• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,195 orang
  • Kandungan Blog

Kenapa Sambutan Valentine’s Day Dilarang

Fenomena sebahagian remaja menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalender. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.

To be my Valentine?

Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah. Ini karena ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Mengapa Mawar Merah?

Selain ucapan ‘To be my Valentine’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan aneh dan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia langsung tiada kaitan dengan Islam dan hanya mitos karut. Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk ‘The Language of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Persia yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day amat popular. Tanpa mengetahui sebabnya ia terus menjadi amalan.

Sambutan Valentine’s Day Dilarang Kerana Hukumnya HARAM

Sebenarnya, majoriti tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah HARAM dan bertentangan dengan ajaran Islam.” Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam. Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki di atas aktiviti trend baru zaman moden ini. Tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi panduan seantero umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan diakhirat.

Sejarah Valentine’s Day

Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diperingat. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah terdapat beberapa versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.

Pendapat pertama mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari itu mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat Kedua pula mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II.

Pendapat Ketiga: Ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol dimana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Yang terakhir, pendapat keempat adalah berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggris di dalam puisinya.  Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat terang lagi tersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang Islam sendiri.

Kebejatan Acara Valentine’s Day

Sebenarnya bukan sekadar apa yang tersirat di sebalik amalan dan kepercayaan berkenaan Sambutan Hari Valentine ini sahaja amat keji dan perlu dihindari. Tetapi acara-acara jelek dan tidak boleh diterima oleh budaya manusia bertamadun, menjadikan ianya perlu ditolak dan dipadamkan dari takwim perayaan manusia madani dan memiliki pegangan aqidah yang suci. Lihatlah bagaimana saban tahun kebelakangan ini, media-media mendedahkan pelbagai acara dianjurkan bagi mengamatkan Sambutan Hari Valentine, khususnya kepada kalangan muda mudi. Ianya dicatur berpaksikan kepada menzahirkan perasaan kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing. Amat jijik dan jelek sekiranya difikirkan dengan akal pemikiran yang waras. Bagaimanakah seorang kekasih boleh menyerahkan dan melakukan apa sahaja untuk kekasihnya tanpa ada sebarang ikatan demi membuktikan perjanjian cinta? Akan tetapi, apa yang amat mendukacitakan, acara tidak bertamadun dan tidak bermata dalam menilai kehormatan sesama insan itu tetap mendapat sambutan. Ia sukar dibendung. Jauh sekali untuk dibersihkan sepenuhnya. Kesedaran pemikiran yang waras tercabut dengan hayalan dan dongengan dek janji indahnya kasih sayang tanpa ada suluhan kebenaran yang hak.

Berdasarkan kepada apa yang telah terjadi, sebenarnya Hari yang bertemakan kepada menyanjungi dan mengagungi kasih sayang di kalangan para kekasih menjadi hari permulaan bermulanya bencana dan kehancuran. Sememangnya pada Valentine’s Day akan muncul si Romeo dan si Juliet yang mampu mengungkapkan bait-bait puisi seindah puisi William Shakespeare. Tidak kurang pula juga mereka yang sehebat si Laila dan si Majnun dalam bergelumang memperjuangkan kesetiaan cinta dengan bibir mengalunkan kata-kata puitis seindah puisi Jamaludin Rumi. Itu semua hanya seketika dek karamnya mereka di dalam bahtera gelojak nafsu tanpa nakhoda keimanan. Keindahan detik ‘syurga’ ciptaan penuh tipu daya hanya wujud pada hari itu sahaja. Ia akan ghaib entah ke mana setelah berakhirnya Valentine’s Day. Penderitaan, kekecewaan dan penyesalan akan menyelusuri. Ia akan menggantikan nikmat yang tidak seberapa. Si Romeo yang menjanjikan seribu kesetiaan menjadi halimunan bersama janjinya. Si Majnun yang menaburkan selangit pengorbanan demi kasih, cinta dan setia bisu dan ghaib entah kemana. Ia sudah terlambat untuk diatasi. Nasi sudah menjadi bubur. Cempedak sudah menjadi nangka. Kekesalan sudah tiada gunanya.

Zahirkan Cinta Ikut Acuan Islam

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama kekasih. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab Al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w. bongkarlah khazanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w itu bagi mencarinya. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan. Ia bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia. Akan tetapi, ia hanya bermatlamatkan menjadikan masyarakat yang stabil, aman dan harmoni. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.

Penutup

Bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita agar mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara ini. Marilah kita umat Islam mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia ini.

