• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,295,342 orang
  • Kandungan Blog

Hikmah sebalik solat

Mohd Rizal Azman Rifin

SOLAT adalah ibadat yang menduduki tempat tertinggi. Seandainya seseorang Muslim itu taat mendirikan solat fardu sebanyak lima kali dalam sehari bermakna dia seolah-olah menegakkan agamanya.

Apabila meninggalkan solat, ia umpama seseorang itu tidak mahu berusaha membina agamanya dengan sempurna. Terdapat tidak kurang 100 ayat dalam al-Quran membicarakan mengenai solat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang.”

Dalam satu lagi ayat, Allah SWT menegaskan yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan sentiasa berzikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15)

Solat mengandungi falsafah atau hikmah tersendiri yang perlu kita hayati. Sangat daif pemikiran jika ada yang menganggap solat mengganggu rutin tugasan seharian.

Ini kerana solat perlu ditafsirkan sebagai jalan petunjuk Allah SWT untuk membimbing manusia supaya sentiasa menghargai dan menepati masa. Itu adalah falsafah ulung dalam solat.

Cukup masa, setiap Muslim wajib menunaikan perintah Allah itu tanpa melengahkannya. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’ayat 103 yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya.”

Lihat kronologi perjalanan mendirikan solat yang bermula dengan solat Subuh, diikuti solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Apabila mendirikan solat di luar waktunya maka solatnya tidak sah.

Solat ada had sempadan masa yang ditetapkan. Dalam hal ini, jelas solat membimbing kita bagaimana menguruskan perjalanan waktu dengan sebaiknya.

Rasulullah SAW mengingatkan kita, ‘Solat pada awal waktu akan memperoleh keredaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan-Nya.’ (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)

Malah, Rasulullah SAW pernah ditanya sahabatnya berkenaan masa mendirikan solat. Lantas Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktunya.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi dan Abu Daud)

Menerusi ibadat solat, ia mengajar kita supaya bijak menguruskan masa. Sebarang kecuaian akan memberikan kesan buruk kepada catatan amal kita.

Selain itu, mendirikan solat juga memberi makna kita berusaha untuk menjadi mukmin yang berpegang kepada amanah dan menepati janji kepada Allah SWT.

Fahami dan hayati sepenuhnya janji ikrar kita setiap kali mendirikan solat menerusi bacaan ayat dalam doa iftitah yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

Doa iftitah itu sebenarnya terkandung dalam ayat 162 Surah Al-An’ am. Berdasarkan bacaan ikrar kita kepada Allah dalam doa iftitah itu, sewajarnya kita mampu memberikan pedoman supaya setiap kerja harian yang dibuat sentiasa berpijak kepada lunas agama dan tidak membiarkan diri terjebak dengan sebarang unsur yang bertentangan dengan agama.

Seandainya kita seorang bapa, maka ikrar janji dalam doa iftitah itu wajib dizahirkan dengan menunaikan amanah memelihara serta menjaga anak dengan sebaiknya termasuk memberikan mereka didikan agama serta beramal dengan akhlak yang mulia.

Bagi seorang pendidik pula, sekiranya dia cuai dan bersikap sambil lewa dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai pendidik, itu bermakna dia seorang yang tidak beramanah dan menepati janji kepada Allah sebagaimana setiap waktu solat dia membaca doa iftitah itu.

 Solat juga sepatutnya meninggalkan impak positif dalam mendidik kita sentiasa fokus terhadap tugasan harian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mukminun, ayat 1-2)

Jelas kepada kita, mendirikan solat itu bukan seperti melepaskan batok di tangga sahaja, sebaliknya Allah SWT arahkan kita khusyuk iaitu memberi sepenuh tumpuan terhadap ibadat solat.

Kita juga dilatih dan diajar mengenai ketelitian dalam melakukan sesuatu kerja. Kita cuba hayati bagaimana khusyuknya menantu Rasulullah SAW, Saidina Ali bin Abi Talib ketika mendirikan solat.

Dikisahkan dalam satu pertempuran, beliau dipanah dan anak panah musuh itu terkena pada tubuhnya. Anak panah itu cuba dicabut namun Saidina Ali berasa sangat sakit.

Kemudian ketika beliau sedang menunaikan solat sunat, sahabatnya sekali lagi cuba mencabut anak panah itu dan ternyata kali ini mereka berjaya. Ini kerana Saidina Ali langsung tidak menyedari sahabatnya sedang mencabut anak panah itu daripada tubuhnya.

Selesai solat, beliau bertanyakan sahabat jika tujuan mereka berhimpun itu untuk mencabut anak panah daripada tubuhnya.

Maka jawab sahabatnya: “Anak panah itu sudah berjaya kami keluarkan daripada tubuhmu ketika kamu sedang mendirikan solat.”

Riyak ‘makan’ pahala amal

Fadly Samsudin

Di neraka Jahanam, ada sebuah lembah dinamakan ‘al-Hazan’. Ia disediakan Allah SWT buat golongan pembaca al-Quran, namun bersikap riyak.

Seperti diriwayatkan dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu memohon perlindungan Allah daripada Jubb al-Huzn.”

Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu Jubb al-Huzn?” Nabi SAW menjawab: “Satu lembah di neraka Jahanam di mana neraka Jahanam turut memohon perlindungan Allah daripadanya setiap hari 400 kali.”

Rasulullah SAW ditanya lagi: “Siapkah yang bakal memasukinya?” Nabi SAW menjawab: “Ia disediakan Allah bagi pembaca al-Quran yang riyak dengan amalan-amalan mereka dan sesungguhnya mereka paling dimurkai Allah ialah yang mendatangi para pemerintah (iaitu pemerintah yang zalim dan dengan tujuan mencari hasil duniawi dengan menggadaikan ayat-ayat Allah).” (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Penyakit hati seperti riyak amat bahaya dan besar mudaratnya. Apabila wujud riyak dalam diri, maka sia-sia amalan yang dilakukan kerana ia akan terhapus dengan sendirinya.

Jelas kepada kita, orang yang beribadat juga tidak terlepas daripada hukuman jika amalan yang dilakukannya tidak ikhlas kerana Allah SWT serta timbul perasaan riyak.

Berdasarkan hadis itu, neraka Jahanam sendiri turut meminta perlindungan kerana busuk dan rosaknya lembah itu.

Selain itu, Nabi SAW mengingatkan umatnya supaya tidak memuji ibadat orang lain kerana ia begitu mudah membuka pintu riyak.

Ulama menyatakan, riyak boleh berlaku pada setiap saat walaupun ibadat yang dilakukan sudah bertahun-tahun lamanya.

Contohnya, seorang yang sudah melaksanakan ibadat haji beberapa tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, dia sedaya upaya mengawal supaya tidak timbul perasaan riyak dengan gelaran haji yang diterimanya serta kerja hajinya.

Mungkin ketika berada di Arafah, dengan penuh keikhlasan dia memohon keampunan kepada Allah SWT sehingga menangis sebagai tanda penyesalan.

Akhirnya, ada sahabat atau saudara yang baru pulang daripada mengerjakan haji datang ke rumah lau menceritakan pengalamannya.

Tidak semena-mena dan tanpa ditanya, dia pula menceritakan ‘kehebatan’ kisahnya yang pernah mengalirkan air mata ketika berdoa di sana.

Mungkin perkara seumpama itu dilihat seperti tiada kesalahannya namun pintu riyak ketika itu mula terbuka.

Bagi orang yang ibadatnya dilakukan semata-mata kerana Allah, apabila meninggal dunia, Allah SWT akan ‘membongkar’ segala amal ibadatnya untuk dijadikan pengajaran kepada manusia lain.

Sehubungan itu, bagi menghindari sifat riyak, kita perlu berusaha untuk  sentiasa takut dengan keemurkaan Allah SWT. Dengan itu, diri akan sentiasa berwaspada daripada melakukan perkara yang mengundang dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

Tanamkan dalam diri, sesuatu perkara yang dilakukan kerana inginkan penghargaan manusia tidak memberi sebarang makna. Apa guna kita dilihat hebat dan disanjung manusia, tetapi di akhirat kelak kita akan mendapat seksaan yang dahsyat.

Selain itu, berusahalah menghadirkan rasa keikhlasan dalam setiap amalan yang dilakukan. Tanda riyak mula wujud dalam diri apabila seseorang berasa suka dipuji dan mahukan setiap amal kebaikan itu mendapat penghargaan.

Cuba semampunya untuk merahsiakan setiap amalan kebaikan yang dilakukan seperti bersedekah, berzikir dan solat malam kecuali ibadat itu memang tidak boleh disorokkan seperti menunaikan solat berjemaah di masjid serta beramai-ramai menghadiri majlis ilmu.

Dalam satu hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sangat menyintai hamba-Nya yang bertakwa, berbesar hati iaitu orang kaya dan suka bersedekah dan suka merahsiakan ibadatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jangan pula ada yang memberi alasan tidak mahu pergi ke masjid untuk solat berjemaah, membaca al-Quran serta menghadiri majlis ilmu kerana bimbang akan dipanggil orang sebagai riyak.

Ada juga orang yang melakukan ibadat lantaran benar-benar ikhlas kerana Allah, namun perbuatannya itu mendapat perhatian orang lain. Keadaan itu tidaklah dikira sebagai riyak.

Ia berbalik semula kepada bagaimana hati kita ketika ‘ditawarkan’ perasaan riyak oleh bisikan syaitan, maka jangan sesekali kita layan dan membenarkannya berlaku.

Solat ibu segala ibadat

Sedetik Rasa

Dalam kaedah fiqh ada menyatakan kebaikan orang kafir akan terhalang kerana kekafirannya.

Sekiranya dia seorang dermawan yang pernah menyumbang sedekah jutaan ringgit untuk membina masjid sekalipun, dia tetap tidak akan memperoleh pahala kerana kekafirannya.

Bagi umat Islam, kebaikan mereka pula akan terhalang kerana tidak melaksanakan solat.

Walaupun sebanyak mana dia melakukan amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, puasa dan zakat dan sebagainya, semua ibadat itu akan ditolak oleh Allah SWT.

Jelas, solat dalam kehidupan setiap Muslim tersangat penting kerana ia adalah ibu kepada segala ibadat.

Apabila melaksanakan kewajipan bersolat, barulah seseorang memiliki ‘akaun simpanan’ untuk pahalanya.

Selepas meninggal dunia kelak, pahala itu dapat bertambah menerusi amalan berkekalan yang dilakukan di dunia seperti bersedekah serta anak-anak yang ditinggalkan sentiasa mendoakannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakaranya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Dalam ayat itu, Allah mengingatkan kepada golongan bapa supaya mengambil tanggungjawab bagi memastikan anak mereka tidak melakukan dosa kepada Allah SWT.

Apakah dosa paling besar dan paling banyak dilakukan manusia pada hari ini? Hampir setiap rumah umat Islam pasti ada ahlinya yang pernah meninggalkan solat.

Nabi SAW menyatakan, pemisah di antara Islam dan kafir adalah solat.

Jelas, meninggalkan solat itu adalah dosa besar apatah lagi sengaja meninggalkan dosa.

Yang meremehkan ibadat solat juga disebut munafik di dalam al-Quran. Tempat mereka adalah di neraka jahanam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang.” (Surah an-Nisaa, ayat 142)

Dalam ayat itu, orang munafik berusaha untuk menipu Allah SWT dengan cara antaranya, jika bersolat, dia bermalasan di mana secara fizikal menunaikan solat tetapi hakikatnya dia enggan melaksanakannya.

Orang munafik memang masih bersolat. Bagaimanapun, di akhirat kelak mereka dan orang kafir akan dihimpunkan semuanya di dalam neraka jahanam.

Rejab bulan persiapan rohani

Fahimi Zakaria

HARI ini kita sudah 12 hari berada dalam bulan Rejab. Sesungguhnya ketibaan bulan ini sebagai petanda betapa kita menghampiri bulan yang paling mulia iaitu Ramadan al-Mubarak. Seorang ahli salih bernama Abu Bakar al-Warraq RH berkata: “Rejab ialah bulan untuk bercucuk tanam, Syaaban pula ialah bulan untuk menyiram tanaman dan Ramadan pula bulan untuk memungut hasil.” Lataif al-Ma’arif

Rejab sebagai bulan bercucuk tanam iaitu persediaan dengan amal kebajikan dan ibadah sunat sebagai persiapan rohani untuk menghadapi kedatangan Ramadan yang lebih mencabar.

Rejab termasuk satu daripada empat bulan haram. Bulan haram bermaksud bulan yang mulia lagi dihormati. Menerusi pedoman al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang ditetapkan) di dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, daripadanya terdapat empat bulan yang haram. Itulah agama yang benar maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum musyrik seluruhnya seperti mereka memerangi kamu seluruhnya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa.” Surah at-Taubah ayat 36

Empat bulan haram itu adalah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setahun terdiri daripada 12 bulan dan daripadanya terdapat empat bulan yang haram. Tiga bulan yang mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam manakala yang keempat adalah Rejab Mudar terletak antara Jamadil Akhir serta Syaaban.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Perkataan Rejab disandarkan kepada ‘Mudar’ kerana ia merujuk kepada nama kabilah Arab yang sangat menjaga kemuliaan dan pengharaman Rejab berbanding bulan yang lain. Tafsir al-Quran al-Karim

Pada bulan ini, mereka akan menangguhkan peperangan, perjalanan dan perniagaan lantaran bulan ini perlu diberi fokus untuk membanyakkan amalan yang mulia.

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata, pengharaman (kemuliaan) bulan ini berlaku disebabkan perselisihan masyarakat Arab dalam penentuan waktu peperangan. Apabila mereka ingin menangguhkan peperangan maka mereka akan mengharamkan bulan berkenaan sebagai tanda penghormatan. Fath al-Bari

Imam Ibn Kathir RH menukilkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa setiap amal kebajikan yang dilakukan pada bulan ini lebih besar pahala berbanding bulan lain begitu juga kemungkaran yang dilakukan akan mengundang dosa lebih besar berbanding bulan lain. Tafsir Ibn Kathir

Rejab ialah bulan yang mulia dan suci. Selain itu, terdapat juga maksud lain bagi Rejab iaitu kebesaran, rahmat, pemurah, kebajikan dan kerohanian. Al-Mu’jam al-Wasit

Maksud yang dinyatakan ini menunjukkan kedudukan Rejab sebagai bulan yang mengandungi kelebihan besar bagi hamba Allah SWT yang menghidupkannya dengan amal kebajikan seperti mendirikan solat sunat, berpuasa, membaca al-Quran, sedekah dan banyakkan zikir serta istighfar. Oleh itu sejarawan Islam mengatakan antara nama Rejab ialah al-Shahr al-Haram iaitu bulan yang haram kerana pengharaman peperangan padanya untuk memuliakan bulan berkenaan.

