• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,093 orang
  • Kandungan Blog

Puasa antara amalan yang terbaik

Dr Mohd Hamidi Ismail

HARI ini kita sudah memasuki 17 Syawal selepas dua minggu lalu masih mengerjakan ibadat Ramadan. Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat dipertemukan dengan bulan mulia, namun apakah kita sudah berpuas hati dengan prestasi ibadat kita sepanjang Ramadan lalu?

Seelok-eloknya, kecemerlangan prestasi ibadat sepanjang Ramadan lalu perlu diteruskan sepanjang Syawal dan bulan seterusnya sehinggalah kita kembali dipertemukan semula dengan Ramadan tahun depan, insya-Allah.

Untuk itu, masih relevan jika kita melihat semula pensyariatan puasa berlaku ke atas umat terdahulu, ini dinyatakan melalui ayat 183 Surah al-Baqarah. Sekalian nabi juga turut menjalani ibadat puasa malah puasa mereka diabadikan dalam puasa sunat yang diamalkan umat Islam. Contohnya, puasa tiga hari pada pertengahan bulan Islam atau qamari yang dikenali juga dengan ‘puasa putih’ dilakukan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Puasa enam hari selepas Aidilfitri dilakukan oleh Nabi Nuh. Puasa pada 10 Muharam dilakukan oleh Nabi Musa. Puasa sembilan hari dengan berpuasa tiga hari berturut-turut pada awal, pertengahan dan akhir setiap bulan dilakukan oleh Nabi Sulaiman.

idak ketinggalan puasa Nabi Daud yang dipuji oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sebaik-baik puasa yang diamalkan. Nabi Daud berpuasa berselang-seli dengan berbuka atau tidak berpuasa.

Ini diceritakan sendiri oleh Rasulullah SAW: “Puasa yang paling disukai oleh Allah adalah puasa Daud AS. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Pada hadis yang lain, Nabi SAW menegaskan kepada Abdullah bin Amru bin al-As RA mengenai puasa Nabi Daud itu: “Tiada yang lebih baik daripada yang demikian.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Pengiktirafan Nabi SAW terhadap puasa Nabi Daud mengisyaratkan pada banyaknya kelebihan yang terdapat pada puasa baginda. Ia merangkumi cara pengamalan, ganjaran dan khasiatnya kepada orang yang mengamalkannya. Di sini, kita akan melihat kelebihan puasa pada kehidupan Nabi Daud yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

Pertama, sebagai raja Bani Israil. Tugas Nabi Daud sebagai ketua kerajaan memerlukan baginda sentiasa peka terhadap rakyat di bawah kepemimpinannya. Dengan tidak menyangkal baginda sebagai seorang rasul yang sentiasa dipimpin oleh wahyu, namun dengan berpuasa, ia membantunya menyelami derita dan kepayahan dihadapi umatnya yang miskin. Ibnu Rajab dalam Lata’if al-Ma’arif menjelaskan, demikian pensyariatan puasa di sisi sesetengah ulama salaf. Ia bertujuan memberikan pengalaman lapar dan dahaga kepada orang kaya supaya mereka tidak melupakan fakir miskin. Nabi Daud terbukti mendapat kelebihan terbabit daripada puasanya, ini dapat disaksikan pada satu doanya yang berbunyi: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kekayaan yang menjadikan aku zalim, daripada kefakiran yang menjadikan aku lupa, daripada nafsu yang menjadikan aku jahat, daripada amalan yang menjadikan aku rugi.” Hadis Riwayat Ibnu Abi Shaybah

Kedua, sebagai ahli ibadat seperti yang disifatkan oleh Nabi SAW: “…Adalah Nabi Daud sehebat-hebat manusia yang beribadat.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Umumnya, ibadat puasa dimulai dengan keberkatan waktu sahur. Orang yang berpuasa mengambil waktu itu untuk makan dan golongan salihin mengisinya dengan ibadat malam. Boleh dikatakan, orang yang rajin berpuasa biasanya juga adalah orang rajin beribadat malam. Nabi Daud tidak terkecuali tergolong daripada insan yang rajin beribadat malam, malah ibadat malam baginda disukai oleh Allah seperti Dia menyukai puasa baginda.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya puasa yang paling disukai oleh Allah adalah puasa Daud AS dan solat yang paling disukai oleh Allah adalah solat Daud AS. Baginda tidur separuh malam, menghidupkannya pada sepertiga dan tidur pada seperenam.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ketiga, sebagai mangsa fitnah selepas berjaya membunuh Jalut. Kejayaan itu mengangkat kedudukan Nabi Daud yang pada awalnya hanyalah seorang pemuda penggembala kepada seorang pahlawan yang berani dalam kalangan Bani Israil. Sebelum daripada itu, mereka mengangkat Talut yang dipilih oleh Nabi Samuel sebagai penyelamat daripada kekejaman Jalut. Kejayaan Nabi Daud menyebabkan Talut dipinggirkan dan ini menyebabkan dia iri hati terhadap Nabi Daud. Pelbagai fitnah dilakukan oleh Talut sehinggalah kepada rancangan membunuh Nabi Daud. Dengan kesabaran dan tawakal Nabi Daud kepada Allah, baginda dapat mengharungi fitnah berkenaan. Kelebihan puasa tidak dinafikan memberi kekuatan kepada Nabi Daud seperti puasa memberi kekuatan kepada Maryam dalam menghadapi fitnah ke atas dirinya.

Allah SWT mengajarnya supaya berpuasa dan berdiam diri terhadap tohmahan manusia kerana berbuat demikian adalah cara yang sewajarnya. Allah berfirman: “Katakanlah! Sesungguhnya aku bernazar kepada al-Rahman untuk berpuasa, lantas aku tidak akan bercakap pada hari ini dengan sesiapa pun.” Surah Maryam ayat 26

Nabi SAW turut mengajarkan perkara yang sama dengan sabdanya: “Apabila orang yang berpuasa itu dihina atau diugut untuk dibunuh maka dia mengatakan: Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” Hadis Riwayat Muslim

Ketiga-tiga bahagian hidup Nabi Daud ini menggambarkan kepada kita puasa memberi kesan dan manfaat yang besar kepadanya bahkan mengangkat darjat baginda dengan sebaik-baik darjat.