Khitan wanita ikut syarak tidak sama FGM

Masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa pengertian khitan wanita menurut syarak tidak sama dengan female genital mutilation (FGM) yang digariskan dan diharamkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Di samping itu, perlu dipastikan agar semua pihak menghormati Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang telah dikeluarkan sejak 2009 yang telah memutuskan bahawa hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib.

“Namun, ada kelonggaran di mana sekiranya ia boleh membawa kemudaratan pada diri, maka ia perlu dielakkan,” demikian antara resolusi Persidangan Meja Bulat Khitan Wanita Daripada Perspektif Usul Fiqh anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM), kelmarin.Advertisementhttps://cdn.bannersnack.com/banners/bxk8yhzgs/embed/index.html?t=1611335200&userId=43386868&responsive=true

Persidangan meja bulat webinar itu diterajui Senator Ustazah Asmak Husin yang melibatkan tiga pembentang utama iaitu Pengarah Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Dayang Anita Abdul Aziz; Dr Muhammad Ayman Al-Akiti dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Dr Suhazeli Abdullah dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Sesi diskusi pula dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Dr Luqman Haji Abdullah.

Persidangan itu turut disertai 60 pakar dan ilmuwan dari pelbagai bidang, antaranya Prof Madya Mek Wok Mahmud, Dr Farah Nini Dusuki, Dato’ Muhamad Abdullah, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj dan Prof Madya Datin Dr Naemah Abdul Rahman.

Selain itu, persidangan juga mencadangkan agar kajian komprehensif dilakukan ke atas amalan berkhitan dengan menekankan kepada aspek hukum, amalan dan realiti fisiologi masyarakat Islam Melayu di Nusantara.

Pihak berwajib pula disyorkan supaya menyegerakan keperluan undang-undang, garis panduan, latihan kepada pengamal perubatan dan seumpamanya untuk memastikan amalan khitan wanita di Malaysia mengikut syarak dan tidak membawa kemudharatan kepada kanak-kanak dan wanita.

Antara resolusi lagi ialah mencadangkan kepentingan kebajikan kanak-kanak wanita yang terlibat dengan khitan wanita diutamakan berdasarkan penilaian syarak.

Persidangan juga menyeru agar semua pihak berjaga-jaga dengan kewujudan aliran liberalisme yang cuba mengubah cara hidup dan amalan masyarakat Islam yang berlandaskan syarak dengan penilaian umum, tanpa bersandarkan kepada hujah agama.

Selain itu, masyarakat Islam dinasihati agar sentiasa menghayati hikmah syariah di sebalik setiap hukum yang telah digariskan dan berusaha mengamalkannya dengan kaedah Islam yang terbaik. 

Manfaatkan nikmat kesihatan & masa lapang

Mohd Shahrizal Nasir

Setiap nikmat yang diterima manusia pasti datang daripada Allah SWT. Hal ini tanpa mengira sama ada mereka beriman atau kufur kepada-Nya. Begitulah sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang dikurniakan kepada makhluk-Nya di dunia. Bagi umat Islam, tiada nikmat yang lebih besar selain nikmat hidayah daripada Allah SWT untuk menerima Islam dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

Allah SWT menjelaskan bahawa Islam nikmat paling besar bagi kehidupan manusia. Hanya dengan agama Islam sahaja membuktikan seseorang itu dicukupkan dengan pelbagai nikmat yang lain. Firman Allah bermaksud: “Pada hari ini, Aku (Allah) sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama kamu.” Surah al-Ma’idah, ayat 3

Sebagai orang Islam, kita wajib memanfaatkan sebaik-baiknya setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Setiap nikmat perlu dihargai dan dimanfaatkan dalam kehidupan di dunia. Kelak di akhirat, semua amalan yang diusahakan ketika di dunia akan diperlihatkan dan dinilai untuk mendapat ganjaran daripada Allah.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia, hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” Surah al-An’am, ayat 32

Dalam ayat itu, Allah memberi satu persoalan kepada manusia agar sentiasa sedar kehidupan akhirat adalah bersifat kekal. Kehidupan akhirat adalah tempat kita menerima ganjaran dan balasan atas setiap perbuatan di dunia. Maka untuk meraih kebahagiaan di akhirat, usaha perlu digandakan ketika di dunia.

