• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,095 orang
  • Kandungan Blog

Persiap minda, rohani hayati Ramadan ketika musibah

Oleh Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad

KITA berada di ambang Ramadan. Beberapa hari lagi, kita menguak pintunya untuk masuk ke madrasahnya. Tahun ini, akan sedikit berbeza, tetapi objektif Ramadan akan tetap sama.

Ia berbeza kerana kita diduga dengan musibah COVID-19 hingga pergerakan kita terbatas, hatta dalam persoalan mengerjakan ibadah di masjid.

Perbezaan cara kita menyambut Ramadan kali ini usahlah kita risau dan bimbangkan. Apa yang penting adalah untuk kita tidak sesekali melupakan dasar dan asas kepada matlamat Allah SWT memfardukan puasa kepada umat manusia.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketakwaan.” (Al-Baqarah: 183)

Kita bersyukur masih hidup dan dipilih Allah SWT untuk menggapai Ramadan kali ini dan marilah kita sama-sama mencari peluang supaya ia lebih baik daripada tahun lalu.

Darjat ketakwaan yang disebutkan dalam ayat di atas adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadat puasa.

Dalam ayat itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘asa (mudah-mudahan) yang bererti tidaklah semua yang memperolehnya jika tidak kena gaya dan aturannya dalam berpuasa.

Oleh itu, baki beberapa hari lagi untuk kita masuk pintu Ramadan, wajar untuk kita mempersiapkan minda dan rohani. Minda harus bersedia menerima kehadirannya dengan berfikiran terbuka menghadapi cabaran.

Rohani kita pula perlu disiapkan dengan rasa gembira dan keazaman jiwa untuk menjalaninya dengan penuh keimanan serta ketakwaan.

Sedarlah jiwa yang berpuasa dengan penuh kesedaran akan pelaksanaan ibadah ini kerana Allah SWT semata-mata akan memperoleh ganjaran besar berupa keampunan-Nya terhadap dosanya yang lalu.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang lalu akan diampuni.” (HR Bukhari dan Muslim)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa atas dasar iman ialah berpuasa dengan beriktikad akan kefarduan puasa, manakala dimaksudkan dengan ihtisaban ialah mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Dalam beroleh darjat ketakwaan ini juga hendaklah kita memastikan kita berpuasa dengan cara disebut Nabi SAW, iaitu berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut menahan diri daripada melakukan kemaksiatan zahir serta batin.

Nabi SAW bersabda: “Boleh jadi orang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah)

Antara perbuatan yang akan merosakkan ibadah puasa adalah apabila kita tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji serta dusta.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji serta mengamalkannya pula, maka Allah tidak berhajat untuk orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

Oleh itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin mengklasifikasikan tiga kelompok manusia dalam hal berpuasa.

Kelompok pertama ialah orang awam berpuasa tidak lebih daripada sekadar meninggalkan makan dan minum serta hubungan seksual pada siang hari.

Kelompok kedua pula diberi nama al-khusus, iaitu mereka yang meninggalkan perbuatan di atas di samping turun menjaga anggota pancaindera daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan sia-sia.

Kelompok ketiga pula disebut kelompok khusus al-khusus atau al-khawwas, iaitu mereka menjaga seperti kelompok kedua, pada masa sama, mereka turut menjaga hati dengan sentiasa mengingati Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita meningkatkan keazaman kita untuk melakukan ibadah puasa tahun ini dengan kaedah dan cara kelompok yang ketiga supaya kita sebenar-benarnya beroleh darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.

Ingatlah ganjaran orang bertakwa atau al-muttaqin akan beroleh syurga-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ialah orang yang berjaya. Mereka beroleh tempat di taman syurga dan beroleh nikmat buah-buahan di dalamnya.” (Al-Naba’: 31-32)

Jom jadi hamba dikasihi-Nya

Mohd Shahrizal Nasir

Cuba kita bayangkan betapa ramai manusia yang Allah SWT ciptakan di atas muka bumi ini. Bukan sahaja jumlah yang berada di dunia sekarang ini, tetapi sejak manusia diciptakan dan menjadi penghuni alam. Semuanya tanpa terkecuali akan dihitung amalan masing-masing serta dikurniakan nikmat syurga bagi yang beriman dan diberi azab neraka bagi yang kufur. Kehidupan di dunia adalah tempat untuk manusia mencari keredaan Allah SWT dengan beriman kepada-Nya dan melaksanakan amal kebaikan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Untuk mencapai kebahagiaan kehidupan di akhirat, peluang berada di dunia perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tidak ada istilah tunggu masa tua baru ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana kita tidak tahu tentang pengakhiran kehidupan di dunia ini. Apa yang boleh dilakukan ialah sentiasa bersedia menghadapi kematian dan menggandakan amalan.