Allah berfirman: “Dan ingatkanlah kepadanya tentang hamba Kami, Daud yang memiliki ketaatan yang kuat, sesungguhnya dia orang yang kembali kepada Kami.” Surah Sad ayat 17

Menerusi ayat lain, Allah SWT berfirman: “Wahai Daud, Kami jadikan kamu khalifah di muka bumi.” Surah Sad ayat 26

“Dan Allah berikannya kerajaan dan hikmah serta mengajarkan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.” Surah al-Baqarah ayat 251

Oleh kerana kelebihan puasa sangat besar, Allah SWT mewajibkan ke atas manusia melaksanakannya kerana setiap daripada mereka tidak terlepas daripada menjadi pemimpin atau ahli ibadat atau mangsa fitnah. Bagi umat Islam, dengan menghayati ibadat puasa dan melaksanakannya, nescaya kita terselamat daripada tipu daya hawa nafsu dan kejahatan orang yang zalim di samping mendekatkan jarak kehambaan kita kepada Allah SWT. Di akhirat pula, kita akan diganjari dengan ganjaran yang sangat besar di sisi-Nya.

Hikmah penyakit menurut sunnah

SETIAP ujian daripada Allah SWT adalah untuk memperakukan iman yang yang benar. Allah SWT berfirman: “Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” Surah al-Ankabut ayat 2

Oleh itu, setiap ujian atau musibah yang berlaku dalam hidup kita seumpama suntikan vaksin ke dalam tubuh kita. Hendaklah kita menerimanya sebagai pelindung kepada iman kita sebagaimana vaksin melindungi diri daripada penyakit. Oleh itu, sesiapa yang bersabar atas ujian Allah SWT bermakna dia seolah-olah menyuntik vaksin iman dalam dirinya untuk menetapkan keimanan dan meningkatkan tahap ketakwaan kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar:” Surah al-Baqarah ayat 155

Sebagaimana juga firman Allah SWT: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami mengenai adanya orang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita tentang keadaan kamu.” Surah Muhammad ayat 31

Penyakit adalah satu daripada bukti yang menunjukkan manusia ini adalah makhluk yang lemah. Ia datang daripada Allah SWT. Apabila ditentukan Allah SWT akan berlaku, ia pasti berlaku dan akan mengenai sama ada orang baik atau orang jahat. Ia juga boleh berlaku kepada orang yang taat kepada Allah SWT dan orang yang fasiq (ingkar perintah Allah). Cuma ia berbeza antara individu.

Namun, seseorang yang diuji oleh Allah SWT dan dia bersabar di atas ujian itu, pasti Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kelebihan yang banyak. Sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” Surah al-Zumar ayat 10

Dalam konteks sunah Rasulullah SAW pula, sebenarnya banyak hadis yang menceritakan berkenaan matlamat dan hikmah daripada ujian Allah SWT ke atas hamba-Nya. Antaranya ialah setiap kesabaran atas ujian Allah SWT akan menghapuskan dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan menimpa kepada orang Muslim suatu kepayahan, sama ada penyakit fizikal atau spiritual, kesedihan, penganiayaan dan sebagainya. Dia juga tidak akan tertusuk duri sekecil apa pun melainkan dosanya diampuni Allah.” Riwayat Bukhari

Bahkan, Rasulullah SAW menegaskan dosanya akan berguguran sebagaimana gugurnya daun kering dari pokok. Riwayat Muslim

Seseorang apabila ditimpa musibah atau ujian Allah SWT adalah tanda bahawa ia akan diangkat darjat di sisi Allah. Saidatina Aisyah RA menceritakan: “Tidaklah seseorang Muslim itu tertusuk duri dan seumpamanya melainkan ditulis baginya satu darjat (ketinggian) dan dihapuskan daripadanya satu dosa (kerana sabar).” Riwayat Muslim

Allah SWT menetapkan kepada kita darjat (kedudukan tinggi) di sisi-Nya. Namun, jika dilihat amalan yang kita lakukan semasa di dunia ini tidak mencapai kedudukan itu maka Allah SWT menguji kita. Tujuan-Nya adalah untuk mengangkat darjat kita.

Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang hamba apabila ditetapkan Allah satu kedudukan di sisi-Nya, tetapi dia tidak mampu mencapainya dengan amalannya maka Allah SWT akan mendatangkan ujian sama ada pada tubuh badannya atau hartanya atau anak-pinaknya. Kemudian Allah SWT menjadikannya sabar (di atas ujian itu), sehingga dia mencapai kedudukan (darjat) yang Allah tetapkan itu.” Riwayat Abu Daud

Manusia pastinya akan sentiasa menghadapi ujian daripada Allah SWT sebagaimana ujian pandemik wabak Covid-19 yang kita sedang hadapi sekarang ini. Seluruh dunia sedang merana dan terkesan dengan penularan yang belum reda. Khasnya apabila institusi agama seperti masjid terpaksa ditutup kepada jemaah yang ramai atau dihadkan bilangan jemaah. Ramai yang berasakan seakan-akan ruang untuk beribadah dan peluang mendapat ganjaran pahala sudah tertutup. Namun, kita sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT yakin pastinya ada sebab dan hikmah di sebalik musibah ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau musafir akan ditulis pahala amalannya sebagaimana dia bermukim dan sihat.” Riwayat al-Tabrani

Bermakna, ibadah yang kita lakukan sama ada di rumah atau secara bersendirian (tidak ke masjid kerana darurat) tetap mendapat ganjaran pahala seumpamanya di sisi Allah SWT.

Menjadi matlamat hidup manusia ialah mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat iaitu matlamat yang lebih utama ialah untuk menggapai syurga di akhirat. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah berfirman: Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan (kehilangan) dua kekasihnya (kedua-dua matanya) kemudian dia bersabar, nescaya Aku menggantikan kedua-duanya (dua matanya) dengan syurga.” (Riwayat Bukhari)

Begitulah besarnya ganjaran dan kurniaan Allah SWT kepada orang yang bersabar di atas ujian daripada-Nya. Maka, menjadi kewajipan kita semasa pandemik ini tetap bersangka baik dengan Allah SWT dan menerima dengan reda. Namun, jangan sekali-kali meminta penyakit kerana kesihatan bagi seseorang itu lebih baik daripada musibah dan penyakit. Malah, ditakuti akan ditimpakan penyakit yang tidak tertanggung.