Sekarang kita masih berada pada awal 2021. Secara asasnya, setiap orang akan mendapat peluang yang sama sebanyak 365 hari untuk melakukan pelbagai aktiviti. Namun, jika tempoh itu disedari sebagai satu nikmat besar kurniaan Ilahi, ia perlu dimanfaatkan untuk melakukan sebanyak mungkin amalan yang boleh mendatangkan pahala.

Hakikatnya tidak semua orang berpeluang mendapat nikmat meneruskan kehidupan pada 2021 ini. Ada orang yang meninggal dunia. Ada yang masih bernyawa, namun terlantar di atas katil kerana berdepan masalah kesihatan. Betapa berharganya nikmat masa dan peluang memanfaatkan masa untuk melakukan banyak kebaikan.

Oleh itu, nasihat agar memanfaatkan nikmat kesihatan dan masa lapang perlu diberikan lebih-lebih lagi pada awal tahun seperti sekarang ini. Banyak perkara yang baik boleh dilakukan sekiranya manusia berada dalam keadaan sihat dan mempunyai masa lapang. Orang sakit hanya mempunyai peluang yang terbatas untuk melakukan kebaikan. Begitu juga dengan orang yang kehidupannya disibukkan dengan pelbagai perkara termasuk hal yang tidak penting. Keadaan sibuk membuatkan masa untuk melakukan kebaikan juga terbatas.

Jelaslah terdapat dua nikmat yang kebanyakan manusia gagal untuk memanfaatkan kedua-duanya dengan baik. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Dua nikmat yang membuatkan kebanyakan manusia tertipu dengan kedua-duanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Hadis ini mengingatkan diri bahawa kebanyakan manusia tidak memanfaatkan sepenuhnya kedua-dua nikmat ini dalam kehidupan. Ketika masih sihat dan mempunyai masa lapang, ramai manusia gagal memperbanyakkan amalan baik bagi meraih keredaan Allah. Pada kebiasaanya, manusia akan tergerak untuk menggandakan amalan ketika usia mulai lanjut.

Berapa ramai dalam kalangan kita yang pergi ke masjid ketika usia mula meningkat? Meskipun keadaan ini tetap wajar diberi pujian, amalan baik ini perlu dimulakan ketika masih muda dan sihat. Rasulullah SAW menyatakan remaja yang memanfaatkan kehidupannya dengan memperbanyakkan ibadat akan termasuk dalam satu daripada tujuh golongan manusia yang bakal menerima naungan Allah di akhirat kelak.

Begitu juga dengan masa lapang yang mesti dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh setiap orang khususnya Muslim. Ada orang yang hidupnya sentiasa sibuk dengan urusan dunia sehingga mengabaikan tuntutan agama. Malah, sekiranya kita melengahkan urusan agama seperti solat fardu tanpa sebab yang dibenarkan, ia menjadi tanda diri tertipu dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

Terdapat juga orang yang mempunyai banyak masa lapang, tetapi memilih untuk mengisinya dengan perbuatan sia-sia. Malah lebih buruk lagi apabila masa lapang itu digunakan untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Sesungguhnya setiap perlakuan manusia akan dinilai dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Peringatan Rasulullah SAW berkaitan nikmat sihat dan masa lapang turut dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu masa mudamu sebelum kamu tua, masa sihatmu sebelum kamu sakit, masa kayamu sebelum kamu miskin, masa lapangmu sebelum kamu sibuk dan masa hidupmu sebelum kamu meninggal dunia.” Hadis Riwayat al-Hakim

Lihatlah betapa Allah maha berkuasa melimpahkan nikmat kesihatan dan masa lapang kepada hamba-Nya. Bagaimanakah cara kita mensyukuri dua nikmat Allah itu? Antaranya ialah dengan memanfaatkan nikmat itu dengan perkara yang dapat mendekatkan diri kepada-Nya. Nikmat kesihatan dan masa lapang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan melakukan amalan yang baik.

Sesungguhnya peluang untuk manusia melakukan banyak amal kebaikan bergantung kepada dua nikmat besar kurniaan Ilahi iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang. Hanya dengan dua nikmat ini manusia akan dapat melakukan banyak kebaikan yang mendatangkan pahala daripada Allah. Bagaimanapun, perlu difahami dua nikmat ini tidak datang bergolek. Kesihatan perlu dijaga begitu juga masa lapang yang akan diperoleh sekiranya manusia bijak mengatur masa dengan baik.

