• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,295,341 orang
  • Kandungan Blog

Pemahaman hadis habbatussauda’ penawar segala penyakit

Mukadimah

ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, seterusnya ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Soalan

Adakah benar mengenai hadis habbatussauda’ itu penyembuh segala penyakit, pada lafaz kullu “كل” (setiap) itu hanya menunjukkan sebahagian penyakit?

Ringkasan jawapan

Berdasarkan penjelasan ulama terhadap hadis ini dapat difahami bahawa lafaz “penawar bagi segala penyakit” itu merujuk kepada penyakit-penyakit tertentu sahaja. Perkara tersebut bersesuaian dengan keadaan dan suasana ketika itu. Oleh itu, adalah tidak tepat jika difahami lafaz “كل” (setiap) tersebut secara literal kerana boleh menyebabkan kekeliruan.

Huraian jawapan

Persoalan ini timbul berdasarkan beberapa riwayat hadis berkaitan Habbatussauda’. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah R.A,

إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ

Maksudnya: Sesungguhnya Habbatussauda’ adalah penawar bagi segala penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda SAW menjawab: “Kematian”. [Riwayat al-Bukhari (5687)]

Jika, hadis ini difahami secara literal maka semua penyakit yang wujud boleh diubati dengan hanya menggunakan habbatussauda’. Tetapi, harus diketahui bahawa tidak semua hadis boleh difahami secara literal. Apabila hadis ini tidak difahami menggunakan kaedah yang betul, maka boleh menyebabkan salah faham dan kekeliruan. Kebiasaannya, salah faham terhadap hadis ini berlaku pada perkataan “penawar bagi segala penyakit”, sehinggakan masyarakat beranggapan bahawa habbatussauda’ ini mampu menyembuhkan setiap penyakit kecuali mati.

Penjelasan ulama

Menurut Ibn Hajar al-ʻAsqalani, habbatussauda’ dapat mencegah penyakit-penyakit yang disebabkan oleh kesejukan. Antaranya, apabila biji habbatussauda’ dihancurkan dan dibalutkan dengan kain sehingga mengeluarkan aroma, maka aromanya boleh membantu menyembuhkan orang yang menghidapi selsema akibat cuaca yang sejuk. Selain itu, habbatussauda’ yang telah dimasak bersama cuka dan berkumur dengannya maka ia mampu meredakan sakit gigi. [1]

Begitu banyak manfaat daripada habbatussauda’ yang boleh digunakan oleh manusia. Sebagaimana yang telah disebutkan di dalam kitab-kitab syarah hadis. Walaupun begitu, perkara ini bukanlah membawa maksud habbatussauda’ ini boleh menyembuhkan kesemua penyakit yang terdapat di bumi.

Dalam menjelaskan lafaz ini, Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan al-Khattabi yang menyatakan bahawa lafaz “penawar bagi segala penyakit” adalah lafaz yang bersifat umum tetapi membawa maksud yang khusus. Hal ini kerana menurut Imam al-Khattabi, tidak ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini yang terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan. [2]

Ibn al-Qayyim pula menyebutkan bahawa habbatussauda’ sangat bermanfaat untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk. Selain itu, ia juga boleh merawat penyakit yang bersifat panas lagi kering disebabkan faktor tertentu. Bahkan, tidak mustahil bagi ubat yang bersifat panas untuk digunakan pada penyakit yang juga bersifat panas secara khusus. Kerana telah banyak bukti ubat-ubatan yang bersifat panas mampu mengubati penyakit yang juga bersifat panas. Contohnya, al-kibriit (belerang) yang bersifat panas mampu merawat penyakit panau ataupun kegatalan. [3]

Ibn Battal dan Abu Jamrah pula berpandangan dengan keumuman lafaz hadis tersebut, namun kaedah perawatan menggunakan habbatussauda’ adalah berbeza mengikut kesesuaian penyakit. [4]

Namun begitu, para ulama berbeza pandangan dalam menyebutkan fungsi habbatussauda’. Sebahagian menyatakan hanya boleh menggunakannya bagi rawatan terhadap penyakit-penyakit yang disebabkan sejuk. Sebahagian yang lain pula mengatakan boleh digunakan bagi merawat penyakit yang disebabkan faktor kesejukan ataupun panas. Terdapat sebahagian lagi yang berpandangan dengan keumuman lafaz hadis tersebut tetapi tertakluk kepada perincian-perincian tertentu. Walau bagaimanapun, mereka berbeza pandangan dalam satu sudut tetapi setiap pandangan tersebut mempunyai satu titik temu iaitu habbatussauda’ yang dimaksudkan dalam hadis ini tidak sesuai sebagai penawar segala penyakit.

Bahkan, di dalam al-Quran juga terdapat bentuk-bentuk lafaz “كل” (setiap) yang tidak menunjukkan kepada makna setiap, semua atau segala. Allah SWT berfirman:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا

Maksudnya: Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. (Surah al-Kahfi 18: 79)

Al-Wāḥidī dalam karyanya al-Tafsīr al-Basīṭ menyebutkan bahawa merampas tiap-tiap kapal dalam ayat tersebut adalah merujuk kepada kapal yang elok sahaja. [5] Oleh itu, lafaz “كل” (setiap) dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa tidak semua kapal yang akan dirampas oleh seorang raja tersebut tetapi hanya kapal-kapal yang elok sahaja akan dirampas olehnya. Selain itu, dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah berikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. (Surah al-Naml 27: 23)

Dalam tafsir yang sama, al-Wāḥidī menyebutkan bahawa Ibn ʻAbbās dan Maqātil berkata: “diberikan kepadanya dari tiap-tiap sesuatu” di dalam ayat tersebut adalah diberikan kepadanya daripada perbendaharaan dunia terdiri dari harta, tentera dan ilmu pengetahuan. [6] Hal ini menunjukkan lafaz “كل” (setiap) dalam ayat tersebut menunjukkan makna yang khusus bukannya umum iaitu mengkhususkan kepada tiga perbendaharaan tersebut.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa habbatussauda’ mempunyai banyak manfaatnya dalam hal perubatan. Para ulama telah memberikan penjelasan yang menggambarkan bahawa banyak manfaat habbatussauda’ kepada manusia. Bahkan, kajian-kajian saintifik masa kini juga telah banyak membuktikan kegunaan habbatussauda’ dalam perubatan. Meskipun begitu, masyarakat tidak boleh mengambil kefahaman bahawa habbatussauda’ merupakan penawar ataupun ubat yang mampu merawat segala penyakit di dunia ini secara literal kerana kefahaman seperti itu tidak tepat. Seeloknya, terlebih dahulu kita merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang berautoriti berkenaan hal ehwal penyakit dan rawatan. Wallahua’lam

Rujukan

[1] Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajr al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī (Bayrūt: Dār al-Maʻrifah, 1379), 10/144-145.
[2] Ibid., 10/145.
[3] Muḥammad bin Abī Bakr bin Ayyūb Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Ṭibb al-Nabawī (Bayrūt: Dār al-Hilāl, t.t), 1/223.
[4] Ibn Baṭṭāl Abū al-Ḥasan ʻAlī bin Khalaf, Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Baṭṭāl, ed. Abū Tamīm Yāsir bin Ibrāhīm (al-Riyāḍ: Maktabah al-Rusyd, 2003), 9/397. Lihat juga Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajr al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī, 10/145.
[5] ʻAlī bin Aḥmad al-Wāḥidī, al-Tafsīr al-Basīṭi (Jāmiʻah al-Imām Muḥammad bin Saʻūd al-Islāmiyyah, 1430), 14: 117.
[6] Ibid., 17/206-207.

(Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Al-Hadith yang diterbitkan 12 Mac 2021.)