Tegasnya, walaupun pelbagai reaksi terhadap penerimaan vaksin Covid-19, vaksinasi untuk iman dan takwa adalah suatu kemestian. Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita mesti mempertahan dan meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Di samping terus menjaga kesihatan masing-masing agar tidak terjerumus kepada penyakit berbahaya, yakinlah dengan segala hikmah yang dijelaskan Rasulullah SAW. Janganlah dengan ujian dan musibah yang Allah SWT turunkan ini menjadikan kita kalah atau menggadaikan iman. Allah SWT mengingatkan kita supaya sentiasa beriman dan bertakwa melalui firmanNya: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” Surah Ali Imran ayat 102

Ikhtiar, amal soleh, doa dan tawakal, kerajaan selayaknya mendahului

SEJURUS mengambil ‘1001 ikhtiar’ termasuk mengisytiharkan total lockdown dan penyediaan vaksin bagi meningkatkan tahap imuniti rakyat menghadapi Covid 19, saya kira kita sudah berada di puncak upaya dan usaha.

Serentak itu, marilah kita tingkatkan juga usaha amal soleh bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT serta banyakkan beristighfar memohon keampunan atas dosa yang dilaku. Jauhi segala maksiat dan mungkar.

Selayaknya kerajaan dahulukan tindakan ini dengan hentikan sepenuhnya sebarang aktiviti dan rancangan yang mendorong kepada maksiat dan kealpaan ummah di dalam televisyen khasnya. (Terutama TV antara yang akan menjadi teman rapat sepanjang tempoh total lockdown)

Serikan channel TV dengan alunan ayat-ayat suci Al Quranil Kareem, selawat dan zikir serta tazkirah dan mauizah. Tidak mengapa pada rancangan hiburan sederhana yang tidak menjurus kepada maksiat dan mungkar serta kealpaan dan kelalaian.

Tidak sekadar di TV, kerajaan boleh ambil tindakan yang lebih hebat dan mulia dengan menyekat sepenuhnya laluan akses ke laman-laman lucah dan tidak bermoral di Internet.

Marilah kita renungi dan mengambil iktibar serta tindakan segera dari firman Allah SWT:

‎وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُم بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kemiskinan dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). (Surah Al Ana’am: 42)

Justeru itu, kerajaan tidak hanya mengambil langkah ikhtiari dengan mengadakan total lockdown serta bantuan pakej prihatin kepada rakyat, namun dalam masa yang sama pimpin dan bimbing rakyat keluar dari lingkaran mungkar yang menyudut mereka dalam murka Allah SWT.

Saya yakin dan percaya, kerajaan boleh melakukannya. Bantu rakyat, tidak sekadar bantu keperluan ekonomi mereka tetapi bantu jua keperluan spiritual mereka, agar Allah merahmati kita semua dan segera mengangkat musibah yang melanda negara.

Ingat penegasan Allah SWT:

‎فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami. Tetapi malangnya, hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al An’am: 43)

Ayuh, belum terlambat untuk kita melakukan suatu yang berkesan bagi memutuskan rantaian Covid 19.

Banyakkan berdoa. TV di semua channel boleh paparkan doa-doa yang mathur untuk ditiru baca oleh orang ramai. Para selebriti berbakat dan ramai follower, boleh bantu dengan segala kreativiti mereka bagi menghasilkan produksi yang membawa rahmat Allah kepada kita semua.

Insya-Allah, mempraktiskan amalan Islam tidak menjadikan kita sunyi dan sepi. Malah ia menyegarkan jiwa dan minda. Bahkan hidup kita diselubungi ketenangan dan kejayaan hasil berkat dan rahmat daripada-Nya.

Saya percaya, musibah yang melanda ini menyimpan sejuta hikmah buat kita semua. Antaranya, agar negara dapat reset semula sistem dan polisi politik, ekonomi dan sosial agar sedikit demi sedikit dapat diluruskan mengikut panduan dan pedoman Tuhan Yang Maha Mencipta iaitu Al Quranil Kareem.

NASRUDIN HASSAN
Yang Dipertua YADIM

Dunia ‘penjara’ bagi orang Mukmin

Bagi orang beriman, apabila melakukan sesuatu kemungkaran, dengan segera mereka berasa takut kerana menyedari Allah SWT sentiasa melihat dan mengawasi mereka.

Nabi SAW ada menyatakan, dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir.

Adakah sesuatu yang berbaloi buat manusia dapat menikmati kesenangan dan kemewahan hidup di dunia ini, namun di akhirat kelak mereka akan menerima seksaan yang amat dahsyat yang tidak diketahui sampai bila dia akan terus menanggung keperitan seksaan itu.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran mengingatkan setiap hamba-Nya bahawa di dunia ini tidak ubah seperti permainan dan senda gurau saja,

Dalam Surah al-An’am, ayat 32 yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan permainan dan hiburan yang melalaikan dan akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”

Inilah kehidupan dunia, ia kelihatan indah dan bercahaya tetapi sebenarnya menipu dan memperdaya orang yang lalai.

Pelbagai kenikmatan yang diperoleh di dunia ini tidak akan kekal buat selamanya. Segala penderitaan dan kesusahan dialami orang beriman di dunia ini sama sekali bukan disebabkan Allah SWT membenci mereka.

Begitu juga, kemewahan dan segala kenikmatan diperoleh orang kafir bukan bermakna Allah reda kepada mereka.

Allah SWT tetap mengurniakan kemurahan-Nya kepada seluruh manusia, namun kasih sayang-Nya hanya buat kaum Muslimin. Manusia diciptakan Allah SWT adalah makhluk yang memiliki banyak keinginan.