Dalam hal berkaitan amalan pula, selain menunaikan amalan fardu yang menjadi kewajipan, nikmat kesihatan dan masa lapang perlu dimanfaatkan untuk melakukan ibadat sunat bagi menampung kekurangan amalan fardu. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” Surah Ibrahim, ayat 7

Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan dan memanfaatkan nikmat itu dengan perkara yang baik. Di samping itu, mohonlah agar Allah SWT agar terus menganugerahkan nikmat-Nya kepada kita dan menambahnya dari semasa ke semasa.

Islam Tekan Cara hidup sempurna

Mohd Ajib Ismail

ISLAM adalah agama yang membawa ajaran serta cara hidup sempurna meliputi seluruh aspek kehidupan manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara seperti kenegaraan dan pemerintahan.

Allah SWT menyempurnakan Islam melalui pengutusan rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Kesyumulan ajaran Islam bukan saja khusus kepada amalan ritual keagamaan, tetapi merangkumi tatacara kehidupan yang lain seperti sosial, ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan dan lain-lain.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 bermaksud: “Pada hari ini, Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Kesempurnaan Islam dapat dilihat dalam aspek yang paling penting dan utama iaitu akidah dengan menetapkan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT sebagai pegangan asas dalam kehidupan. Justeru, ajaran Islam menggesa manusia menjauhi perbuatan syirik, merosakkan akidah serta sebarang perlakuan menghina agama.

Selain itu, kesyumulan Islam juga dapat dilihat dalam aspek syariah yang menetapkan panduan dan tatacara melaksanakan ibadah, ketaatan dalam melaksanakan perintah serta hukum-hakam termasuk peraturan dan undang-undang negara yang tidak bercanggah dengan syariat.

Tujuan segala peraturan ini ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia serta mengatur manusia supaya melaksanakan perbuatan ma’ruf dan menjauhi mungkar.

Kesempurnaan Islam dalam aspek akhlak pula dapat dilihat melalui ketetapan tatacara muamalah serta panduan bagi memelihara hubungan dalam keluarga, jiran tetangga, masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, serta makhluk yang lain termasuk alam sekitar.

Manusia hakikatnya tidak dibezakan berdasarkan pangkat dan darjat, warna kulit, bangsa dan keturunan, kaya dan miskin mahupun pengaruh.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Sebagai Muslim, kita dianjurkan saling mengenali antara satu sama lain dan diperintahkan agar kita memelihara kesatuan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai pegangan yang menyelamatkan kita daripada seksaan api neraka.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 103 bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Dalam kehidupan bermasyarakat, ajaran Islam menganjurkan setiap warga negara membudayakan amalan menyantuni, prihatin dan peduli sesama masyarakat.

Selain itu, setiap warga negara perlu memiliki sifat yang mesra dan berinteraksi dengan semua pihak termasuk meraikan kelompok rentan dan minoriti dalam masyarakat seperti golongan orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain. Akhirnya, masyarakat dalam sebuah negara perlu mengekalkan sifat saling menghormati di atas prinsip kemanusiaan serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian agama dan kepercayaan.

Sesungguhnya segala sifat kesyumulan Islam diserlahkan melalui Maqasid Syariah yang lima yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang akhirnya akan menatijahkan sebuah negara yang makmur, harmoni dan sejahtera.

Kepelbagaian bangsa tanda kekuasaan Allah

Malaysia sebuah negara yang sangat unik kerana di dalamnya terdapat kepelbagaian bangsa, etnik, agama, budaya dan bahasa.

Kepelbagaian itu memberikan cabaran besar untuk menghasilkan pembentukan sebuah masyarakat yang boleh hidup dalam harmoni.

Interaksi dalam kepelbagaian itu juga menuntut setiap anggota masyarakat memahami, menghargai, menghormati, menjiwai serta menerima keadaan itu dengan sikap terbuka.

Itulah ketentuan dianugerahkan Allah SWT yang sepatutnya seluruh rakyat Malaysia rasa bersyukur. Walaupun terdapat perbezaan, namun pasti wujud persamaan.

Sehubungan itu, kita hendaklah melihat dan mencari titik persamaan itu bukannya memperbesar atau tertumpu kepada perbezaan semata-mata.

Setiap manusia diciptakan satu-satunya Tuhan Maha Agung iaitu Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Hakikatnya, semua manusia berasal daripada Nabi Adam dan isterinya Hawa. Kemudian manusia berkembang biak dengan kepelbagaian yang indah.

Tujuan utama Allah mencipta manusia dengan kepelbagaian adalah supaya manusia dapat berinteraksi dengan penuh mesra dan kasih sayang.

