengan mudah mendakwa ‘anak Allah’ dalam keadaan langsung tidak menghormati sensitiviti penghantar Food Panda yang beragama Islam.

“Tercetus pergaduhan tersebut jelas apabila tindakan menghina agama Islam dan tidak menghormati sensitiviti penganut Islam.

“Walaupun secara asasnya insiden ini mesti diselesaikan dengan mengikut lunas perundangan bagi kedua-dua pihak, namun punca kepada insiden ini iaitu penghinaan agama adalah pencetus kepada provokasi pergolakan yang dikecam dengan keras,” katanya.

Tambahnya, terdapat 10 negeri di Malaysia termasuk negeri Selangor iaitu negeri yang merupakan tempat kejadian itu berlaku, sebenarnya mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) khususnya Jadual (Seksyen 9) Bahagian I.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh menegaskan, perkara ini jelas telah memperuntukkan perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam.

Antara lain, kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, firman Allah, hadis, Illahi, wahyu, ibadah dan perkataan lain yang tersenarai dalam Jadual Bahagian I Enakmen tersebut.

“Kehidupan harmoni di negara ini akan terpelihara jika setiap pihak saling menjaga sensitiviti penganut lain serta hidup saling menghormati dengan memahami apa perkara yang dibenarkan serta tidak melampaui batas dalam perkara yang dilarang oleh perundangan.

“DUPP mengharapkan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan isu penghinaan agama ini dapat dibendung lebih awal kerana ia merupakan provokasi kepada pergolakan dalam negara dan penyebab kepada tercetusnya hubungan yang tegang antara kaum dan penganut agama yang berbilang dalam negara Malaysia,” katanya

Kenapa jantina ketiga tidak wajar diiktiraf di Malaysia?

SAYA terkejut melihat status di laman Facebook SUHAKAM bertarikh 14 Jun 2021 yang mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan jantina ketiga. Lebih mengejutkan apabila hasil yang disasarkan daripada penyelidikan itu ialah ke arah mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia. [1] 

Saya percaya ramai lagi yang tertanya-tanya pendirian terkini SUHAKAM apabila melihat status tersebut. Penyelidikan mestilah bertujuan untuk mengetahui fakta sebenar secara adil, dan bukannya awal-awal lagi didasarkan atas premis yang bias.

Sebarang usaha ke arah mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia tidak boleh diterima kerana:

1. Ia membuka ruang kepada perkahwinan sesama jantina.

Adakah kita sanggup untuk melihat runtuhnya institusi kekeluargaan yang melahirkan zuriat dan keturunan? Runtuhnya institusi kekeluargaan akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap kelangsungan generasi dan populasi rakyat sesebuah negara.

Adakah kita sudah bersedia melihat seorang ayah tiba-tiba berubah menjadi perempuan, dan anak-anak tiba-tiba kehilangan watak lelaki seorang ayah? Atau seorang ibu secara tiba-tiba memilih untuk tidak lagi menjadi perempuan dan anak-anak kehilangan watak wanita sebagai seorang ibu? [2]

Perubahan seperti ini akan memangsakan anak-anak apatah lagi jika mereka masih kanak-kanak. Adakah kita mahu situasi ayah secara tiba-tiba berubah menjadi ’emak’ dan emak tiba-tiba berubah menjadi ‘ayah’ berlaku di Malaysia?

2.Ia membuka ruang kepada perlakuan jenayah seterusnya menjadi ancaman kepada undang-undang negara.

Perlakuan liwat adalah menjadi satu kesalahan dalam Undang-undang Sivil (377A dan 377C Kanun Keseksaan) dan juga Undang-undang Syariah [Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.]

3. Ia membuka ruang kepada ketidakadilan terhadap jantina asal. Contohnya dalam aspek sukan.

Atlet wanita terdedah pada pertandingan yang tidak adil memandangkan kemampuan fizikal lelaki dan wanita adalah berbeza walaupun fizikal lelaki itu berpenampilan wanita.

Inilah yang telah berlaku kepada seorang atlet wanita bernama Chelsea Mitchell dan beberapa atlet wanita yang memfailkan saman bersama Alliance Defending Freedom terhadap Connecticut Interscholastic Athletic Conference, kerana dia dan rakan-rakannya kalah apabila berlawan dengan atlet transgender (yang asalnya berjantina lelaki).

Asas bantahan mereka ialah atlet wanita terhalang daripada perlawanan yang adil apabila jantina ketiga dibenarkan bertanding dalam kategori wanita. [3]

4. Membuka ruang kepada penipuan jantina terhadap pasangan (gender identity fraud). Risiko lebih besar di negara Malaysia yang masih teguh pegangan agama dan nilai ketimuran, adalah perkahwinan didirikan atas sebab penipuan.