Mereka inginkan rumah besar, kereta mewah, isteri atau suami yang cantik, harta kekayaan, pengaruh dan jawatan besar. Namun keinginan paling penting yang didambakan setiap Mukmin ialah masuk ke syurga Allah SWT.

Sebenarnya, tidak menjadi kesalahan buat orang Islam yang menjadi golongan berharta, kaya raya dan berpengaruh asalkan seiring dengan tuntutan agama.

Nabi SAW menyatakan, orang kaya yang menafkahkan hartanya ke jalan Allah adalah orang yang berhak dicemburui. Pada setiap masa, kita perlu yakin dengan kebesaran Allah SWT.

Apabila sesuatu perbuatan itu ditegah, sudah pasti ada sebab Allah SWT melarangnya. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan sesiapa yang melakukan kejahatan, hati mereka akan ditutupi dosa mereka sendiri.

Sehubungan itu, jangan anggap mematuhi perintah Allah SWT itu satu yang sia-sia kerana sesiapa yang beranggapan sedemikian, Allah akan merendahkan maruah mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang dihinakan Allah, ingatlah tidak ada seorang pun yang akan memuliakannya.” (Surah al-Hajj, ayat 18)

Bagi orang yang merasakan dirinya terlalu banyak dosa, perasaan gelisahnya akan memuncak setiap kali dosa yang dilakukan itu bertambah. Bagi manusia yang taat pula, mereka sentiasa berasa dekat dengan Allah.

Kesan daripada mengingkari perintah Allah menyebabkan hati seseorang menjadi gelap. Imam Malik berkata kepada Iman Syafie, “Aku melihat Allah menurunkan cahaya di hatimu, oleh itu janganlah kamu padamkan dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang Allah. Semoga Allah merahmati kamu.”

Justeru, kebahagiaan hidup seorang Mukmin itu banyak bergantung kepada amal kebajikan yang dilakukannya. Kehidupan yang disinari cahaya, di situlah terkumpulnya segala kebaikan yang menyebabkan hatinya akan segera menghindari segala ajakan yang menjurus kepada perkara jahat dan mungkar.

Harta dan reda Allah

Mengapa ramai orang tidak beriman serta tidak melaksanakan perintah Allah SWT tetapi dikurniakan rumah dan harta benda yang mewah? Saya mempunyai saudara, hidupnya sangat mewah tetapi mereka tidak menjaga solat dan juga tidak berpuasa?

Zaki, Melaka

Kemewahan pada harta benda bukanlah tanda reda dan cinta Allah SWT kepadanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah az-Zukhruf, ayat 33 hingga 35 yang bermaksud: “Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka daripada perak dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (daripada perak juga).

“Dan juga pintu-pintu rumah mereka (daripada perak juga), dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (daripada perak juga), serta pelbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah kesenangan hidup di dunia, dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa.”

Ibnu Abbas, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan as-Suddi menjelaskan maksud ayat, “Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran)” adalah sekiranya tidak dihindari, manusia jahil yakin bahawa limpahan harta kekayaan adalah bukti kecintaan Allah SWT, lalu mereka berkumpul di dalam kekafiran demi harta kekayaan.

Potongan ayat seterusnya, Allah SWT menyatakan semua itu hanyalah kesenangan kehidupan dunia yang penuh tipu daya dan hina menurut pandangan Allah.

Allah SWT menyegerakan kebaikan yang orang kafir usahakan di dunia ini meliputi makanan, minuman dan lain-lain sebagai pengganti balasan pada hari akhirat.

Maka, tiada satu kebaikan pun yang mereka peroleh di sisi Allah SWT akan dibalas dengan pahala pada hari akhirat kelak.

Dalam hadis sahih riwayat at-Tirmizi menyebut: “Sekiranya dunia itu sama dengan berat sayap seekor nyamuk di sisi Allah, tentulah Dia (Allah) tidak memberi minum seorang kafir pun meskipun seteguk air selama-lamanya.”

Seterusnya, pada penghujung ayat 35, Surah az-Zukhruf menyebut bahawa kehidupan akhirat itu khusus bagi mereka yang bertakwa dan bukannya buat golongan selain daripada itu.

Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW pernah bersumpah tidak menggauli isteri-isterinya selama sebulan yang disebut sebagai iilaa’.

Lalu Umar bin al-Khatab memberikan bejana tempat minum kepada Baginda. Ketika itu, Umar melihat bekas tikar pada tubuh Baginda SAW sehingga Umar menangis.

Umar berkata: “Wahai Rasulullah, Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Rom) berada dalam kemewahan sedangkan tuan adalah manusia pilihan Allah”? Ketika itu Baginda SAW bersandar, kemudian duduk tegak dan bersabda: “Apakah engkau berada dalam keraguan wahai Umar?”

Kemudian Baginda melanjutkan: “Mereka itu adalah satu kaum yang disegerakan kebaikan mereka di dalam kehidupan dunia.” (Sahih Muslim)

Kerana itu juga Nabi SAW melarang bekas minuman dan makanan daripada emas dan perak kerana itu adalah kenikmatan bagi orang yang tidak beriman.

Itu adalah kehinaan dunia sebagaimana dinyatakan dalam hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu minum dengan menggunakan bekas emas dan perak, dan janganlah kamu makan dengan menggunakan piring daripada kedua-duanya. Sebab kedua-duanya adalah peruntukan bagi mereka (orang kafir) di dunia dan diperuntukkan bagi kita di akhirat.”

Justeru, apabila seorang Muslim meletakkan matlamat utamanya untuk akhirat, dia akan merasakan dunia ini kecil. Allah SWT akan menjadikan kekayaan dalam jiwanya.

Berpada-pada kejar harta dunia

Hilmi Isa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar reda-meredai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah maha penyayang kepadamu.” (Surah al-Nisaa’, ayat 29)

Hari ini ramai Muslim sudah kehilangan jati diri apabila lebih mengagungkan golongan artis. Segala kisah mengenai artis kesayangan mereka tahu.

Ia seakan-akan satu kebanggaan untuk mengetahui serba-serbi mengenai artis kesayangan. Gosip serta video berkaitan artis mendapat tontonan sehingga mencecah jutaan tontonan.

