Dengarlah khabar jiran

Datuk Mohd Ajib Ismail

Peningkatan kes pandemik Covid-19 di seluruh negara sememangnya mengundang kerisauan dan kegusaran pelbagai pihak. Namun walaupun kita sedang melalui fasa sekatan pergerakan penuh susulan perkembangan tersebut, menjaga penjarakan sosial setiap masa, dan sebahagiannya perlu menjalani kuarantin di rumah, bukanlah bermaksud kita tidak perlu mengambil tahu atau peduli terhadap keadaan orang lain yang berada di sekeliling termasuk jiran tetangga dan rakan sekerja. Sifat mengambil berat terhadap keadaan orang di sekeliling adalah dituntut di dalam apa jua situasi sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 36 bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Di dalam tempoh pergerakan yang terhad ini, kebanyakan kita hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke tempat kerja bahkan tidak dapat pulang ke kampung. Maka jiran adalah antara insan yang paling hampir dengan kita ibarat ahli keluarga sendiri. Di dalam sebuah hadis daripada Abi Syuraih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim)

Justeru, dengar-dengarlah khabar jiran tetangga, mungkin ada dalam kalangan mereka yang mengalami kesakitan, hilang punca pendapatan ataupun terputus bekalan makanan. Di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.” (Riwayat At-Tabrani). Justeru antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga. Bahkan tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang berada dalam kelaparan.

Di sebahagian tempat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sebagai bukti keprihatinan kepada kejiranan yang memerlukan misalnya melalui program gerobok rezeki di masjid, surau dan kawasan perumahan. Program tersebut digerakkan hasil sumbangan daripada orang ramai untuk dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan. Ia berkonsepkan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan lain-lain daripada orang ramai yang ditempatkan di rak terbuka untuk diambil oleh golongan yang memerlukan pada bila-bila masa. Di Wilayah Persekutuan, peti sejuk beku yang dinamakan community freezer juga ditempatkan di beberapa masjid bagi tujuan sumbangan barangan basah seperti ikan, ayam dan daging.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pula akan meneruskan komitmen melaksanakan program Musaadah melalui JAWI Food Bank dan Sumbangan Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 di bawah teras sosial dan komuniti turut memperkenalkan program haqqul jar yang mengandungi aktiviti ziarah kasih dan bakul kasih bertujuan mengagihkan sumbangan kepada kejiranan di samping menyuburkan keharmonian antara kaum serta menyebarkan syiar Islam sebagai agama kedamaian.

Dalam tempoh sekatan pergerakan ini, lebih banyak masa diluangkan di rumah. Mungkin juga ada jiran-jiran yang melaksanakan kerja dari rumah. Oleh itu awasilah diri dan keluarga agar tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu ketenteraman jiran lain ataupun mengganggu waktu rehat mereka. Selain sering bertanya khabar, Islam juga menuntut agar tidak menyakiti perasaan jiran. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak berasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim)https://954e637bdeb78555829b5b762dc864e1.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Abu Hurairah RA berkata maksudnya: “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya. Lalu Nabi SAW bersabda: Dia akan masuk ke dalam neraka.”  (Riwayat Ahmad)

Contohilah akhlak yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW bersama jiran. Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila kita sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Jiran adalah orang yang paling dekat untuk meminta pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan dan kematian.

Sekiranya mendengar khabar kematian dalam kalangan ahli keluarga jiran tetangga, kita disarankan agar berpesan dengan kesabaran, menenangkan dan membantu meringankan beban. Di dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika mendengar berita kematian Ja’far ibn Abi Talib, baginda bersabda yang bermaksud: “Persiapkan makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan).” (Riwayat Ibnu Majah)

Jiran amat diperlukan bagi mendapatkan pertolongan yang diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atas sanak-saudara tiba. Semakin kerap kita membantu jiran tetangga maka semakin kuat ikatan dan hubungan kejiranan. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dibudayakan di dalam kehidupan berjiran agar dapat membentuk hubungan akrab sesama jiran. 

Di dalam hal berjiran dengan golongan bukan Muslim, Allah SWT tidak melarang orang Islam menjalin hubungan baik dengan bukan Islam bahkan tidak menjadi kesalahan mengadakan hubungan dengan bukan Islam selagi tidak memberi ancaman kepada Islam serta umatnya. Nabi Muhammad SAW memandang berat terhadap mereka yang menyakiti kafir zimmi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada Hari Kiamat.” (Riwayat Abu Daud)