Lelaki yang mahu berkahwin dengan wanita sejati begitu juga sebaliknya bagi wanita yang mahu berkahwin dengan lelaki sejati, berkahwin dengan bukan lelaki atau wanita asli kerana jantina ketiga diterima dan dibenarkan.

Adakah kita mahu kisah Gayle Newland yang didapati bersalah di Mahkamah UK kerana menipu jantina sebenar, berulang lebih banyak di Malaysia jika ruang kepada jantina ketiga dibenarkan di sini? [4]

5. Rakyat negara ini majoritinya beragama Islam dan Perlembagaan Negara meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan manakala agama lain bebas diamalkan dalam negara.

Justeru itu prinsip-prinsip agama khususnya Islam tidak boleh dikesampingkan dalam mendefinisikan hak asasi manusia.

Hal ini kerana kebebasan beragama (freedom of religion) tidak bermaksud bebas dari agama (freedom from religion). Kita tetap menjunjung Rukun Negara yang pertama – Kepercayaan kepada Tuhan. Islam mempunyai pandangan jelas berkenaan golongan yang mengalami kekeliruan jantina. Hukum berkenaan khunsa atau Disorder of Sex Development (DSD) telah lama dibahaskan oleh para fuqaha sebelum istilah hak asasi manusia dilaung-laungkan lagi. [5]

Ini bermakna kewujudan mereka yang lahir dengan masalah organ jantina diakui masalah mereka dalam Islam beserta hukum dan penyelesaiannya. Namun jantina ketiga dengan mengubah jantina sedia ada adalah isu yang sama sekali berbeza.

Malah tidak pula dinafikan mereka yang diuji dengan perasaan cenderung pada sesama jantina dalam keadaan mereka bukan khunsa, maka ini adalah ujian yang memberi mereka pilihan sama ada untuk bertakwa dengan mematuhi pantang larang agama, atau menurut sahaja keinginan nafsu perasaan. 

Bagi yang memilih takwa akan dimuliakan Allah dengan syurga.

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal (nya).”

(an-Nazi’at: 40-41)

Perlu dibezakan antara ujian dan keingkaran. Ujian tidak salah. Namun keingkaran terang-terangan adalah satu bentuk kesombongan.

6. Hak asasi manusia mestilah berdiri di atas kompas yang betul. Sebarang usaha mengkesampingkan pandangan agama terutama dalam masyarakat yang masih teguh pegangan agamanya, adalah satu kepincangan dan mencemari hak asasi manusia yang hakikatnya luhur.

MARDHIYYAH JOHARI 
Peguambela dan Peguamcara Peguam Syarie.
Ketua Kluster Undang-undang,
Pertubuhan Advokasi dan Hak Asasi Wanita Antarabangsa Malaysia/ i-AWARE)

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158496247268212&id=140458708211
[2] https://abcnews.go.com/Health/transgender-parenting-children-cope-mom-dad/story?id=16010681
[3] https://www.usatoday.com/story/opinion/2021/05/22/transgender-athletes-girls-women-sports-track-connecticut-column/5149532001/
[4] https://www.independent.co.uk/news/uk/crime/gayle-newland-guilty-latest-sexual-assault-trial-woman-poses-man-trick-friend-sex-prosthetic-penis-a7814771.html
[5] https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/751-irsyad-al-fatwa-ke-202-hukum-hakam-berkaitan-khunsa

Suhakam hilang arah tuju, mahu iktiraf LGBTQ

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bersuara supaya bajet tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang diperuntukkan kerajaan digunakan sebaiknya untuk membantu kerajaan menjaga keharmonian serta memelihara hak-hak rakyat dalam negara, bukan sebaliknya.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, hasrat Suhakam untuk menjalankan kajian bertajuk ‘Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia‘ adalah satu cubaan ke arah mengiktiraf perbuatan transgender di dalam negara Malaysia.

“Suhakam seperti sudah hilang arah tuju dan ini adalah amat malang dalam suasana negara yang sedang dilanda wabak Covid-19, yang seperti mahu mengundang bala Allah SWT.

“Kewujudan lesbian, gay, bisexual, transgender, queer, and questioning (LGBTQ) telah jelas bertentangan dengan fitrah manusia dan melanggar undang-undang negara.