Apa yang dipakai artis menjadi fesyen ikutan. Apabila artis berpakaian menjolok mata, ramai yang turut menirunya.

Gaya hidup bebas artis juga menjadi contoh anak muda. Pada hari ini, ramai manusia mempunyai hampir segala kemewahan dunia, tetapi tidak berasa bahagia.

Puncanya kerana tidak mengikuti petunjuk yang dibawa Rasulullah SAW. Selain artis, masyarakat moden turut taasub terhadap guru kekayaan yang mengajarkan hidup bertuhankan harta benda.

Siang malam mengejar kekayaan sehingga mengabaikan solat. Sibuk mesyuarat sehingga solat ditinggalkan. Apa saja yang menghalang kekayaan akan diketepikan.

Agama menghindarkan rasuah tetapi materialisme membenarkannya. Lazimnya, perkahwinan yang tidak bahagia disebabkan sibuk mengejar kekayaan. Akibatnya, masa bersama keluarga semakin berkurangan.

Apabila hubungan semakin dingin dan konflik semakin tegang, jalan penyelesaiannya adalah perceraian.

Allah SWT berfirman dalam Surah an-Anbiya, ayat 25 yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku olehmu sekalian.”

Rasulullah SAW menunjukkan jalan yang bukan saja membawa kebahagiaan di dunia tetapi di akhirat. Baginda juga menyuruh umatnya menjadi kaya kerana dengan harta kekayaan nanti boleh digunakan untuk membantu Muslim lain.

Kaya bukan untuk berfoya-foya, tetapi untuk manfaat ummah dan agama. Biasanya majikan Muslim lebih faham keperluan pekerja Muslim berbanding majikan bukan Islam.

Hakikatnya, kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa. Perhatikan golongan dermawan di Barat, selepas bersara mereka banyak melakukan kerja kebajikan.

Kebanyakan mereka menyatakan, kehidupan lebih bahagia dengan menyumbang. Menjadi impian ramai orang untuk bergelar jutawan, tetapi setelah beberapa lama, segala-galanya akan menjadi bosan kerana harta kekayaan yang dikejar itu tidak akan ada kesudahannya.

Penawar datang apabila harta itu dikongsi dengan golongan yang memerlukan. Itulah puncak kebahagiaan mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi orang yang mengharap (reda) Allah dan hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 40)

Gerhana Bulan Penuh Perigee 26 Mei 2021!

Pada awal Maghrib, 26 Mei 2021 nanti, kita di Malaysia dan rakan-rakan lain di Asia Tenggara berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh.

Kali terakhir kita menyaksikan gerhana bulan (gerhana penumbra tidak dambil kira) ialah pada 16 Julai 2019, di mana ketika itu jenis gerhananya ialah gerhana bulan separa.

Waktu kejadian.

Gerhana Bulan Penuh kali ini akan berlaku ketika Bulan baru sahaja terbit di ufuk sebelah timur selepas waktu Maghrib (sunset). Ini bermakna kedudukan Bulan berada sangat rendah di ufuk.

Menyukarkan lagi keadaan ialah, kita (terutama di Semenanjung) hanya akan dapat lihat separuh sahaja daripada keseluruhan fasa gerhana.

Fasa gerhana yang saya maksudkan di sini ialah apabila Bulan mula memasuki bayang-bayang umbra, kemudian keseluruhan piring bulan masuk sepenuhnya ke dalam bayang-bayang umbra, dan seterusnya keluar kembali daripada sempadan bayang-bayang umbra.

Berbalik kepada apa yang kita akan dapat lihat dari Semenanjung, pada waktu Maghrib ketika Bulan terbit, Bulan sedang berada di kemuncak gerhana penuh iaitu keseluruhan piring Bulan sudah pun berada di dalam kawasan gelap bayang-bayang umbra.

Kita hanya dapat tengok separuh masa kedua sahaja, yakni bermula dari kemuncak gerhana penuh dan ia kembali keluar dari bayang-bayang umbra.

Namun begitu, bagi pencerap di Sarawak dan Sabah, anda lebih bernasib baik kerana apabila Bulan sedang terbit pada waktu Maghrib, ia masih belum masuk sepenuhnya ke dalam kawasan bayang-bayang gelap umbra.

Hanya selang 30-40 minit selepas itu barulah keseluruhan Bulan memasuki bayang-bayang umbra, yakni ia berada di dalam fasa gerhana penuh!

Nak mudah cerita, Gerhana Bulan Penuh kali ini akan dapat dilihat SELEPAS MAGHRIB DI LOKASI MASING-MASING hinggalah jam 8:52 malam (SELURUH MALAYSIA).

Berapa lamakah jangka waktu gerhana kali ini?

Keseluruhan fasa gerhana bulan (dari awal masuk umbra hingga akhir keluar dari umbra) mengambil masa 3 jam 7 minit.

Keseluruhan fasa gerhana penuh (iaitu Bulan berada keseluruhan di dalam kawasan gelap umbra) mengambil masa hanya 15 minit sahaja.

Harus diingat, ketika Bulan baru sahaja memasuki kawasan umbra, Bulan masih berada di bawah ufuk dan tidak kelihatan di langit kita.

Kenapa 15 minit?

Ini adalah disebabkan Bulan begerak di dalam bayang-bayang umbra di bahagian sisi sempadan umbra sahaja, dan bukan di tengah-tengah. Maka, jangka waktu ia berada di dalam kawasan gelap adalah singkat.

Diagram laluan Bulan merentasi kawasan bayang-bayang Umbra. Kredit Fred Espenak.

Apakah yang kita akan dapat lihat nanti?

Berdasarkan maklumat oleh Fred Espenak, nilai umbral magnitude gerhana kali ini ialah 1.009. Nilai ini memberi maksud pecahan diameter Bulan yang berada di dalam bayang-bayang umbra.

Gerhana Bulan Penuh akan memberi nilai lebih besar dari 1

Gerhana Bulan Separa memberi nilai kurang dari 1

Gerhana Bulan Penumbra memberi nilai negatif!

