• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,314 orang
  • Tetamu Online

Solat anugerah teragung

Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Setiap tanggal 27 Rejab, umat Islam menyambut peristiwa memperingati Israk dan Mikraj. Satu peristiwa luar biasa yang dilalui Baginda Nabi Muhammad SAW. Israk adalah perjalanan pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Manakala Mikraj pula ialah perjalanan Nabi SAW dari Baitul Maqdis naik ke langit menunggang Buraq untuk bertemu Allah SWT di arasy-Nya.

Satu peristiwa yang cukup agung merentasi kewarasan akal fikiran manusia yang terbatas. Ia juga menguji kekentalan akidah, keampuhan keimanan dan kejituan perpaduan ummah terutama ketika Islam baru berkembang pada zaman permulaannya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 1: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sebagaimana yang kita ketahui, ketika itulah Allah SWT memberikan satu anugerah teragung buat junjungan Nabi SAW dan umat baginda seluruhnya. Anugerah yang merupakan satu cara terbaik kita berkomunikasi dan mendekatkan diri dengan Allah SWT dalam bentuk lima waktu solat fardu secara konsisten sehari semalam. Pentingnya fungsi solat itu sebagai satu simbolik jelas bertaqarrub kepada Allah SWT sehingga disebut dalam kata-kata ulama silam bahawa solat itu mikraj bagi orang-orang yang beriman. Ia pernah disebut oleh Imam as-Sayuthi  dalam kitab penjelasan beliau bagi  Sunan Ibnu Majah, Imam an-Naisaburi  dalam tafsirnya, Imam al-Munawi  dalam Faidhul Qadir dan Syeikh al-Alusi   dalam tafsirnya Ruhul Ma’ani. 

Sesungguhnya tiada satu ibadah pun yang dapat menandingi keistimewaan dan keutamaan solat. Imam ad-Dailami meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mewajibkan sesuatu yang lebih utama daripada at-tawhid (yakni mengesakan Allah SWT) dan ibadah solat. Jika sekiranya ada sesuatu yang lebih utama daripada kedua-duanya, pasti ia juga akan difardukan ke atas Malaikat, sedangkan Malaikat itu ada sebahagiannya rukuk selama-lamanya dan sebahagian lagi sujud selama-lamanya.”

Syeikh Daud al-Fatani dalam menerangkan keagungan dan keutamaan solat menulis dalam Munyatul Musolli: “Kata sesetengah ulama terdahulu: ‘Telah sampai kepada kami khabar bahawasanya Allah SWT membahagikan semua amalan solat atas 40 saf daripada malaikat, pada tiap-tiap saf tujuh puluh ribu. 10 saf daripadanya berdiri, tiada rukuk dan 10 saf rukuk, tiada sujud dan 10 saf sujud, tidak diangkat kepalanya dan 10 saf duduk, tidak berdiri. Dihimpunkan semua amalan mereka itu bagi hamba-Nya yang beriman di dalam dua rakaat solat mereka. Maka kamu perhatikanlah betapa besar pemberian Allah dan kurniaan-Nya atas semua hamba-Nya yang beriman.”‘

Solat adalah salah satu tonggak seseorang Mukmin yang paling utama dalam hubungannya dengan Allah SWT. Solat juga merupakan komunikasi spiritiual manusia dengan Allah SWT. Solat juga mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam Islam yang tidak boleh ditandingi oleh ibadah yang lain. Solat juga kerap disebut melalui pelbagai surah al-Quran dari awal hingga akhir.

Antara kepentingan solat dalam kehidupan manusia ialah:

Solat adalah penanda aras amalan seseorang, kualiti amal seseorang ditentukan oleh solatnya. Hal ini disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Daud dan at-Tirmidzi: “Hal pertama yang akan dihisab kelak pada hari pembalasan adalah solat. Apabila baik solatnya, maka akan baik pula amalan yang lain. Akan  tetapi apabila solatnya rosak, maka akan rosak semua amalan yang lain.”

Solat adalah tiang agama. Hal ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Baihaqi: “Solat itu tiang agama (Islam), maka sesiapa mendirikannya maka ia telah mendirikan agama; dan sesiapa meninggalkannya, maka sungguh ia meruntuhkan agama.”

Solat adalah kunci syurga. Hal ini disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir yang diambil daripada kitab Ihya Ulumuddin karya agung Imam al-Ghazali.

Solat merupakan perintah terus yang dianugerahkan oleh Allah SWT tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj. Berbeza dengan kefarduan yang lain seperti puasa, zakat dan haji.

Solat menjadi perisai kukuh yang memelihara diri kita daripada perbuatan keji dan maksiat. Hal ini disebutkan dalam surah al-Ankabut ayat 45: “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripda ibadat yang lain). Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.”

Solat simbol peringatan kita kepada Allah SWT, seperti yang dinyatakan dalam Surat Taha ayat 14: “Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”

Oleh itu, sebagai umat Nabi SAW wajib berasa bertuah atas nikmat yang sangat agung. Tiada umat terdahulu yang mendapat anugerah ini. Allah SWT memilih kita umat terakhir untuk menerimanya menunjukkan kita adalah umat yang hebat. Solat fardu lima waktu hendaklah sentiasa kita jaga dan pelihara dengan sebaik-baiknya, di samping memperbanyakkan solat sunat yang digalakkan. Sesungguhnya ganjaran solat tiada tandingannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang mendirikan solat dengan sempurna dan menunaikannya tepat pada masanya.