Bahayanya jelingan kedua

Mohd Shahrizal Nasir

Mata adalah anggota tubuh badan yang banyak membantu seseorang insan mengetahui perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Banyak perkara boleh diketahui menerusi pandangan mata. Perkara yang utama sepatutnya dilakukan oleh mata ialah menyaksikan kebesaran Allah SWT menerusi penciptaan seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

Allah SWT mengingatkan manusia perihal mata yang perlu berfungsi menyaksikan keagungan-Nya. Firman Allah SWT bermaksud:  “(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami menjadikan baginya dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?).” Surah al-Balad, ayat 8

Manusia yang beriman akan sentiasa menjaga mata yang dikurniakan Allah SWT kepadanya. Sesungguhnya Allah SWT boleh menguji manusia dengan kurniaan mata kepada para hamba-Nya. Ada manusia mendapat pahala menerusi matanya, ada juga yang mengumpul dosa kerana salah menggunakan mata yang dikurniakan kepadanya.

Penyaksian terhadap kehebatan Allah SWT dalam mencipta makhluk di atas dunia ini boleh membangkitkan keinsafan betapa kerdilnya diri manusia. Cuainya manusia apabila tidak menggunakan nikmat mata untuk tujuan mendapat pahala. Malah, Allah SWT memerintahkan manusia untuk melihat ciptaan-Nya dan dengan itu dapat memperakui kehebatan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka melihat keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya) kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang rasul pemberi peringatan.”  (Surah al-Ghasyiah, ayat  17-21)

Deretan pertanyaan yang ditujukan kepada orang kafir dalam ayat al-Quran itu menunjukkan keperluan manusia menggunakan mata untuk menyaksikan kehebatan Allah SWT. Manusia sepatutnya boleh berfikir mengenai keagungan Allah SWT selepas melihat penciptaan makhluk di atas muka bumi ini. Malangnya ada manusia yang tidak langsung dapat berfikir setiap pandangan yang dilihat oleh mata sendiri.

Manusia biasanya terjebak dalam dosa disebabkan mata. Inilah antara kelemahan manusia yang tidak dapat menggunakan mata yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan sebaiknya. Pandangan mata terhadap perkara yang dilarang oleh Allah SWT mengundang dosa kepada diri manusia sendiri. Contohnya, melihat aurat golongan berlainan jantina dan termasuk dalam kalangan bukan mahram. Perkara ini dilarang oleh Allah SWT kerana ia mengundang perbuatan maksiat seperti perzinaan. Manusia boleh terjebak dalam dosa zina bermula daripada pandangan mata yang tidak dikawal dengan sempurna.

Allah SWT berfirman bermaksud:  “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada golongan lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”  (Surah an-Nur, ayat 30)

Pada ayat berkenaan Allah SWT menggandingkan dua perkara yang saling berkaitan dalam melakukan maksiat. Pertama ialah perintah agar manusia menjaga pandangan mata dan yang kedua memelihara kehormatan. Ini menunjukkan pandangan mata yang gagal dikawal boleh menyebabkan manusia mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjaga kehormatan.

Begitulah perkaitan rapat antara mata dengan kehormatan manusia yang boleh menyebabkan manusia terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat 30 daripada Surah an-Nur itu menyatakan:  “Ini perintah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman untuk menjaga (menahan) pandangan mereka daripada perkara yang diharamkan ke atas mereka. Maka janganlah memandang kecuali kepada perkara yang dibolehkan untuk dipandang. Dan tahanlah pandanganmu daripada perkara diharamkan.” 

Tidak dinafikan, adakalanya orang terpandang perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Bukan tujuannya ingin memandang perkara yang haram, namun matanya terpandang. Hal ini lebih-lebih lagi pada zaman yang sangat mencabar sekarang ini untuk seseorang Muslim menjaga pandangannya.

Daripada Jarir bin Abdillah, dia berkata: “Saya bertanya  kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang tiba-tiba (tidak sengaja), maka baginda menyuruh aku memalingkan pandanganku.”  (Hadis riwayat Muslim)

Manakala daripada Buraidah, dia berkata:  “Rasulullah bersabda kepada Ali: ‘Wahai Ali, janganlah engkau mengikuti pandangan (pertama yang tidak sengaja) dengan pandangan (berikutnya), kerana bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak boleh bagimu pandangan yang terakhir (pandangan yang kedua).'”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penjelasan Rasulullah SAW berdasarkan dua hadis itu membuktikan setiap orang Islam berkewajipan menjaga pandangan mata. Hatta pandangan yang dikategorikan sebagai tidak sengaja, ia perlu ditangani dengan baik iaitu segera memalingkan pandangan daripada terlihat perkara yang haram. Jelasnya tidak ada istilah pandangan kedua dalam perkara maksiat. Hal ini juga menangkis pandangan sesetengah orang perbuatan terpandang adalah satu ‘rezeki’.

Sebenarnya pandangan mata perlu dikawal bukan sahaja terhad kepada perkara haram seperti aurat bukan mahram dan seumpamanya. Pandangan mata juga perlu dikawal tatkala melihat sesuatu yang boleh mendatangkan penyakit hati. Ada orang memandang nikmat yang diperoleh orang lain dengan pandangan yang boleh menjemput penyakit hasad dalam diri.

Ini juga perkara yang perlu dikawal oleh setiap Muslim. Didiklah mata agar memandang sesuatu nikmat yang dikecapi oleh orang lain dengan pandangan baik. Jangan ada hasad dengki, dengan harapan nikmat yang dikurnia oleh Allah SWT kepada orang lain itu segera hilang daripada dirinya.

Masalah ini boleh berlaku sekiranya pandangan mata gagal dididik agar turut mensyukuri nikmat yang disaksikan oleh mata meskipun nikmat itu milik orang lain.

Ada juga mata yang boleh membawa masalah kepada orang lain. Ini berlaku sekiranya manusia melihat sesuatu pandangan dengan penuh kekaguman sehingga keadaan itu boleh memberi mudarat kepada pandangan dilihatnya.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam kitab  at-Tibb an-Nabawi  menyatakan:  “Orang yang memandang sesuatu dengan pandangan kagum boleh menyebabkan ‘ain (sejenis penyakit disebabkan pandangan mata) pada benda yang dilihatnya, maka cegahlah keburukan tersebut dengan mengucapkan  Allahumma barik ‘alaih  (Ya Allah berikan keberkatan kepadanya).”

 Sebab itu, bacalah doa bagi memohon perlindungan kepada Allah SWT untuk bayi. Ini bagi menyelamatkan bayi daripada pandangan mata yang boleh membawa penyakit kepadanya.

Gunakanlah mata yang dianugerah Allah SWT kepada kita sebaik-baiknya. Mata boleh menjadi sebab kita mendapat pahala daripada-Nya. Gunakanlah mata untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran. Saksikanlah keindahan alam ciptaan Allah SWT dengan pandangan mengakui kehebatan-Nya. Semua ini boleh mendatangkan pahala dan melayakkan diri memandang Allah SWT di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Tidak ada satu punkenikmatan yang lebih kami cintai daripada memandang wajah Allah Taala.” (Hadis riwayat Muslim)

Ubati jiwa ‘sesat jalan’

Saya ada seorang kawan suka kepada pasangan sejenis. Sebelum ini dia suka menonton video lucah di Internet bersama kawan itu sehingga terjerumus melakukan hubungan songsang itu secara sembunyi.

Akhirnya, perkara itu menjadi kebiasaan dan dia pernah melakukan hubungan beberapa kali.

Dia ada juga meminta nasihat daripada saya dan meluahkan perasaan bersalah. Bagaimana hendak membantunya ustaz?

Mizi, Bangi

Homoseksual hukumnya jelas haram dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Dalam hal ini, saya ingin membicarakan dua perkara iaitu mengenai pandangan mata dan bahaya homoseksual.

Sememangnya maksiat itu bermula daripada pandangan. Sekiranya tidak menjaga pandangan, kita akan mudah jatuh kepada perkara dosa dan maksiat.

