Ramadhan Fasa penting mendidik diri

Mohd Rizal Azman Rifin

Memang unik dan berlainan sekali. Masuk saja Ramadan, kita tidak makan dan minum pada siang hari tetapi cergas beramal ibadat. Kita menjadi seakan-akan manusia yang jauh beza berbanding bulan lalu.

Sebelum ini, kita mungkin jarang ke masjid. Namun, apabila Ramadan dengan tidak semena-mena hati kita terpaut untuk turut sama memakmurkannya. Dalam banyak waktu, kita selalu berjemaah.

Mungkin pada bulan lain hanya sekali dalam seminggu kita ke masjid iaitu pada Jumaat. Namun, pada Ramadan boleh dikatakan setiap hari kita ke masjid. Boleh pula kita berbuat begitu!

Sebelum Ramadan kita jarang membaca al-Quran, melainkan apabila ada kematian dan itu pun sekadar surah al-Fatihah.

Namun, dengan kehadiran Ramadan kita tergerak hati untuk mendapatkan al-Quran. Setiap kali ada waktu terluang, kita membelek helaian demi helaian. Kita membacanya tanpa rasa jemu.

Barangkali juga sebelum ini kita sangat berkira untuk bersedekah. Namun, pada bulan yang mulia ini kita terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada golongan susah dan anak yatim.

Kita menjadi ringan tangan menghulurkan sumbangan kepada tabung masjid. Kita menderma kepada tabung kebajikan. Kita turut menghulurkan sumbangan kepada pihak yang ingin mengadakan majlis berbuka puasa ataupun kita sendiri menajanya.

Demikianlah gambaran sepintas lalu mengenai anjakan sikap kita pada Ramadan. Sekiranya kita mampu mengubah sikap selari dengan tuntutan agama, bermakna kita berjaya menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk mendidik diri.

Persoalannya, sejauh mana kita dapat mengubah sikap kita kepada yang sepatutnya? Mampukah kita menjadikan ibadat puasa sebagai satu cara untuk membuang segala sikap buruk dan menyemai sikap terpuji?

Sebelum teragak-agak memberikan jawapan, mari kita perhatikan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Imam al-Bukhari, mafhumnya: “Sesiapa tidak meninggalkan perkataan dusta dan mengamalkannya, maka tiada hajat bagi Allah pada meninggalkan makan dan minumnya.”

Begitu juga Sayidina Umar al-Khattab RA berkata: “Bukanlah puasa itu terbatas pada menahan diri daripada makan dan minum saja. Malah, puasa itu menahan diri daripada perkataan dusta, perbuatan batil, sia-sia dan sumpah yang tiada gunanya.”

Kemudian, kata-kata daripada Sayidina Ali bin Abi Talib RA: “Sesungguhnya puasa tidaklah terbatas daripada menahan diri daripada makan dan minum saja. Malah, puasa itu menahan diri daripada perbuatan dusta, sia-sia dan keji.”

Nampak jelas di sini, faedah puasa dan kaedah penerimaannya oleh Allah. Jadi, usahlah teragak-agak untuk berpuasa dengan seluruh pancaindera.

Kita kunci mulut daripada berkata dusta, mencerca dan mengungkapkan perkataan yang sia-sia.

Ambillah peringatan melalui sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain lapar dan dahaga belaka!” (Riwayat Ibnu Majah dan Nasai)

Semoga Ramadan yang kita lalui serta puasa kita jalani kali ini menjadi lebih baik dari sebelumnya. Teguhkan tekad dan kuatkan semangat untuk meraih pahala dan reda-Nya.