“Ia jelas dinyatakan di dalam Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kajian yang akan dijalankan Suhakam itu bukan sahaja bertentangan dengan Islam, malah undang-undang negara yang menyifatkan hubungan transgender adalah seks luar tabi’i.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 telah memutuskan bahawa, seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun lelaki atau perempuan itu berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

“Apakah SUHAKAM kini sudah menjadi wadah perjuangan dan mempromosi golongan LGBTQ yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia sehingga sanggup menggadai kedaulatan negara?” soalnya.

Tambah beliau, ini bukan kali pertama Suhakam melakukan perkara yang sia-sia dengan wang rakyat yang dibazirkannya.

Justeru itu, beliau berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dapat mengkaji tindakan sewajarnya untuk membendung kesesatan itu dengan kadar segera.

“Saya juga mengharapkan agar Perdana Menteri Malaysia segera bertindak menamatkan keahlian Pesuruhjaya Suhakam dan menggantikan mereka dengan individu yang lebih berintegriti serta membawa kembali Suhakam kepada tujuan penubuhannya,” katanya lagi

Bila hubungan kita Renggang & tak kenal

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Dengan situasi pendamik Covid-19 yang masih lagi belum pulih sepenuhnya, banyak perancangan yang ingin dilakukan tergendala. Dalam masa sama, manusia mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan virus tersebut terutama di kalangan ahli keluarga terdekat.

Situasi ini adalah perancangan Allah SWT ke atas seluruh hambanya, umat akhir zaman. Rentetan daripada keadaan ini, manusia akan mula mengelak daripada bertemu dan kesannya adalah manusia mula tidak mengenali antara satu sama lain sedikit demi sedikit. 

Gambaran ini adalah satu tanda daripada tanda-tanda kiamat yang dinyatakan Baginda Nabi SAW yang bermaksud:  “Ilmu tentang Hari Kiamat itu ada pada Allah, tidak ada yang mengetahui waktu terjadinya kecuali Dia, tetapi aku hendak memberitahu kepadamu tentang tanda-tandanya dan apa yang akan terjadi sebelumnya. Sesungguhnya sebelum datangnya Hari Kiamat itu akan terjadi fitnah dan haraj.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tentang fitnah itu kami telah mengerti, tetapi apakah haraj itu?, Baginda menjawab dengan dielek Habsyah: “Pembunuhan dan akan terjadi sikap tidak mengenali di antara manusia, maka setiap orang hampir-hampir tidak mengenali yang lain.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis  no 389)

Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil menjelaskan, sikap tidak saling mengenali ini akan terjadi ketika banyak fitnah dan cubaan berlaku. Puncanya disebabkan banyak terjadi peperangan di antara manusia kerana tujuan tertentu. Apabila manusia dikuasai oleh sikap kebendaan (materialistik) dan masing-masing bekerja dan berusaha untuk keuntungan peribadi, maka mereka sudah tidak menghiraukan kepentingan dan hak orang lain.

Perkara ini berkait rapat dengan sikap mementingkan diri sendiri yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Manusia yang mempunyai sikap sebegini akan hidup dalam cengkaman hawa nafsu dan syahwat. Maka tiada lagi nilai-nilai akhlak yang membolehkan manusia kenal mengenali antara satu sama lain. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat ayat 13)

Situasi manusia yang tidak saling mengenali ini bertitik tolak dari sikap sombong manusia sehingga terputusnya tali silaturahim lebih-lebih lagi semasa jiran tetangga. Nabi SAW bersabda daripada Abdullah bin Amr RA, maksudnya:  “Hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga orang yang dapat dipercayai didustakan, sedangkan orang-orang yang khianat dipercayai sehingga terzahirnya perkara kotor dan keji, terputusnya silaturahim dan hubungan jiran tetangga yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis no 2/266)

Hadis  ini mengisyaratkan di antara tanda-tanda kiamat juga adalah hubungan buruk sesama jiran tetangga yang merujuk kepada sikap suka menyendiri demi kepentingan hidup, persaingan dan peribadi yang sombong.

Sekiranya terdapat dalam masyarakat sifat dusta, curiga, hasad dengki terhadap kenikmatan dan kelebihan orang lain serta persaingan untuk mendapatkan habuan dunia, maka sudah tentu nilai hubungan antara jiran tetangga yang baik akan pudar.

Tanda ini adalah kesinambungan kepada perkara yang menyebabkan terputusnya hubungan silaturahim sesama manusia sehingga manusia sudah tidak mengenali antara satu sama lain.  

