Manfaat Ramadan tahun ini

Mohd Shahrizal Nasir

IBN Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata’if al-Ma’arif menukilkan: “Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dapat menemui Ramadan.” Pernyataan ini cukup jelas menggambarkan keterujaan sahabat Rasulullah SAW untuk berada dalam Ramadan dan melaksanakan tuntutannya.

Tidak dapat dinafikan Ramadan adalah bulan ibadah bagi umat Islam. Hal ini tidaklah bermakna umat Islam tidak melakukan ibadah pada bulan lain, namun Allah SWT menghadirkan Ramadan dengan amal ibadah yang cukup banyak serta ganjaran yang berlipat kali ganda daripada biasa.

Pada Ramadan, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa sepertimana diperintahkan juga kepada umat terdahulu.

Ini bermakna ibadah puasa satu ibadah yang kekal difardukan Allah SWT kepada manusia sejak berzaman.

Memang betul ada banyak ibadah puasa sunat yang boleh dilakukan umat Islam sepanjang tahun.

Walau bagaimanapun, kehadiran Ramadan dengan kewajipan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam menggambarkan kepentingannya yang luar biasa.

Apatah lagi apabila Allah SWT menyatakan puasa pada Ramadan mempunyai perkaitan rapat dengan ketakwaan dalam diri setiap Muslim.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman, kalian diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kalian, supaya kalian bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Maka untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT, seseorang Muslim tidak boleh mengetepikan ibadah puasa Ramadan sama sekali.

Menurut Saidina Ali bin Abi Talib, takwa boleh diertikan sebagai takut kepada Allah SWT, beramal dengan wahyu yang diturunkan, reda dengan sesuatu yang sedikit dan bersiap sedia untuk menemui hari kesudahan.

Takrifan ini cukup jelas dapat dilihat dalam ibadah puasa kerana orang berpuasa menzahirkan ketaatan kepada Allah, melaksanakannya berdasarkan ketetapan wahyu, reda dengan ketetapan menikmati rezeki Allah pada kadar yang terhad kerana tegahan makan dan minum pada waktu siang serta memperbanyakkan ibadah fardu dan sunat sebagai bekalan menuju akhirat.

Sememangnya ibadah puasa yang dilakukan dalam Ramadan memenuhi cakupan takwa sekiranya seseorang Muslim benar-benar menunaikannya dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT.

Justeru, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya mengenai puasa yang tidak diterima Allah SWT. Peringatan ini perlu disematkan dalam minda setiap orang Islam agar ibadah puasa yang dilakukan nanti tidak sia-sia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa, (tetapi) tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hakikatnya tidak semua ibadah puasa yang dilakukan orang Islam akan diterima oleh Allah SWT. Hanya puasa yang menepati piawaian yang ditetapkan akan diterima oleh-Nya.

Oleh itu, waktu yang berbaki pada ketika ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkemaskan ilmu mengenai puasa dan ibadah lain sebelum ketibaan Ramadan.

Setiap Muslim perlu menekuni ilmu mengenai puasa menerusi bacaan kitab ataupun kuliah agama di televisyen, radio atau secara dalam talian yang membicarakan perihal puasa Ramadan.

Memang benar ibadah puasa ditunaikan saban tahun namun marilah kita berazam agar puasa Ramadan tahun ini adalah puasa yang terbaik kualitinya berbanding pada tahun yang lalu.

Ada orang yang berpuasa, tetapi tidak bangun sahur kerana malas. Begitu juga ada yang melengah-lengahkan berbuka puasa kerana beranggapan semakin panjang tempoh tidak makan dan minum maka semakin banyak pahala yang akan diperoleh.

Begitu juga perbuatan orang yang berpuasa, tetapi tetap bercakap bohong, membuka keaiban orang lain, mengumpat dan sebagainya. Tidak kurang juga yang terjebak dalam pembaziran ketika menyediakan juadah berbuka puasa. Semua perbuatan ini pastinya boleh merosakkan kualiti ibadah puasa. Setiap ibadah yang dilakukan perlu difahami kaedah pelaksanaannya dengan betul bagi memastikan ibadah itu diterima Allah SWT.

Orang yang beriman akan menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang lagi untuk menunaikan ibadah puasa pada Ramadan kali ini.

Mudah-mudahan setiap amalan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan nanti akan diterima oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Nikmat perlu disyukuri

Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP orang berusaha mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Rezeki telah sedia ditetapkan oleh Allah, namun manusia perlu melakukan ikhtiar untuk mendapatkannya. Tidak ada satu pihak yang berkuasa mengurniakan rezeki kepada manusia melainkan Allah. Dialah sebaik-baik yang mengurniakan rezeki dengan kehendak-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “…Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Haj, ayat 58). Dalam ayat lain, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang maha kuat kukuh kekuasaan-Nya.” (Surah az-Zariyat, ayat 58)

Ikhtiar manusia dalam mencari rezeki tertakluk atas keizinan dan kehendak daripada Allah. Maksudnya, Allah berkuasa membuka mahupun  menutup pintu rezeki sesiapa pun daripada kalangan hamba-Nya. Kebergantungan manusia terhadap rezeki kurniaan Allah membuktikan kehebatan-Nya sebagai Tuhan dan dalam masa sama menunjukkan lemahnya manusia sebagai makhluk.

