• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,296,093 orang
  • Kandungan Blog

Manfaat Syaaban raih keampunan, kukuh perpaduan

Mohd Salehin Sopian 

Kehadiran Syaaban tahun ini diwarnai pelbagai episod perjuangan umat manusia berdepan wabak global COVID-19. Ini semua menguji sifat daya tahan manusia menempuh ujian Allah SWT.

Walau apa pun terjadi, umat Islam seharusnya mengembalikan semua urusan penentuan takdir kepada Allah SWT.ADVERTISING

Seharusnya Syaaban yang menjengah memberi harapan betapa Allah SWT masih menghadirkan sinar buat hamba-Nya.

Dalam situasi musibah dan ujian ditempuh, keberadaan seseorang hamba dekat dengan Tuhan-Nya, memungkinkan semakin hampir dengan jalan keluar atau dikurniakan ketenangan, kesabaran dan hikmah.

Dalam hal ini, diriwayatkan bahawa Nabi SAW menggandakan dan memperbanyakkan amalan berpuasa sepanjang Syaaban.

Puasa adalah amalan yang sangat dituntut dan mempunyai kelebihan besar di sisi Allah SWT. Puasa menjadikan seseorang itu sentiasa dalam keadaan beribadah dan diberikan ganjaran pahala dan keampunan.

Ia juga membentuk personaliti seseorang dengan nilai kesabaran dan rendah diri kepada Yang Maha Pencipta. Puasa juga memberikan nilai tambah kepada kuasa doa di mana doa orang yang berpuasa sangat mustajab.

Ringkasnya, puasa antara instrumen dan resipi terbaik untuk diangkat segala bala, musibah dan bencana. Ia juga amalan sangat signifikan untuk dilaksanakan dalam situasi semasa.

Saidatina Aisyah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW melengkapkan puasa penuh sebulan Ramadan dan sangat banyak sekali berpuasa dalam Syaaban. (HR Bukhari dan Muslim)

Puasa sunat pada Syaaban dianggap mukadimah kepada Ramadan yang ditunggu-tunggu.

Seseorang yang melazimi puasa, akan menjalani Ramadan dengan lebih mudah, berkesan dan bersedia daripada aspek pelaksanaannya, lantas memperoleh faedah ruhaniah yang optimum.

Amalan berpuasa sunat Syaaban juga gambaran kerinduan dan kesungguhan mendalam seorang hamba untuk bertemu Ramadan.

Nabi SAW juga sangat menyukai untuk melaksanakan ibadah puasa sunat Syaaban kerana ia antara bulan yang manusia sering lalai melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Bahkan, Allah SWT mengangkat amalan hamba ke hadrat-Nya pada bulan ini.

Di samping itu, terdapat hadis khusus menyebut kelebihan dan kemuliaan malam nisfu syaaban iaitu malam ke-15.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda seperti diriwayatkan Abu Musa al-Ashariy: “Sesungguhnya Allah SWT melihat kepada hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (HR Ibnu Majah).

Sebagai hamba yang penuh palitan dosa dan kelemahan, maghfirah daripada Rabb adalah hadiah paling bernilai sebelum kembali bertemu Allah.

Justeru, peluang ini tidak harus disia-siakan tanpa diisi amal ibadah dan doa mengharapkan keampunan Allah.

Dalam hadis sama juga dinyatakan, peluang mendapatkan keampunan Allah tidak akan diraih musyrik dan mereka yang bermusuh. Oleh itu, kedua-dua unsur ini hendaklah dijauhkan daripada kehidupan kita.

Lantas, jadikanlah Syaaban titik tolak menyingkirkan amalan syirik dalam kehidupan kita. Perbaiki hubungan antara sesama Mukmin dengan sentiasa berlapang dada memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

Permusuhan disebabkan hasad, dengki, persaingan dan tidak puas hati bukan sahaja menjauhkan ampunan dan rahmat Allah SWT, bahkan ibarat api dalam sekam yang membakar dan membinasakan perpaduan serta persaudaraan sesama Islam.

Justeru, Syaaban secara tidak langsung adalah seruan Islam bagi memperbaiki hubungan sesama umat Islam, memperkukuh perpaduan, melupakan sengketa dan kembali kepada asas kesatuan dan perpaduan Iman.

Dalam aspek amalan, tiada nas hadis menyatakan amalan khusus untuk diamalkan pada malam nisfu Syaaban. Justeru, ulama menyatakan seseorang itu boleh melaksanakan apa juga amalan seperti qiamullail yang diisi solat sunat, membaca al-Quran atau berzikir.

Ringkasnya, lakukanlah apa juga amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meraih keampunan daripada-Nya.

Jadikanlah kehadiran Syaaban kali ini peluang memperoleh kedudukan baik di sisi Allah SWT dengan menggandakan amalan sunat seperti disebutkan.

Hilangkan segala persengketaan dan permusuhan merugikan dan kembali kepada asas tauhid yang menyatukan tujuan hidup umat Islam.

Mudah-mudahan dengan keampunan diperoleh dan kukuhnya perpaduan serta persaudaraan umat Islam, Allah SWT akan mengangkat segala musibah dan wabak yang melanda dunia hari ini.