Jiran mencakupi semua orang Muslim dan kafir, orang taat beribadah dan orang fasik, teman atau musuh, orang asing dan pribumi, orang baik dan orang jahat, saudara dan bukan saudara, yang paling berdekatan rumahnya dan yang berjauhan. Sama ada yang tinggal di atas, bawah, kiri, kanan, depan dan belakang yang mencapai 40 rumah. 

Allah SWT berfirman maksudnya:  “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)

Laknat Allah kepada jiran tetangga yang bertepuk riang sekiranya saudaranya ditimpa musibah dan bermasam muka sekiranya saudaranya berada dalam keadaan gembira.

Laknat Allah kepada jiran tetangga yang sentiasa mencari-cari aib saudaranya untuk dibuka dan menunggu kesalahan yang timbul untuk memperdayakannya 

Laknat Allah kepada jiran tetangga yang menyembunyikan pelbagai kebaikan saudaranya dan menunggu-nunggu kesempatan untuk membuat sesuatu kepadanya dengan menyelidik dan mencurigakan dengan apa sahaja perbuatan yang dilakukannya.

Laknat Allah kepada jiran tetangga yang setiap hari akan menghasut dirinya dengan hati mereka yang penuh dengki serta menghujani saudaranya dengan api permusuhan dan dendam yang tiada kesudahan.

Kepentingan berlaku baik kepada jiran adalah salah satu jalan bagi mengelakkan terputusnya hubungan silaturahim semasa manusia dan menjauhkan diri daripada keadaan tidak mengenali antara mereka. Nabi SAW bersabda daripda Abi Syuraih RAyang bermaksud:  “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Hadis Riwayat Muslim, hadis  no 77)

Dalam hadis  lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah seseorang yang terbaik terhadap temannya. Manakala sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah seorang yang paling baik dengan jirannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, hadis  no 1944)

Bagi mereka yang suka menyakiti jiran mereka, Nabi SAW mengisyaratkan balasan yang berat bakal diterima oleh mereka.  Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Hadis Riwayat Muslim, hadis  no 73)

Di dalam hadis  yang lain pula, Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: ‘Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.’ Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Dia akan masuk ke dalam neraka.'” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis  no 9675)

Justeru itu, petanda akhir zaman ini berkait rapat dengan sikap manusia yang suka menyendiri, bersifat sombong dan tidak berbuat baik sesama jiran tetangga. Kesannya, perhubungan antara mereka mulai renggang dan akhirnya membawa kepada tidak mengenali sesama manusia.

Dengarlah khabar jiran

Datuk Mohd Ajib Ismail

Peningkatan kes pandemik Covid-19 di seluruh negara sememangnya mengundang kerisauan dan kegusaran pelbagai pihak. Namun walaupun kita sedang melalui fasa sekatan pergerakan penuh susulan perkembangan tersebut, menjaga penjarakan sosial setiap masa, dan sebahagiannya perlu menjalani kuarantin di rumah, bukanlah bermaksud kita tidak perlu mengambil tahu atau peduli terhadap keadaan orang lain yang berada di sekeliling termasuk jiran tetangga dan rakan sekerja. Sifat mengambil berat terhadap keadaan orang di sekeliling adalah dituntut di dalam apa jua situasi sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 36 bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Di dalam tempoh pergerakan yang terhad ini, kebanyakan kita hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke tempat kerja bahkan tidak dapat pulang ke kampung. Maka jiran adalah antara insan yang paling hampir dengan kita ibarat ahli keluarga sendiri. Di dalam sebuah hadis daripada Abi Syuraih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim)

Justeru, dengar-dengarlah khabar jiran tetangga, mungkin ada dalam kalangan mereka yang mengalami kesakitan, hilang punca pendapatan ataupun terputus bekalan makanan. Di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Riwayat At-Tabrani). Justeru antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga. Bahkan tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang berada dalam kelaparan.

Di sebahagian tempat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sebagai bukti keprihatinan kepada kejiranan yang memerlukan misalnya melalui program gerobok rezeki di masjid, surau dan kawasan perumahan. Program tersebut digerakkan hasil sumbangan daripada orang ramai untuk dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan. Ia berkonsepkan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain daripada orang ramai yang ditempatkan di rak terbuka untuk diambil oleh golongan yang memerlukan pada bila-bila masa. Di Wilayah Persekutuan, peti sejuk beku yang dinamakan community freezer juga ditempatkan di beberapa masjid bagi tujuan sumbangan barangan basah seperti ikan, ayam dan daging.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pula akan meneruskan komitmen melaksanakan program Musaadah melalui JAWI Food Bank dan Sumbangan Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 di bawah teras sosial dan komuniti turut memperkenalkan program haqqul jar yang mengandungi aktiviti ziarah kasih dan bakul kasih bertujuan mengagihkan sumbangan kepada kejiranan di samping menyuburkan keharmonian antara kaum serta menyebarkan syiar Islam sebagai agama kedamaian.

