• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,332 orang
  • Tetamu Online

‘Saring’ kesihatan jiwa

Mohd Shahrizal Nasir

PADA saat negara masih berdepan dengan wabak Covid-19, ramai dalam kalangan rakyat yang diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatan. Bukan sahaja orang yang mengalami gejala Covid-19 perlu membuat ujian saringan kesihatan, malah individu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang positif juga perlu membuat ujian.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara ujian saringan kesihatan yang boleh mengesan virus Covid-19 dalam badan pesakit dikenali sebagai RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription- Polymerase Chain Reaction). Keputusan positif daripada ujian saringan RT-PCR menunjukkan seseorang individu dijangkiti wabak Covid-19. Manakala keputusan negatif menunjukkan seseorang individu tidak dijangkiti wabak Covid-19 dalam badannya.

Begitu prosedur yang perlu dilalui golongan yang mempunyai gejala Covid-19 ataupun mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19. Kehebatan dunia sains dan teknologi perubatan terkini dapat membantu manusia mengurus cabaran wabak penyakit yang melanda dunia ketika ini.

Dalam suasana masyarakat berdepan Covid-19, ada kalanya diri sendiri tidak mempunyai ketahanan diri dari sudut kerohanian. Ada dalam kalangan masyarakat yang terjebak dalam pelbagai jenis kemungkaran kerana tidak mempunyai daya ketahanan diri menangkis godaan syaitan dan nafsu sendiri.

Penyakit bukan saja boleh melanda tubuh badan fizikal manusia, tetapi juga boleh menyerang aspek kerohanian diri. Keadaan ini sedikit sebanyak dipengaruhi norma baharu yang terpaksa diharungi menyebabkan banyak amalan murni yang biasa dilakukan sebelum ini terpaksa ditangguhkan sementara waktu.

Jika dulu umat Islam boleh berkumpul di masjid dan surau untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT secara berjemaah, namun nikmat terbabit kini menjadi semakin terhad. Umat Islam tidak boleh lagi berjabat tangan sesama insan, malah tidak boleh mengukir senyuman kerana keperluan memakai penutup mulut bagi melindungi diri dan orang lain daripada dijangkiti Covid-19.

Perkara terbabit meskipun perlu didepani umat Islam dengan tujuan yang mendesak bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19, ia turut sebenarnya menghakis kesihatan jiwa dalam diri tanpa disedari. Justeru, penting bagi setiap umat Islam untuk melakukan muhasabah diri bagi mencari jalan alternatif memastikan kesihatan rohani masing-masing berada dalam keadaan baik.

Muhasabah diri adalah antara cara yang boleh mengesan tahap kesihatan jiwa membabitkan aspek kerohanian. Orang yang melakukan muhasabah diri akan menemui kekurangan diri dan dapat memikirkan langkah proaktif untuk memperbaiki diri sendiri. Tambahan pula setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka dengan melakukan muhasabah diri, kesilapan yang dilakukan dapat disedari dengan lebih awal seterusnya mencari jalan memperbaiki diri.

Allah SWT berfirman merakamkan kata-kata Luqman al-Hakim kepada anaknya yang bermaksud: “(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas oleh-Nya); kerana sesungguhnya Allah maha halus pengetahuan-Nya, lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Surah Luqman, ayat 16)

Ibnu Kathir menghuraikan ayat al-Quran terbabit dalam tafsirnya Al-Quran al-‘Azim menyebut: “Ini merupakan wasiat amat berharga yang Allah SWT rakamkan dalam al-Quran mengenai Luqman al-Hakim agar ia menjadi pedoman buat manusia. Kezaliman dan dosa walaupun ia hanya seberat biji sawi, Allah SWT pasti akan membalasnya pada hari kiamat ketika setiap amalan dihitung. Jika amalan terbabit baik, maka balasan yang diperoleh juga adalah baik. Jika amalan yang dilakukan adalah buruk, maka balasan yang diperoleh juga merupakan balasan yang buruk.”

Kehidupan dalam suasana wabak Covid-19 sangat mencabar. Ada orang sanggup melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah. Golongan seperti ini sanggup melanggar peraturan semata-mata untuk memenuhi keperluan peribadi. Mereka tidak menghormati perasaan orang lain yang bersusah payah mematuhi peraturan untuk maslahah lebih penting membabitkan keselamatan nyawa. Lebih menyedihkan lagi apabila kesalahan yang dilakukan ditayangkan untuk tatapan orang ramai menerusi media sosial.

Perbuatan sedemikian menjadi petunjuk adanya masalah dalam jiwa. Orang yang mempunyai jiwa yang sihat tidak akan tergamak melakukan perkara yang boleh mengundang persengketaan sesama manusia. Natijahnya netizen di media sosial disibukkan dengan perbincangan yang dipenuhi dengan kata-kata sumbang dan tidak sopan. Perbuatan sedemikian juga mengundang dosa yang boleh menjejaskan tahap kesihatan jiwa.

Muncul juga suasana membimbangkan apabila pelbagai maklumat disebarkan berkaitan Covid-19. Ada maklumat yang disebarkan memang benar, namun tidak kurang juga maklumat palsu atau berita lama yang disebarkan semula bagi mencetuskan suasana cemas dalam kalangan masyarakat.

Perbuatan terbabit juga dilakukan oleh orang yang mempunyai masalah kesihatan jiwa. Orang yang memiliki jiwa yang murni tidak akan terbabit dengan perbuatan menyebarkan berita palsu kerana setiap berita mesti dipastikan sahih sebelum berhasrat ingin menyebarkannya.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta apabila dia menceritakan semua perkara yang didengari” – (Hadis riwayat Muslim). Ini satu peringatan tegas oleh Rasulullah SAW terhadap orang yang mengambil ringan terhadap status sesuatu berita, tidak membuat semakan, lantas menyebarkannya kepada orang ramai. Sesungguhnya perbuatan berdusta yang dilakukan oleh seseorang menjadi bukti jiwanya berada pada tahap positif menghidap penyakit jiwa.

Begitu juga perbalahan secara terbuka dalam media sosial membabitkan semua orang. Hal ini berlaku tanpa sempadan sehingga membabitkan golongan yang dikenali oleh masyarakat sebagai agamawan. Disebabkan terdapat isu agama bersifat kontemporari, maka perbezaan pandangan dalam kalangan agamawan perlu ditangani dengan cara penuh berhikmah supaya ia tidak membuka ruang fitnah membabitkan percakaran di media sosial.

Susana terbabit jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan masyarakat hilang rasa hormat terhadap golongan agamawan. Islam meraikan perbezaan pandangan pada perkara yang bersifat furu’ termasuk membabitkan aplikasi ibadah. Pelaksanaan ibadah boleh berlaku mengikut situasi semasa meskipun kelihatan janggal dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Sebagai contoh pelaksanaan solat Jumaat pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dihadkan kepada jumlah tertentu menyebabkan terdapat orang Islam yang terpaksa menunaikan solat Zuhur. Usahlah ada pihak yang menyebarkan pandangan yang seolah-olah menyalahkan orang yang terpaksa tidak menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi arahan pemerintah.

Semak diri kita dengan melakukan muhasabah supaya tidak terjebak dalam perkara yang mengundang dosa. Pastikan jiwa sentiasa berada dalam keadaan baik kerana aspek kerohanian juga mesti dititik-beratkan selain aspek kesihatan fizikal. Semoga kita tergolong dalam kalangan insan yang akan menerima keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “(Allah menyatakan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan para hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)