• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,143 orang
  • Tetamu Online

Hidupkan malam Aidil Fitri dengan amal ibadat

Dr Mohd Khafidz Soroni

Malam hari raya tentunya antara malam yang paling menyeronokkan bagi setiap orang Islam kerana berjaya melalui ibadah puasa Ramadan selama sebulan. Rasulullah SAW menyatakan: “Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan yang dia akan berasa gembira dengannya iaitu apabila berbuka dia berasa gembira dengan santapannya dan apabila berjumpa dengan Tuhannya dia berasa gembira disebabkan ibadah puasanya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bagaimanapun, malam itu tidak sepatutnya dipenuhkan dengan perkara lalai dan sia-sia. Apatah lagi ia antara malam yang mempunyai keistimewaan besar. Maka, amat rugi orang yang mengabaikannya hingga ia berlalu tanpa memperoleh kelebihannya.

Terdapat sebuah hadis yang menyebut keistimewaan orang yang menghidupkan malam raya dengan amal ibadah iaitu daripada Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW sabdanya: “Sesiapa yang berqiam pada malam dua hari raya sambil mengharapkan keredaan Allah maka hatinya tidak akan mati pada hari hati manusia lain mati.” Riwayat Ibn Majah dengan sanad daif

Dalam riwayat lain daripada Ubadah bin al-Samit RA dengan lafaz: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan malam Aidiladha maka hatinya tidak akan mati pada hari hati manusia lain mati.” Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir dan al-Awsat dengan sanad daif

Menurut ramai pengkritik hadis seperti Imam al-Nawawi, al-Hafiz al-Iraqi, al-Hafiz Ibn Hajar, al-Hafiz al-Busiri dan lainnya, sanad hadis ini daif. Namun, dengan adanya pelbagai jalur riwayat mengenai keistimewaan menghidupkan malam hari raya, al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah merumuskan: “Maka, ia menjadi kukuh dengan himpunan jalan-jalan riwayatnya.”

Dalam erti kata lain, maksud hadis di atas tidak dapat dinilai sebagai palsu hingga perlu ditinggalkan. Malah daripada aspek amali, galakan yang terkandung dalam hadis berkenaan sudah diamalkan oleh ramai ulama sejak zaman salafussoleh.

Kita tidak menafikan ada sebahagian ulama menolak kesunahan menghidupkan malam dua hari raya seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim daripada kalangan ulama Mazhab Hanbali disebabkan daif hadisnya. Namun, jumhur ulama daripada kalangan Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dan Mazhab Syafie berpendapat menghidupkan malam dua hari raya adalah mustahab atau sunat. Mereka menyatakan, hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fadha’il amal.

Antara amalan yang digalakkan pada malam itu ialah menunaikan solat sunat sebagaimana disebut dalam hadis tadi: “Sesiapa yang berqiam…” ertinya yang menunaikan solat sunat. Oleh itu, kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’: “Menurut Ashabuna (yakni alim ulama Mazhab Syafie) adalah mustahab menghidupkan malam dua hari raya dengan bersolat atau amalan taat yang lain.”

Antara amalan yang digalakkan juga ialah memperbanyakkan berdoa. Kata Imam as-Syafie (wafat 204H) dalam kitabnya al-Umm: “Telah disampaikan kepada kami (daripada salaf terdahulu), bahawa dikatakan doa akan dimakbulkan pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Meskipun Imam as-Syafie tidak membawakan sanad lengkap, namun kata-kata itu ada diriwayatkan oleh al-Daylami dan Ibn Asakir daripada hadis Abu Umamah RA serta oleh Abd al-Razzaq dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman daripada kata-kata Ibn ‘Umar RA.

As-Syafie meriwayatkan daripada gurunya, Ibrahim bin Muhammad kata beliau: “Aku pernah melihat syeikh daripada kalangan ahli Madinah yang dihormati duduk di dalam masjid Nabi SAW pada malam hari raya untuk berdoa dan berzikir kepada Allah sehingga berlalunya satu pertiga daripada malam.”

Antara amalan yang digalakkan pada malam itu ialah memperbanyakkan bertakbir. Waktu takbir bermula dengan terlihatnya anak bulan Syawal menandakan berakhirnya Ramadan dan berterusan hingga keluarnya imam untuk menunaikan solat hari raya.

Kata Imam as-Syafie di dalam kitab al-Umm: “Apabila mereka melihat anak bulan Syawal, aku suka jika orang ramai bertakbir baik secara berjemaah dan individu, sama ada di masjid, pasar, jalan dan rumah, baik bermusafir atau bermukim, pada setiap keadaan dan di mana jua mereka berada. Dan hendaklah mereka menzahirkan takbir itu serta terus bertakbir sehingga mereka pergi ke tempat solat dan juga selepas tiba di sana, sampailah keluarnya imam untuk bersolat. Kemudian barulah berhenti takbir.”

Beliau meriwayatkan bahawa tokoh tabiin seperti Said bin al-Musayyib, Urwah bin az-Zubair, Abu Salamah dan Abu Bakr bin Abd ar-Rahman sering bertakbir pada malam Aidilfitri di masjid. Mereka bertakbir dengan suara nyaring.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: