Mempositifkan kekangan

Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pepatah Melayu ada menyebut masa itu emas. Manakala pepatah Arab pula mengatakan masa itu umpama pedang. Semuanya menunjukkan betapa pentingnya masa kepada seseorang. Perkara ini sebenarnya telah ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran. Bahkan, betapa ruginya orang yang mengabaikan masa. Firman Allah SWT: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian.” Surah al-‘Asr, ayat 1-2

Apabila dilaksanakan semula sekatan pergerakan penuh (PKP 3.0), ramai yang berasa seolah-olah mereka bercuti daripada bekerja. Arahan kerajaan supaya dilaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor tertentu bukan bermakna seseorang pekerja itu bercuti atau boleh menggunakan masa dengan perkara di luar daripada skop tugas biasa sewenang-wenangnya. Yang berbeza hanyalah lokasi bekerja. Seseorang tidak lagi berulang-alik ke tempat kerja seperti biasa, tetapi melakukan kerja harian dari rumah. Namun, bagi sesetengah pihak menganggap inilah masa untuk ‘mencuri’ ruang untuk kerja peribadi.

Sepatutnya masa yang dapat dijimatkan dengan BDR ini diambil peluang oleh pekerja untuk meningkatkan kompetensi masing-masing terutama yang berkaitan dengan penambahbaikan ilmu dan kepakaran berkaitan bidang kerja masing-masing. Contohnya, jika seorang pengurus, maka boleh menggunakan ruang masa yang ada dengan menambah ilmu pengurusan. Sama ada melalui pembacaan atau mengikuti kelas atau pengajian atas talian. Begitu juga dengan pekerja kumpulan pelaksana yang boleh menggunakan masa yang lebih (setelah menyelesaikan tugas hakiki mereka) dengan kerja sampingan berkaitan tugas hakiki. Apatah lagi, jika kerja itu ada hubung-kait dengan tugasan hakiki mereka. Umpamanya, seorang tukang kebun, bolehlah mendalami ilmu berkaitan penanaman pokok atau landskap. Yang penting, janganlah dirasakan bila ada masa yang terluang dibiarkan tanpa diisi dengan kerja berfaedah.

Abdullah Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bersabda: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum kedatangan lima perkara (demi untuk meraih keselamatan dunia akhirat). Yakni masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu sebelum datang sakitmu. Masa kayamu sebelum datang kefakiran. Waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu. Masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” (Hadis Sahih)

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin menyatakan bahawa kelima-lima perkara itu tidak dirasai kepentingannya sewaktu kita berada di dalamnya. Namun, akan menyebabkan penyesalan setelah lima perkara itu tiada, iaitu masa muda, kesihatan, kekayaan, waktu lapang dan kematian. Manakala, Samarkandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin pula menyebutkan bahawa lima perkara ini mesti diambil peluang sebaik-baiknya agar tidak menyesal di kemudian hari kerana lima perkara itu mungkin hanya datang sekali dan tidak berulang.

Pada masa BDR ini juga, kita sepatutnya boleh mengambil sebaiknya peluang menambah baik beberapa ibadah yang mungkin agak terbatas sebelum ini. Kalau sebelum ini ramai yang terkejar-kejar untuk menunaikan solat Subuh kerana terpaksa keluar bekerja awal, maka inilah masanya untuk betul-betul menumpukan kepada solat dengan lebih khusyuk. Jika sebelum ini tidak sempat berjemaah, maka inilah peluang untuk berjemaah bersama keluarga. Boleh juga mengambil peluang membaca al-Quran selepas solat. Malah, setiap waktu solat boleh berjemaah bersama keluarga. Ini pastinya menambahkan lagi suasana keluarga yang soleh dan taat. Seterusnya, melahirkan ahli keluarga yang sentiasa taat dan patuh kepada Allah.

Begitu juga dengan rutin di rumah seperti mengemas rumah dan membersihkan kawasan persekitaran. Kalau biasanya ramai yang tiada masa untuk melakukan kerja-kerja itu kecuali pada hari cuti hujung minggu atau hari cuti umum, sekarang ia boleh dilakukan setiap hari. Di samping menjaga kediaman agar lebih selesa dan cantik, ini juga peluang untuk beriadah dan melakukan senaman ringan untuk menjaga kesihatan. Sedangkan sebelum inipun kita disarankan untuk mengamalkan riadah tiga kali seminggu dalam tempoh 20 minit setiap sesi (secara konsisten) sudah cukup untuk menjaga kesihatan. Inikan pula jika setiap hari dapat beriadah pada waktu lapang.

Begitu juga sempena kita dalam musim PKP 3.0 ini sepatutnya kita mengambil pengajaran daripada PKP 1.0 dan PKP 2.0 yang lalu. Nescaya kita telah banyak belajar daripada kedua-dua versi PKP yang kita lalui. Kalau dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa PKP terdahulu, maka pada kali ini pastinya banyak persediaan yang kita telah buat sama ada dari segi fizikal dan mental. Ramai orang yang membuat persediaan secara fizikal seperti menyediakan barangan keperluan harian yang mencukupi dan sebagainya. Oleh itu, berlakunya pembelian panik di beberapa tempat sehingga berlaku kesesakan dua atau tiga hari sebelum bermulanya PKP. Sepatutnya, persediaan mental juga perlu diperkasakan. Contohnya, kepada mereka yang terkesan dengan perlaksanaan PKP 3.0 ini. Semangat dan dorongan daripada pihak yang agak kurang terkesan perlu lebih mengambil peranan. Pada masa inilah sepatutnya dipraktikkan anjuran Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Tegasnya, PKP yang sedang kita lalui ini janganlah hanya dipandang pada sisi negatif dan cabaran yang tidak membawa sebarang kebaikan. Tetapi, haruslah kita lebih adil dan bijaksana kerana kita tidak dapat menghalangnya demi menjaga kesihatan komuniti. Oleh itu, kita mesti cuba sedaya upaya untuk menggunakan kesempatan yang ada ini untuk dimanfaatkan kepada perkara yang baik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: