• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,173,938 orang
  • Tetamu Online

Isi Syaaban dengan puasa, segera qada

Nazmi Yaakub 

KEHADIRAN Syaaban menunjukkan kita sudah berada di ambang Ramadan kerana kini hanya dijarakkan dengan bilangan hari yang berlalu pantas terutama akhir zaman ini.

Selain bulan berjiran dengan Ramadan, Syaaban mempunyai banyak kelebihan bertepatan dengan namanya.

Dalam kitab Raudhah al-Ulama, Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kamu tahu mengapa dinamakan Syaaban?” Sahabat RA menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahui.” Baginda bersabda: “Ia disebabkan mempunyai banyak kebaikan yang bercabang-cabang (amat menonjol).”

Syaaban menyaksikan Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa sunat yang tidak berlaku seperti bulan lain

Usamah ibnu Zaid RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan berpuasa pada suatu bulan seperti tuan berpuasa pada Syaaban?” Baginda menjawab: “Syaaban ialah bulan terletak antara Rejab dan Ramadan yang sering dilupakan manusia. Ia bulan yang mengandungi amal perbuatan yang akan diangkat ke sisi Tuhan Semesta Alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (HR Ahmad dan Nasa’i)

Kesungguhan Nabi Muhammad SAW berpuasa pada Syaaban turut diakui oleh isteri Baginda yang mulia, Saidatina Aishah RA seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah mengetahui Baginda lebih banyak berpuasa sunat selain Syaaban.”

Kita boleh mengambil peluang kebaikan yang bercabang-cabang pada Syaaban ini untuk berpuasa sunat seperti Isnin dan Khamis serta hari putih, iaitu pertengahan bulan pada 13, 14 dan 15 Syaaban.

Bagi mereka yang mempunyai kekuatan pula, boleh berpuasa Daud, iaitu berpuasa selang sehari sekiranya meyakini tindakan itu tidak menjejaskan stamina pada Ramadan kelak.

Puasa Nabi Daud itu pernah disarankan oleh Rasulullah SAW kepada Abdullah ibnu Amr yang mampu untuk berpuasa sehari dan tidak berpuasa dua hari secara bergilir.

Baginda bersabda, “Kalau begitu berpuasa sehari, lalu tidak berpuasa sehari. Itulah puasa Daud AS dan ia puasa paling afdal.” Abdullah berkata: Sesungguhnya aku mampu untuk puasa lebih daripada itu.” Baginda bersabda: “Tidak ada yang afdal daripada itu lagi.” (HR Bukhari)

Bagaimanapun dalam mengejar amalan sunat itu, umat Islam yang meninggalkan puasa Ramadan tahun lalu wajib qada ibadat berkenaan pada bulan ini.

Mereka yang berbuat demikian, dibenarkan juga untuk menggandingkan puasa qada dengan sunat mengikut sebahagian ulama termasuk Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar al-Haithami.

Perang menjelang kiamat

Dr  Khairul  Asyraf  Mohd  Nathir

ANTARA tanda-tanda  kiamat  adalah  terjadinya pertempuran  di antara  kaum  Muslimin  yang merupakan tentera  Isa AS  dan  bangsa  Yahudi  yang  menjadi tentera Dajjal pada  akhir  zaman. 

Sehingga pada satu masa  pokok-pokok  dan batu  berkata  kepada  tentera  Islam  tentang  kedudukan  orang  Yahudi  yang  bersembunyi  di  belakang  mereka.

Nabi SAW  bersabda maksudnya: “Tidak akan datang hari kiamat sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi dan membunuh mereka, sehingga bersembunyilah orang Yahudi di belakang batu dan kayu, lalu batu dan kayu berkata, ‘Wahai orang Muslim, wahai hamba Allah, ini ada orang Yahudi di  belakang aku, ke marilah dan bunuhlah dia kecuali pohon al-Gharqad (yang  tidak  berbuat  demikian kerana  ia  termasuk  pohon  Yahudi.'” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Siri  peperangan  di dunia  tidak  pernah  terhenti  khususnya melibatkan  dua  kumpulan  besar  yang masing-masing  mempunyai  tujuan  tertentu  sama ada  menguasai  atau menghadapi. 

Apabila mendengar perkataan ‘perang’ pasti akan melibatkan  nyawa  dan  kemusnahan  yang  besar.  Kaum  Muslimin  secara  umumnya sudah  berperang dengan  kaum  Yahudi  sejak zaman  Nabi SAW. 

Mereka dapat mengalahkan  kaum  Yahudi  itu  dan  mengusir mereka  dari  Jazirah  Arab.

Nabi SAW  bersabda maksudnya:  “Sungguh  aku  akan  mengeluarkan  kaum  Yahudi  dan Nasrani  dari  Jazirah  Arab,  hingga  tidak  ada  yang  aku biarkan  kecuali  yang  beragama  Islam.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Siri  peperangan  ini  akan  terus  berlaku  sehingga peperangan  besar  sebelum  kiamat  muncul.  Peperangan yang  dikenali  dengan  al-Malhamah  al-Kubra  ini  merujuk kepada  perkataan  lahm  yang  bermaksud  daging. 

Maka al-Malhamah  adalah  ‘daging-daging’ yang  menggambarkan  situasi  peperangan  dan  pembunuhan yang  besar  berlaku.  Disebabkan  peperangan  ini  ramai tentera  dan orang  awam  yang  terbunuh. 

Al-Malhamah  al-Kubra  ini  hanya  terjadi  di  akhir zaman dan  merupakan  salah satu daripada tanda kiamat yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.  Peristiwa  ini  banyak disebut  dalam  hadis  Nabi SAW dan  diriwayatkan oleh  ramai  ulama.

Baginda  SAW  bersabda  yang bermaksud:  “Pemakmuran  Baitul  Maqdis  merupakan  tanda kehancuran  Yathrib (Madinah),  kehancuran  Yathrib  merupakan  tanda  permulaan  al-Malhamah,  permulaan  al-Malhamah  merupakan  tanda  pembebasan  Kota  Kostantinopel,  pembebasan  Kota  Kostantinopel  pula  adalah  tanda  kemunculan  Dajjal.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Apabila  meneliti perbahasan hadis al-Malhamah al-Kubra  ini,  peperangan  yang  akan  berlaku  adalah melibatkan  Islam dan Kristian yang  merupakan  seteru permusuhan  yang  sudah  berlaku  pada masa  lalu. Bagaimanapun, dalam  hadis tersebut, Nabi SAW  tidak  menggunakan  perkataan  Nasara  (orang-orang Kristian)  atau  Nasraniyyah  (agama Kristian),  tetapi mengemukakan  nama  Rom. 

Penggunaan  nama  Rom  ini  adalah  sebahagian  simbol kekuatan  golongan  Kristian dan Nasrani dan  mudah difahamai  oleh sahabat  Baginda  pada  waktu tersebut. Pada  saat  tersebut,  golongan  Kristian  adalah mereka yang  mempunyai  kuasa  besar  dan  bertapak  di Rom  melalui  Empayar  Byzantine.  Walau bagaimanapun,  Empayar  Byzantine Rom  telah  dimusnahkan  oleh Sultan Muhammad al-Fateh ketika  pembukaan  Kota  Kostantinopel  pada tahun  1453M.

Menerusi  hadis Baginda  Nabi SAW,  terdapat beberapa  peristiwa  menjelang berlakunya  al-Malhamah al-Kubra. 

Antaranya  fitnah  berlaku  berleluasa. Baginda  SAW  bersabda  maksudnya:  “Akan  berlaku  ketika  hampirnya  al-Malhamah  fitnah-fitnah di mana pada masa  itu  hati  seorang  lelaki  akan mati  sepertimana  badannya  akan  mati.” (Hadis Riwayat Abu ‘Amr al-Dani)

Fitnah yang  sedang  melanda  umat  akhir  zaman pada  hari ini  akan terus  membarah  sehingga  menjadi  asbab  kepada berlakunya  kematian  dan  pembunuhan.  Dalam  situasi  ini,  setiap  manusia  tidak  akan  terlepas  dari pada fitnah  sehingga mereka  yang  berilmu  dan  beriman  juga  terpalit  dalam fitnah  akhir  zaman  ini.

Dalam  masa  sama,  pasukan  tentera  Islam  mula  ditubuh  dan  diperkuatkan.