Semua bulan Islam mempunyai sejarah dan latar belakang yang sarat dengan hikmah dan pengajaran buat orang yang beriman. Al-Quran dan hadis banyak membawa sejarah kehidupan manusia termasuk bulan Islam yang menjadi asas panduan mereka untuk menjalani kehidupan harian seperti berniaga, bermusafir, beribadah sehinggalah dalam urusan peperangan. Umat Islam perlu memahami sejarah Rejab ini supaya kedatangannya disambut dengan ilmu dan kefahaman yang sahih. Ini penting untuk mengelak daripada kefahaman yang salah dalam kalangan segelintir masyarakat Islam antaranya melakukan ibadat tertentu seperti solat sunat Rejab, mandi Rejab dan sebagainya yang disandarkan kepada Rejab. Hakikatnya bukan hal itu yang sepatutnya berlaku saban tahun, tetapi memuliakannya sesuai dengan kemuliaannya di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kesimpulannya, Rejab mempunyai kelebihan di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya berdasarkan surah at-Taubah ayat 36 dan hadis daripada Abi Bakrah RA yang menceritakan kemuliaan Rejab sebagai bulan yang haram. Selain itu, amal kebajikan yang dilakukan pada bulan ini digandakan pahala berbanding bulan lain sama seperti amal kejahatan juga digandakan dosa berbanding bulan lain.

Usah lupa zikir, doa

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Seseorang Muslim disunatkan untuk berzikir selepas solat. Iaitu setelah selesai mengucapkan salam. Ketentuan ini berdasarkan kepada beberapa dalil al-Quran dan disokong oleh hadis sahih. Terdapat beberapa zikir khusus selepas solat Subuh dan Maghrib antaranya: 

Zikir yang pertama diucapkan setelah selesainya solat adalah istighfar (meminta keampunan dari Allah). Ketentuan ini berdasarkan kepada hadis Tsauban RA. Beliau mengatakan: “Apabila Rasulullah SAW selesai menunaikan solat, Baginda SAW mengucapkan istighfar sebanyak tiga kali. Lalu Baginda membaca: Allahumma anta as-salam wa minka as-Salam tabarakta ya zaljala li wal ikram. (Ya Allah Engkaulah sumber keamanan dan dariMu keamanan itu, engkaulah Tuhan yang maha mulia dan mempunyai ketinggian dan kemuliaan).” (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Zaid bin Harithah (orang suruhan Nabi SAW) berbunyi: “Sesiapa yang mengucapkan astaghfirullah hal ‘azim al-ladzi la ilah haillah huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih maka akan diampunkan dosanya meskipun dia lari dari medan perang.” (Riwayat Imam Ahmad)

Daripada Abu Dzar al-Ghifari dan Abd Rahman bin Ghannam meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca: La ilaha illah wahdahu la syarikalah. Lahu al-Mulk walahu al-Hamdu yuhyi wa yumit. Wa huwa ‘ala kulli syain Qadir… sambil duduk membengkokkan kakinya sebelum bangun pergi pada solat Maghrib dan Subuh sebanyak sepuluh kali maka setiap satu lafaz yang diucapkannya akan dicatatkan baginya sepuluh kebaikan, dihapus sepuluh dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat. Zikir itu juga menjadi perisai setiap bahaya bahkan menjadi penjaga daripada godaan syaitan yang terkutuk.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannnya)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Muadz RA bahawa Rasululllah SAW bersabda: “Aku mewasiatkan kepadamu wahai Muadz supaya tidak meninggalkan zikir ini selepas solat iaitu: Allahumma ‘ainni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ala ibadatika. Maksudnya: “Ya Allah bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuri limpah kurniaMu dan melaksanakan ibadah yang terbaik buatMu.” (Hadis diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni di dalam kitabnya ‘Amal al-Yaum Wa Lailah, al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali (semoga Allah meredhainya) berbunyi: “Apabila Rasulullah SAW selesai mengerjakan solat, Baginda mengucapkan salam lalu membaca (Allahummaghfirli ma qaddamtu wa ma akkhartu wa ma asrartu wa ma ‘alantu wa ma asraftu wa ma anta ‘alamu minni anta muwqaddimu wa anta muakhiru la ilaha illah anta). (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad,  Abu Daud,  al-Nisa’ie)

Diriwayatkan juga secara kuat daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda pernah mengucapkan setelah selesai solatnya dengan lafaz: Allahumma la mania’ lima a’thaita wa la mu’thia lima mana’ta. Wala yanfau’ Dza al-jaddi minka al-Jadda.  Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya tiada yang menegah apa yang engkau kurniakan. Dan tiada yang mampu memberi apa yang Dikau tegahkan. Dan tidak sesekali memberi manfaat kekayaan dan kemuliaan melainkan denganMu Ya Allah.” (Riwayat Ibn Hibban 372 juz 5 dengan lafaz di atas. Manakala doa adalah seperti yang termaktub di dalam Muslim)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari juz 2 mengatakan: “Berkenaan dengan zikir ini terdapat beberapa lafaz tambahan yang masyhur dibaca oleh kaum Muslimin. Iaitu wala raada lima qadhaita. Lafaz tambahan ini terdapat di dalam al-Musnad bin Humaid”. Bagi saya, isnad pada riwayat tersebut adalah sahih.

Selain berzikir, disunatkan juga bagi mereka yang selesai solat membaca ayat al-Kursi dan al-Ikhlas serta Muawwizatain (al-Nas dan al-Alaq). Hal ini berdasarkan kepada beberapa riwayat. Antaranya adalah: 

Diriwayatkan daripada al-Hasan bin Sayyidina Ali KWH bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardu maka dia berada di dalam jagaan Allah sehingga pelaksanaan solat fardu yang lain.” (diriwayatkan al-Bukhari m/s 325 juz 3, Muslim m/s 415 juz 1, Ibn Hibban di dalam Sahihnya m/s 373 juz 5 melalui sanad yang lain daripada Mughirah)

Diriwayatkan daripada Abi Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi selepas solat maka tidak ada yang menghalanginya daripada memasuki syurga kecuali kematiannya.” (Hadis riwayat al-Thabrani di dalam Mu’jam al-Kabir m/s 84 juz 3 no: 2733)

Diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir RA bahawa Rasulullah SAW menyuruhnya untuk membaca al-Muawwizatain (surah al-Falaq dan al-Nas) setiap kali selesai solat fardu.” (Riwayat al-Nisa’ie di dalam Amal al-Yaum Wa Lailah no: 100 dengan isnad yang hasan)

Imam al-Nawawi mengatakan di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab m/s 486 juz 3: “Maka sepatutnya bagi setiap orang (yang telah bersolat) membaca surah al-Ikhlas dan al-Muawwizatain.”

