• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,314 orang
  • Tetamu Online

Fikir sebelum ‘share’

Fahimi Zakaria

Dunia yang maju hari ini membolehkan kita mengakses ilmu pengetahuan hanya di hujung jari. Apabila kita menyebut media sosial (medsos), maka sudah tentu terbayang pelbagai medium interaktif dalam minda kita seperti Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram, Blog dan sebagainya. Kepelbagaian medium ini menjadikan dunia medsos semakin berkembang aktif dengan pelbagai maklumat dan perspektif mengikut minat dan cita rasa pelayar medsos itu sendiri.  

Sebagai seorang Muslim, medsos seharusnya dijadikan sebagai medium perkongsian dan penyebaran ilmu yang bermanfaat kepada pembaca. Agama mengajar kita bahawa setiap petunjuk kepada kebaikan yang diamalkan akan memperoleh ganjaran pahala di sisi Allah SWT seperti orang yang melakukannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Sesiapa yang menunjukkan kepada sesuatu kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pada saat ramai orang menghadapi pelbagai perasaan akibat wabak pandemik yang bahaya dan membunuh ini, kita sepatutnya menggunakan medsos sebagai medium yang menjernihkan keadaan dan membina persepsi yang positif ke arah suasana dunia maya yang harmoni. Bukan menjadikan medium sebagai peluru untuk membunuh kepercayaan orang ramai terhadap kesungguhan pihak kerajaan (ulul amri) memutuskan rangkaian wabak ini. Sesungguhnya kerajaan membuat keputusan berdasarkan perbincangan yang mendalam dengan mengambil kira pandangan pakar seperti Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).     

Hari ini rakyat (netizen) khususnya orang awam tertanya-tanya sampai bila norma baharu ini akan berterusan? Jawapannya daripada kita sendiri. Selagi penyampaian maklumat tidak berlaku secara ilmiah, maka minda dan pemikiran kita akan melihat persepsi negatif dari apa yang sedang berlaku. Justeru, setiap orang perlu menggunakan medsos masing-masing untuk berkongsi maklumat yang betul atau setidak-tidaknya kita kongsikan apa yang dilaporkan oleh pihak berkuasa kerajaan sahaja.  

Manfaatkan media sosial yang kita miliki ke arah penyatuan masyarakat. Islam sentiasa menggalakkan kita berhati-hati ketika membuat persepsi (anggapan) seperti yang saranan dari al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Apabila kamu menerima sesuatu berita, hendaklah kamu menyelidiki (kesahihannya) terlebih dahulu supaya kamu tidak menyesal dengan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurāt: 6)

Ini tanggungjawab kita untuk sentiasa melakukan tabayyun (selidik) terlebih dahulu setiap maklumat yang kita terima dari pelbagai media yang ada pada hari ini. Tindakan kita yang hanya menekan butang likesharetweetforward dan sebagainya boleh memberi kesan dari segi sikap dan profesionalisme kita sendiri. Jika sebaran itu hanya bersifat provokasi dan mengelirukan masyarakat, apatah lagi bertentangan dengan keputusan rasmi pihak berkuasa maka pastinya kita gagal menggunakan medsos ke arah perpaduan masyarakat. 

Mari bersama berusaha menyebarluaskan kebaikan medsos yang ada di hujung jari kita hari demi melahirkan sebuah generasi yang berilmu pengetahuan. Jadikan media maya ini sebagai sumber ilmu yang dapat menyuntik semangat membaca dan berfikir dalam kalangan masyarakat di samping sentiasa mengajak orang ramai ke arah budaya membaca supaya setiap maklumat yang sampai dapat dinilai dengan cara yang betul. Siapa lagi yang memulakannya jika bukan diri kita sendiri, kita yang menjadi penentu masa depan negara. 

Akhir sekali, ketahui bahawa kita sebenarnya petugas barisan hadapan (frontliner) buat diri sendiri. Motto #KitaJagaKita yang menjadi aspirasi kerajaan pada hari ini sepatutnya diterjemahkan ketika kita melayari dunia maya. Ini supaya ruangan media peribadi sentiasa dipenuhi dengan perkongsian yang ilmiah dan bermanfaat. Bukan sebaliknya seperti siaran yang dipenuhi dengan gosip, fitnah, hasutan dan sebagainya. Semoga kita sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang merosakkan diri, agama dan negara.