• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,306,924 orang
  • Kandungan Blog

Bantu orang nescaya Allah bantu kita

Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM menekankan keperluan membantu sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Setiap hari kita berurusan dengan orang lain dengan cara mendapatkan bantuan serta khidmat daripadanya kerana kudrat diri yang terbatas.

Bagi membeli keperluan dapur misalnya, kita berurusan dengan peniaga di pasar.

Untuk memastikan anak mendapat pendidikan sempurna, kita berurusan pula dengan sekolah dan guru.

Maka, pihak yang terbabit membantu urusan orang lain perlu memastikan perkhidmatan diberikan pada tahap terbaik.

Setiap masalah yang diadukan mesti diberi layanan sepatutnya, hatta membabitkan perkara kecil sekalipun.

Memang manusia tidak ada yang sempurna. Walau bagaimanapun, berusaha mencapai kesempurnaan perlu menjadi keutamaan pihak yang menawarkan perkhidmatan kepada orang lain.

Berikan layanan mesra kepada orang yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan kerana mereka adalah orang yang berhajat untuk menyelesaikan masalah masing-masing.

Terdapat institusi tertentu yang menekankan aspek komunikasi antara pekerjanya dengan pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan.

Senyuman yang terukir dan kesabaran menjawab setiap persoalan yang timbul akan menjadikan sebahagian daripada masalah selesai.

Bayangkan, jika orang yang diajukan soalan tidak senyum, malah menjawab soalan acuh tak acuh sahaja.

Pasti akan timbul masalah lain dalam komunikasi antara pihak yang berurusan.

Semua pihak perlu mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan berlakunya masalah birokrasi dalam urus tadbir kerja.

Sebolehnya setiap proses yang perlu dilalui orang yang berurusan perlu mudah dan ringkas.

Elakkan mengguna pakai tatacara pengurusan yang sangat rumit dan panjang. Itu juga antara perkara asas yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak.

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, maksudnya: “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam konteks kehidupan harian pula, ada kalanya kita bertemu keadaan orang lain yang memerlukan bantuan. Maka, sangat elok sekiranya kita dapat cuba membantu. Mungkin ada orang datang menemui kita dan menceritakan masalah yang dilaluinya, maka kita bantu dengan memberi nasihat yang berguna kepadanya. Mungkin juga kita didatangi orang yang memerlukan sedikit wang untuk menguruskan kehidupannya, maka ambillah kesempatan itu untuk menghulurkan bantuan seadanya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke da-lam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.