Dalam tempoh sekatan pergerakan ini, lebih banyak masa diluangkan di rumah. Mungkin juga ada jiran-jiran yang melaksanakan kerja dari rumah. Oleh itu awasilah diri dan keluarga agar tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenteraman jiran lain ataupun mengganggu waktu rehat mereka. Selain sering bertanya khabar, Islam juga menuntut agar tidak menyakiti perasaan jiran. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak berasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim)https://954e637bdeb78555829b5b762dc864e1.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Hurairah RA berkata maksudnya: “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya. Lalu Nabi SAW bersabda: Dia akan masuk ke dalam neraka.”  (Riwayat Ahmad)

Contohilah akhlak yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW bersama jiran. Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila kita sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Jiran adalah orang yang paling dekat untuk meminta pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan dan kematian.

Sekiranya mendengar khabar kematian dalam kalangan ahli keluarga jiran tetangga, kita disarankan agar berpesan dengan kesabaran, menenangkan dan membantu meringankan beban. Di dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika mendengar berita kematian Ja’far ibn Abi Talib, baginda bersabda yang bermaksud: “Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan).” (Riwayat Ibnu Majah)

Jiran amat diperlukan bagi mendapatkan pertolongan yang diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atas sanak-saudara tiba. Semakin kerap kita membantu jiran tetangga maka semakin kuat ikatan dan hubungan kejiranan. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dibudayakan di dalam kehidupan berjiran agar dapat membentuk hubungan akrab sesama jiran. 

Di dalam hal berjiran dengan golongan bukan Muslim, Allah SWT tidak melarang orang Islam menjalin hubungan baik dengan bukan Islam bahkan tidak menjadi kesalahan mengadakan hubungan dengan bukan Islam selagi tidak memberi ancaman kepada Islam serta umatnya. Nabi Muhammad SAW memandang berat terhadap mereka yang menyakiti kafir zimmi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada Hari Kiamat.” (Riwayat Abu Daud)

Wajib Muliakan ibu bapa

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Ibu bapa adalah insan yang sangat istimewa. Islam meletakkan kedudukan ibu bapa pada satu tempat yang tinggi kerana kewajipan berbakti dan menghormati mereka adalah  besar selepas beriman kepada Allah dan menyembah-Nya serta tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.

Dalam al-Quran terdapat dua perkataan yang membawa maksud ibu iaitu ‘umm’ dan ‘walidah’. Perkataan ‘umm’ menjelaskan peranan ibu yang mengandung dan melahirkan tanpa melihat sifat seseorang ibu itu sama ada baik atau buruk. Hal ini merujuk kepada segelintir wanita yang mengandung dalam keadaan terpaksa dan akhirnya menggugurkan atau membuang bayi tersebut apabila dilahirkan. Kata ‘walidah’ digunakan hanya karana adanya proses melahirkan, baik bagi manusia maupun makhluk lain. Ibu yang digelar dengan nama ‘walidah’ inilah menggambarkan tempat menumpahkan segala pengorbanan tanpa membezakan apakah ia baik atau tidak. Allah berfirman maksudnya:  “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘uuh’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al Isra ayat 23)

Mulianya ibu bapa apabila al-Quran memberitakan kepada kita tentang dalamnya cinta ibu bapa kepada anak-anaknya dan besarnya kasih sayang dan kelembutannya kepada mereka. Islam adalah sebuah agama yang sangat menitikberatkan soal berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT.

Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:  “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah Al-Nisa’ ayat 36)

Dr  Muhammad Ali al-Hashimi menyatakan  bahawa ayat-ayat ini merujuk kepada kekuatan hubungan manusia dengan sang pencipta iaitu menyembah Allah SWT dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Kedudukan ibu bapa diangkat ke suatu peringkat sehingga ulama dan ahli falsafah tidak dapat mentafsirkannya lagi.  https://fb9e7d584f33356617e70d7296c2486f.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Dalam masa sama antara salah satu tanda hampirnya kiamat adalah situasi ibu yang pada suatu ketika mengandung, melahirkan, menyusu dan menjaga anak sejak dari kecil, akhirnya bertukar menjadi orang bawahan atau pembantu kepada anaknya sendiri. Hal ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  “Di antara tanda-tanda kiamat adalah apabila kamu melihat pengembala kambing menjadi pemimpin manusia dan kamu melihat orang yang bertelanjang dan berkaki ayam (miskin) akan berlumba-lumba meninggikan bangunan dan apabila ibu melahirkan tuannya.” (Hadis riwayat Shuib al-Arnaout)