Seperti mana disebut dalam Surah al Hujurat, ayat 13, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Allah SWT turut menegaskan di dalam Surah Ar-Rum, ayat 22, yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang yang mengetahui.”

Allah membuat analogi penciptaan bahasa dan warna kulit yang berbeza itu supaya manusia dapat memikirkan mengenai kekuasaan-Nya.

Tiada yang mustahil bagi Allah untuk menciptakan segala-galanya. Sedangkan bumi dan langit seluas ini Allah mampu cipta, apatah lagi kejadian manusia yang mempunyai perbezaan warna kulit, bahasa dan pertuturan itu.

Bagaimana manusia dapat berinteraksi walaupun ada halangan dari sudut kepelbagaian bahasa itu? Bukankah lebih baik Allah mencipta satu bahasa saja dan manusia boleh berinteraksi dengan mudah dengan satu bahasa yang sama?

Begitu juga kenapa Allah SWT ciptakan manusia dengan berbeza warna kulit? Semua itu membuktikan tanda kekuasaan Allah.

Manusia diajar supaya menerima semua ciptaan Allah dengan penuh ketaatan. Tidak ada warna kulit yang lebih baik atau lebih mulia berbanding dengan yang lain.

Manusia juga diajar memahami bahasa yang berbeza bagi membolehkan mereka berinteraksi. Interaksi sesama manusia hendaklah dijalinkan dengan penuh keikhlasan dan berdasarkan kepada prinsip bersangka baik selain elakkan daripada bersikap buruk sangka.

Rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain itu adalah sebahagian daripada etika perhubungan. Terimalah kepelbagaian yang wujud sebagai tanda ketaatan kita kepada Allah SWT.

Keadilan tanda manusia taatkan Ilahi

Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengambil kira keturunan dan etnik kaum masing-masing.

Manusia secara fitrahnya dijadikan Allah SWT dalam kelompok yang berbeza budaya, warna kulit dan bahasa.

Kepelbagaian itu perlu diterima serta sebagai satu ketetapan. Kepelbagaian dan perbezaan itu juga wujud supaya manusia saling mengenali, memahami, membantu dan berkasih sayang demi mencapai kedamaian dan kemakmuran hidup bersama.

Itu antara tujuan utama Allah SWT mencipta manusia seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Islam tidak menganjurkan kepada pengasingan kelompok dan konflik, apatah lagi mencetuskan kebencian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu. (Surah an-Nisaa’, ayat 1)

Salah satu dasar Islam dalam hubungan etnik adalah adil. Ia seperti digariskan Dr Mohammd Nidzam Abdul Kadir (2017) dalam buku terbitannya berjudul Fiqah Hubungan Etnik.

Perkara itu juga dinyatakan sebelumnya oleh Prof Madya Dr Nazri Muslim dan rakan-rakan dalam artikelnya bertajuk Hubungan Etnik Di Malaysia dari Perspektif Islam yang diterbitkan dalam Jurnal Kajian Malaysia (2011).

Adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul manakala lawannya adalah zalim.

Melaksanakan keadilan bermakna menutup kezaliman.

Keadilan dalam Islam bersifat Rabbani. Ia bukti manusia menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Implikasi keadilan bukan hanya berakhir di dunia tetapi turut dinilai dalam bentuk dosa dan pahala di akhirat kelak.

Dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)

Keadilan mesti dilaksanakan secara jujur. Keadilan Islam juga bersifat sejagat dan mutlak yang memberi jaminan serta keselamatan kepada akal, diri, harta benda, agama dan keturunan manusia.

Mohon supaya Allah penuhi impian

Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya selain Dialah Allah sendiri dan Dia mengetahui apapun yang ada di daratan dan Dia mengetahui apapun yang ada di lautan dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dialah Allah mengetahuinya pula, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada satu pun yang basah dan tak ada satu pun yang kering melainkan semua tertulis di luh mahfuz, kitab yang nyata.” (Surah al-An’am, ayat 59)

Dalam kehidupan ini, setiap orang mempunyai keinginan. Ada orang inginkan jodoh yang baik, kejayaan dalam kerjaya dan juga perniagaan.

Ada juga mengharapkan dikurniakan kesembuhan daripada penyakit dan keluar daripada masalah kewangan.

Walaupun setiap orang berusaha mencapai keinginan dalam hidup, tidak semua berjaya mencapai keinginannya.

Ada orang selepas banyak kali berusaha barulah berjaya memperoleh keinginan yang mereka mahukan.