Antaranya, menonton video lucah. Berikut saya kongsi beberapa faedah dan nikmat menjaga pandangan antaranya:

• Mengelakkan hati menjadi lemah. Memandang perkara haram akan menyebabkan penyakit mudah bersarang dalam hati.

• Timbul cahaya dalam hati sehingga dapat dilihat pada wajah dan tindakan.

• Dapat mengetahui perkara yang tidak difahami orang lain. Shaja’ al-Karmani pernah berkata: “Sesiapa yang zahirnya rajin mengamalkan sunah, dalam batinnya sentiasa bermuraqabah (merasai Allah sentiasa memantaunya), menundukkan pandangannya daripada perkara yang haram, mengawal dirinya daripada perkara syahwat yang diharamkan serta memakan makanan yang halal, maka tidak akan tersilap firasatnya.

• Mudah memahami ilmu kerana terangnya hati.

• Menguatkan hati, meneguhkan semangat dan memberanikan diri.

• Menjadikan hati sentiasa gembira dan ceria. Seseorang yang mampu mengawal nafsu kerana Allah pasti menggantikan baginya kegembiraan dan kelazatan yang lebih baik dari maksiat yang dilakukannya.

Sebahagian ulama berkata: “Demi Allah, sesungguhnya kelazatan meninggalkan perkara yang haram lebih manis daripada kelazatan melakukannya.”

• Membebaskan hati daripada dipengaruhi syahwat.

• Menutup pintu daripada pintu neraka kerana pandangan yang berasaskan syahwat membawa kepada maksiat. Larangan Allah adalah benteng yang menegah manusia daripada terjebak dalam perlakuan haram. Apabila benteng ini dirobohkan, maka berhati-hatilah.

• Meningkatkan kreativiti dan kecerdasan akal.

• Membersihkan hati yang leka dan lalai daripada mengingati Allah dan akhirat.

Sahabat memang penting tetapi cuba elakkan duduk seharian berdua-duaan di tempat yang sunyi.

Perkara itu dibimbangi akan timbul perasaan yang boleh membawa kepada hubungan sejenis.

Kalau boleh buat aktiviti yang membabitkan kawan yang ramai. Homoseksual adalah pilihan yang sesat dan merosakkan.

Sekiranya sudah berkahwin, pasti dia akan mengabaikan isterinya. Bagi yang masih bujang, dia tidak akan berfikir untuk berkahwin dan hanya memuaskan nafsunya dengan kaum sejenisnya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 81 bermaksud: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu kepada mereka, bukan kepada wanita, malah kamu ini kaum yang melampaui batas.”

Itu gambaran dilakukan kaum Nabi Luth yang Allah SWT binasakan kerana perbuatan mereka sangat keji dan buruk.

Sedangkan perbuatan itu tidak dilakukan oleh haiwan. Tidak ada haiwan jantan mendatangi haiwan jantan, begitu juga sebaliknya.

Sekiranya ia dilakukan oleh manusia, maka itu sudah menjatuhkan darjat manusia bawah daripada kedudukan haiwan.

Kita boleh bayangkan jika haiwan pun tidak menyalurkan syahwatnya dengan jalan songsang itu, bermakna jiwa manusia sudah rosak.

Jika penyakit itu terus berleluasa dalam kalangan manusia, musibahnya ialah keturunan manusia akan hancur disebabkan lelaki sudah tidak memerlukan wanita.

Lakukan solat secara berjemaah, berdoa dan sertai aktiviti kemasyarakatan supaya dapat mengelak daripada berfikir untuk melakukan perbuatan keji itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat sesiapa yang berbuat seperti perbuatan kaum Luth. Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Luth, Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Luth.” (Riwayat an-Nasa’i)

Tatkala bersendirian, dekatkan diri pada Allah

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap insan pasti melakukan kesilapan. Adakalanya kesilapan dibuat secara terang-terangan, ada pula dalam keadaan tidak dilihat orang. Walau bagaimanapun, manusia diberi peluang yang luas untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Namun, keampunan daripada Allah tidak boleh dijadikan tiket untuk diri berasa selesa untuk melakukan dosa. Sebenarnya keadaan ini menggambarkan keagungan Allah yang mengasihi hamba-Nya. Setiap hamba Allah pasti mengharapkan keredaan dan kasih sayang daripada-Nya.

Ibn Qayyim ada menukilkan nasihat agar manusia tidak terjerumus ke lembah maksiat. Antara nasihat beliau ialah agar manusia sentiasa berasa malu kepada Allah. Lihatlah betapa Allah menganugerahkan pelbagai nikmat kehidupan di atas dunia. Maka semua nikmat tersebut perlu disyukuri dan menjadi sebab diri berasa malu untuk melakukan maksiat. Mana mungkin ada insan yang mengaku dirinya mensyukuri nikmat kurniaan Allah, tetapi dalam masa sama melanggar larangan yang ditetapkan oleh-Nya.

Rasa malu kepada Allah dapat ditanam dalam diri apabila memahami bahawa Dia sentiasa melihat setiap perbuatan. Tidak ada satu pun perbuatan dalam kehidupan manusia yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Pada akhir ayat pertama daripada Surah an-Nisa’, Allah berfirman yang maksudnya: “…Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)

Iman manusia adakalanya meningkat, adakalanya menurun. Ia bergantung kepada perbuatan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Meskipun manusia mengakui bahawa Allah melihat setiap perbuatan, adakalanya iman menurun dek kerana hawa nafsu sendiri dan juga godaan syaitan. Sebab itu, ada dalam kalangan manusia yang melakukan maksiat ketika bersendirian. Dirinya tahu Allah melihat segala perbuatannya, namun disebabkan tidak ada mata manusia yang melihat perbuatan tersebut, maka jiwa yang imannya sedang berada dalam keadaan tidak kuat terjebak dalam perbuatan maksiat.

Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Wujudnya kelompok netizen yang menyamar identiti dalam media sosial lantas menulis hantaran yang tidak baik, semuanya kerana mereka menyangka boleh melakukan apa sahaja kerana tidak diketahui orang ramai. Mereka merasakan bebas melakukan apa sahaja termasuk menghina, memfitnah, menjatuhkan maruah orang dan sebagainya. Keadaan sebegini wujud apabila diri dalam keadaan bersendirian dalam erti kata tidak diketahui orang ramai.

Ingatlah firman Allah yang menjelaskan setiap orang bertanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan sama ada ia diketahui oleh orang atau dalam keadaan tersembunyi. “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi perbuatan jahat) yang dikerjakannya.” (Surah al-Muddaththir, ayat 38)

Dengan adanya pelbagai gajet yang dapat mengakses internet, pelbagai perkara dapat dilihat hanya dengan hujung jari masing-masing. Ketika bersendirian melayari internet, diri boleh terjebak dalam pelbagai jenis maksiat. Tidak ada orang mengetahui perbuatan yang sedang dilakukan, segalanya terletak pada tahap keimanan sendiri. Di sinilah perlunya diri bersabar mendepani cabaran nafsu dan godaan syaitan ketika bersendirian. Hal ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang gagal mengawal nafsu ketika diri menyangka tidak diperhatikan oleh sesiapa, sedangkan Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Rasulullah SAW bersabda mengenai perihal orang yang melakukan maksiat ketika bersendirian. “Sungguh aku (Rasulullah) telah mengetahui bahawa ada  suatu golongan manusia daripada umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih. Kemudian Allah menjadikannya debu yang berterbangan.”  Thauban (seorang sahabat Rasulullah) bertanya: “Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka dan jelaskanlah perihal mereka agar kami tidak menjadi seperti mereka tanpa disedari. Baginda bersabda:  “Sesungguhnya mereka adalah saudara kalian dan daripada golongan kalian, mereka menunaikan solat malam sebagaimana kalian, tetapi mereka adalah kaum yang jika bersendirian mereka melakukan perkara yang diharamkan Allah.”  (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menunjukkan wujud golongan yang terjebak melakukan maksiat ketika bersendirian. Mereka ketika itu gagal mengawal diri sehingga terjebak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang tidak dapat mengawal diri mereka.

Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya az-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir turut menyenaraikan perbuatan berlagak soleh di depan orang namun melakukan dosa ketika bersendirian sebagai dosa besar, katanya: “Dosa besar ketiga ratus lima puluh enam ialah menampakkan diri sebagai orang soleh di hadapan manusia, namun melakukan perkara yang diharamkan Allah, meskipun perkara itu dosa kecil ketika bersendirian.”

Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa melakukan kebaikan di mana sahaja berada. Ketika berada di tempat awam, kita melakukan perkara-perkara baik, begitu juga ketika bersendirian tanpa ada orang lain. “Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada dan hendaknya setelah terjebak melakukan keburukan maka kamu lakukanlah kebaikan yang dapat menghapuskannya (keburukan tadi). Serta berurusanlah dengan orang lain dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Ahmad)

Cabaran ketika diri bersendirian amat besar lebih-lebih lagi pada zaman yang cukup mencabar masa kini. Keadaan anak-anak terpaksa duduk di rumah dan tidak boleh keluar secara bebas, ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap aktiviti yang mereka lakukan. Usah biarkan mereka bersendirian di dalam bilik dengan segala macam gajet komunikasi.

Di satu sudut lain, ada golongan manusia yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak disebabkan perbuatan baik mereka ketika bersendirian. Salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan di sisi Allah nanti ialah orang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehingga kedua matanya mengalirkan air mata. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya;  …dan seorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehingga kedua-dua matanya mengalirkan air mata.”  (Muttafaq ‘alaih)

Hadis tersebut menunjukkan ada golongan manusia yang mengambil peluang mendekatkan diri kepada Allah ketika bersendirian. Orang seperti ini sedar bahawa dirinya amat mengharapkan rahmat dan pengampunan daripada Allah. Ketika orang lain sibuk melakukan pelbagai urusan dunia atau mungkin sedang nyenyak tidur, hamba Allah seperti dinyatakan dalam hadis bangun untuk bermunajat kepada Allah.

Setiap manusia perlu merebut keampunan daripada Allah dengan melakukan kebaikan meskipun ketika bersendirian. Setiap peluang untuk melakukan kebaikan perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana Allah akan menerima taubat setiap hamba-Nya yang telah tergelincir melakukan dosa.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53)

Insan berilmu lagi beradab

Mohd Shahrizal Nasir

BARU-BARU ini tular berita seorang remaja sekolah yang melemparkan bukunya ke dalam sungai. Kemungkinan besar gambar itu diambil dengan niat untuk menunjukkan perbuatan terbabit kepada orang ramai. Akal yang waras dengan mudah dapat melihat perbuatan itu sebagai satu perkara yang tidak baik. Anak-anak yang sedang meningkat remaja sememangnya mempunyai jiwa yang membuak-buak untuk menunjukkan dirinya boleh melakukan apa yang diingininya.

Usia remaja perlukan bimbingan daripada orang dewasa. Mereka masih memerlukan teguran yang dapat mengawal tindak-tanduk mereka. Usah lemparkan maki hamun kepada mereka, sebaliknya dekati mereka dan terus membimbing mereka agar dapat mengawal diri sendiri. Ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak masing-masing. Tatkala mereka menunjukkan perasaan dalam diri yang ingin memberontak, sebenarnya mereka perlukan perhatian dan bimbingan daripada kedua-dua orang tua.

Anak-anak perlu dididik agar menghormati ilmu. Termasuk dalam hal ini ialah menghormati guru yang mendidik mereka. Selain itu, buku yang mengandungi catatan ilmu perlu sentiasa dihormati. Sebab itu, antara perkara yang perlu ditekankan kepada anak-anak ialah pentingnya menjaga buku pelajaran mereka. Ajar mereka agar menyayangi buku pelajaran kerana di dalamnya mengandungi ilmu yang lebih berharga daripada harta.

Tegurlah anak-anak sekiranya mereka tidak menjaga buku-buku mereka. Sekiranya buku dibiarkan bersepah sehingga ada kemungkinan dipijak oleh adik-adik mereka di dalam rumah, mintalah mereka meletakkan buku itu pada tempatnya yang baik. Begitu juga sekiranya beg sekolah anak-anak diletakkan merata tempat selepas mereka pulang dari sekolah, latihlah mereka agar dapat melakukan rutin menyimpan beg di tempat yang sesuai. Bukan kerana beg itu harganya mahal, tetapi kerana ia mengandungi buku pelajaran.

Bukankah ibu bapa menunjukkan contoh teladan yang baik apabila mereka menyampul buku pelajaran anak pada setiap awal tahun. Perbuatan ini sebenarnya perlu dijelaskan sebagai satu usaha menjaga buku yang menyimpan ilmu. Apatah lagi sekiranya buku itu adalah milik sekolah yang dipinjamkan kepada anak-anak.

Mereka perlu diajar agar sentiasa menyayangi buku pinjaman seperti mana mereka menjaga harta sendiri. Semua perkara ini sebenarnya satu bentuk latihan kepada anak-anak agar menghormati ilmu pengetahuan yang mereka timba di sekolah. Menuntut ilmu adalah perbuatan baik yang boleh meningkatkan martabat diri seseorang insan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “…Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah maha mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”  (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Dalam soal menghormati buku pelajaran yang mengandungi ilmu, ulama menunjukkan contoh teladan yang baik. Ulama seperti Imam Syafie sentiasa mendampingi kitab sehingga beliau dapat menghafal kandungan kitab yang dipelajarinya. Pada usia tujuh tahun, Imam Syafie berjaya menghafal al-Quran, manakala ketika berusia 10 tahun, beliau dapat menghafal kitab  al-Muwatta’  karya Imam Malik.

Sifat yang ditunjukkan oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu pada usia muda antara lain disebabkan akhlaknya terhadap kitab yang mengandungi ilmu.

Beliau menjadikan kitab gurunya sebagai bacaan sehingga berjaya menghafalnya. Kesungguhan ini bukan sahaja perlu dicontohi oleh anak muda, malah ia memberi gambaran betapa Imam Syafie menghormati kitab yang mengandungi ilmu pengetahuan.

Az-Zarnuji dalam kitabya  Ta’lim al-Muta’allim menyatakan:  “Dan termasuk penghormatan terhadap ilmu adalah dengan menghormati kitab pelajaran. Maka hendaklah bagi penuntut ilmu tidak mengambil kitab kecuali dalam keadaan suci.” Begitulah adab yang diajarkan ulama kepada penuntut ilmu agar mereka memperoleh keberkatan daripada ilmu yang dipelajarinya.

Sebab itu, usaha mencari ilmu sering dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan daripada Allah SWT boleh dikecapi sekiranya diri sentiasa melakukan perkara baik termasuk menghormati guru dan kitab pengajian. Sebenarnya semua ini menggambarkan pentingnya penuntut ilmu berusaha menghiaskan dirinya dengan akhlak yang terpuji. Seseorang tidak akan dikira berjaya dalam menuntut ilmu sekiranya tidak memiliki akhlak yang terpuji.

Dalam kitab  Min Wasaya al-Ulama’ li Talabah al-‘Ilm, dinukilkan pesanan Abu Zakariya al-Anbari yang maksudnya:  “Ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar dan adab tanpa ilmu seperti jasad tanpa roh.”  Ungkapan ini jelas menunjukkan adab dan ilmu saling berkaitan antara keduanya. Adab dan ilmu tidak akan dapat kelihatan sempurna sekiranya salah satu daripadanya tidak diberi perhatian secara bersama.  

Ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan anak-anak mereka berjaya menguasai ilmu pengetahuan, tetapi juga mampu memiliki akhlak yang terpuji. Membuang buku ke dalam sungai bukanlah daripada perbuatan yang terpuji sebaliknya perlu difahami sebagai perbuatan buruk. Anak-anak yang terlibat dengan perbuatan buruk seperti itu perlu didekati dan diberi teguran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Setiap ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak sendiri agar tidak melakukan perbuatan seumpama itu. Ingatkan mereka mengenai kepentingan menghormati ilmu termasuk dengan cara menghormati buku pelajaran. Maksud menghormati buku pelajaran ialah dengan menjaganya, meletaknya pada tempat yang sesuai serta memanfaatkan kandungannya untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Inilah antara perkara yang ditekankan oleh ulama agar penuntut ilmu didekatkan dengan adab yang baik.

Imam Malik juga ada menyebut seperti mana dinukilkan dalam kitab  Hilyah al-Awliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’  karangan Abu Nu’aym al-Asfahani, katanya:  “Pelajarilah adab sebelum kamu mempelajari ilmu.”  Ini membuktikan seseorang penuntut ilmu perlu memahami, memiliki serta mempraktikkan adab yang baik semasa menuntut ilmu. Justeru, mana mungkin seseorang yang bergelar penuntut ilmu tidak memiliki keperibadian yang terpuji, sedangkan adab tidak boleh terpisah dengan ilmu.

Ibu bapa perlu mengambil perhatian serius mengenai hal ini. Anak-anak tidak boleh hanya disandarkan harapan agar mereka menjadi orang yang berilmu semata-mata. Tetapi lebih penting daripada itu ialah agar mereka menjadi orang yang beradab. Kejayaan seseorang anak dalam menuntut ilmu diserlahkan dengan keindahan budi pekerti yang ada dalam dirinya. Dengan akhlak yang baik, anak-anak akan dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya untuk melakukan banyak lagi kebaikan.

Apalah gunanya jika anak-anak berjaya mengumpul banyak A dalam peperiksaan, tetapi mereka tidak mampu mengawal lidah daripada mengeluarkan kata-kata kesat. Begitu juga sekiranya anak-anak mendapat tempat pertama dalam kelas namun mereka tidak pandai menjaga buku pinjaman dengan sebaiknya sedangkan mereka tahu itu bukan hak mutlak mereka. Kita mahukan mereka berjaya dalam pelajaran dan dalam masa sama mereka juga memiliki akhlak baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Golongan beriman yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Bahaya Maksiat dijenama semula

Datuk Mohd Ajib Ismail

MAKSIAT adalah perbuatan mengingkari perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap Muslim diingatkan agar menjauhkan diri daripada melakukan pebuatan maksiat kerana ia bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT, tetapi juga memberikan banyak kesan mudarat kepada diri dan kehidupan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Bentuk perbuatan maksiat sentiasa berubah seiring peredaran zaman. Sebahagian perlakuan maksiat seakan-akan dijenamakan semula dengan pelbagai rupa bertujuan mempromosikan sebagai gaya hidup popular dan diterima masyarakat. Segala perbuatan dosa dan maksiat hakikatnya dijelaskan dalam Islam seperti di dalam al-Quran dan hadis.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Manakala di dalam surah al-Isra’ ayat 32 Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

Dalam era kecanggihan teknologi dan kemodenan masyarakat, sesetengah perbuatan maksiat dijenamakan dengan pelbagai rupa serta dipromosikan dengan pelbagai cara sehingga mengaburi pandangan serta menganggap ia bukan lagi perbuatan dosa. Hanya mereka yang benar-benar menjalani kehidupan berpandukan syariat dapat mengawasi diri daripada terjerumus ke kancah kemaksiatan sehingga akhirnya sukar untuk keluar dari lembah kehinaan tersebut.

Di dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: ‘Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan pelbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka.” (Riwayat Ibnu Majah)

Medium melakukan maksiat kini pelbagai. Justeru, dakwah dan pencegahannya mesti dipergiatkan sesuai dengan kapasiti masing-masing sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Tanggungjawab mencegah perbuatan maksiat mestilah dijalankan dalam semua peringkat masyarakat, bermula daripada diri, keluarga, masyarakat hinggalah negara. Seorang suami sebagai ketua keluarga berkewajipan mengajak anak dan isterinya ke arah kebaikan serta menegah mereka daripada melakukan maksiat. Firman Allah SWT di dalam surah At -Tahrim ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala), penjaganya terdiri daripada malaikat yang kasar, keras dan mereka tidak menderhakai Allah, setiap apa yang diperintahkan kepada mereka sudah pasti mereka akan melaksanakannya.”

Kita dianjurkan berdoa agar dihindarkan daripada maksiat sebagaimana hadis bermaksud: “Ya Allah ampunkan baginya, bersihkan hatinya (daripada memikirkan sesuatu maksiat) dan peliharalah kemaluannya (daripada melakukan zina).” (Riwayat Ahmad)

Di samping itu, perasaan takut terhadap kemurkaan dan balasan Allah SWT dapat mencegah daripada perbuatan maksiat selain perasaan cinta dan keinginan untuk mendapatkan balasan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nur ayat 63 yang bermaksud: “Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu, sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Kita juga dianjurkan agar melakukan amalan kebaikan secara berterusan agar dapat membantu melakukan perubahan diri ke arah kebaikan. Di dalam hadis riwayat Abu Zar RA Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap perbuatan dosa dengan amal kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan dosa. Bergaullah dengan  manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat al-Tirmizi)

Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 114 yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”

Kita harus berganding bahu bagi mencegah perbuatan maksiat dalam masyarakat dengan segala kemampuan yang ada. Laporkan perbuatan mungkar dan maksiat kepada pihak berkuasa agar kita dilindungi daripada kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl, ayat 112 yang bermaksud: “Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur nikmat Allah, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”

Bagi yang terlanjur melakukan maksiat, peluang untuk bertaubat sentiasa terbuka sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedangkan  mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

Berusahalah berjihad memerangi hawa nafsu dan sentiasa menyucikan jiwa sebagai mana saranan ayat al-Quran yang bermaksud: “Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa, sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”  (Surah As-Syams: 7-10)

Manfaatkanlah kemodenan bagi kebaikan kerana ramai orang yang berjaya memperoleh manfaat hasil kemajuan teknologi. Kesempitan hidup bukan asbab kita memilih jalan dosa dan maksiat. Bahkan mereka yang berusaha menjauhi maksiat dijanjikan ganjaran besar di akhirat. Usahlah terpesona dengan fatamorgana keindahan dunia yang sementara sehingga kita tersasar memilih jalan yang tidak diredai Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW di dalam hadis yang bermaksud: “Apa yang sedikit, tetapi mencukupi lebih baik daripada banyak, tetapi melalaikan.” (Riwayat Abu Daud)

Bapa pencorak sakhsiah anak

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap lelaki yang berumah tangga pasti ingin menjadi bapa. Rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada lelaki yang berumah tangga membawa 1,001 rahmat dan keberkatan dalam kehidupan sebuah keluarga. Gelaran bapa dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dengan disertakan amanah yang cukup besar. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” Surah al-Anfal, ayat 28

Antara tugas paling besar bagi seorang bapa ialah untuk memastikan anaknya memiliki budi pekerti yang mulia dan berjaya dalam hidup, bukan saja di dunia tetapi lebih-lebih lagi di akhirat nanti. Sebenarnya proses mendidik anak bermula sejak sebelum kelahirannya. Segala tindak-tanduk dan perangai ibu bapalah akan membentuk keperibadian anak yang bakal dilahirkan.