Hadis selanjutnya daripada Sayyidina Abi Hurairah RA berbunyi bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bertasbih (subhnallah) setiap kali selesai solat sebanyak 33 kali, bertahmid (al-Hamdulillah) sebanyak 33 kali dan bertahlil (la ilaha illalah) sebanyak 33 kali jumlahnya menjadi 99 kali dan dia mengakhirkannya dengan (la ilaha illallah wahdahu la syarikalah lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syai ‘in qadir). (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan yang maha Esa. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Hanya miliknya segala kekuasaan dan pujian. Dan Dialah Tuhan yang maha kuasa atas segala sesuatu) maka diampuni dosa-dosanya sekalipun sebanyak buih di laut.” (Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya m/s 418 juz 1)

Disunatkan juga berdoa setelah membaca wirid ataupun zikir yang disebutkan. Ini kerana doa yang dipohon setelah menunaikan solat fardu itu terlebih mudah untuk diperkenankan. Sayyidina Umamah RA mengatakan: “Doa apakah yang paling didengari oleh Allah”? Baginda menjawab: “Doa pada pertengahan malam yang akhir dan selepas dari solat fardu.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam sunannya m/s 527 juz 5 no :3499 dan hadis ini adalah sahih)

Dan disunatkan dalam doa-doa tersebut membaca selawat ke atas junjungan Nabi kita Sayyidina Muhammad SAW. Dan yang terbaiknya adalah di awal dan di akhir doa. Hal ini berdasarkan kepada hadis Baginda yang berbunyi: “Setiap doa tertutup dari perkenan Allah sehingga seseorang itu mengucapkan selawat ke atas Muhammad SAW dan kaum keluarga Muhammad SAW.” (Riwayat al-Tirmidzi m/s 356 juz 2 daripada Sayyidina Umar secara mauquf)

Sayyidina Anas meriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menghampiri orang Arab Badwi sedang berdoa di dalam solatnya yang melafazkan doa dengan memuji Allah SWT. Lalu Baginda SAW menghadiahkan lelaki berkenaan dengan emas….” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani di dalam al-Ausath. Ia juga ditashih oleh al-Damiri di dalam kitabnya Hayat al-Hayawan m/s 95 juz 2)

Kesimpulannya, dalil-dalil di atas mengandungi pensyariatan yang sangat jelas mengenai kesunahan untuk melafazkan wirid, zikir dan membaca selawat kepada Nabi SAW yang amat dikasihi Allah. Amalan seperti ini dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dalam mengikut petunjuk al-Quran dan al-sunah. 

Ketika Baginda melihat ada orang yang memuji dan menyanjung Allah SWT serta berdoa kepada-Nya dengan doa rekaannya yang tersendiri ternyata Baginda tidak mencelanya (membidasnya). Bahkan turut memberinya hadiah. Situasi ini membuktikan perakuan Rasulullah SAW atas kesolehan seseorang yang telah memuji dan menyanjung Allah SWT. Semoga kita terdiri daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Jom jadi hamba dikasihi-Nya

Mohd Shahrizal Nasir

Cuba kita bayangkan betapa ramai manusia yang Allah SWT ciptakan di atas muka bumi ini. Bukan sahaja jumlah yang berada di dunia sekarang ini, tetapi sejak manusia diciptakan dan menjadi penghuni alam. Semuanya tanpa terkecuali akan dihitung amalan masing-masing serta dikurniakan nikmat syurga bagi yang beriman dan diberi azab neraka bagi yang kufur. Kehidupan di dunia adalah tempat untuk manusia mencari keredaan Allah SWT dengan beriman kepada-Nya dan melaksanakan amal kebaikan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Untuk mencapai kebahagiaan kehidupan di akhirat, peluang berada di dunia perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tidak ada istilah tunggu masa tua baru ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana kita tidak tahu tentang pengakhiran kehidupan di dunia ini. Apa yang boleh dilakukan ialah sentiasa bersedia menghadapi kematian dan menggandakan amalan.

Syurga Allah SWT sangat luas dan ia terbuka untuk sesiapa sahaja menjadi penghuninya asalkan seseorang insan patuh terhadap ketetapan Allah SWT. Keluasan syurga telah dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133)

Meskipun semua orang ingin merasai nikmat syurga, hakikatnya tidak semua orang menunjukkan minat untuk mendapatkannya. Buktinya masih ramai yang tidak akur dengan ketetapan Allah SWT sepertimana yang termaktub dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Hal ini sehinggakan Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran perihal manusia yang bilangannya sedikit sahaja berusaha untuk menjadi golongan yang dikasihi-Nya. Contohnya manusia diperintahkan agar mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada mereka. Manusia dikurniakan terlalu banyak nikmat kehidupan termasuk nikmat mendengar dan melihat.

Dengan kurniaan pendengaran dan penglihatan, manusia sebenarnya dapat menyaksikan keagungan Allah SWT serta boleh meraih ganjaran pahala sekiranya mereka mendengar dan melihat perkara baik. Namun, meskipun sedar bahawa diri dikurniakan nikmat oleh Allah SWT, hanya sedikit yang mensyukurinya. Pendek kata, tidak ramai daripada kalangan manusia yang mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT berdasarkan firman-Nya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit daripada kamu bersyukur.” (Surah al-Mulk, ayat 23)

Betapa ramai orang yang sebenarnya dapat membezakan antara perkara yang baik dengan buruk. Fitrah manusia dapat merasai perbezaan perkara yang makruf dengan mungkar. Ini kerana mereka dikurniakan akal fikiran untuk membezakannya serta panduan daripada al-Quran dan sunah. Namun hanya sedikit yang mampu beringat dan menginsafi hakikat ini. Meskipun manusia tahu bahawa kemungkaran akan membinasakan mereka, tetapi tetap tewas dengan godaan nafsu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat daripada kamu beringat dan insaf.” (Surah Ghafir, ayat 58)

Terlalu banyak peringatan yang dinyatakan dalam al-Quran yang semuanya sebagai panduan untuk kebaikan hidup manusia. Namun sedikit sahaja yang mengambil peringatan. Firman Allah SWT bermaksud: “(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut para pemimpin yang lain daripada Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit daripada kamu mengambil peringatan.” (Surah al-A’raf, ayat 3)

Golongan yang tidak menerima perintah agar mentauhidkan Allah SWT juga ramai. Dengan kata lain, hanya sedikit yang beriman kepada-Nya jika dibandingkan dengan manusia seluruhnya. Hal ini perlu diinsafi oleh setiap umat Islam yang terpilih untuk menjadi hamba Allah SWT dengan mengakui keesaan-Nya. Justeru, usah persiakan nikmat iman yang telah dikecapi, sebaliknya perlu memperbanyakkan syukur dengan melaksanakan amalan yang dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan perihal sedikitnya manusia daripada kalangan Yahudi yang beriman menerusi firman-Nya bermaksud: “Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam).” (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknat mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 88)

Dalam banyak ayat al-Quran, Allah SWT menjelaskan betapa ramai orang yang tidak mengetahui. Sekali lagi, penjelasan ini membawa maksud sedikit sahaja daripada kalangan manusia yang mengetahui hakikat kebenaran. Maka beruntunglah jika kita termasuk dalam kalangan orang yang sedikit tersebut. Firman Allah SWT bermaksud: “Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yunus, ayat 55)

Firman Allah SWT lagi tentang kebanyakan orang yang tidak mengetahui, manakala hanya sedikit yang sebaliknya. “Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh (sambil berkata): “Allah tidak akan membangkitkan semula orang yang telah mati.” (Itu tidak benar), bahkan janji Allah membangkitkan orang yang telah mati) tetap benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 38)

Begitu juga firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “…Itulah agama yang betul lurus (Islam), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum, ayat 30)

Banyak lagi ayat Allah SWT dalam al-Quran yang menunjukkan tidak ramai manusia yang termasuk dalam golongan yang dikasihi-Nya. Sama ada Allah SWT secara jelas menyatakan bahawa golongan tersebut adalah sedikit ataupun Allah SWT menyatakan golongan yang tidak berada pada jalan-Nya itu dalam kuantiti yang ramai atau kebanyakan manusia.