Perhatikan sejarah usahawan hebat yang banyak memberi sumbangan besar kepada kehidupan manusia sejagat.

Kebanyakan mereka tidak berjaya pada percubaan awal. Hanya selepas banyak kali mencuba, barulah kejayaan menjelma.

Apabila belum mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, bersangka baiklah kepada Allah.

Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik untuk diri kita. Akal manusia terhad untuk ‘membaca’ masa hadapan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Ramai orang kecewa apabila cinta berakhir separuh jalan. Ramai juga orang kecewa kerana mereka tidak bertemu dengan cinta sejati.

Apa yang kita tidak tahu, banyak kemungkinan buruk boleh berlaku. Boleh jadi jika bertemu jodoh, jiwa kita menderita, menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau suami mengabaikan nafkah terhadap isteri.

Boleh jadi Allah SWT menangguhkan hajat kita untuk mendengar lebih banyak rintihan dan doa.

Dia ingin kita meneliti kesempurnaan ibadat. Banyakkan lagi solat hajat, solat tahajud serta perbaiki setiap aspek keperibadian kita.

Barangkali Allah menangguhkan hajat kita kerana ia hanya membawa kebaikan di dunia tetapi kecelakaan di akhirat.

Penulis pernah berjumpa dengan seorang rakyat Malaysia bekerja di negara jiran yang bergaji lumayan.

Malangnya, dia bekerja sebagai pencuci pinggan yang bergelumang dengan daging khinzir.

Sehubungan itu, apabila hajat belum kesampaian, usah berputus asa.

Mohon pada Allah ditunjukkan jalan yang benar untuk mencapainya.

Yakinlah Allah menangguhkan hajat kita untuk Dia berikan perkara yang lebih baik.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan demi sesungguhnya, Kami perintahkan orang-orang yang diberi kitab dahulu daripada kamu dan juga (perintahkan) kamu iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah dan jika kamu kufur ingkar, maka sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah an-Nisaa’, ayat 131)

5 ciri penghuni syurga

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT menciptakan peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini sebagai ujian. Lalu diberikan banyak ujian kesenangan berbanding kesempitan.

Bagaikan banyak  cuaca terang  berbanding cuaca buruk bersama ribut petir.

Ribut petir tidak memanah kita setiap hari, begitulah ujian yang berat tidak menjengah kehidupan kita setiap masa.

Sesekali ujian berat menghimpit dan ia  tidak sesuai dengan keinginan kita, Allah SWT mahu kita tidak terlalu rasa cinta kepada dunia yang penuh cacat cela ini.

Di hujung nyawa, kita semua mengimpikan diseru sebagai jiwa yang tenang.  Dipanggil pulang ke rahmat dan kasih sayang Allah dalam keadaan reda dan diredai. 

Diiktiraf sebagai hamba-Nya dan dijemput masuk ke dalam syurga-Nya. Impian itu Allah SWT gambarkan kepada kita dalam Surah al-Fajr.

Demi mendapat kebaikan itu, ada ciri-ciri yang perlu kita lengkapkan dalam diri supaya dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid.

  1. Selalu bersandar harapan kepada Yang Maha Memelihara

Allah SWT menguji kita sehingga tiba pada satu tahap, kita berasa jalan sudah buntu. Pada saat itu, tunjukkan kepada Allah SWT kita sentiasa berdoa dan berusaha, bukan berputus asa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Ibn Kathir berkata:  “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

2. Selalu memohon pertolongan daripada Yang Maha Menolong

Apabila dihimpit masalah, kita berusaha mencari penyelesaian dengan pelbagai cara. Sehebat mana pun tip menyelesaikan masalah ditemui, tanpa sabar dan solat pada kedudukan teratas, ia tidak akan berkesan.

Dalam solat, kita berikrar berkali-kali Allah  yang kita sembah dan Dialah tempat kita memohon pertolongan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

3. Selalu memujuk jiwa agar tetap kuat

Apapun yang Allah SWT hadirkan dalam hidup kita adalah satu bentuk ujian iman. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap
apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (bersungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali Imran, ayat  139)

4. Berkongsi masalah dengan orang bertakwa, beriadah, berfikiran positif

Selepas  mengadu kepada Allah SWT, ringankan  beban di jiwa dengan berkongsi masalah dengan insan bertakwa lagi boleh dipercayai.

Niat  mesti  bersih untuk mencari solusi. Seandainya insan yang ditemui tidak mampu memberi solusi sekalipun, sekurang-kurangnya dia meredakan tekanan dalam jiwa.

