• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,314 orang
  • Tetamu Online

Isra’ Mikraj Singkap rahsia hidup bahagia

Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
MENYINGKAP tabir Israk dan Mikraj membawa manusia mengenal Tuhannya. Kembara spiritual baginda Nabi Muhammad SAW ini membawa rahmah buat seluruh ummah. Peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah antara sejarah penting yang mempunyai nilai spiritual yang berkait dengan keimanan dan ketauhidan kepada Allah SWT sebagai pencipta makhluk dan alam semesta.

Secara ringkasnya, peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah kembara yang dilalui oleh baginda pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa dan seterusnya diangkat naik menembusi tujuh lapisan langit ke Sidratul Muntaha. Di dalam kembara yang berlaku hanya pada satu malam ini, pelbagai anugerah dan perkara diperlihatkan kepada baginda untuk umat Islam jadikan pedoman dan iktibar dalam meningkatkan keimanan di jiwa.

Jika difahami akan peristiwa yang berlaku semasa Israk Mikraj menerusi al-Quran, dalam Surah al Israa’ ayat 1, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Manakala, Mikraj pula dinyatakan al-Quran dalam Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18, yang bermaksud: “Dan sesungguhnya (Muhammad) melihat Jibril (dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain di Sidratul Muntaha. Di situ ada syurga tempat tinggal (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.”

Rentetan itu, peristiwa Israk dan Mikraj menjadi titik tolak kepada anugerah yang sangat berharga kepada umat Islam iaitu pensyariatan ibadah solat. Solat adalah ibadah yang sudah diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW secara langsung.

Justeru, ia memberikan petunjuk yang jelas ibadah solat amat penting sehingga Allah SWT mengangkat Rasulullah SAW sendiri ke langit untuk mengambil kefarduannya. Bahkan, kedudukan ibadah solat amat tinggi di dalam Islam kerana ia disebutkan sebagai tiang agama sekali gus sesiapa yang mengerjakan solat bererti ia telah menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkan solat, ia sudah merobohkan agamanya. Padanya terhimpun pelbagai fadhilat dan manfaat buat sesiapa yang khusyuk mengerjakannya kerana Allah SWT.

Adakah umat Islam kini sedar ibadah solat yang disyariatkan ini adalah ramuan utama dalam resipi kebahagiaan hidup manusia? Sejauh mana ibadah solat ini dihayati dan dipraktikkan oleh umat Islam masa kini? Realitinya, masih ada umat Islam yang memandang remeh isu melibatkan solat.

Malah dengan tipisnya amalan agama dan pengabdian kepada Allah SWT ini bakal memburukkan masalah yang dihadapi seseorang yang akhirnya mengganggu gugat kesejahteraan diri. Jadi tidak hairanlah, jika rakyat Malaysia dilihat tidak lagi gembira dan bahagia seperti dahulu berdasarkan kedudukan Malaysia yang jatuh 45 tangga, iaitu daripada kedudukan ke-35 kepada kedudukan ke-80 dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Penurunan mendadak ini disertai petanda buruk apabila petunjuk kesihatan mental berada pada paras tinggi susulan tinjauan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperlihatkan hampir setengah juta rakyat (2.3 peratus) di negara ini dalam kalangan dewasa didapati mengalami gejala tekanan atau kemurungan. Tambah merisaukan apabila kes perceraian di Malaysia juga dilihat merekodkan peningkatan yang luar biasa pada 2020 di mana jumlah perceraian meningkat 12 peratus iaitu sebanyak 56,975 kes pada 2019 berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya. Kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes perceraian di negara ini adalah dalam kalangan orang Islam. Selain itu, banyak lagi masalah dan kebejatan sosial seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, keruntuhan akhlak dan seks luar nikah yang kian meruncing.

Ironinya, dalam ledakan revolusi dan modenisasi masyarakat dunia mengejar cara hidup maju, manusia semakin kerap menghadapi ketidakseimbangan emosi, psikologi dan kognitif sehingga menimbulkan masalah kecelaruan jiwa. Jika diteliti kembali salah satu puncanya, pasti dapat dilihat lompongnya pada ibadah solat. Pengaruh atau impak positif solat kepada kehidupan umat Islam terlalu signifikan terutama dalam membentuk kekuatan jiwa, jati diri, akhlak mulia, sifat amanah serta perpaduan dalam menuju kesejahteraan hidup berkeluarga, masyarakat dan negara. Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” Salah satu jalan untuk mengingati Allah adalah dengan menunaikan solat yang khusyuk. Solat merupakan lambang pengabdian seorang hamba kepada Allah SWT. Dengan bersolat, ia dapat menyucikan hati dan diri seseorang daripada dosa yang dilakukan. Selain itu, ia adalah tanda syukur sebagai hamba, tempat menaruh harapan dan memohon keampunan kepada Rab Yang Maha Esa. Jika ditelusuri dalam perspektif ilmu psikologi positif, semua elemen ini adalah faktor yang akan membawa individu kepada kebahagiaan dan kegembiraan.

Elemen penyucian jiwa yang terkandung dalam ibadah solat adalah faktor utama yang menggalakkan individu sentiasa melakukan amal kebaikan dan menghalang daripada melakukan perbuatan maksiat dan terkutuk (amar makruf, nahi munkar). Allah SWT juga memberikan formula solat untuk setiap umat Islam berjaya dalam urusan seharian mereka melalui firman-Nya dalam Surah al-Mukmin, ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” Jelaslah di sini mendirikan solat itu bukan hanya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, sebaliknya Allah SWT mengarahkan untuk khusyuk iaitu memberikan sepenuh tumpuan terhadap ibadat solat. Justeru, sekiranya ibadat solat ini dilakukan dengan sempurna, ia dapat memberikan pelbagai kebaikan kepada seseorang dari aspek kesihatan sama ada fizikal mahupun mental. Apabila setiap individu menjadi produktif, fokus dan gembira dalam hidupnya, ia akan melahirkan sebuah masyarakat yang sejahtera, bersatu padu dan aman harmoni kehidupan yang seterusnya memacu pembangunan negara dari pelbagai aspek.

Selain pensyariatan ibadah solat kepada umat Islam yang merupakan inti pati dalam peristiwa Israk dan Mikraj, kembara baginda ini juga meninggalkan kesan yang mendalam terhadap iman seseorang kerana sebaik sahaja Rasulullah SAW menceritakan perihal Israk Mikraj kepada sahabat, maka ada antara mereka yang meragui kesahihannya. Hal ini kerana peristiwa Israk Mikraj amat bertentangan dengan logik akal yang waras. Namun begitu, Allah SWT menyatakan dengan jelas peristiwa ini adalah sebagai menzahirkan tanda kebesaran dan kekuasaan-Nya. Amatlah penting bagi umat Islam memahami setiap peristiwa yang dialami Rasulullah SAW pastinya memberi makna dan pengajaran yang amat mendalam mencakupi aspek keimanan khususnya berkaitan perkara ghaib yang terdapat dalam rukun iman.

Konklusinya, umat Islam haruslah sentiasa beriman dan yakin dengan apa yang disampaikan dan diajarkan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW kerana ia adalah jalan untuk seseorang mencapai reda Allah dan mendapat kebahagian hidup di dunia dan akhirat.