Sebenarnya, tugas membentuk keperibadian unggul dalam diri insan adalah antara misi penting pengutusan Rasulullah SAW sebagai rasul terakhir. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” Hadis Riwayat Ahmad

Jadi, sekiranya seseorang bapa berusaha mendidik anaknya dengan akhlak Islam, dia sebenarnya sedang meneruskan misi perjuangan Rasulullah SAW.

Cabaran hebat yang dilalui oleh bapa ialah tatkala anak melalui proses pembesaran. Sekiranya bapa gagal mengawasi tingkah laku anak mereka sepanjang proses ini, anak akan hanyut dibawa arus remaja. Secara lebih spesifik, tempoh ini merujuk kepada perubahan anak daripada peringkat kanak-kanak kepada peringkat remaja sekitar umur 15 hingga 25 tahun.

Pada tahap itu, biasanya anak akan berasakan mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa perlu kawalan daripada ibu bapa. Mereka lebih selesa meluahkan isi hati kepada rakan dan mula berani melakukan perkara yang menjadi kebiasaan remaja lain seperti merokok, keluar malam dan mencari pasangan.

Seorang bapa perlu bijak memainkan peranannya dalam proses mencorak sahsiah anak. Interaksi antara bapa dengan anak perlu dilakukan dengan bijak agar anak akan sentiasa menyedari diri mereka disayangi. Kurangnya komunikasi dalam keluarga menyebabkan anak mencari pihak lain untuk mendengar luahan hati mereka. Malah, bapa perlu berusaha mendalami hati dan perasaan anaknya bagi mengelakkan mereka merasa terpinggir, lalu terpengaruh dengan pandangan negatif daripada kawan mereka.

Usah serahkan tanggungjawab menyelami hati anak kepada ibu mereka semata-mata. Bapa juga perlu meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak. Hubungan bapa yang seakan-akan rakan kepada anak akan membuatkan anak berasa selesa untuk berkongsi masalah bersama bapa mereka. Apatah lagi pada saat sekarang anak banyak masa berada di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Manfaatkan masa ini untuk mendekati mereka.

Dengan cabaran gaya hidup moden masa kini, pelbagai bentuk rintangan yang perlu dihadapi oleh bapa. Oleh itu, amat wajar bagi bapa untuk meneliti beberapa perkara bagi mendepani situasi zaman serba canggih ini. Antara yang penting, bapa perlu menguasai ilmu mendidik anak menurut acuan Islam. Terdapat banyak kisah dalam al-Quran yang dirakamkan mewakili situasi bapa dan anak antaranya kisah Nabi Ibrahim dan kisah Luqman al-Hakim. Lihatlah bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anaknya. Budaya nasihat subur dalam keluarga Luqman al-Hakim. Inilah satu cara yang patut dicontohi oleh bapa hari ini.

Luqman al-Hakim mendidik anaknya dengan mutiara nasihat yang amat berguna. Antaranya seperti yang dirakamkan dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya ketika dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” Surah Luqman ayat 13

Budaya nasihat ini perlu disuburkan dalam keluarga. Nasihat perlu diberikan dengan cara yang terbaik iaitu tidak dalam keadaan marah. Sebaik-baiknya nasihat diberikan dengan penuh kasih sayang dan pengharapan kepada Allah SWT agar nasihat itu benar-benar menyerap ke dalam hati anak. Nasihat juga perlu disampaikan sesuai dengan keadaan anak dan suasana sekeliling. Inilah antara ilmu yang perlu dipelajari oleh bapa.

Selain itu, bapa perlu sedar anak sentiasa memerhati tindak-tanduknya. Sebagai anak, semestinya mereka memandang tinggi kedudukan bapanya. Bapa ialah insan dewasa yang lebih dekat dengan anak berbanding insan lain. Oleh itu, bapa perlu memanfaatkan situasi ini dengan mempamerkan contoh ikutan dan teladan terbaik kepada anak. Sekiranya peluang ini dipersiakan bapa, anak akan berusaha mencari pihak lain untuk dijadikan contoh. Akhirnya, situasi ini bakal membentuk satu persepsi buruk anak terhadap bapanya. Maka segala nasihat bapa selepas itu tidak akan memberi kesan positif kepada anak.

Prinsip kepemimpinan melalui teladan perlu diterapkan dalam rumah. Ini antara kaedah berkesan bagi memastikan setiap ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan yang baik, seterusnya terhindar daripada sebarang hal yang boleh menjerumuskan diri dan ahli keluarga ke dalam neraka. Setiap bapa perlu ingat firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu.” Surah at-Tahrim ayat 6

Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik dalam segenap aspek termasuk sebagai seorang bapa. Sifat kelembutan dan ketegasan baginda dalam mendidik anak sepatutnya menjadi contoh kepada setiap bapa.

Sikap sesetengah bapa yang membela anaknya yang melakukan kesilapan adalah fenomena buruk yang bakal menjadikan anak terus terpesong, malah berasa bangga berada dalam dunia kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya dan aku (Rasulullah) adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.” Hadis Riwayat Ibn Majah

Setiap insan yang bergelar bapa perlu menginsafi bahawa tugas yang sedang dipikulnya amat besar. Bapa pencorak sahsiah anak. Hanya dengan didikan mengikut acuan Islam sahaja dapat melahirkan anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Berdoalah kepada Allah SWT agar amanah menjadi seorang bapa dapat ditunaikan dengan baik sehingga melahirkan zuriat dan keluarga yang soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri dan zuriat keturunan kami perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.” Surah al-Furqan ayat 74

Kerana mulut akidah tergadai

Prof Madya Dr. Azlan Shaiful Baharum

PADA zaman moden dan era globalisasi ini, segelintir orang di luar sana cuba menjadi orang bijak pandai dalam bidang agama. Mereka mengeluarkan pendapat serta idea sendiri dan mudah mengeluarkan fatwa yang bukan sahaja tidak menepati ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi juga menyeleweng dan menimbulkan kontroversi dalam masyarakat. Mereka menjadikan sumber rujukan dalam media sosial  sebagai hujah dan bukti seperti kata-kata orang tertentu dalam Facebook, Instagram dan laman sesawang tertentu membawa ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Ada juga segelintir golongan yang dikenali masyarakat yang dikatakan golongan berhijrah ke arah agama, tetapi tidak mempelajarinya dengan sebaik mungkin. Sepatutnya mereka mencari sumber rujukan yang sesuai dan betul. Namun begitu, malangnya perubahan tersebut tidak selari dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi hanya berlandaskan kepada pemikiran logik serta pendapat individu itu sendiri. Bahkan adab dan akhlak dalam berbicara juga tidak dijaga dengan baik. 

Oleh itu, jangan jadi pencetus, pelopor, penyebar kesesatan terutama dalam perkara berkaitan agama kerana ia sangat berbahaya. Inilah ancaman daripada Rasulullah SAW sabdanya: “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk maka baginya pahala seperti pahalanya orang-orang yang mengikutinya, tidak mengurangi pahala tersebut (yang diberikan kepada pengajak sebuah petunjuk) daripada pahala mereka sedikitpun dan barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan maka ia mendapat dosa seperti dosanya orang-orang yang mengikutinya, tidak mengurangi dosa tersebut (yang dikenakan kepada pengajak sebuah kesesatan) daripada dosa-dosa mereka sedikitpun.”  (HR Bukhari dan Muslim)

Ini amat bertentangan dengan firman Allah SWT dalam Al-Qur’an iaitu Surah An-Nahl ayat 43: “Dan kami tidak mengutus sebelum kamu kecuali orang-orang lelaki yang Kami berikan wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Selain itu, terdapat juga golongan yang mempermainkan hukum Allah. Sebagai contoh dengan mudah mengumumkan dia sudah murtad di khalayak ramai terutama dalam media sosial akibat daripada kesilapan diri sendiri. Ia berlaku dalam kalangan golongan yang merasakan mereka popular dalam masyarakat. Walaupun kelakuan mereka itu pelik dan bertentangan dengan tabii manusia, tetapi mereka berasa bangga untuk memberitahu semua orang bahawa mereka telah keluar daripada Islam. Imam al-Zarkasyi menyatakan bahawa: “Sesiapa yang berkata perkataan yang membawa kepada kufur secara sengaja tanpa niat untuk kufur maka beliau dikira murtad.” (rujuk  al-Mansur fi al-Qawaid Fiqh Syafie,  jld. 2, m/s 112)

Di samping itu, ada juga golongan tertentu yang mempertikaikan hukum Allah seperti hukum hudud dan juga hukum jenayah syariah yang termaktub dalam al-Quran. Ada juga yang menghebahkan bahawa mereka telah membuka aurat mereka dengan menggunakan alasan tidak bersedia serta pengaruh orang lain. Pakaian yang dahulunya sopan itu kononnya hanya desakan orang lain dan bukan kerelaan mereka sendiri.