Selain itu, beriadah juga terbukti membantu meredakan tekanan. Cari  masa memberi hak riadah kepada badan.

Fikiran yang tegang lebih mudah kembali positif. Arahkan fikiran itu kepada hal positif, misalnya memikirkan masalah umat Islam di Palestin lebih besar berbanding sekelumit ujian sedang kita hadapi.

5. Tawakal

Umpama tawakal penumpang saat mereka menyerahkan urusan keselamatan kepada kepakaran juruterbang dan petugasnya saat pesawat berlepas.

Begitu juga seharusnya kita menyerahkan urusan kehidupan kepada kepakaran Allah SWT tanpa ragu dan bimbang.

Musibah latih sifat mahmudah

Siti Nur Baiin Che Harun

“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat.”  (Hadis Riwayat Bukhari)

“Wahai bumi, telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu.” (Surah Hud ayat 44)

“Wahai Tuhanku! Turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah musnahkan kami. Ya Allah! Engkau turunkanlah ia di atas gunung-gunang dan bukit-bukau, di lembah-lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok (pepohonan).”  (Hadis  Riwayat Bukhari dan Muslim)

Meniti hari kembara di awal 2021 ini, di saat dunia masih belum reda dengan diuji pandemik Covid-19, siapa sangka kita diuji pula dengan bah besar terutama di Pahang, Johor dan Kelantan. 

Baru-baru ini kita digemparkan dengan berita di dada akhbar dan media lain, ramai di kalangan perantau kita tersekat dengan banjir di pertengahan perjalanan. Terlalu banyak korban harta dan nyawa di timpa musibah banjir. Ia sungguh tragis. Di saat inilah, kita sebenarnya bukan diuji oleh Allah SWT semata-mata, tetapi kita diseru untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada sebalik apa yang berlaku.

 “Allah uji sebab Allah sayang.” Ucapan ini seringkali diucapkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew. Ujian bukan sahaja berbentuk musibah. Namun, ujian juga boleh didatangkan dalam bentuk kesenangan. Kita yang bersenang lenang juga sebenarnya diuji untuk tampil membantu meringankan beban atau sekadar melihatnya sahaja. Ujian Allah ini sebenarnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menguatkan kita, membersihkan amalan supaya kita dapat melihat sekali gus merasai sendiri hikmah dan kasih sayang Allah SWT di sebalik apa yang berlaku. 

Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” (Hadis  Riwayat al-Bukhari)

Di sebalik ujian inilah sebenarnya kita mendidik diri dengan sifat mahmudah dan ketinggian insan yang Allah sangat menyukainya. “Sesungguhnya Allah SWT menyukai perkara (akhlak-akhlak) yang tinggi dan mulia dan Allah SWT membenci perkara (akhlak-akhlak) yang keji.” (Riwayat Al-Thabarani)

Terdapat banyak sifat mahmudah yang dapat diperoleh daripada ujian ini. 

Latih diri untuk berdoa dan bertaubat

Nu’man Ibn Basyir meriwayatkan daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Doa itu adalah ibadah.” Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah, nescaya Aku perkenankan untukmu.”  (Surah Al-Ghafir: 60) 

Tanpa disedari, berdoa ketika ditimpa musibah sebenarnya mewujudkan rasa keikhlasan yang lebih mendalam kerana di saat itulah kita bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam berdoa dan berkomunikasi dengan Allah SWT Yang Maha Mendengar (Al-Sami’), Yang Maha Memberi Kesejahteraan (Al-Salam) dan Yang Maha Pengampun (Al- Ghaffar). Kita memohon untuk dijauhkan daripada malapetaka dan sebarang bahaya kerana kita benar-benar takut dalam keadaan ditimpa kecemasan dan musibah. 

Almarhum Datuk  Ismail Kamus dalam kitab Indahnya Hidup Bersyariat ada berpesan bahawa syarat berdoa dikabulkan adalah daripada orang yang berdoa dengan penuh harapan selain kita mengetahui isi dan makna doa itu. Kita juga mula bertaubat kerana banyak melakukan dosa besar sehingga Allah menurunkan bala ke atas semua makhluk-Nya. “Sesiapa yang selalu memohon ampun (beristighfar), Allah akan menjadikan setiap kegelisahan penyelesaian baginya dan setiap kesempitan, jalan keluar dan mengurniakan rezeki (daripada sumber) yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn ‘Abbas)