Marilah kita menginsafi hakikat ini dan berdoa agar kita termasuk dalam kalangan hamba Allah SWT yang dinyatakan sebagai sedikit berada pada jalan yang benar. Malah Rasulullah SAW sendiri pernah memberi penjelasan tentang kelompok umatnya yang akan berpecah dengan hanya satu berada pada jalan kebenaran. Bukankah satu kelompok ini termasuk dalam kategori sedikit?

“Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan atau kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja.” Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka?” Nabi SAW menjawab: “Apa yang aku berada di atasnya dan juga para sahabatku (golongan yang mengikut ajaran Rasulullah SAW).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kuasa hebat seorang ibu

Dr Hazlina Abdullah

Firman Allah SWT: “Kepada malaikat diperintahkan, kumpulkanlah orang yang zalim beserta teman mereka dan sembah-sembahan yang selalu disembah mereka selain Allah. Maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka. Dan tahanlah mereka di tempat perhentian kerana sesungguhnya mereka akan ditanya tentang tanggungjawabnya.”  (Surah As-Shaffat: 22-24)

Sesungguhnya ayat ini menjelaskan pada hari akhirat kelak setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka selama di dunia ini.

Tanggungjawab atau dalam bahasa Arab dipanggil mas’uliyyah adalah perbuatan seseorang yang sanggup menanggung apa yang diungkapkan, dijanjikan dan ia mesti ditunaikan. Sikap tanggungjawab ini tentunya sangat penting bagi kehidupan di dunia, sama ada dalam hal berkaitan ibadah ataupun hubungan sosial. Tanpa adanya rasa bertanggungjawab maka kehidupan manusiawi ini tiada ketenangan.

Sebagai contohnya, sebelum ini frasa Bekerja Dari Rumah (BDR) amat janggal bagi kita kecuali hanya bagi kerjaya tertentu sahaja. Namun, dengan suasana pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia, perkara ini menjadi suatu kebiasaan atau lumrah dalam hampir semua bidang pekerjaan.

Ramai di antara kita terutama ibu yang sebelum ini dapat melakukan rutin hariannya dengan baik dalam kerjaya. Ia telah pun sebati dengan kehidupan masing-masing – pergi dan balik mengikut waktu pejabat, menghantar dan menjemput anak-anak di pusat asuhan atau taska, urusan makan malam serta masa beribadah dan berehat bersama keluarga usai urusan seharian.

Namun begitu, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sekali lagi, kita kini berada di rumah dan perlu meneruskan tugasan secara norma baharu. Bermulalah suatu lembaran baru dalam kehidupan kita apabila segalanya perlu dilakukan pada masa sama. Ia kedengaran seperti sesuatu yang menyeronokkan kerana kita tidak perlu tergesa-gesa menempuh kesesakan lalu lintas. Namun, bagi kebanyakan orang terutama seorang ibu yang perlu memainkan pelbagai peranan, ia turut mengundang cabaran yang tersendiri. Firman Allah SWT: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 216) 

Ramai di antara kita dididik untuk melaksanakan sesuatu yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Abdullah bin Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah: Kamu semua adalah  pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang dipimpin.  Pemimpin  akan dipertanggungjawabkan tentang rakyat yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Kita turut terbiasa dengan disiplin serta ketepatan waktu. Dengan tempoh waktu PKP yang juga bermaksud keberadaan anak-anak di rumah sepenuhnya menjalani pembelajaran dalam talian agak mencabar kerana ibu yang berkerjaya terpaksa menyusun masa dengan mengambil kira semua ahli keluarga. Selain itu, bagi yang mempunyai anak kecil, pada kebanyakan masa, tingkah laku mereka sukar dan tidak dapat diramal meskipun kita cuba menyediakan jadual supaya lebih tersusun.

Dalam menghadapi situasi sebegini, kita kadang kala berasa tertekan dan sentiasa mempunyai dilema yang sukar dijelaskan kepada ahli keluarga. Keinginan untuk segera melaksanakan segala tuntutan kerjaya, perihal anak-anak di pelbagai peringkat umur, tidak ketinggalan juga urusan seharian di rumah. Segalanya menuntut perhatian, masa dan tenaga yang akhirnya menimbulkan stres dalam diri kita. 

Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah bertenang, berhenti seketika dan berfikir. Apakah sebenarnya punca perkara ini berlaku?

Pertama, kadang kala kita tidak boleh keterlaluan dalam sesuatu perkara. Islam turut mengajar konsep wasatiyyah atau kesederhanaan. Apakah yang dimaksudkan dengan kesederhanaan? Menurut Prof Dr Yusof al-Qardhawi, Islam mengutamakan ciri pertengahan atau imbang (al-tawazun) antara dua hal yang bertentangan seperti keperluan rohani-jasmani, individu-masyarakat, antara yang ideal-realiti. 

Seorang ulama terkenal, Hamka juga menggariskan kesederhanaan sebagai salah satu syarat utama untuk mencapai kebahagiaan hidup, kecuali dalam urusan beribadat dan menuntut ilmu yang dikecualikan dalam tuntutan bersederhana ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan berkualiti jika mengikut ajaran Islam secara patuh, seimbang, tidak keterlaluan atau terlalu kurang (taqsir).

Keduanya, kita harus menyedari tentang betapa besarnya doa seorang ibu. Oleh itu, jangan diperkecilkan segala niat dan tindakan seorang ibu terhadap anak-anak permata hati kita. Masa, perhatian dan tenaga yang diperuntukkan untuk keluarga dan anak-anak bukanlah sia-sia, sebaliknya semua itu dapat mewujudkan sebuah institusi kekeluargaan yang kukuh serta sihat mental dan fizikal. 

Dalam sebuah buku The power of Ummi hasil tulisan Misbah Em Majidy, dijelaskan kedudukan seorang ibu dalam Islam adalah sangat mulia dan luhur. Ucapan dan doa yang baik daripada seorang ibu mampu melahirkan kebahagiaan hidup, bahkan ia juga dapat mengakibatkan petaka sekiranya doa yang sebaliknya diniatkan jauh di sudut hati. Sering kali kita diingatkan dengan kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA tentang soalan daripada seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai utusan Allah, siapa di antara kaum keluargaku yang paling berhak atas laku kebaikanku?” Rasulullah meyatakan ‘ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi, ‘Kemudian siapa?’ Rasulullah menjawab, ‘ibumu’. Lelaki tersebut bertanya lagi, ‘Kemudian siapa lagi?’ Rasulullah sekali lagi berkata, ‘ibumu’. Bertanya lagi lelaki tersebut, ‘Kemudian siapa lagi?’ Jawapan Rasulullah ialah ‘ayahmu.'” (Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya kemuliaan seorang ibu (dan juga ayah) tidak dapat dinafikan. Al-Quran turut menyatakan: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua (ibu dan ayahmu) dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihiku di waktu kecil.” (al-Israa’ 17:24)

Menyedari hakikat kemuliaan dan kedudukan seorang ibu, kita tentu tidak akan teragak-agak untuk menjalankan kewajipan sebagai seorang ibu. Doa yang sebaik-baiknya bagi anak-anak kita adalah sangat penting kerana munajat doa seorang ibu sangat luar biasa impaknya serta dapat mempengaruhi buruk atau baik kehidupan anak-anak di dunia dan hari kemudian. Janganlah ada perkataan atau doa buruk untuk putera dan puteri kita. Tidak perlu wujud dilema untuk ‘memilih’ antara keluarga dan anak-anak atau tuntutan kerjaya.

