• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,316 orang
  • Tetamu Online

Jujur laksanakan tugas

Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

Mendapat pekerjaan adalah satu rahmat Allah SWT. Khasnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ramai orang terjejas pekerjaan dan pendapatan mereka. Sama ada kita adalah penjawat awam, pekerja swasta atau bekerja sendiri, semuanya adalah melibatkan isu tugas. Setiap tugas mestilah dilaksanakan dengan sempurna dan penuh kejujuran kerana tugas adalah amanah. Amanah wajib ditunaikan dengan jujur.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’, ayat 58)

Dalam konteks tanggungjawab pula Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap setiap kalian adalah bertanggungjawab di atas orang yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari)

Bermakna kita tidak lepas daripada tanggungjawab ke atas setiap apa yang kita lakukan. Sama ada tugas itu adalah tugas secara individu ataupun tugas berkumpulan. Jika tugasan individu, kita juga bertanggungjawab di atas tugas yang kita laksanakan itu. Apabila kita mempunyai orang yang kita pimpin, maka bertambah besar lagilah tanggungjawab yang kita akan tanggung. Semuanya akan disoal berkenaannya di akhirat nanti di hadapan Allah SWT. Antara perkara yang akan disoal nanti ialah berkaitan dengan masa dan amanah dalam bekerja.

Semasa perlaksanaan PKP 3.0 ini pastinya ramai yang terlibat melaksanakan kerja-kerja di rumah iaitu menggunakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR). Sektor yang ditutup seperti sektor pendidikan adalah antara yang terbabit dengan kaedah BDR secara total. Antara pekerja yang terlibat pula adalah pendidik, sama ada guru di sekolah ataupun pensyarah di universiti. Begitu juga pekerja pelaksana seperti staf pentadbiran, pencucian dan persekitaran. Kaedah ini juga melibatkan sama ada sektor kerajaan dan swasta. Semua staf yang terlibat BDR ini sebenarnya hanya bertukar lokasi kerja sahaja daripada pejabat ke rumah. Bukannya bermakna bercuti daripada kerja atau boleh melakukan kerja dengan sambil lewa kerana tidak dipantau oleh ketua atau majikan. Apatah lagi untuk melakukan kerja lain sehingga menjejaskan kerja hakiki. Kerja hakiki mestilah diutamakan.

Pekerja yang terbaik adalah pekerja yang melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah.

Allah SWT berfirman: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” (Surah al-Qasas, ayat 26)

Ini adalah dua asas yang mantap yang disebutkan Allah SWT secara terang dalam al-Quran dalam memilih pekerja. Asas yang pertama ialah kekuatan sama ada fizikal atau spiritual khususnya berkaitan ilmu dan akhlak. Asas kedua ialah aspek kejujuran (amanah) dalam melaksanakan tugas. Menguruskan masa dengan baik dan memanfaatkannya sebaik mungkin adalah bukti kejujuran kita dalam menjalankan tugas.

Semasa menjalankan tugas dari rumah, sepatutnya pekerja mengekalkan etika kerja seperti mereka bekerja di pejabat. Khususnya berkaitan dengan penjagaan waktu bekerja dan kualiti kerja yang dilaksanakan. Pekerja mestilah dalam keadaan bersedia untuk menjalankan tugas dalam masa yang ditetapkan sebagaimana biasa. Contohnya, jika waktu bekerja adalah bermula jam 8.30 pagi, maka pada waktu berkenaa sepatutnya sudah bersedia untuk menjalankan tugas. BDR bukan bermakna kita boleh melengah-lengahkan kerja dengan alasan masa yang banyak terluang kerana banyak masa yang dapat dijimatkan. Malah, kesempatan waktu yang banyak inilah sepatutnya digunakan sebaik mungkin agar lebih produktif.

Sebagai contoh mudah, seorang guru di sekolah jika ada masa terluang boleh digunakan untuk membuat persediaan bagi pengajaran seterusnya. Sudah pasti norma baharu dalam kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara online ini memerlukan banyak pengorbanan dan kreativiti guru untuk menyampaikan pelajaran secara berkesan.

Seorang pensyarah di universiti pula boleh menggunakan masa yang terluang untuk meningkatkan kompetensi dalam beberapa aspek lain seperti penyelidikan dan penerbitan serta khidmat konsultansi.

Jika biasanya berkejar masa antara kelas pengajaran, masa berulang-alik, tugas pentadbiran dan sebagainya, maka sekarang sedikit masa yang jimat boleh dimanfaatkan untuk perkara tersebut. Sekiranya masa yang ada ini dapat direbut dengan baik, nescaya akan berlaku peningkatan dalam profesionalisme pendidikan bagi golongan guru dan pensyarah secara khusus.

Bagi bidang pekerjaan lain pula bolehlah digunakan masa yang terluang (jika ada) dengan meningkatkan produtiviti dan juga kompetensi diri. Biasanya masalah yang selalu dijadikan alasan bila tiada peluang untuk menambah ilmu atau mengikuti kursus untuk meningkatkan kerjaya ialah kesuntukan masa. Maka, sekaranglah masanya untuk menambah ilmu melalui kursus secara online dan boleh diikuti dari rumah sahaja. Kepada pekerja yang terlibat dengan kerja luar seperti berkebun atau pertukangan, masa inilah boleh mendapat sedikit kerehatan fizikal dan mental. Peluang ini juga boleh mengurangkan stres (tekanan) bekerja dan seterusnya akan meningkatkan kualiti kerja selepas PKP nanti.

Berkenaan pengurusan masa dan merebut peluang masa yang ada, Abdullah Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum kamu kedatangan lima perkara (demi untuk meraih keselamatan dunia akhirat). Yakni masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu  sebelum datang sakitmu. Masa kayamu sebelum datang kefakiran. Waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu. Masa hidupmu sebelum datang kematianmu.” [Hadis Sahih] Jelas kepada kita betapa pentingnya menguruskan masa dengan baik. Pengurusan masa yang baik membuktikan kejujuran kita dalam menjalankan tugas.

Kesimpulannya, kebijaksanaan menguruskan masa dengan baik seperti dalam tempoh PKP yang memberi ruang kita bekerja secara BDR ini membuktikan setakat manakah kita jujur dalam melaksanakan tugas. Jika kita boleh jujur dengan masa yang kita ada, nescaya situasi seperti sekarang ini bukan halangan untuk kita terus maju. Bahkan, cabaran seperti inilah yang membuka peluang baru untuk kita menunaikan amanah kita dengan lebih  cemerlang. Jika kita dapat menunaikan tanggungjawab kita dengan cemerlang dalam waktu seperti ini, pasti kita akan lebih cemerlang apabila kita kembali kepada keadaan biasa nanti. Pengurusan masa yang baik melambangkan kebijaksanaan. Manakala kejujuran pula melambangkan peribadi yang cemerlang