Muhasabah dan mahabbah

Tanpa disedari kita mula bermuhasabah apabila melihat kesusahan orang di sekeliling yang diuji dengan musibah banjir. “Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sisimu ketika susah dan senang. Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu.” (Hadis Riwayat Saiyyidina Ali)

Ketika suasana hiba datang menerpa, kelihatan ramai sukarelawan, agensi mahupun orang perseorangan mula turun padang menghulurkan pelbagai bantuan. KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut mencemar duli dan berkenan memberi bantuan di kawasan yang terjejas. Inilah yang dikatakan syariat dalam bermasyakat. Berkasih sayang dalam memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang ditimpa kesusahan dengan memberi bantuan dan pertolongan dalam pelbagai bentuk sekali gus memupuk dan melahirkan ihsan. Ini dapat mewujudkan nilai mahabbah sesama manusia walaupun tiada pertalian darah. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan beriman seseorang di kalangan kamu (secara sempurna) sehinggalah dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari) 

Sabar dan syukur

Allah berfiman: “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama orang-rang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah ayat 153)

Sifat sabar diulang 90 kali di dalam al-Quran. Betapa Allah mengangkat darjat ketinggian orang yang sabar. Bersabarlah di atas ujian yang dihadapi. Kerana kita tahu di sebalik ujian ini banyak hikmah yang boleh kita ambil iktibarnya dan ilmu kita sangatlah terhad. Orang yang sabar mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah SWT. Dan sifat Allah itu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Kita sekadar tahu membuat andaian daripada kedangkalan pengetahuan kita sahaja dan Allah SWT Yang Maha Mengetahui (Al-Alim). 

“Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah ayat 216) 

Bersyukurlah kerana kita insan terpilih yang diberi ujian supaya kita tidak lupa siapa kita. Allah tidak menguji kita dengan sia-sia. Allah menjanjikan kurniaan dan ganjaran bagi orang yang sabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…iaitu orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal.” (Surah An-Nahl ayat 42)

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh  (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya. (Surah Al-Ankabut ayat 58-59)

Reda dengan qada’ Allah SWT

Segala ujian atau ketentuan daripada Allah perlu diterima dengan syukur dan sabar. Ada hikmah di sebalik ujian. Sesungguhnya Allah Yang Maha Perancang dan Maha Menjadikan (Al-Baari’). Tidak perlu ada rasa penyesalan atau keluh kesah dengan apa yang berlaku. Ini antara amalan untuk mencapai maqam atau tingkatan iman. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah telah reda akan mereka dan mereka pula reda dengan Allah, itulah sifat orang yang takut akan Tuhannya.” (Surah Al-Bayyinah ayat 8)

Semoga dengan ujian ini kita dapat mendidik dan membersihkan jiwa dan amalan harian kita. Berilah kata semangat dan ucapan yang baik kepada mereka yang diuji kerana Sayyidina Ali bin Abi Tholib berpesan: “Lihatlah apa yang dikatakan jangan melihat siapa yang mengatakan.”

Didoakan mangsa banjir dikurniakan kesabaran dan keredaan menghadapi ujian besar ini kerana ujian dan musibah ini adalah tarbiyah daripada Allah untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Semoga Allah menggantikan yang lebih baik dan dipermudahkan segala urusan. 

Beza antara mukjizat dan sihir

Mukjizat ialah pekara yang menyalahi adat yang berlaku pada seorang yang menjadi rasul, yang mufakat dengan yang sebenar serta tidak dapat ditentang atau dilawan

Karamat ialah pekara yang menyalahi adat yang berlaku pada seorang wali dan orang soleh.

Maunah ialah pekara yang menyalahi adat yang berlaku pada bukan wali di kalangan orang mukmin.

 Ihanah ialah pekara menyalahi adat pada seorang yang mengaku nabi atau wali tetapi berlawanan dengan apa yang dia kehendaki. Seperti pekara yang berlaku pada Musailamatul-kazzab yang mengaku nabi, bahawa dia telah meludah kedalam telaga yang masin airnya dengen tujuan menjadikan tawar air itu tetapi apa yang terjadi sebaliknya iaitu air itu bertambah masin.

Istidraj (permuan) ialah pekara yang menyalahi adat yang berlaku pada orang kafir atau fasik.

Sihir ialah suatu yang nampak seperti pekara yang mencarik adat tetapi ianya adalah khayalan. Mempelajari sihir adalah diharamkan pada sekalian orang islam melainkan kadi, supaya dia dapat membeza sihir yang membunuh dan sihir yang tidak membunuh.