Pendapat al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai ‘ibu melahirkan tuannya’ mengisyaratkan bahawa akan banyaknya penderhakaan manusia kepada ibu mereka sendiri. Gambaran ini telah jelas kelihatan apabila anak-anak dalam keadaan sedar atau tidak telah menjadikan mereka seperti pembantu rumah dengan membuat kerja-kerja memasak, membasuh, mengasuh cucu dan lain-lain. Situasi hari ini juga memperlihatkan ibu bapa hanya dihubungi sekiranya ada perkara penting sahaja berbanding rakan sekerja yang sentiasa diajak berborak dalam banyak perkara. Ibu bapa terus disisihkan umpama mereka tiada kaitan dengan kehidupan anak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  “Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam ayat 32)

Imam Asy-Syarbini menjelaskan ibu disebutkan secara khusus dalam al-Quran kerana menanggung beban berat dan banyak daripada rasa sakit dan kesulitan ketika melahirkan, menyusui dan mengasuh. Dalam tempoh ini, ibu bersengkang mata berkorban apa sahaja bagi memastikan anaknya membesar dalam keadaan sihat dan dijaga rapi. 

Pada hari ini, teknologi berkembang cukup pantas dan kita mampu untuk berhubung dengan sesiapa sahaja secara lansung. Maka gunakanlah peluang yang ada ini untuk selalu bertanya khabar ibu bapa di kampung. Jangan sekadar menggunakan suara sahaja, buatlah video call supaya kita boleh melihat mereka dan mereka juga seronok untuk melihat anak-anak kandung mereka. 

Banyak aplikasi dalam telefon yang membolehkan kita selalu berhubung dengan mereka. Jika ibu bapa masih menggunakan telefon lama, hadiahkanlah kepada mereka dengan yang baru mudah-mudahan senang untuk berhubung kelak. Ajarlah mereka menggunakan teknologi seperti mana mereka bersabar mengajar kita dari kecil dahulu. Jika kita boleh meluangkan masa sepanjang masa dengan telefon dan aplikasi dalam talian, tidak salah untuk kita menghantar emoji atau text bertanya khabar supaya hubungan kita dengan kedua-dua ibu bapa akan sentiasa subur.

Justeru, ibu bapa tidak sepatutnya dilayan seperti orang asing khsusunya dalam situasi pendemik yang masih lagi membataskan hubungan bersemuka dengan ibu bapa. Ibu bapa perlu dimuliakan oleh anak-anak walaubagaimana tingginya kedudukan taraf dan pangkat anak-anak dalam pekerjaan. Oleh itu, sisa-sisa umur ibu bapa perlu dimanfaat untuk bergembira dan merasa bahagian dengan anak-anak yang telah dididik dan dijaga rapi sehingga menjadi manusia berjaya pada hari ini. Semoga anak-anak dapat menjaga dan berbakti kepada ibu bapa ketika hayatnya masih ada. 

Nikmat rasa kebersamaan ketika musibah

Mohamad Muhaimin Mohd Zaki

ANTARA hikmah yang berlaku sewaktu pandemik Covid-19 kepada masyarakat di Malaysia adalah usaha yang gigih dan berterusan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.

Bermula daripada sesama ahli keluarga hinggalah ke peringkat kerajaan, pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat dalam menyemarakkan usaha tolong-menolong sesama insan.

Bukan sahaja melalui wang ringgit, sedekah dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan bentuk seperti tenaga, kepakaran, nasihat dan sebagainya yang membawa manfaat kepada penerimanya.

Oleh itu, manusia yang beriman mempunyai sifat mengambil berat terhadap keperluan dan kesukaran dialami orang lain terutama sewaktu mereka dalam kesusahan.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk saling tolong-menolong dan membantu seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)” (Surah Al-Maidah: ayat 2).

Terdapat beberapa kelebihan yang akan diperoleh apabila seseorang membudayakan amalan bersedekah dalam kehidupan seharian.https://431d996a6cca8c528408eb04f9ad425a.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Sedekah bukan hanya dilakukan apabila seseorang sudah bergelar hartawan atau pun kaya raya, sebaliknya dengan bersedekah akan menambahkan lagi harta seseorang seterusnya akan menjadikan dirinya berjaya di dunia dan akhirat.

Justeru, dengan amalan bersedekah berkenaan akan memupuk rasa kebersamaan sesama manusia.

Memberi akan melahirkan umat yang memiliki sifat empati sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia.

Ini kerana dalam Islam, kita semua adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat: ayat 10).

Selain itu, dengan bersedekah seseorang itu akan dipermudahkan urusannya oleh Allah SWT. Ini kerana, orang yang bersedekah tidak akan merasakan apa yang dimilikinya adalah kepunyaan mutlak dirinya sahaja, namun ia adalah pemberian Allah SWT yang sebahagiannya juga terdapat hak orang lain padanya.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, amalan bersedekah haruslah menjadi amalan yang berterusan lebih-lebih lagi pada saat dan ketika ini ramai dalam kalangan kita yang berada di dalam kesusahan serta memerlukan bantuan.

Bantu orang nescaya Allah bantu kita

Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM menekankan keperluan membantu sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Setiap hari kita berurusan dengan orang lain dengan cara mendapatkan bantuan serta khidmat daripadanya kerana kudrat diri yang terbatas.

Bagi membeli keperluan dapur misalnya, kita berurusan dengan peniaga di pasar.

Untuk memastikan anak mendapat pendidikan sempurna, kita berurusan pula dengan sekolah dan guru.

Maka, pihak yang terbabit membantu urusan orang lain perlu memastikan perkhidmatan diberikan pada tahap terbaik.

Setiap masalah yang diadukan mesti diberi layanan sepatutnya, hatta membabitkan perkara kecil sekalipun.

Memang manusia tidak ada yang sempurna. Walau bagaimanapun, berusaha mencapai kesempurnaan perlu menjadi keutamaan pihak yang menawarkan perkhidmatan kepada orang lain.

Berikan layanan mesra kepada orang yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan kerana mereka adalah orang yang berhajat untuk menyelesaikan masalah masing-masing.

Terdapat institusi tertentu yang menekankan aspek komunikasi antara pekerjanya dengan pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan.

Senyuman yang terukir dan kesabaran menjawab setiap persoalan yang timbul akan menjadikan sebahagian daripada masalah selesai.

Bayangkan, jika orang yang diajukan soalan tidak senyum, malah menjawab soalan acuh tak acuh sahaja.

Pasti akan timbul masalah lain dalam komunikasi antara pihak yang berurusan.

Semua pihak perlu mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan berlakunya masalah birokrasi dalam urus tadbir kerja.

Sebolehnya setiap proses yang perlu dilalui orang yang berurusan perlu mudah dan ringkas.

Elakkan mengguna pakai tatacara pengurusan yang sangat rumit dan panjang. Itu juga antara perkara asas yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak.

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam konteks kehidupan harian pula, ada kalanya kita bertemu keadaan orang lain yang memerlukan bantuan. Maka, sangat elok sekiranya kita dapat cuba membantu. Mungkin ada orang datang menemui kita dan menceritakan masalah yang dilaluinya, maka kita bantu dengan memberi nasihat yang berguna kepadanya. Mungkin juga kita didatangi orang yang memerlukan sedikit wang untuk menguruskan kehidupannya, maka ambillah kesempatan itu untuk menghulurkan bantuan seadanya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke da-lam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.

Mempositifkan kekangan

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pepatah Melayu ada menyebut masa itu emas. Manakala pepatah Arab pula mengatakan masa itu umpama pedang. Semuanya menunjukkan betapa pentingnya masa kepada seseorang. Perkara ini sebenarnya telah ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran. Bahkan, betapa ruginya orang yang mengabaikan masa. Firman Allah SWT: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian.” Surah al-‘Asr, ayat 1-2

Apabila dilaksanakan semula sekatan pergerakan penuh (PKP 3.0), ramai yang berasa seolah-olah mereka bercuti daripada bekerja. Arahan kerajaan supaya dilaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor tertentu bukan bermakna seseorang pekerja itu bercuti atau boleh menggunakan masa dengan perkara di luar daripada skop tugas biasa sewenang-wenangnya. Yang berbeza hanyalah lokasi bekerja. Seseorang tidak lagi berulang-alik ke tempat kerja seperti biasa, tetapi melakukan kerja harian dari rumah. Namun, bagi sesetengah pihak menganggap inilah masa untuk ‘mencuri’ ruang untuk kerja peribadi.