Begitu juga ada dalam kalangan mereka yang melampaui batas sehingga mengumumkan mereka berzina serta bersekedudukan hingga melahirkan anak-anak zina yang tidak berdosa. Kes sumbang mahram dalam kalangan ahli keluarga amat berleluasa kini dalam masyarakat. Ini semua adalah virus yang lebih teruk daripada virus Covid-19 kerana virus seperti ini amat sukar untuk dirawat melainkan jika mereka sendiri yang berubah dan kembali ke pangkal jalan dengan mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Selain itu ada golongan tertentu yang ingin mencari populariti dengan melakukan perbuatan yang pelik dan bertentangan dengan norma manusia yang asal melanggar fitrah. Allah SWT telah menetapkan setiap manusia itu wajib mengikut fitrahnya seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dalam keadaan berpegang teguh kepada ajaran yang benar serta lurus dan bukanlah aku orang yang mempersekutukan Allah.” (Surah Al-An’am: 79)

Mereka ini orang yang terlupa dan alpa dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Takathur, ayat pertama: “Telah melalaikan kamu iaitu benda yang banyak-banyak”. Menurut tafsir Al-Maraghi yang dimaksudkan dengan benda yang banyak-banyak itu adalah kerakusan manusia dalam berbangga dengan harta benda, anak pinak yang ramai, pangkat dan pengaruh.

Oleh itu, orang yang sentiasa mempersendakan ajaran agama dan melakukan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam adalah orang yang termasuk dalam golongan yang dilaknat Allah SWT.

Begitu juga seruan Allah dalam surah Al-Ma’un iaitu senarai golongan yang mendustakan agama. Ia dicatatkan dalam ayat 1 hingga 6 surah tersebut. Firman Allah SWT: “Adakah kamu tahu orang yang mendustakan agama? Iaitu itulah golongan yang menaniayai anak yatim dan orang yang tidak suka memberikan bantuan kepada orang-orang miskin. Maka celakalah orang-orang yang solat. Iaitu mereka yang lalai dalam menunaikan solatnya. Mereka yang  sentiasa riak dalam melakukan amal kebaikan.”

Kebimbangan kita adalah golongan yang mempunyai harta yang banyak dan menjadi terkenal dalam kalangan masyarakat. Akan tetapi cara mereka mendapatkan rezeki itu tidak diberkati oleh Allah. Golongan ini ialah golongan yang dibimbangi mendapat Istidraj. Apabila mereka memperoleh harta yang banyak, ia menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat Allah SWT. Golongan ini muncul bagaikan cendawan selepas hujan di tengah-tengah masyarakat. Ini menyebabkan kekeliruan semakin berleluasa. Mereka berani dengan terang-terang menentang hukum Allah SWT. Mereka sendiri merasakan diri hebat hasil dorongan hawa nafsu, emosi dan hanya berpandukan kepada logik akal semata-mata.

Allah SWT menyuruh menjauhkan diri daripada golongan tersebut. Firman Allah SWT: “Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.”  (Surah al-An’am; 70)

Perbuatan mempersenda agama adalah dosa besar dan bagi mereka azab yang amat perit. Firman Allah SWT dalam ayat yang sama: “Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”

Moga Allah menjauhkan kita dan ahli keluarga kita daripada termasuk dalam golongan yang mempersenda agama.

Jangan mudah gadai agama

Datuk Mohd Ajib Ismail

ANTARA anugerah paling bernilai yang dikurniakan Allah SWT di dalam kehidupan manusia adalah nikmat Islam dan iman. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu…”

Orang yang beriman memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah SWT sebagai mana firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali ‘Imran ayat 139 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bersabda yang bermaksud: “Islam itu tinggi dan tiada yang mengatasi ketinggiannya.”

Orang yang beriman mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas dalam kehidupan. Penghayatan terhadap rukun Islam dan rukun Iman dengan sebenar-benarnya akan melahirkan manusia yang sentiasa menyerahkan kebergantungan kepada Allah SWT di dalam sebarang urusan. Nikmat Islam dan iman akan membentuk keperibadian Muslim yang bersyukur, sabar, reda, jujur, amanah, tawaduk (rendah diri), adil, tekun dan sebagainya. Melalui nilai-nilai yang dianjurkan oleh ajaran Islam, manusia berupaya mengatur hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia dengan sempurna.

Nikmat Islam dan iman memandu manusia mengharungi realiti kehidupan serta mendorong agar sentiasa merenung dan memikirkan kesudahan kehidupan di hari akhirat yang kekal abadi dalam kesibukan mengecapi kejayaan dan kebahagiaan.

Pelbagai asbab manusia mendapat nikmat Islam dan iman sama ada memilikinya semenjak lahir atau memperoleh hidayah memeluk agama Islam di dalam pertengahan jalan kehidupan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

Justeru, Nabi Nuh AS sendiri misalnya tidak dapat memberi hidayah kepada anaknya, Nabi Ibrahim AS tidak mampu memberi hidayah kepada bapanya bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak dapat memberi hidayah kepada bapa saudara yang baginda kasihi.

Setiap individu Muslim bertanggungjawab memelihara nikmat Islam dan iman dalam diri kerana sifatnya yang sentiasa bertambah dan berkurang. Iman bertambah apabila seseorang berterusan melakukan amalan kebajikan dan ketaatan manakala berkurang apabila berterusan melakukan maksiat dan amalan sia-sia. Firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” Di dalam ayat yang lain surah al-Taubah 124, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila diturunkan satu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: “Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini? “Adanya orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, sedang mereka berasa gembira.”

Setiap seorang Muslim akan berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan yang dapat memantapkan iman jika didorong oleh keyakinan bahawa balasan syurga Allah SWT menantinya sebaliknya balasan siksaan neraka bagi yang mengingkari perintah-Nya. Allah SWT juga mengutuskan Rasul dengan pelbagai mukjizat agar manusia yakin dengan risalah Islam yang disampaikan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali ‘Imran bermaksud: “Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (daripada perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat daripada Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.”

Di dalam sejarah Islam, sahabat mempertaruhkan nyawa bagi mempertahankan iman. Bilal bin Rabah, Sumayyah serta ahli keluarganya diseksa oleh kaum kafir Quraisy dengan pelbagai bentuk siksaan sehingga mati syahid. Mereka dibawa ke tengah-tengah padang pasir ketika panas terik mentari lalu dipakaikan baju besi. Mereka juga tidak diberikan air untuk menghilangkan dahaga sehingga pengsan. Saban hari mereka diseksa namun tidak sekalipun kata-kata kufur keluar daripada mulut Yasir dan keluarganya.