Lebih besar nilai 1 itu, bermaksud lebih gelap dan lebih banyak kawasan bayang-bayang umbra yang terpaksa ditempuhi oleh Bulan.

Gerhana kali ini, nilai umbral magnitude hanya 1.009, sedikit besar dari 1. Ini bermaksud Bulan hanya bergerak sedikit sahaja di dalam kawasan bayang-bayang umbra, dan lebih hampir ke sempadan luar umbra.

Maka, dijangkakan gerhana penuh kali ini, Bulan tidak akan lihat begitu gelap atau merah pekat. Ia mungkin akan kelihatan ‘agak cerah’, atau merah terang.

Mungkin beginikah suasana Bulan ketika ia terbit dalam fasa Gerhana Penuh nanti?

Sempadan di sebelah utara Bulan (atau sebelah kiri dari pandangan mata kita) akan kelihatan lebih cerah/terang bebanding sisi selatan/kanan Bulan.

Gerhana Bulan Penuh Perigee!

Bulan kali ini mungkin akan kelihatan sedikit besar berbanding biasa kerana kebetulan waktu Gerhana Bulan Penuh ini berlaku, Bulan berada di dalam kedudukan paling hampir dengan Bumi, iaitu perigee.

Oleh itu kita boleh la kot nak panggil fenomena kali ini Gerhana Bulan Penuh Perigee!

Adakah kedudukan Bulan yang rendah akan memberi kesan?

Mungkin juga. Faktor altitud atau ketinggian Bulan yang rendah (terutama di Semenanjung) akan memberi sedikit kesan terhadap ‘kecerahan’ gerhana ini. Bulan mungkin akan kelihatan agak malap ketika ia baru sahaja terbit.

Namun, apabila Bulan semakin tinggi, kesan atmosfera ini akan berkurangan.

Contoh kesan atmosfera apabila Bulan berada rendah di langit. Foto oleh Antonín Hušek dari Czech Republic.

Walaupun begitu kita kena ingat, apabila Bulan semakin tinggi, ia sudah pun tamat fasa gerhana penuhnya! Ketika itu Bulan sudah mula keluar daripada sempadan bayang-bayang umbra dan berada di dalam fasa separa.

Perbezaan pemandangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Bulan akan memasuki fasa gerhana penuh bermula jam 7:11 pm hingga 7:25 pm.

Bagi anda di Sabah dan Sarawak, Bulan akan terbit lebih awal di sana, iaitu lebih kurang antara jam 6:11 pm ( di Tawau, Sabah) hinggalah 6:37 pm ( di Kuching, Sarawak).

Maka, ketika Bulan terbit, ia masih dalam fasa gerhana separa, dan semasa Bulan baru masuk ke dalam fasa gerhana penuh, ia sudah pun berada agak tinggi di ufuk timur.

Keadaan Gerhana Bulan Penuh sedang terbit di ufuk. Pemandangan ini mirip dengan apa yang dapat dilihat oleh pencerap di Sabah dan Sarawak. Foto oleh Matt Dahl.

Selesa dan mudah untuk dicerap! Best!

Bagi anda di Semenanjung pula, Bulan terbit sekitar jam 7:18 pm (di Kuala Lumpur), campur tolak beberapa minit di bandar-bandar lain.

Maka, ketika Bulan terbit, Bulan sudah pun berada di dalam fasa gerhana penuh! Anda akan terlepas dan tidak dapat menyaksikan momen ia mula-mula menjadi gelap sepenuhnya, kerana pada ketika itu Bulan masih berada di bawah ufuk.

Di manakah lokasi sesuai untuk melihat gerhana kali ini?

Di sebabkan faktor kedudukan Bulan yang rendah, anda perlu mencari kawasan ufuk langit timur yang luas dan tiada halangan, seperti bangunan, pokok atau bukit.

Cabaran paling getir bagi pencerap di Semenanjung ialah Bulan sangat rendah ketika gerhana, dan kita perlu mencari kawasan yang tidak ada halangan seperti gambar di atas.

Tiada keperluan untuk berada di tempat yang gelap kerana Bulan boleh dilihat dengan mudah walaupun dari kawasan bandar yang terang. Anda hanya perlu mengelak daripada melihat ke kawasan yang silau dengan lampu jalan.

Jika langit timur anda ialah laut, seperti di pantai timur, anda lebih bernasib baik kerana pemandangan Bulan dalam keadaan gerhana penuh sedang terbit di atas garisan laut bakal menjadi momen yang sungguh indah!

Tepi pantai adalah lokasi terbaik untuk menyaksikan gerhana bulan penuh kali ini. Foto oleh Stefano De Rosa.

Harus diingat juga, disebabkan sekarang musim Covid, dan PKP sedang dilaksanakan, janganlah merayau ke tempat yang jauh-jauh atau lakukan cerapan di dalam kumpulan yang besar.

Patuhi SOP!!!

Lebih baik lakukan cerapan dari rumah sahaja. Gerhana ini tak kemana pun, InsyaAllah panjang umur tahun depan ada lagi peluang nak tengok.

Bilakah gerhana bulan seterusnya?

Gerhana Bulan seterusnya akan berlaku pada 19 Nov 2021 ini. Ia merupakan Gerhana Bulan Separa, namun nilai umbral magnitude -nya ialah 0.974 !! Hampir-hampir nak gerhana penuh!

Sekali lagi ia akan berlaku ketika Bulan terbit.

Dan sekali lagi, rakan-rakan di Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan Bulan terbit dalam keadaan ia sedang berada di dalam fasa gerhana separa, yakni Bulan sedang mula keluar daripada bayang-bayang umbra.

Dan sekali lagi, anda di Semenanjungtidak akan dapat lihat langsung Bulan yang berada di dalam keadaan gerhana! Ketika Bulan terbit, ia sudah pun keluar daripada bayang-bayang umbra!

Sabor je la! 🙂

Bilakan waktu untuk melakukan solat sunat khusuf ( الخُ لخُ فِو )?