Syurga Allah SWT sangat luas dan ia terbuka untuk sesiapa sahaja menjadi penghuninya asalkan seseorang insan patuh terhadap ketetapan Allah SWT. Keluasan syurga telah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133)

Meskipun semua orang ingin merasai nikmat syurga, hakikatnya tidak semua orang menunjukkan minat untuk mendapatkannya. Buktinya masih ramai yang tidak akur dengan ketetapan Allah SWT sepertimana yang termaktub dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Hal ini sehinggakan Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran perihal manusia yang bilangannya sedikit sahaja berusaha untuk menjadi golongan yang dikasihi-Nya. Contohnya manusia diperintahkan agar mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada mereka. Manusia dikurniakan terlalu banyak nikmat kehidupan termasuk nikmat mendengar dan melihat.

Dengan kurniaan pendengaran dan penglihatan, manusia sebenarnya dapat menyaksikan keagungan Allah SWT serta boleh meraih ganjaran pahala sekiranya mereka mendengar dan melihat perkara baik. Namun, meskipun sedar bahawa diri dikurniakan nikmat oleh Allah SWT, hanya sedikit yang mensyukurinya. Pendek kata, tidak ramai daripada kalangan manusia yang mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT berdasarkan firman-Nya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit daripada kamu bersyukur.” (Surah al-Mulk, ayat 23)

Betapa ramai orang yang sebenarnya dapat membezakan antara perkara yang baik dengan buruk. Fitrah manusia dapat merasai perbezaan perkara yang makruf dengan mungkar. Ini kerana mereka dikurniakan akal fikiran untuk membezakannya serta panduan daripada al-Quran dan sunah. Namun hanya sedikit yang mampu beringat dan menginsafi hakikat ini. Meskipun manusia tahu bahawa kemungkaran akan membinasakan mereka, tetapi tetap tewas dengan godaan nafsu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat daripada kamu beringat dan insaf.” (Surah Ghafir, ayat 58)

Terlalu banyak peringatan yang dinyatakan dalam al-Quran yang semuanya sebagai panduan untuk kebaikan hidup manusia. Namun sedikit sahaja yang mengambil peringatan. Firman Allah SWT bermaksud: “(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut para pemimpin yang lain daripada Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit daripada kamu mengambil peringatan.” (Surah al-A’raf, ayat 3)

Golongan yang tidak menerima perintah agar mentauhidkan Allah SWT juga ramai. Dengan kata lain, hanya sedikit yang beriman kepada-Nya jika dibandingkan dengan manusia seluruhnya. Hal ini perlu diinsafi oleh setiap umat Islam yang terpilih untuk menjadi hamba Allah SWT dengan mengakui keesaan-Nya. Justeru, usah persiakan nikmat iman yang telah dikecapi, sebaliknya perlu memperbanyakkan syukur dengan melaksanakan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan perihal sedikitnya manusia daripada kalangan Yahudi yang beriman menerusi firman-Nya bermaksud: “Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam).” (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknat mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 88)

Dalam banyak ayat al-Quran, Allah SWT menjelaskan betapa ramai orang yang tidak mengetahui. Sekali lagi, penjelasan ini membawa maksud sedikit sahaja daripada kalangan manusia yang mengetahui hakikat kebenaran. Maka beruntunglah jika kita termasuk dalam kalangan orang yang sedikit tersebut. Firman Allah SWT bermaksud: “Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yunus, ayat 55)

Firman Allah SWT lagi tentang kebanyakan orang yang tidak mengetahui, manakala hanya sedikit yang sebaliknya. “Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): “Allah tidak akan membangkitkan semula orang yang telah mati.” (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang yang telah mati) tetap benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 38)

Begitu juga firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “…Itulah agama yang betul lurus (Islam), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum, ayat 30)

Banyak lagi ayat Allah SWT dalam al-Quran yang menunjukkan tidak ramai manusia yang termasuk dalam golongan yang dikasihi-Nya. Sama ada Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa golongan tersebut adalah sedikit ataupun Allah SWT menyatakan golongan yang tidak berada pada jalan-Nya itu dalam kuantiti yang ramai atau kebanyakan manusia.

Marilah kita menginsafi hakikat ini dan berdoa agar kita termasuk dalam kalangan hamba Allah SWT yang dinyatakan sebagai sedikit berada pada jalan yang benar. Malah Rasulullah SAW sendiri pernah memberi penjelasan tentang kelompok umatnya yang akan berpecah dengan hanya satu berada pada jalan kebenaran. Bukankah satu kelompok ini termasuk dalam kategori sedikit?

“Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan atau kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka?” Nabi SAW menjawab: “Apa yang aku berada di atasnya dan juga para sahabatku (golongan yang mengikut ajaran Rasulullah SAW).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)