Sepatutnya masa yang dapat dijimatkan dengan BDR ini diambil peluang oleh pekerja untuk meningkatkan kompetensi masing-masing terutama yang berkaitan dengan penambahbaikan ilmu dan kepakaran berkaitan bidang kerja masing-masing. Contohnya, jika seorang pengurus, maka boleh menggunakan ruang masa yang ada dengan menambah ilmu pengurusan. Sama ada melalui pembacaan atau mengikuti kelas atau pengajian atas talian. Begitu juga dengan pekerja kumpulan pelaksana yang boleh menggunakan masa yang lebih (setelah menyelesaikan tugas hakiki mereka) dengan kerja sampingan berkaitan tugas hakiki. Apatah lagi, jika kerja itu ada hubung-kait dengan tugasan hakiki mereka. Umpamanya, seorang tukang kebun, bolehlah mendalami ilmu berkaitan penanaman pokok atau landskap. Yang penting, janganlah dirasakan bila ada masa yang terluang dibiarkan tanpa diisi dengan kerja berfaedah.

Abdullah Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bersabda: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum kedatangan lima perkara (demi untuk meraih keselamatan dunia akhirat). Yakni masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu sebelum datang sakitmu. Masa kayamu sebelum datang kefakiran. Waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu. Masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis Sahih)

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin menyatakan bahawa kelima-lima perkara itu tidak dirasai kepentingannya sewaktu kita berada di dalamnya. Namun, akan menyebabkan penyesalan setelah lima perkara itu tiada, iaitu masa muda, kesihatan, kekayaan, waktu lapang dan kematian. Manakala, Samarkandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin pula menyebutkan bahawa lima perkara ini mesti diambil peluang sebaik-baiknya agar tidak menyesal di kemudian hari kerana lima perkara itu mungkin hanya datang sekali dan tidak berulang.

Pada masa BDR ini juga, kita sepatutnya boleh mengambil sebaiknya peluang menambah baik beberapa ibadah yang mungkin agak terbatas sebelum ini. Kalau sebelum ini ramai yang terkejar-kejar untuk menunaikan solat Subuh kerana terpaksa keluar bekerja awal, maka inilah masanya untuk betul-betul menumpukan kepada solat dengan lebih khusyuk. Jika sebelum ini tidak sempat berjemaah, maka inilah peluang untuk berjemaah bersama keluarga. Boleh juga mengambil peluang membaca al-Quran selepas solat. Malah, setiap waktu solat boleh berjemaah bersama keluarga. Ini pastinya menambahkan lagi suasana keluarga yang soleh dan taat. Seterusnya, melahirkan ahli keluarga yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah.

Begitu juga dengan rutin di rumah seperti mengemas rumah dan membersihkan kawasan persekitaran. Kalau biasanya ramai yang tiada masa untuk melakukan kerja-kerja itu kecuali pada hari cuti hujung minggu atau hari cuti umum, sekarang ia boleh dilakukan setiap hari. Di samping menjaga kediaman agar lebih selesa dan cantik, ini juga peluang untuk beriadah dan melakukan senaman ringan untuk menjaga kesihatan. Sedangkan sebelum inipun kita disarankan untuk mengamalkan riadah tiga kali seminggu dalam tempoh 20 minit setiap sesi (secara konsisten) sudah cukup untuk menjaga kesihatan. Inikan pula jika setiap hari dapat beriadah pada waktu lapang.

Begitu juga sempena kita dalam musim PKP 3.0 ini sepatutnya kita mengambil pengajaran daripada PKP 1.0 dan PKP 2.0 yang lalu. Nescaya kita telah banyak belajar daripada kedua-dua versi PKP yang kita lalui. Kalau dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa PKP terdahulu, maka pada kali ini pastinya banyak persediaan yang kita telah buat sama ada dari segi fizikal dan mental. Ramai orang yang membuat persediaan secara fizikal seperti menyediakan barangan keperluan harian yang mencukupi dan sebagainya. Oleh itu, berlakunya pembelian panik di beberapa tempat sehingga berlaku kesesakan dua atau tiga hari sebelum bermulanya PKP. Sepatutnya, persediaan mental juga perlu diperkasakan. Contohnya, kepada mereka yang terkesan dengan perlaksanaan PKP 3.0 ini. Semangat dan dorongan daripada pihak yang agak kurang terkesan perlu lebih mengambil peranan. Pada masa inilah sepatutnya dipraktikkan anjuran Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Tegasnya, PKP yang sedang kita lalui ini janganlah hanya dipandang pada sisi negatif dan cabaran yang tidak membawa sebarang kebaikan. Tetapi, haruslah kita lebih adil dan bijaksana kerana kita tidak dapat menghalangnya demi menjaga kesihatan komuniti. Oleh itu, kita mesti cuba sedaya upaya untuk menggunakan kesempatan yang ada ini untuk dimanfaatkan kepada perkara yang baik.