Tunaikan sahaja tanggungjawab untuk kedua-duanya tanpa prasangka negatif iaitu merasakan masa yang diambil untuk anak-anak adalah suatu yang sia-sia atau menghalang kejayaan. Sebaliknya, bahagikanlah masa sebaiknya dan jalankanlah tanggungjawab terhadap mereka terutama dalam tempoh waktu ini dengan ikhlas. 

Ingatlah pelbagai keistimewaan yang dijanjikan untuk ibu – syurga adalah di bawah telapak kaki ibu, seorang ibu yang utuh beribadah di jalan Allah adalah lebih hebat daripada bidadari, seorang ibu lebih berhak dimuliakan dan berhak mendapatkan bakti anak-anak, ibu juga adalah tempat pelaburan akhirat dan suatu jalan untuk meraih syurga serta Allah meletakkan kalimat-Nya pada lisan seorang ibu.

Keutamaan dan keunggulan seorang ibu dalam Islam adalah sangat tinggi. Selama mana seorang ibu melakukan sesuatu dengan keikhlasan dan untuk mendapat reda Allah, dia akan beroleh balasan agung daripada Allah. Sesungguhnya hati akan lebih tenang di samping diberi kemudahan oleh-Nya untuk menjalani kehidupan yang diberkati di dunia dan akhirat. Semoga Allah reda dan mempermudahkan segalanya!

Siapa wanita solehah?

Siti Nur Baiin Che Harun

Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah, yang akan membahagiakan syurga di dalam rumah tangga. Begitulah bait-bait lirik nasyid daripada kumpulan Inteam yang menyeru sekali gus mempalitkan nasihat dan dakwah mengenai sebaik-baik hiasan di dunia adalah wanita solehah. 

Hadis  yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.”‏ (Riwayat Muslim, No  715) 

Wanita solehah adalah seorang yang bertakwa dengan melakukan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang. Menutup aurat mengikut syarak adalah salah satu suruhan Allah SWT kepada semua Muslimah. 

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” (Riwayat Abu Daud, No  1664)

Hukum menutup aurat bagi perempuan yang baligh dan berakal adalah wajib. Mendapatkan keredaan Allah SWT adalah tujuan utama hidup. Hikmah terbesar mematuhi hukum Allah adalah terhindar dan selamat daripada azab api neraka. Dengan menutup aurat juga akan mengangkat maruah, memelihara kehormatan dan ia lambang kemuliaan seseorang Muslimah itu. Ia juga mampu menghindarkan diri dan masyarakat terjebak dengan segala kemaksiatan dan mengelakkan daripada timbulnya fitnah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan sebagai perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah sebaik-baik pakaian. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka beringat.” (Surah Al-A’raf ayat 26)

Daripada  ayat ini jelas Allah mengingatkan kepada kita bahawa sebaik-baik perhiasan atau sebaik-baik pakaian adalah pakaian takwa. 

Allah berfirman dalam kitab-Nya mengenai adab dan syariat berpakaian dalam Islam. Islam sangat mengangkat darjat seorang wanita Islam dan sangat menitikberatkan ketinggian akhlak seseorang wanita itu dengan menjaga auratnya.

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan (kehormatan) mereka; dan janganlah menampakkan perhiasannyanya (aurat) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain tudungnya hingga ke dada dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami (mentua) mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami (anak-anak tiri) mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera perempuan mereka atau perempuan (sesama Islam) mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki atau pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang tersembunyi. Dan bertaubatlah kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.” (Surah An-Nur ayat 31)

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka (menutupkan jilbabnya) melabuhkan pakaiannya ke seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Yang demikian itu agar mereka lebih untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”  (Surah Al-Ahzab ayat 59)

Daripada Tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya agar menyuruh isteri-isteri, anak-anak perempuan baginda dan umumnya perempuan beriman agar mereka menutup aurat ke seluruh tubuh sehingga dapat dibezakan dengan perempuan jahiliyah dan hamba perempuan. Ini kerana, dahulu kebiasaan orang fasiq di kota Madinah suka keluar pada waktu malam ketika hari mulai gelap, menuju ke jalan-jalan di kota Madinah dengan niat melihat-lihat perempuan. Kerana ketika waktu malam tiba, kebiasaan perempuan itu keluar menuju ke jalan-jalan untuk melepaskan hajat (buang air). Lelaki fasik itu mempunyai keinginan buruk pada perempuan. Apabila mereka melihat perempuan berjilbab maka mereka berkata: “Ini perempuan terhormat, tahanlah diri kamu.” Tetapi apabila mereka melihat perempuan tidak berjilbab, maka mereka berkata, “Ini hamba perempuan.” Maka mereka segera menghampirinya.

Mujahid mengatakan, perempuan berjilbab dapat dipastikan mereka adalah perempuan terhormat sehingga lelaki yang fasik (jahat) tidak akan berani mengganggunya dan berkelakuan mencurigakan terhadapnya. (Ibnu Kathir, Tafsirul Quran ‘Azimi, Jilid 11 1421 H/2000 M: 242-243)

Daripada Aisyah RA dia berkata, bahawa Asma binti Abu Bakar R.A masuk menemui Rasulullah SAW dengan memakai kain yang jarang, maka Rasulullah SAW memalingkan muka daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita jika telah baligh tidak boleh terlihat daripadanya kecuali ini dan ini. Baginda menunjuk wajah dan kedua telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Juz 4, No Hadis 4104)

“Dan perempuan tua yang telah berhenti daripada haid dan mengandung, yang tidak ingin berkahwin lagi maka tidak ada dosa menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bermaksud menampakkan (aurat) tetapi memelihara kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu) adalah lebih baik bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nur ayat 60)

“Tidak ada dosa ke atas isteri-isteri Nabi (untuk berjumpa tanpa tabir) dengan bapa-bapa mereka, anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara perempuan mereka dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, perempuan-perempuan mereka (yang beriman) serta hamba sahaya yang mereka miliki dan bertakwalah kamu (isteri-isteri Nabi) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.” (Surah Al-Ahzab ayat 55)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali jika kamu dijemput (diizinkan) untuk makan tanpa menunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu dipanggil maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan) dan apabila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa memanjangkan percakapan (duduk bersenang-senang dengan berbual-bual). Sesungguhnya itu mengganggu (menyakiti dan menyusahkan) Nabi sehingga dia (Nabi) malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, (untuk menyuruhmu keluar) dan Allah tidak malu menerangkan yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah daripada sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu sama sekali menyakiti hati Rasulullah SAW dan tidak boleh pula menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah Nabi wafat. Demikian itu sangat besar dosanya di sisi Allah.” (Surah Al-Ahzab ayat 53)

Ayat ini melarang sahabat masuk ke rumah Rasulullah untuk makan sambil menunggu-nunggu waktu makannya Rasulullah.

Wahai wanita, tutuplah auratmu dengan pakaian takwa kerana dirimu begitu berharga sehinggakan Allah perintahkan untuk menutupi keindahan diri daripada sebarang pandangan. Bersederhanalah dalam memilih pakaian, rasa malu sebagai perhiasan, menjaga pandangan, menjaga lisan, menjaga kehormatan diri, takut berbuat dosa, menangis kerana Allah dan selalu panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana wanita solehah adalah penghuni yang akan menjadi dambaan syurga.

