• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,147 orang
  • Tetamu Online

Perlunya taubat dalam setiap keadaan

Dr Mohd Khafidz Soroni

Dalam disiplin tasawuf, terdapat satu kaedah berbunyi: “Perbuatan baik bagi golongan yang taat adalah umpama perbuatan buruk bagi golongan muqarrabin (mereka yang mendekatkan diri kepada Allah SWT).”

Kaedah ini mungkin tidak difahami secara jelas melainkan dengan dibawakan contoh dan huraian. Misalnya, orang yang semata-mata mengerjakan solat fardu lima waktu setiap hari adalah dianggap sudah menunaikan tanggungjawab yang wajib ke atas dirinya. Dengan melaksanakannya, dia sudah dianggap sebagai orang yang taat walaupun tanpa menunaikan pelbagai solat sunat yang lain. Namun bagi golongan muqarrabin, mengerjakan solat fardu lima waktu semata-mata tanpa menunaikan solat sunat adalah dianggap perbuatan malas dan cuai yang tidak sewajarnya dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, perlu ditambah dengan solat sunat seperti solat rawatib, tahajud, tasbih, witir, duha dan sebagainya.

Demikian juga ibadah puasa. Orang yang semata-mata mengerjakan puasa fardu pada Ramadan dianggap sudah menunaikan tanggungjawab yang wajib ke atas dirinya. Dengan melaksanakannya, dia sudah dianggap sebagai orang yang taat walaupun tanpa perlu menunaikan pelbagai puasa sunat. Namun bagi golongan muqarrabin, mengerjakan puasa Ramadan semata-mata tanpa menunaikan puasa sunat dianggap perbuatan malas dan cuai yang tidak sepatutnya sebagai seorang hamba Allah. Ia perlu ditambah dengan puasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa hari putih, puasa pada bulan haram dan puasa enam Syawal.

Begitu juga dalam bertaubat dan beristighfar kepada Allah. Bukan setelah ada dosa yang jelas dilakukan, baru kita nak beristighfar memohon ampun kepada-Nya. Bahkan, jika tidak ada dosa yang dilakukan pun, kita perlu beristighfar kepada-Nya setiap masa kerana mungkin ada kecuaian atau dosa yang tidak kita sedari.

Nabi SAW sendiri sering mengucapkan doa ini: “Ya Allah, ampunilah dosaku, kejahilanku, sikap berlebih-lebihan dalam urusanku dan apa yang Engkau lebih mengetahuinya daripada diriku. Ya Allah, ampunilah diriku dalam kesungguhanku, senda gurauku, kesilapanku dan kesengajaanku serta semuanya itu ada padaku. Ya Allah, ampunilah diriku atas apa yang aku lakukan, apa yang akan aku lakukan, apa yang aku sembunyikan, apa yang aku tunjukkan dan apa yang Engkau lebih mengetahuinya daripada diriku. Engkau yang mendahulukan dan Engkau yang mengakhirkan dan Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada 70 kali.” Riwayat al-Bukhari

Persoalannya, jika Nabi SAW yang maksum daripada dosa, mengapa baginda beristighfar?

Terdapat beberapa pandangan ulama dalam menerangkan maksud hadis ini. Antaranya, ia sebagai teladan dan galakan terhadap umatnya agar turut sentiasa beristighfar.

Menurut al-Qadhi Iyadh, Nabi SAW sentiasa berzikir kepada Allah SWT, oleh itu jika ada masa kosong yang berlalu tanpa zikir, ia dianggap sebagai satu ‘dosa’ dan perlu beristighfar. Imam Ibn Battal berpendapat, istighfar itu adalah disebabkan kekurangan dalam menunaikan hak yang wajib bagi Allah SWT. Menurut Imam al-Ghazali pula, iman Nabi SAW sentiasa meningkat naik dari satu keadaan kepada satu keadaan lain, oleh itu baginda beristighfar daripada kekurangan keadaan sebelumnya.

Jika demikian hal keadaan Nabi SAW sedangkan baginda dijamin maksum, apatah lagi kita yang tiada sebarang jaminan? Justeru, akan rugilah orang yang berasakan dirinya sudah cukup sempurna.