Justeru, walau apapun ujian yang melanda kehidupan janganlah sampai menggadaikan iman. Gaya hidup yang tidak memberikan penekanan kepada kehidupan beragama mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap Allah mudah terhakis. Kemuncak kepada krisis keyakinan terhadap Allah akan mendorong tindakan murtad atau keluar daripada Islam. Sebaliknya, hadapilah ujian kehidupan dengan kesabaran dan memohon pertolongan daripada Allah, bukan berputus asa kemudian mencabar hukum dan ketetapan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 153 bermaksud: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

Umat Islam tidak seharusnya mudah menyerah kalah dan memilih jalan singkat dalam mendepani permasalahan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran surah al-Hijr ayat 56 yang bermaksud: “Nabi Ibrahim berkata, Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

Marilah kita semua berdoa untuk diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat agar dijauhkan daripada sebarang tindakan yang menggadaikan nikmat Islam dan iman sebagaimana maksud sebuah hadis: “Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu daripada bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jangan salahguna nama Allah

Mohd Shahrizal Nasir

Kita biasa membaca surah al-Ikhlas sehingga dalam solat ia sering menjadi surah pilihan untuk dibaca. Malah boleh dikatakan setiap orang Islam pasti menghafal surah ini. Kanak-kanak di sekolah rendah juga mula menghafal surah al-Ikhlas. Meskipun surah ini satu surah yang sedikit bilangan ayatnya, ia mengandungi makna yang sangat penting.

Surah al-Ikhlas menyentuh aspek akidah yang juga tonggak penting dalam Islam. Aspek akidah membezakan pegangan agama dalam kalangan manusia. Rasulullah SAW menjelaskan kedudukan surah al-Ikhlas menerusi hadis bermaksud: “Demi (Allah) yang jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya surah al-Ikhlas sebanding (dengan) sepertiga al-Quran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis berkenaan jelas menunjukkan kandungan surah al-Ikhlas menyentuh aspek yang sangat penting dalam agama. Al-Quran sebagai kitab suci umat Islam mengandungi pelbagai ilmu Islam dan antara yang terpenting ialah ilmu akidah. Maka gambaran bahawa surah al-Ikhlas sebanding dengan sepertiga al-Quran menunjukkan kandungan surah ini mencakupi aspek akidah paling asas yang perlu difahami serta dijadikan pegangan terpenting umat Islam.

Bilangan ayat surah al-Ikhlas yang sedikit dan pendek menjadikannya surah yang mudah untuk dihafal dan mesti difahami kandungannya. Rasulullah SAW ketika mendengar berita mengenai seorang sahabat baginda yang suka membaca surah al-Ikhlas kerana sifat Allah SAW yang terkandung di dalamnya, maka baginda bersabda: “Sampaikanlah kepadanya bahawa Allah mencintainya.” (Muttafaq ‘alaih)

Jelaslah bahawa surah al-Ikhlas mempunyai fadilat tersendiri sehingga meletakkan orang yang membacanya pada kedudukan istimewa. Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia (Allah) tiada beranak dan Ia (Allah) pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.” (Surah al-Ikhlas, ayat 1-4)

Selain menghafal surah al-Ikhlas, kita mesti menghayati kandungan ayat yang terkandung di dalamnya. Ayat pertama surah al-Ikhlas menjelaskan Allah SWT  adalah Tuhan Yang Maha Esa. Setiap orang Islam mengakui serta mengiktiraf keesaan Allah SWT menerusi ungkapan syahadah. Setiap kali menunaikan solat, pasti kita mengulangi ungkapan syahadah yang membawa persaksian bahawa tidak ada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Allah SWT.

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari menjelaskan: “Yang dimaksudkan dengan mentauhidkan Allah SWT adalah dengan persaksian bahawa sesungguhnya Dia-lah (Allah) Yang Maha Esa.” Keterangan ini menunjukkan bahawa setiap orang Islam perlu menolak sebarang usaha yang bersalahan dengan persaksian bahawa Allah SWT sahajalah Tuhan yang diiktiraf serta selayaknya disembah.

Pengakuan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa tidak boleh sekadar diucapkan lidah semata-mata. Ia perlu disertakan dengan iktikad yang kukuh dalam hati serta dibuktikan dengan tindakan manusia. Oleh itu, ayat kedua dalam surah al-Ikhlas menjelaskan hanya kepada Allah SWT sahaja dipanjatkan segala doa permohonan. Ini bermaksud, tidak akan pihak lain yang boleh menjadi perantaraan antara seorang hamba dengan Allah SWT.

Sebab itu perbuatan memohon sesuatu kepada selain daripada Allah SWT dikira sebagai perbuatan syirik. Sesungguhnya perbuatan seumpama itu bersalahan dengan kandungan ungkapan syahadah yang sering diulang-ulang setiap hari. Dalam surah al-Fatihah juga, setiap orang Islam menzahirkan pengakuan Allah SWT sahaja yang selayaknya disembah dan diminta sebarang pertolongan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” (Surah al-Fatihah, ayat 5). Justeru, keimanan kepada Allah SWT perlu dibuktikan dengan perbuatan yang jelas mengiktiraf bahawa tiada sekutu langsung bagi Allah SWT.  

Syaikh ‘Abd al-Rahman as-Sa’di dalam tafsirnya berjudul Taisir al-Karim al-Rahman  menyatakan: “Hakikat tauhid ialah menetapkan uluhiyyah (hak untuk disembah) hanya kepada Allah dan menidakkannya kepada selain daripada Allah.”  Sekiranya ada pihak yang mengaku Tuhan mereka adalah Allah malah berusaha untuk menggunakan nama terbabit, namun masih menyembah selain daripada-Nya, sesungguhnya mereka tetap daripada kalangan orang yang menyekutukan-Nya.

Kita perlu sedar perbuatan syirik adalah jenayah yang paling berat. Allah SWT tidak pernah sekali-kali reda dengan perbuatan hamba-Nya yang menyekutukan-Nya. Apatah lagi sekiranya ada golongan yang sanggup mengatakan Allah SWT mempunyai anak. Ini semua telah dinafikan oleh Allah SWT dalam surah al-Ikhlas.

Allah SWT menyatakan perihal perbuatan syirik yang merugikan manusia yang terbabit dengan kemungkaran berkenaan. Segala amalan meskipun dilihat sebagai baik, tetapi semuanya dikira sia-sia sekiranya terbabit dengan perbuatan mensyirikkan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi yang terdahulu daripadamu: Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalanmu dan engkau akan tetap menjadi daripada golongan orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, ayat 65)

Allah SWT juga berfiman: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dengan usaha sesetengah pihak yang dilihat berusaha mengelirukan pegangan tauhid. Peganglah kuat-kuat kefahaman bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Mana-mana dakyah yang berusaha menggunakan nama Allah tanpa merujuk Tuhan Yang Maha Esa seperti dijelaskan dalam al-Quran dan hadis, maka kerosakan terbabit perlu ditolak.

Di sudut yang lain pula, umat Islam perlu berusaha menambah ilmu pengetahuan khususnya membabitkan ilmu tauhid supaya dapat memelihara pegangan akidah. Jangan mudah berasa cukup dengan ilmu yang sedia ada, tambahan pula pelbagai dakyah cuba disebarkan kepada umat Islam supaya iktikad menjadi longgar. Sebarang usaha mempergunakan nama Allah SWT untuk tujuan merosakkan kefahaman umat Islam perlu ditangani dengan cara yang tegas.

Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa dan merujuk kepada Dia seperti mana yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis. Mana mungkin ada Tuhan lain yang perlu menggunakan nama Allah. Jika tuhan selain daripada Allah itu berkuasa, mengapa ia tidak mampu memiliki nama tersendiri bagi menunjukkan kekuasaannya. 

Sekiranya ada pihak yang ingin menggunakan nama Allah, ia perlu merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa seperti mana yang diiktiraf oleh Islam. Dan sekiranya mereka mengiktiraf Allah SWT sebagai Tuhan seperti mana yang menjadi iktikad umat Islam, maka sembahlah Allah SWT, bukan selain daripada-Nya.

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut…” (Surah an-Nahl, ayat 36)