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”

Gerhana Bulan kali ini akan tamat pada jam 8:52 malam (seluruh Malaysia). Maka, anda boleh lakukan solat sunat khusuf ( الخُ لخُ فِو ) bermula waktu Maghrib di lokasi masing-masing, hinggalah 8:52 malam

Boleh rujuk KAIFIYAT SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI DAN BULAN terbitan Jabatan Mufti Negeri Perak ini.

Selamat mencerap semua!

Sentiasa bersyukur & bersabar

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap orang Islam perlu berusaha menjadi Muslim yang beriman. Orang yang beriman dikenali sebagai Mukmin. Setiap orang berpeluang untuk menjadi Mukmin asalkan berusaha melakukan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan ciri-ciri orang beriman. Takut kepada Allah SWT antara ciri-ciri orang beriman. Takut kepada Allah SWT bermaksud mengakui kebesaran-Nya dan berusaha melaksanakan perintah-Nya sertta menjauhi larangan-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya menjadikan mereka bertambah iman serta kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Surah al-Anfal ayat 2)

Orang bertawakal kepada Allah SWT selepas melakukan usaha juga termasuk dalam kalangan orang beriman. Iman mereka teguh menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa melakukan apa sahaja yang terbaik untuk hamba-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “… dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu berusaha), jika benar kamu orang yang beriman.” (Surah al-Maidah ayat 23)

Apabila seseorang insan benar-benar mempercayai keesaan Allah SWT, seluruh kehidupannya akan dilihat menerusi dimensi positif. Ini kerana seseorang yang beriman sentiasa sedar kehidupannya di atas muka bumi ini tertakluk kepada ketetapan Allah SWT.

Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan orang Mukmin semuanya adalah baik. Dia menerima setiap ketentuan yang berlaku dalam kehidupannya kerana mengetahui di sebalik semua yang berlaku pasti ada hikmah yang akan dikurniakan Allah SWT. Oleh itu, orang beriman tidak akan sama sekali mengeluh terhadap apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Setiap Mukmin berusaha melakukan setiap perkara mengikut garis panduan yang ditetapkan Allah dan rasul-Nya. Maka natijah daripada usaha berkenaan akan diterima oleh orang Mukmin kerana dia sedar akan kuasa Allah SWT menentukan segalanya yang terbaik untuk hamba-Nya.

Apabila seseorang Mukmin benar-benar beriman kepada Allah SWT, segala yang berlaku dalam dirinya akan dilihat dengan pandangan yang baik. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud: “Sungguh menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Semua urusannya adalah baik. Hal ini tidak didapati kecuali pada diri seorang Mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur. Maka itu adalah baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan pula, dia bersabar. Maka itu pun baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kita baru saja menyambut kedatangan 1 Syawal pada tahun ini. Selepas sebulan melaksanakan ibadat puasa Ramadan dan amal ibadat sunat lain pada bulan mulia itu, Allah SWT mengurniakan kegembiraan tatkala menyambut Aidilfitri.

Kegembiraan menyambut Aidilfitri kali ini juga sebenarnya disambut dengan meriah meskipun terpaksa akur dengan ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebelum datangnya 1 Syawal, ramai orang menyuarakan rasa sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung meraikan lebaran bersama keluarga. Semua orang hanya dibenarkan meraikan Aidilfitri di rumah masing-masing.

Namun pada 1 Syawal, ramai orang dilihat memanfaatkan media sosial masing-masing menzahirkan kegembiraan menyambut hari raya. Masing-masing saling mengucapkan selamat hari raya kepada kenalan di media sosial. Ada yang mencipta poster raya dengan kreativiti tersendiri. Gambar hari raya bersama keluarga di rumah dan juadah hari raya juga dikongsi dalam akaun media sosial masing-masing.

Sebenarnya nikmat kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah SWT masih dapat dirasai oleh semua orang Mukmin. Tatkala keadaan masih dibelenggu wabak Covid-19, umat Islam di negara ini masih dapat menyambut hari raya dalam suasana norma baharu. Semua ini tidak menyekat kewajipan kita untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat yang diberikan sempena kehadiran Syawal.

Orang Mukmin tidak akan melupakan Allah SWT ketika berada dalam keadaan gembira. Sememangnya hari raya adalah anugerah daripada Allah SWT untuk diraikan dalam kegembiraan. Kegembiraan itu pula disertakan dengan perbuatan yang melambangkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa kehadiran lebaran yang disambut selepas cukup tempoh berpuasa pada Ramadan perlu diraikan dengan membesarkan Allah SWT. Sebab itu, pada hari raya tempoh hari kita semua bertakbir melaungkan kata-kata yang mengesakan Allah SWT. Semua perkara ini dibuat bagi menyerlahkan kesyukuran kepada-Nya.

“… dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah ayat 185 )

Jika pensyariatan ibadah puasa bertujuan menjadikan seseorang Muslim menjadi golongan bertakwa tattaqun, maka pensyariatan hari raya pula bertujuan menjadikan seseorang Muslim itu termasuk dalam kalangan golongan yang bersyukur tashkurun.

Pada masa sama, kita masih berdepan ujian melawan penularan wabak Covid-19. Sehingga kini, angka merujuk bilangan yang dijangkiti wabak Covid-19 masih banyak. Orang Mukmin apabila ditimpa kesusahan, dia akan bersabar.

Bersabar menghadapi kesusahan bukan sekadar duduk diam tanpa berusaha mengelak daripada jangkitan virus. Sebaliknya orang yang berada dalam keadaan yang susah perlu bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah ayat 45)

Orang Mukim yang bersabar ketika berdepan dengan kesusahan tidak akan membuang masa menyalahkan orang lain, membuka pintu perbalahan, mengeluarkan kata-kata yang buruk, menyebarkan fitnah dan sebagainya. Semua orang perlu saling membantu antara satu sama lain agar kita semua dapat mengekang penularan wabak yang sudah lama berada di sekeliling kita.

Rasulullah SAW bersabda mengenai tindakan sesetengah orang yang suka menyebut perkara yang tidak membantu menyelesaikan ujian yang dihadapi. Mereka lebih suka menyebut ayat yang sebenarnya di luar kemampuan sendiri untuk melakukannya.

“Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan ‘kalaulah aku melakukan itu dan ini’. Akan tetapi katakanlah ‘takdir’ (ketentuan) Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini mengajak kita bersama-sama menangani ujian yang melanda dengan memikirkan langkah yang sepatutnya diambil, bukan sekadar menyebut hal yang sudah berlalu. Orang yang bersabar dalam menghadapi kesusahan dengan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT pasti akan menerima ganjaran istimewa daripada-Nya.

Keistimewaan yang bakal dikurniakan oleh Allah SWT termasuk mengeluarkan hamba-Nya yang berada dalam kesusahan kepada keadaan lebih baik. Firman Allah SWT bermaksud: “… Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah az-Zumar ayat 10)

Mari kita jadi Mukmin yang bersyukur tatkala dikurniakan kegembiraan dan bersabar apabila berdepan dengan kesusahan. Usah jadi golongan yang menyalahkan Allah SWT dengan mengatakan Dia tidak menyayangi kita hanya kerana kesusahan yang ditanggung ketika ini.

“Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku menghina diriku! (kerana ujian yang menimpanya).” (Surah al-Fajr ayat 16)

3 Jenis Kaki Sembang Yang Rasulullah SAW Paling Benci

1. “Thartharun”, iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap.
.
2. “Mutasyaddiqun”, iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain.
.
3. “Mutafayhiqun”, iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain.
.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
.
أَبغَضَكُمْ إِليَّ وَأبْعَدَكُمْ مِني مَجْلساً يَومَ القِيامةِ: الثَّرْثَارونَ، والـمُتَشَدِّقُونَ، وَالـمُتَفَيْهِقُون
.
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah orang yang paling lebat sembangnya, orang yang suka memperolok orang lain dan orang yang sombong bicaranya.” [riwayat al-Tirmidzi].

Kehancuran Israel pertanda Qiamat

Adakah Israel berhenti menyeksa saudara kita disana? Berapa ramai lagi nyawa mangsa akan yang melayang dan cerdera akibat serangan peluru berpandu yahudi laknatullah?

Allah Ta’ala berfirman: “Dan telah Kami tetapkan bagi Israel dalam al-Kitab itu:” Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar “. (Surah Al-Isra: 4)

Ayat diatas cukup jelas bagi kita kekejaman zionis yahudi laknatullah terhadap rakyat Palestin adalah bukti nyata dari ayat diatas, kekejaman dan sikap angkuh yang dimiliki Israel sudah Allah gambarkan dalam firman tersebut.

Yahudi zionis laknatullah…pekat hitam dan gelap, itulah gambaran dari negera haram zionis yang tidak mempunyai hati perut, tidak mempunyai hati nurani dan pengecut. Bangsa yang hanya diliputi kebencian, ketamakan dan kekufuran. Bangsa yang hanya boleh mencintai bangsanya sendiri, bangsa yang ego yang sudah tertutup oleh kain kafan duniawi, bangsa yang sudah mati rasa dari rasa menghargai dan mencintai sebuah nyawa. Kebencian mereka kepada rakyat Gaza Palestin telah membuka kunci pintu neraka yang seluas-luasnya, keangkuhan dan kemajuan yang dinikmati sekarang ini adalah racun dan virus yang merebak dalam setiap urat ditubuh mereka. Melenakan mereka akan kenikmatan duniawi yang tidak hakiki.

Al-Qur’an menceritakan kehancuran Yahudi, seperti firman-Nya:

“Dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan Israel) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang Islam di bawah pimpinan Imam Mahdi) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam Masjid (Al-Aqsa), sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama, dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa yang mereka kuasai “. (Surah Al-Isra ‘: 7)

Tidak ada kekuatan di dunia ini yang mampu menghentikan kebiadaban yahudi zionis. Pengepungan dan pemenjaraan besar-besaran oleh penjajah yahudi zionis dengan pembangunan tembok pemisah bermula 16 Jun 2002 di Tebing Barat dengan alasan keselamatan. Panjang tembok tersebut mencapai 721 km sepanjang Tebing Barat dengan ketinggian mencapai 8 meter sehingga mengasingkan tanah pertanian milik penduduk Palestin yang ditanam pelbagai buah seperti anggur dan zaitun. Hal ini menyebabkan ekonomi Palestin runtuh. Pengepungan ini sudah jelaskan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Hampir tiba masanya tidak dibenarkan masuk (sekatan) kepada penduduk Iraq meski hanya satu qafiz makanan dan satu dirham,” Kami bertanya dari mana larangan itu?

Rasulullah menjawab: “Dari orang-orang asing yang melarangnya.” Kemudian berkata lagi: “Hampir tiba masanya tidak dibenarkan masuk (sekatan) kepada penduduk Syam (Palestin) walaupun hanya satu dinar dan satu mud makanan.” Kami bertanya: “Dari mana larangan itu? Beliau menjawab: Dari orang-orang Rom. ” (HR. Muslim)

Siapa kekuatan yang mampu menghancurkan yahudi laknatullah? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan:

“Akan muncul dari Khurasan (Afghanistan) bendera-bendera hitam, maka tidak ada seorang pun yang mampu mencegahnya, sehingga bendera-bendera itu dipasang di Eliya (al-Quds)”. (HR. Ahmad, Tirmidzi dan Nu’aim bin Hammad)

Semoga Allah selalu melindungi saudara-saudara kita di Gaza-Palestin, yakinlah Allah memberikan setiap ujian dengan hikmah yang besar.

Kehancuran Israel bererti kiamat telah dekat sehingga ramai orang mempertahankan kewujudan Negara haram yahudi tersebut, namun janji Allah dan Rasul-Nya pasti akan terlaksana:

“Tidak akan terjadi kiamat sehingga kaum muslimin memerangi bangsa Yahudi, sehingga orang Yahudi berlindung di balik batu dan pohon, lalu batu dan pohon tadi akan bercakap; Wahai orang Islam, hai hamba Allah! di belakangku ada orang-orang Yahudi, kemarilah, bunuhlah dia, kecuali pohon Ghorqod, sebab ia itu sungguh pohonnya Yahudi “. (HR. Ahmad)