Nabi SAW  bersabda maksudnya:  “Keadaan  agama  ini  akan  sampai  kepada  suatu  masa  kamu  sekalian  menjadi  tentera  yang  berpasukan. Satu  pasukan di  Syam,  satu  pasukan  di  Yaman  dan  satu pasukan  di Iraq.”  Ibnu  Hawalah  berkata:  “Pilihkan untukku  (tempat  terbaik)  wahai  Rasulullah,  jika  aku menemui  keadaan  tersebut.” Lalu  Baginda  bersabda: “Hendaklah  engkau  menetap  di  Syam  kerana  sesungguhnya  ia  adalah  bumi  Allah yang  terpilih  daripada kalangan  hamba-hamba-Nya. Ada pun  jika  kamu  sekalian enggan,  maka  hendaklah  kamu  menetap  di  Yaman  dan  minumlah  dari  kolam-kolam  air  kamu.  Sesungguhnya Allah  telah  menjamin  untukku  (menjaga)  daerah Syam dan penduduknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Al-Malhamah  al-Kubra  ini  akan  terjadi  di  A’maq  atau Dabiq,  dua  tempat  yang  berdekatan  dengan  Halab  di Syria dan  Antakia  di Turki. 

Perkara  ini  bersandarkan  kepada  Sabda  Nabi  SAW yang  bermaksud:  “Tidak  akan  terjadi  hari  kiamat  hingga  bangsa  Rom  akan turun  berhimpun  di  A’maq  atau  Dabiq,  lalu  keluar menghadapi  mereka  sekelompok  askar  dari  Madinah  antara sebaik-baik  penduduk  bumi  ketika  itu.  Maka  tatkala  mereka berhadapan,  bangsa  Rom  berkata: “Biarkanlah  kami  memerangi  orang-orang yang  mengambil  tawanan  daripada kami.”  Kaum  Muslimin  menjawab: “Tidak, demi Allah, kami  tidak  akan  membiarkan  kamu  memerangi  saudara-saudara  kami.”  Maka  terjadilah  peperangan  antara  mereka. Lalu ada  sepertiga  yang  kalah  di mana Allah  tidak  akan mengampuni  dosa  mereka  untuk  selama-lamanya dan  sepertiga lagi  terbunuh  sebagai  sebaik-baik   syuhada di  sisi Allah dan  sepertiga  lagi  akan  memperolehi  kemenangan.  Mereka  tidak akan  ditimpa  sebarang  fitnah  selama-lamanya,  lalu mereka  akan  menakluki  Kostantinopel.  Kemudian  ketika mereka  sedang  membahagikan  harta  rampasan  perang  di mana  mereka  telah  menggantungkan  pedang-pedang  mereka pada  pohon  zaitun  tiba-tiba  syaitan  meneriak  terhadap mereka: “Sesungguhnya  Al-Masih (Dajjal)  telah  muncul dalam  kalangan  keluarga  kalian,” maka  mereka pun  segera keluar,  sedangkan  itu  hanyalah  satu  kebohongan.  Apabila mereka  mendatangi  Syam,  ia  pun  muncul.  Maka  ketika mereka  sedang  mempersiapkan  diri  untuk  peperangan  dan  merapikan  barisan,  tibalah  waktu  solat. Lalu  turunlah  Nabi Isa bin Maryam AS,  lalu  ia mengimami  mereka.  Apabila  musuh  Allah (Dajjal)  melihatnya,  nescaya  ia  akan  mencair  sebagaimana  garam  mencair  di  dalam  air.  Seandainya  ia  membiarkannya  sahaja nescaya  ia  juga  akan  mencair  sehingga  binasa,  akan  tetapi Allah  ingin  membunuhnya  dengan  tangannya,  lalu  baginda memperlihatkan  kepada  mereka  darahnya  yang  melekat  di tombaknya.”  (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru  itu,  gambaran  peperangan  besar  ini  akan  berlaku pada  ketika  kemunculan  Imam al-Mahdi  dan peperangan yang  berlaku  sengit sehingga  mengambil  masa yang  agak  panjang  dan  mengorbankan  nyawa  yang  ramai.  Walau bagaimanapun,  masanya  hanya  diketahui  Allah SWT.