• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,205,009 orang
  • Tetamu Online

Mohon supaya Allah penuhi impian

Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya selain Dialah Allah sendiri dan Dia mengetahui apapun yang ada di daratan dan Dia mengetahui apapun yang ada di lautan dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dialah Allah mengetahuinya pula, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ada satu pun yang basah dan tak ada satu pun yang kering melainkan semua tertulis di luh mahfuz, kitab yang nyata.” (Surah al-An’am, ayat 59)

Dalam kehidupan ini, setiap orang mempunyai keinginan. Ada orang inginkan jodoh yang baik, kejayaan dalam kerjaya dan juga perniagaan.

Ada juga mengharapkan dikurniakan kesembuhan daripada penyakit dan keluar daripada masalah kewangan.

Walaupun setiap orang berusaha mencapai keinginan dalam hidup, tidak semua berjaya mencapai keinginannya.

Ada orang selepas banyak kali berusaha barulah berjaya memperoleh keinginan yang mereka mahukan.

Perhatikan sejarah usahawan hebat yang banyak memberi sumbangan besar kepada kehidupan manusia sejagat.

Kebanyakan mereka tidak berjaya pada percubaan awal. Hanya selepas banyak kali mencuba, barulah kejayaan menjelma.

Apabila belum mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup, bersangka baiklah kepada Allah.

Dia Maha Mengetahui perkara yang terbaik untuk diri kita. Akal manusia terhad untuk ‘membaca’ masa hadapan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-A’raf, ayat 56)

Ramai orang kecewa apabila cinta berakhir separuh jalan. Ramai juga orang kecewa kerana mereka tidak bertemu dengan cinta sejati.

Apa yang kita tidak tahu, banyak kemungkinan buruk boleh berlaku. Boleh jadi jika bertemu jodoh, jiwa kita menderita, menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau suami mengabaikan nafkah terhadap isteri.

Boleh jadi Allah SWT menangguhkan hajat kita untuk mendengar lebih banyak rintihan dan doa.

Dia ingin kita meneliti kesempurnaan ibadat. Banyakkan lagi solat hajat, solat tahajud serta perbaiki setiap aspek keperibadian kita.

Barangkali Allah menangguhkan hajat kita kerana ia hanya membawa kebaikan di dunia tetapi kecelakaan di akhirat.

Penulis pernah berjumpa dengan seorang rakyat Malaysia bekerja di negara jiran yang bergaji lumayan.

Malangnya, dia bekerja sebagai pencuci pinggan yang bergelumang dengan daging khinzir.

Sehubungan itu, apabila hajat belum kesampaian, usah berputus asa.

Mohon pada Allah ditunjukkan jalan yang benar untuk mencapainya.

Yakinlah Allah menangguhkan hajat kita untuk Dia berikan perkara yang lebih baik.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan demi sesungguhnya, Kami perintahkan orang-orang yang diberi kitab dahulu daripada kamu dan juga (perintahkan) kamu iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah dan jika kamu kufur ingkar, maka sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah an-Nisaa’, ayat 131)

5 ciri penghuni syurga

Fatimah Syarha Mohd Noordin

Allah SWT menciptakan peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini sebagai ujian. Lalu diberikan banyak ujian kesenangan berbanding kesempitan.

Bagaikan banyak  cuaca terang  berbanding cuaca buruk bersama ribut petir.

Ribut petir tidak memanah kita setiap hari, begitulah ujian yang berat tidak menjengah kehidupan kita setiap masa.

Sesekali ujian berat menghimpit dan ia  tidak sesuai dengan keinginan kita, Allah SWT mahu kita tidak terlalu rasa cinta kepada dunia yang penuh cacat cela ini.

Di hujung nyawa, kita semua mengimpikan diseru sebagai jiwa yang tenang.  Dipanggil pulang ke rahmat dan kasih sayang Allah dalam keadaan reda dan diredai. 

Diiktiraf sebagai hamba-Nya dan dijemput masuk ke dalam syurga-Nya. Impian itu Allah SWT gambarkan kepada kita dalam Surah al-Fajr.

Demi mendapat kebaikan itu, ada ciri-ciri yang perlu kita lengkapkan dalam diri supaya dicatat oleh Malaikat Raqib dan Atid.

  1. Selalu bersandar harapan kepada Yang Maha Memelihara

Allah SWT menguji kita sehingga tiba pada satu tahap, kita berasa jalan sudah buntu. Pada saat itu, tunjukkan kepada Allah SWT kita sentiasa berdoa dan berusaha, bukan berputus asa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq, ayat 2-3)

Ibn Kathir berkata:  “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31)

2. Selalu memohon pertolongan daripada Yang Maha Menolong

Apabila dihimpit masalah, kita berusaha mencari penyelesaian dengan pelbagai cara. Sehebat mana pun tip menyelesaikan masalah ditemui, tanpa sabar dan solat pada kedudukan teratas, ia tidak akan berkesan.

Dalam solat, kita berikrar berkali-kali Allah  yang kita sembah dan Dialah tempat kita memohon pertolongan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

3. Selalu memujuk jiwa agar tetap kuat

Apapun yang Allah SWT hadirkan dalam hidup kita adalah satu bentuk ujian iman. Allah SWT berfirman yang maksudnya:  “Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap
apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (bersungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali Imran, ayat  139)

4. Berkongsi masalah dengan orang bertakwa, beriadah, berfikiran positif

Selepas  mengadu kepada Allah SWT, ringankan  beban di jiwa dengan berkongsi masalah dengan insan bertakwa lagi boleh dipercayai.

Niat  mesti  bersih untuk mencari solusi. Seandainya insan yang ditemui tidak mampu memberi solusi sekalipun, sekurang-kurangnya dia meredakan tekanan dalam jiwa.

Selain itu, beriadah juga terbukti membantu meredakan tekanan. Cari  masa memberi hak riadah kepada badan.

Fikiran yang tegang lebih mudah kembali positif. Arahkan fikiran itu kepada hal positif, misalnya memikirkan masalah umat Islam di Palestin lebih besar berbanding sekelumit ujian sedang kita hadapi.

5. Tawakal

Umpama tawakal penumpang saat mereka menyerahkan urusan keselamatan kepada kepakaran juruterbang dan petugasnya saat pesawat berlepas.

Begitu juga seharusnya kita menyerahkan urusan kehidupan kepada kepakaran Allah SWT tanpa ragu dan bimbang.