Justeru, usah ada dalam kalangan manusia yang berputus asa dalam mencari rezeki kurniaan-Nya. Allah telah memberi petunjuk tetang tatacara untuk mendapat rezeki ataupun menambah lagi rezeki. Hal ini tidak mustahil bagi Allah Yang Maha Berkuasa. Sebagaimana firman Allah bermaksud: “…dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 11)

Bertakwa kepada Allah adalah antara perkara yang dapat menghadirkan rezeki kurniaan-Nya. Saidina Ali menjelaskan bahawa takwa ialah takut kepada Allah yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan (al-Quran), reda dengan sedikit (rezeki) dan bersiap sedia untuk menemui hari kesudahan (akhirat). Penjelasan ini turut menyatakan bahawa reda dengan kurniaan Allah meskipun kuantitinya sedikit merupakan antara ciri-ciri takwa yang perlu ada dalam diri setiap Muslim.

Abdullah bin Mas’ud pula menyebut bahawa takwa adalah apabila seseorang sentiasa mengingati Allah dan tidak melupakan-Nya, setiap perintah-Nya dipatuhi dan tidak diderhakai, nikmat kurniaan-Nya disyukuri dan tidak dikufuri. Takwa sepertimana yang dijelaskan ini turut menyentuh perihal kurniaan Allah berbentuk rezeki yang perlu disyukuri.

Dengan memahami maksud takwa sepertimana yang dijelaskan oleh salaf as-soleh, maka setiap Muslim perlu  berusaha mempersiapkan diri dengan takwa. Bagi orang yang bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, maka dijanjikan rezeki baginya dengan tidak disangka-sangka. Inilah antara sebab rezeki ditambah untuk hamba-Nya menerusi jalan takwa.

Allah menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya bermaksud: “…dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya) serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya…” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)

Selain itu, perbuatan bertawakal kepada Allah juga antara usaha yang boleh menambahkan rezeki. Ini berdasarkan sabda Rasulullah yang maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal kepada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tawakal kepada Allah yang merujuk kepada perbuatan berserah kepada-Nya membuktikan diri seseorang hamba yang beriman kepada-Nya. Orang yang rendah imannya, mungkin tidak dapat menyedari keagungan Allah tatkala mengurus kehidupannya. Mungkin orang sebegini merasakan segala urusan bergantung kepada usaha dirinya semata-mata. Sedangkan hakikatnya setiap perkara berada dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah.

Walau bagaimanapun, tawakal tidak bermakna seseorang boleh menolak keperluan untuk berusaha dan berikhtiar. Gambaran burung yang keluar daripada sarangnya pada waktu pagi jelas membuktikan usaha mencari rezeki perlu dilakukan oleh setiap hamba-Nya. Maka dengan sifat mulia Allah iaitu al-Rahman Maha Pemurah dan ar-Rahim Maha Mengasihani, maka usaha berkenaan menjadi sebab kurniaan rezeki daripada-Nya.

Usaha mencari rezeki juga termasuk dalam perbuatan bertawakal kepada Allah. Setiap orang yang mencari rezeki dengan usahanya menunjukkan diri sedang bertawakal kepada Allah yang menentukan rezekinya. Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “…Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat (bertawakal) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq, ayat 3)

Perbuatan mengeratkan hubungan silaturahim khususnya melibatkan orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan adalah antara faktor yang boleh mengundang keluasan rezeki kurniaan Allah. Ini menunjukkan hubungan manusiawi yang baik juga menjadi sebab turunnya rahmat Allah yang membuka pintu rezeki.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan yang dimaksudkan dengan ‘dilapangkan rezekinya’ ialah diluaskan rezeki dan ditambah hartanya. Manakala ada pandangan ulama menyatakan bahawa maksud dilapangkan rezeki ialah dikurniakan keberkatan pada harta yang dimiliki oleh seseorang.

Usaha mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga dapat dibuat melalui pelbagai cara. Menziarahi ahli keluarga, memberi sumbangan, mengambil tahu keadaan semasa, menghulurkan bantuan jika ditimpa kesusahan adalah antara perbuatan yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Meskipun usaha tersebut akan melibatkan wang ringgit, namun janji daripada Allah bahawa seseorang yang berbuat demikian akan dilapangkan rezekinya.

Bersyukur atas setiap kurniaan rezeki daripada Allah juga adalah perbuatan yang dapat menambah nikmat daripada-Nya. Semua orang dapat merasai nikmat rezeki kurniaan Allah, tetapi belum tentu semuanya disyukuri. Orang yang mesyukuri nikmat kurniaan Allah bermaksud dia menyedari bahawa hanya Dialah yang berkuasa mengurniakan rezeki kepada sekalian hamba-Nya.

Meskipun lidah mudah untuk menyebut perkataan syukur, hakikatnya tidak semua orang bersyukur kepada-Nya. Justeru, selayaknya orang yang bersyukur ditambahi lagi nikmat kepadanya. Firman Allah bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Marilah sama-sama kita berusaha menjadi orang yang bertakwa kepada Allah, sentiasa bertawakal kepada-Nya, mengeratkan hubungan silaturahim serta mensyukuri setiap kurniaan daripada-Nya. Semua amalan tersebut boleh menjadi sebab semakin luas dan bertambahnya rezeki daripada Allah.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)