• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Pilih puasa sunat Syaaban sebulan penuh atau sebahagian?

Dr Azri BhariĀ 

SYAABAN salah satu daripada bulan Haram (al-Asyhur al-Hurum). Keistimewaan bulan ini dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan dihormati. Ketetapan demikian itu ialah agama betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa.” (Al-Taubah: 36)

Empat bulan Haram ini dinyatakan secara terperinci dalam hadis diriwayatkan Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Waktu berputar seperti keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci), iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam) dan keempat ialah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban” (Hadis riwayat Bukhari)

Syaaban dikenali sebagai bulan diangkat semua amalan ke sisi Allah SWT dan Nabi SAW memperbanyakkan ibadat puasa sunat berbanding bulan selainnya.

Usamah ibn Zaid RA pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada satu bulan seperti engkau berpuasa pada Syaaban?”

Baginda SAW menjawab: “Itu bulan yang manusia sering lalai padanya, iaitu bulan berada antara Rejab dan Ramadan. Bulan itu adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan semesta alam, maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (HR Ahmad dan Nasa’i)https://98a63c57ce6f9e0f596afa3661d86074.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Sayidatina Aishah RA juga pernah mengkhabarkan: Nabi SAW biasanya berpuasa hingga kami katakan bahawa Baginda tidak akan berbuka. Seterusnya Nabi SAW apabila berbuka hingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa). Aku tidak melihat Baginda menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada Ramadan. Aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan lebih banyak melainkan ketika Baginda berpuasa pada Syaaban” (HR Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis pertama diriwayatkan Usamah, ia menunjukkan Nabi SAW berpuasa penuh dalam Syaaban dan lebih suka amalannya diangkat ketika dalam keadaan berpuasa.

Hadis kedua diriwayatkan Ummul Mukminin pula menunjukkan Nabi SAW banyak berpuasa dalam Syaaban. Ini menggambarkan banyaknya bilangan hari Baginda berpuasa dalam bulan ini.

Bagaimanapun, terdapat juga riwayat lain dilihat seolah-olah bertentangan dengan dua hadis itu: Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada Syaaban melainkan sedikit.” (HR Muslim)

Berkaitan hadis dilihat saling bertentangan, ulama hadis mempunyai beberapa kaedah dalam berinteraksi dengan riwayat hadis sedemikian.

Pertama, melalui kaedah ‘menghimpunkan antara dua hadis terbabit.’ Jika kaedah ini tidak berhasil, ulama akan menggunakan kaedah kedua, iaitu dengan melihat pada nasikh (memansuhkan) dan mansukh (dimansuhkan).

Jika masih tidak berhasil, mereka akan menggunakan kaedah ketiga, iaitu ‘tarjih’ (pemilihan). Jika masih tidak berhasil juga, maka terakhir ialah tawaqquf (tinggalkan).

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini. Pandangan pertama, sebahagian ulama menyatakan Nabi SAW berpuasa Syaaban secara penuh di sebahagian tahun sahaja, manakala di sebahagian tahun lain Baginda berpuasa sedikit sahaja. Ini menggambarkan Baginda tidak berpuasa secara penuh dalam Syaaban setiap tahun.

Pandangan kedua, sebahagian ulama menyatakan Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada Syaaban kecuali pada Ramadan.

Sementara hadis menyatakan Nabi SAW berpuasa pada Syaaban melainkan sedikit, boleh difahami bahawa dari sudut bahasa jika seseorang sering berpuasa boleh dikatakan berpuasa sebulan penuh disebabkan kelazimannya terhadap perbuatan terbabit atau berpuasa sebahagian besar daripada bulan berkenaan.

Setelah diteliti dua pandangan itu, boleh dikatakan pandangan kedua lebih tepat, iaitu Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada Syaaban kecuali pada Ramadan.

Hakikatnya, umat Islam digalak berpuasa sunat, memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan kepada Allah SWT dalam Syaaban berdasarkan hadis dibentangkan.

Hal ini sangat disukai Nabi SAW kerana ketika itu amalan tahunan diangkat dan dipersembahkan malaikat kepada Allah SWT dalam keadaan hamba-Nya sedang berpuasa. Ini juga sebagai persediaan dan persiapan untuk menghadapi Ramadan yang akan tiba.