Meluruskan salah faham keistimewaan Rejab

Oleh Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Rejab datang lagi. Namun, kita masih berperang mencari hakikatnya. Antara benar dan salah, sahih dan palsu menjadi pertikaian. Zaman kita kadang-kadang yang benar dianggap salah. Dan yang salah dianggap benar. 

Sehinggakan ada pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai sarjana cuba menakutkan umat Islam dari melakukan amalan di bulan Rejab. Alasannya, hadis yang berkaitan dengan kelebihan Rejab adalah palsu. Sedangkan kepalsuan yang didakwa hanya berdasarkan kepada pendapat satu riwayat hadis dan pandangan seorang ulama tertentu sahaja. 

Bandingkan definisi, tafsiran dan keistimewaan Rejab yang dikemukakan ini dengan dakwaan golongan yang menentangnya. Penulis menghidangkan hakikat Rejab dan keistimewaannya menerusi kitab al-Ghunyah li Thalib Thariq al-Haq karangan Syeikh Abd Qader al-Jaylani. Beliau adalah sultan para wali dan terkenal sebagai seorang ulama yang menghimpunkan ilmu zahir dan batin. Beliau juga terkenal dengan pakar hadis di zamannya. Keilmuan dan keimaman beliau turut diperakui oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jauziyah dan seluruh cendekiawan Islam.

Rejab adalah salah satu bulan haram (suci dan mulia) sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman berkaitan bulan haram ini yang bermaksud:  “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, ada di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa.” (Surah  at-Taubah: 36)

Kelebihan Rejab disebutkan oleh Imam Ibn Kathir  di dalam tafsirnya. Beliau menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menjelaskan setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan haram ini, dosanya lebih besar berbanding bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan ini adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan yang lain. (Tafsir Ibn Kathir, 4:130)

Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber hadis, didapati Rejab ada keistimewaan yang tersendiri. Maka tidak hairanlah intisari (matan) hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku…” disokong oleh ramai ulama muktabar. Antaranya Imam Hibbatullah bin Mubarak. Beliau meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani di dalam al-Ghunyah. 

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyifatkan Nabi SAW sendiri pernah menegaskan Rejab itu adalah bulan Allah. Iaitu bulan Ahlullah. Dan dikatakan penduduk (Mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka. (al-Qurtubi, Jami’ Ahkam al-Qur’an, hlm 326 juz 6)

Imam Abu Daud pula membawa intisari hadis yang menampakkan kesaksian yang jelas mengenai lafaz Syaaban bulanku.  Buktinya beliau meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Qais dari Aisyah RA: “Bulan yang paling disukai Rasulullah SAW ialah berpuasa di bulan Syaaban. Kemudian Baginda menyambung puasanya hingga ke Ramadan.” (Sulaiman bin al-Asy’at al-Sijistani, Sunan Abu Daud, t.th, Dar al-Fikr : Beirut , hlm 323 juz 2)

Imam al-Thabrani pula meriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahawa apabila tibanya Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.” (al-Thabrani, Mu’jam al-Ausath, 1415H, Dar al-Haramain: Qaherah, hlm 189 juz 4, no hadis: 3939)

Hadis ini turut dipersetujui Imam Ahmad di dalam Musnadnya m/s 259 juz 1, hadis bernombor 2346.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan dari Uthman bin Hakim al-Ansari beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr RA mengenai puasa Rejab. Said RA menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas RA mengatakan: “Rasulullah SAW berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim,t.th, Dar Ihya Thuras al-Arabi : Beirut, hlm 811 juz 2)

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Di dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi SAW menggalakkan kita untuk berpuasa di bulan haram. Dan Rejab adalah salah satu darinya.” (Abu Thayyib al-‘Azhim, Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Daud, 1415H, Cetakan Kedua, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, hlm 60 juz 7)

Adapun hadis yang menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan Rejab bukanlah satu yang bersifat mutlak. Bahkan ia bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat dalam bulan  suci Islam. Tambahan pula, hadis itu diriwayatkan oleh Daud bin ‘Atha al-Madani. Beliau adalah perawi hadis yang dhaif. Ulama bersepakat mendhaifkan periwayatannya termasuk Imam Ibn Jauziy menerusi kitabnya al-‘Ilal al-Mutanahiyah (Ahmad bin Abu Bakar al-Kinani, Misbah al-Zujajah, 1403H, Dar al-‘Arbiah: Beirut, hlm 78 juz 2)

Imam al-Zahabi memperakui hadis puasa Rejab sebagai hadis marfuk. Hadis itu berbunyi: “Barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan setahun. Dan barangsiapa berpuasa dua hari dalam bulan Rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan dua tahun.” (Al-Zahabi, Mizal al-I’tidal Fi Naqd al-Rijal, 1995, Cetakan Pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, hlm 417 juz 4)

Imam Ibn Hajar al-Asaqalani juga membentangkan pertikaian ulama terhadap hadis kelebihan puasa Rejab yang bersumberkan riwayat Abd Malik bin Harun bin ‘Antarah. Katanya: “Darulquthni memandang Abd Malik dan ayahnya (Harun) sebagai dhaif. Begitu juga Imam Ahmad. Tetapi Yahya (Ibn Ma’in) menghukumnya sebagai pendusta. Abu Hatim menghukumnya sebagai matruk (ditinggalkan) hadisnya. Ibn Hibban menganggap dia sebagai pereka hadis…” (Ibn Hajar al-Asqalani, Lisan al-Mizan, 1986, Cetakan ke-3, Muassasah al-A’lami : Beirut, hlm 71-72 juz 4 no ind: 213)

Perawi yang dipertikaikan

Adapun berkenaan Ibn Jahdham, pengkritik periwayatannya tidak memperincikan siapa sebenarnya Ibn Jahdam yang dimaksudkan Ibn Qayyim al-Jauziyah. Kitab biografi mencatatkan beberapa nama Ibn Jahdham. Antaranya: Muhammad bin Jahdham, Jahdham bin Abdullah, Abu Muadz Jahdham bin Abd Rahman, Ubaidillah bin Jahdham dan Abu Hassan Ali bin Abdullah bin al-Hassan al-Hamazani.

Penjelasan Perawi

Imam Ibn Hibban meriwayatkan lima hadis dari Muhammad bin Jahdham yang dimaksudkan penulis. (Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, hlm 443 juz 2, hlm 582 juz 4, hlm 194 juz 7, hlm 96 juz 8, hlm 193 juz 11)

Manakala al-Hakim meriwayatkan empat hadis di dalam kitab Mustadrak daripada Muhammad bin Jahdham dan satu hadis lagi bersumberkan Jahdham bin Abdullah al-Qaisiy. (al-Hakim, al-Mustadrak ala sahihain, hlm 573 juz 4)

Imam Abu Daud meriwayatkan satu hadis dari Muhammad bin Jahdham berkenaan dengan zakat fitrah. Kenyataan boleh dirujuk hadis yang bernombor 1612 melalui Sunannya. (Abu Daud, Sunan Abu Daud, t.th, Dar al-Fikr: Beirut, hlm 112 juz 2)

Imam al-Tirmidzi meriwayatkan pula meriwayatkan dua hadis dari Jahdham bin Abdullah menerusi Sunannya. Perhatikanlah hadis bernombor 1563 dan 3235 di dalam Sunannya (al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, t.thn, Dar Ihya’ Thuras al-Arabiy: Beirut, hlm 132 juz 4 dan hlm 368 juz 5)

Ibn Jauziy al-Hanbali (bukan Ibn Qayyim al-Jauziyyah) ketika mengulas hadis berkenaan solat al-Raghaib (periwayatan) Ibn Jahdham mengatakan: “Hadis ini direka-reka dan mereka (ulama hadis) menuduh Ibn Jahdham melakukannya dan menisbahkan beliau dengan berdusta.” (al-Zahabi, Mizan I’tidal fi Naqd al-Rijal, hlm 162 juz 8)

Dari biodata perawi ini boleh dibuat beberapa kesimpulan.

