• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,720 orang
  • Kandungan Blog

Gembira temui Ramadan

Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ramadan akan menjelang kembali dan umat Islam di seluruh pelosok dunia sudah pasti akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Tidak kurang pula, ada sebahagian umat Islam yang mengeluh dan merungut kehadiran Ramadan yang menuntut setiap Muslim melaksanakan kewajipan berpuasa padanya yang dianggapnya sebagai satu beban baginya. Begitu pelbagai ragam dan situasi yang mewarnai pentas kehidupan umat Islam sempena kedatangan Ramadan yang penuh berkat.

Hadirnya Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan Muslim yang bertakwa kepada Allah. Ini kerana Ramadan yang bakal menjelang menjanjikan berbagai-bagai aneka keistimewaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan Allah kepada Muslim yang benar-benar bertakwa kepada-Nya.

Ramadan menuntut setiap Muslim supaya merenung dan bermuhasabah diri berkenaan persediaan dan amalan yang sepatutnya dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadan. 

Muhasabah terhadap persediaan ini amat penting kerana Ramadan hanya datang sekali setahun, tambahan pula apakah setiap Muslim meyakini bahawa dia akan terus bernyawa pada Ramadan yang akan datang.

Biarlah pada Ramadan kali ini, seseorang Muslim dapat melaksanakan yang terbaik daripada koleksi amal soleh yang dianjurkan sepanjang Ramadan yang mulia ini sebelum ditakdirkan bertemu menghadap Allah pada bila-bila masa sahaja.

Di samping itu, seorang Muslim yang bijaksana di sisi Allah adalah seorang yang akan memanfaatkan segala kelebihan dan keistimewaan yang terhimpun sepanjang Ramadan dengan berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya. 

Persediaan pertama yang wajib dilakukan setiap Muslim ialah persediaan jasmani dan rohani. Ini kerana amalan ibadat sepanjang Ramadan yang berkaitan dengan amalan zahir dan batin membabitkan penyertaan jasmani dan rohani setiap Muslim.

Oleh sebab itu kita melihat Rasulullah membuat persediaan menyambut Ramadan dengan berpuasa sunat pada Rejab dan Syaaban.  Rejab adalah permulaan bulan yang mulia dan bagi orang Mukmin yang bertakwa, mereka tidak akan melepaskan peluang memanfaatkan kelebihan Rejab dan Syaaban untuk melipatgandakan amalan soleh lebih-lebih ibadat puasa sunat sebagai satu persedian menghadapi penghulu segala bulan iaitu Ramadan.

Maka tidak hairan Rasulullah kerapkali berdoa setiap kali datangnya Rejab yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban ini dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.” 

Begitu persiapan orang Mukmin yang benar-benar bertakwa dan beristiqamah dalam hidupnya sehingga mereka mempersiapkan diri bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga dari sudut rohani. Mereka sudah mula membersihkan diri dan hati mereka sebelum menyambut bulan Ramadan yang agung supaya dengan kehadiran Ramadan yang mulia itu, hati mereka sudah bersedia untuk menerima cahaya Allah, rahmat-Nya dan kurnia-Nya yang tidak terhingga. 

Seorang ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan untuk memohon ampun daripada segala dosa dan Syaaban pula adalah untuk memperbaiki hati daripada segala kecacatan dan Ramadan adalah untuk memberi penerangan hati, sedang malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.”

Selain daripada itu, setiap Muslim juga dituntut mengulang kaji segala persoalan yang berkaitan dengan masalah ibadat puasa, baik mengenai rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah, manfaat, rahsia dan hikmah yang terkandung
di dalamnya.

Kesempurnaan ibadat puasa dan penerimaannya di sisi Allah amat bergantung kepada cara perlaksanaan ibadat tersebut sama ada berdasarkan sunah Rasulullah ataupun sebaliknya. Malah, mengetahui cara melakukan ibadat puasa dengan betul adalah antara ciri-ciri ketakwaan yang ditegaskan Allah sebagai objektif utama pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam. 

Ketika menjalani ibadat puasa, setiap Muslim diwajibkan berusaha mengekang diri daripada segala kecenderungan negatif yang boleh mencacatkan kesempurnaan fadilat puasa. Ini kerana matlamat utama puasa ialah menahan diri daripada segala runtunan hawa nafsu duniawi baik yang kecil mahu pun yang besar, sama ada yang berkaitan dengan nikmat jasmani seperti makan, minum dan seks ataupun penyakit rohani seperti mengumpat, dengki, sombong dan seumpamanya. 

Seiringan dengan itu, setiap Muslim seharusnya memperbanyakkan amalan soleh pada malam harinya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, Witir, Tahajud, tadarus al-Quran, iktikaf dan sebagainya.

Ketika pada waktu siangnya, kegiatan seorang Muslim hanya tertumpu pada melaksanakan ibadah wajib iaitu puasa, maka pada malam harinya pula dia mengumpul segala kekuatan yang sedia ada untuk melaksanakan ibadat sunat yang dianjurkan Islam.

Bukankah Allah menjanjikan pahala satu amalan wajib di bulan Ramadan menyamai 70 amalan wajib pada bulan lain dan satu amalan sunat pula menyamai satu amalan wajib pada bulan lain. Sepatutnya ‘tawaran istimewa’ yang Allah sediakan pada bulan Ramadan ini menjadi suatu perangsang bagi Muslim yang bertakwa untuk merebut ganjaran berlipat ganda terbabit yang tidak terdapat pada bulan lain. 

Seterusnya, di samping berpuasa pada siang harinya dan beribadat sunat pada malam harinya, seorang Muslim yang sejati akan tetap melaksanakan aktiviti sehariannya seperti biasa tanpa sebarang keuzuran atau pengecualian. Ibadat puasa tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang Muslim untuk melakukan kerja sehariannya ikhlas kerana Allah.

Perlu ditegaskan sebarang aktiviti dan kerja seharian jika diniatkan ikhlas kerana Allah akan bernilai menjadi satu ibadat. Sedangkan semua amalan ibadat akan diberikan Allah ganjaran sehingga ratusan kali ganda.

Untuk itu, mengapa perlu disia-siakan detik-detik berharga yang menghiasi sepanjang Ramadan sehingga diisi dengan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari. Alangkah ruginya manusia yang tidak memanfaatkan kelebihan dan keistimewaan yang Allah hamparkan sepanjang Ramadan ini. 

Oleh sebab itu, Rasulullah menganjurkan umatnya supaya menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan di samping persediaan yang sewajarnya supaya Ramadan yang bakal mendatang menjanjikan keberkatan, kerahmatan dan keredaan Ilahi juga.

Perumpamaan Ramadan sama seperti kedatangan seorang tetamu besar yang datang bersama buah tangan atau hadiah khas kepada tuan rumah. Keberkatan buah tangan atau hadiah terbabit sudah tentunya hanya diberikan kepada tuan rumah yang menyambut kedatangannya dengan baik dan penuh ceria, bukan dengan ala kadar sahaja.

Begitu juga Ramadan dengan pelbagai aneka keberkatan, kerahmatan dan keistimewaannya hanya dikurniakan kepada setiap Muslim bertakwa yang menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan pengisian amalan soleh pada siang dan malamnya demi meraih keredaan Ilahi dan kenikmatan syurga di akhirat kelak. 

Daurah Kitab Sempena Ramadhan 1442H bermula esok 14 April