1) Sekadar menyebut nama seorang perawi (Ibn Jahdham) belum cukup membuktikan hadis itu palsu. Ini kerana nama Ibn Jahdham terdiri daripada beberapa orang perawi yang tsiqah dan meriwayatkan hadis dari kitab sahih mahupun sunan.

2) Jika kita ingin menghukum sesuatu hadis maka perawi yang dipertikaikan perlu diperincikan secara tepat biodatanya. Tidak adil jika kita menyebut: hadis ini palsu dengan sekadar membawa makna, terjemahan hadis atau matan semata-mata. 

3)Perawi yang dikritik dalam kes hadis palsu keistimewaan Rejab ialah Abu al-Hassan Ali bin Abdullah Ibn Jahdham. Beliau adalah seorang tokoh sufi. Mengaitkan tokoh sufi dengan amalan memalsukan hadis adalah satu contoh permainan tulisan sarjana liberal yang tidak bertanggungjawab. Perlu diketahui Imam Fudhail bin ‘Iyadh pernah meriwayatkan dari beliau.

4) Walaupun kedudukan beliau dipertikaikan. Sebahagian ulama hadis mengatakan beliau tidak tsiqah. Tetapi beliau ditsiqahi di kalangan ulama Qazwin. Sebahagian Ulama pula mentadh’ifkan periwayatannya. Sebahagian lagi menuduhnya sebagai pemalsu hadis. Justeru, beliau bukanlah seorang perawi yang dimuktamadkan sebagai pemalsu hadis. 

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah, berselawat dan lain-lain kebaikan di bulan haram (suci) ini.  Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Justeru, sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. Insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Usah asyik mengeluh

Dr Rahimah Saimin

Firman Allah SWT mahfumnya: “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah ar-Rahman, ayat 13). Ayat ini jelas menuntut semua hamba-Nya untuk mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dan janganlah apabila nikmat itu ditarik balik baru kita mencari di mana kesyukuran dalam diri. Pepatah Melayu mengatakan ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Tokoh ilmuwan Islam ada berpesan: “Jalan yang lurus ialah syukur kerana syukur adalah maqam yang tinggi.”

Bangkitlah daripada gelora rengekan dan selimut keluhan dan beralih kepada norma peradaban mensyukuri nikmat Allah SWT. 

Signifikan bersyukur

Perlu diingat sesungguhnya tidak akan ada sesuatu perkara yang terjadi di muka bumi ini tanpa keizinan-Nya. Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya mestillah sentiasa menanam sifat syukur dalam diri dan menzahirkannya pada Allah SWT.  Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka daripada Allahlah ia datang.” (Surah an-Nahl, ayat 53)

Ramai umat akhir zaman hari ini hanya bersyukur apabila mendapat nikmat, tetapi mengecam apabila mendapat musibah. Allah SWT berfirman: “Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: ayat 13).

Iblis sentiasa berusaha menyesatkan manusia agar manusia tidak mensyukuri nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iblis menjawab: ‘Kerana Engkau menghukum aku tersesat, maka aku benar-benar akan menghalang mereka daripada jalan Engkau yang lurus.'” (Surah al-A’raf, ayat 16)

Bersyukur adalah sifat orang yang bertakwa. Firman Allah SWT mafhumnya: “Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.” (Surah ali-Imran, ayat 123)

Dalam melaksanakan amanah harian, kita dituntut memanjatkan syukur seawal pagi sejurus bangun tidur seperti yang diajarkan baginda Rasulullah SAW kepada kita untuk berdoa: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah mati (membangunkan kami daripada tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan.”

Kemudian kita mengerjakan solat Subuh yang dimulakan dengan surah al-Fatihah dan di dalamnya kita memuji Allah SWT dengan permualaan ayat Alhamdulillah.

Indahnya bersyukur

Bersyukur adalah hal yang selalu disebutkan dalam al-Quran. Dengan bersyukur tentunya kita semakin ikhlas dan dekat kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran ertinya: “Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhan kalian memaklumatkan, ‘Sesungguhnya jika kalian bersyukur (atas nikmat-Ku), pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kalian; dan jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Rasulullah SAW selalu solat sehingga kakinya bengkak. Apabila ditanya mengapa baginda solat sebegitu sedangkan baginda dijanjikan syurga:  “Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?”  (Riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT dalam al-Quran mafhumnya: “Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Lukman, hikmah kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya): ‘Bersyukur kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepada mu). Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”  (Surah al-Lukman, ayat 12)

Ini jelas membuktikan sifat syukur memberikan tenaga spiritual yang amat positif yang tiada tolok bandingnya. Malah bersyukur juga amat diperlukan untuk mengatasi segala onak duri dalam kehidupan. Ketika senang, kita bersyukur dan ia akan menjadikan kita terinspirasi. Ketika ditimpa musibah, kita bersyukur dan kita akan dapat mengatasi situasi yang getir. 

Bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan Allah SWT. Dia masih ingin mendengar segala rintihan kita. Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat (as-Sami’  dan  al-Bashir). Jika kita menjengah ke dunia luar, ramai yang mengimpikan kehidupan kita sebagai kehidupan mereka. Ramai yang menginginkan kebahagiaan yang kita kecapi kerana mereka telah menghadapi musibah yang lebih perit daripada kita. Maka syukuri segala pemberian yang diberikan oleh-Nya kerana setiap musibah turun dengan seribu hikmah di sebaliknya.

Cara bersyukur

Memuji dan berterima kasih kepada Ilahi. Sebelum berdoa, pujilah dan berterima kasihlah kepada Allah SWT atas setiap pemberian yang diberikan dengan melafazkan kalimah ‘alhamdulillah’. Ini membawa kepada pengiktirafan kesyukuran dalam hati dan lafaz pada lisan.

Ucap terima kasih kepada manusia lain. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang telah ditolong dan berkata kepada mereka yang menolongnya, ‘jazakallahu khairan  (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)’ telah melakukan yang secukupnya untuk membalasnya.” (Riwayat Tirmizi)

Renungkan rezeki yang kita peroleh. Kita tidak akan pernah dapat menghitung setiap rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Ini secara tidak langsung melahirkan rasa syukur dalam hati. Firman Allah SWT mafhumnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (Surah al-Baqarah, ayat 34)

Meminta bantuan Allah SWT untuk istiqamah bersyukur. Doa yang diajarkan Rasulullah SAW selepas solat, seperti dinyatakan dalam hadis daripada Muaz bin Jabal RA: “Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan Menyembah-Mu dengan sebaiknya” (Riwayat Abu Daud)

Bersyukur adalah diperintahkan Allah SWT. Allah SWT berfirman: “Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah An-Nahl, ayat 114)